Saturday, May 31, 2008

Hampir Tidak Minum Air Kosong Lagi

Ada beberapa perkara yang berlari sembunyi sambil berlegar diruang kepalaku kini, pertamanya aku mendambakan satu percutian yang agung sekali, satu percutian kala aku punya wang untuk dibelanjakan dengan bebas tanpa sekatan, satu percutian kala aku bisa menarik nafas sesempurna mungkin. Aku masih menanti, akan terus menanti. Aku tidak menganggap perjalanan aku ke sini ke mari itu satu percutian, tapi semuanya atas dasar kerja yang mana kakiku seolah-olah terikat dan segala gerak geri aku bersuruh lagi berjadual. Sementara itu, aku kini dalam proses untuk kembali cergas seperti sediakala, maklumlah aku gusar amat terhadap kondisiku yang terkini. Kecenderunganku untuk menikmati makanan yang manis-manis cukup tenat sekali, sangat tenat. Ini sesuatu yang tidak wajar untukku amalkan hatta sampai saat ini aku hampir tidak minum air kosong lagi. Semuanya manis, semuanya bergula hingga penuh semut dipembuluh darah membentuk satu timbunan lemak diantara dada dan pinggang. Wallahua'lam Bissawab.

Semalam aku begitu, hari ini aku begini, lusa aku menanti, tulat aku tidak tahu. Semestinya tanpa usaha hidup manusia ini mendatar sahaja, grafnya tidak meningkat. Kita sewajarnya harus punya inisiatif yang pejal dalam merencana sesuatu. Mustahil kita mahu terus dibelenggu dalam suatu zon yang sama.

Thursday, May 29, 2008

Kemungkinan sesuatu Kebarangkalian

Bila mana suatu ketetapan itu sudah ditetapkan maka sebarang kebarangkalian tidak mungkin berketolongan. Setiap simpang yang disinggahi akan ada kebarangkalian tertentu yang bakal kamu temui. Ketika itu kamu berkemungkinan besar akan mengharapkan sesuatu kebarangkalian itu menjadi suatu kemungkinan tertentu. Aku terangsang untuk membicarakan perihal kebarangkalian ini, kerna sesuatu yang terjadi pasti ada hikmah disebaliknya. Maka adalah wajar untuk kita bersyukur tentang sesetengah perkara yang menjadi tunggak kekuatan kita selama ini yang seringkala kita lupa. Dalam kita berjalan meniti sebuah kehidupan, perihal kebarangkalian tidak mungkin dapat di elak. Manusia umumnya gemar memikir sebarang kebarangkalian agar menjadi sebuah kemungkinan tertentu. Sedangkan yang menentukannya hanya Dia diatas sana. Semuanya ditangan kita, hanya dengan acuan tangan sendiri kita bisa mengangkat dunia. Sampai disini sahaja, sepanjang peninggalanku ini harapnya kamu bisa berfikir mengenai perkara ini. Apa yang aku utarakan disini hanyalah sekadar kebarangkalian secara umumnya sahaja, tidak spesifik. Wallahua'lam Bissawab.

Friday, May 23, 2008

Slot Publisiti

WCIT 2008 berakhir sudah, tiada secebis perasaan pun yang berlegar diruangan minda. Apa yang ku rasai kini hanyalah sedikit simpati terhadap prestasi kedua kaki kanan dan kiri. Maklumlah, kudrat keduanya dimanipulasi secara ekstrim oleh tuannya sendiri. Terasa kecil sekali ruangan di Pusat Konvensyen KLCC. Hampir setiap detik aku hampir berada dimana-mana sahaja bersama dua pasangan yang bergelar Sanwich Guy. Mereka kelihatan bergaya mengendong Sandwich Board itu. Seribu kuntum senyuman buat mereka berdua. Percayalah, tidak mudah untuk mereka berdua memikul tanggungjawab sebesar itu. Aku sendiri merasainya. Aku tidak simpati, yang ada cuma perasaan terharu berbaur bangga, lebih-lebih lagi mereka itu merupakan saudara sejenayahku. Aku tidak berminat untuk mengulas lanjut tentang apa yang berlaku disana. Cukup sekadar aku katakan bahawasanya saudaraku berjaya menggalas harapan didada. Seribu kuntum senyuman buat mereka semua. Hari ini merupakan hari cuti bergaji buat kami. Tiada kemesyuaratan, tiada komitmen kerja, hanya diberikan cuti, namun bergaji. Menarik bukan? Usah termanggu, jika berminat untuk merasai gaya hidup korporat seperti kami, jangan lupa sertai kami di MDEC, Cyberjaya.

p/s: Bill, i tak demand apa-apa untuk sari pengiklanan ini, sekadar publisiti percuma!

Tuesday, May 13, 2008

Detik Kemalasan Fasa Kedua

Aku terlupa menyelitkan tulisan rasa yang lahir kurang lebih 2 bulan lalu. Ketika itu aku sedang duduk malas bersandar dibangku di McDonald S.3 Shah Alam sambil rakus mengunyah french fries. Kelihatan seorang gadis duduk ayu bertentang denganku. Dengan tenang, aku mula duduk kemas mengambil posisi yang lebih selesa agar senang anak mataku mencuri sudut yang menarik untuk menjelingnya. Aku kira ini hanya suatu perlakuan lazim yang dilakukan oleh para jejaka. Sekadar alasan untuk ku melepaskan diri disini sambil mengangguk lalu mengukir sekuntum senyuman yang keji. Ketika itu hujan meluru lebat memalu bumi. Sambil anak mata meliar menjeling mesra ke arah gadis itu maka lahirlah alunan rasa ini, masih tercatit kemas di telefon bimbitku;

Hujan nan lebat meluru turun,
Menghentam bumi sesedap rasa,
Laraan hati mula berhimpun,
Ria membisu tiada bersuara.

Sambil merenung mata bertentang mata...

Rambut terurai ditiup angin,
Tersangkut ayu singgah ke bahu,
Tampak dingin tapi kepingin,
Dilubuk hati tiada yang tahu.

Detik ketika aku pula yang tunduk malu dek ketajaman anak mata si Dewi, hatiku mula berdebar-debar, jantungku berdegup laju. Aku sedar yang aku sudah sampai ke tahap yang paling perasan sekali bagi seseorang yang bergelar jejaka. Aku hanya melayan sahaja perasaan perasan ku itu. Walau apa pun, segala gerak kerja perbuatan keji ku itu hanyalah sekadar memenuhi detik senggang ku sambil menanti saat hujan henti. Tiada maksud tersirat dibalik jelingan manja itu. Hanyalah sekadar renungan ikhlas yang cuba ku hadiahkan sebagai penghargaan kepada keindahan ciptaan Tuhan.

Suatu alunan himpunan warna,
Lara dan ria bergaul mesra,
Tenang dan resah menyepak jiwa,
Saat menanti tibanya masa.
Entri ini adalah separa benar yang ku sisip buat kamu semua. hanyalah sekadar memenuhi ruang senggang ku dibilik Rebung 1 di MDEC, Cyberjaya ini. Ada dua perkaitannya yang boleh aku kaitkan disini. Seperti mana aku menanti penuh sabar saat hujan henti di McD 2 bulan lalu, begitu juga aku bersabar saat menanti tugas selanjutnya disini. Seperti mana aku duduk bersandar malas di McD, begitu jua aku duduk menyandar malas disini. Sememangnya sehari dua ini adalah saat untukku meraikan detik kemalasan tahap tertinggi. Nampaknya sudah 2 hari aku dan rakan meraikan detik kemalasan ini. Apakah masih ada ruang untuk kami meraikannya lagi esok hari? Nampaknya sesi mesyuarat gerak kerja di Rebung 1 akan bermula seketika nanti, lebih afdhal andai aku mengundur diri. Wallahua'lam Bissawab.

Detik Kemalasan Tiba

Aku mungkin tidak sempat menulis disini. Masa yang sebelumnya berada tidak jauh didepan mata tidak mampu digapai tangan. Kelihatannya masa meluru begitu pantas bak peluru meninggalkan aku. Walau apa pun, kepada yang mengikuti pistol berpeluru, aku kini sedang berkerja di MDEC, Cyberjaya. Ada acara besar bakal berlangsung di KLCC tidak lama lagi dan aku adalah salah seorang insan kerdil bersama gergasi besar yang akan berada di acara itu. Hanya sekadar makluman, aku kini berada dalam kekalutan berbaur kerisauan yang tidak terperi Kerna ayahandaku kini nampaknya mungkin sedang memantau penulisanku disini. Jadi ada banyak perkara yang mungkin perlu ditapis nampaknya. Kepada ayah, selamat membaca hasil tulisan lemah anak mu. Kepada ibu, belum terlambat rasanya untuk aku mengucapkan perkataan sayang kepadamu, selamat hari ibu. Kepada Nurul, terima kasih atas segalanya. Aku sedang mencuri waktu disini. Sebelum Billy Chin mencekup aku bermalasan disini, ada baiknya aku beredar. Aku tidak sendiri, ada 5 lagi rakan bermalasan bersamaku disini. Sedang mereka kelihatan menikmati detik kemalasan ini, apa salah aku menumpang sekaki lalu malas bersama sekali sekala. Wallahua'lam Bissawab.

Sunday, May 4, 2008

Sendu Rasa Seorang Lelaki

Jiwa terpukau panahan asmara,
Hati luluh diruntun kata,
Madahnya elok menikam rasa,,
Laraan tewas ria pesona.

Gemalai lembut halus tuturnya,
Layanan dihulur mencuit berahi,
Ayu wajah manis senyumnya,
Senyum terukir menglonglai sendi.

Hati memujuk sangsi dijiwa,
Jiwa berbekas dek panahan madah,
Silap aturan jiwa terseksa,
Lumrah hubungan terseksa indah.

Aduhai cinta usah menunggu,
Andai rangga pergi berlalu,
Bukan berpaling apatah ragu,
Cuma termanggu tidak terburu.

Bisik berkata ungkapan mesra,
Ikhlas kepada cinta menunggu,
Harap kiriman menjelas rasa,
Kepada hanya hati nan satu.


Sebuah jalinan bebas yang aku lontarkan mengikut drama yang tercerita dari gerak hati seseorang lalu aku simpulkan menerusi susunan kata khas buat cinta yang menunggu. Seperti yang aku tegaskan dalam entri sebelumnya, aku kurang berminat menyentuh soal peribadi rasa maka apa yang terhidang didepan mata kamu merupakan hasil cedokan rasa seorang teman yang berada dekat diantara dua jariku. Mengambil sikap untuk menjaga kerahsiaan mendorong namanya tidak ku sisip disini. Andai aku sisip jua pasti riaknya kaku lalu tunduk malu. Maka teringat aku akan rangsangan kata dari seorang teman, "kenapa engkau bersikap terlalu defensif, setiap kali engkau berlapik kata terutamanya tentang cinta pasti orang mampu merasa yang engkau sudah jatuh cinta pada si dia" Kesimpulan yang aku pelajari dari temanku itu, jangan sesekali kita menidakkan secara bersungguh-sungguh terhadap sesuatu provokasi kerna orang akan menaakul realitinya menerusi reaksi yang diberi. Maka bersikap bersahaja terhadap sebarang persoalan lebih afdhal andai kamu ingin kerahsiaanmu terjaga rapi. Reaksi yang defensif begini selalunya diberi oleh kelompok artis lebih-lebih lagi bila berdepan soalan provokasi kelompok wartawan yang mengejar cerita hangat dikaca televisi mahupun majalah. Contohnya, "kami hanya kawan, kawan baik, saya senang berkawan dengannya" Aku tersenyum sendiri. Benar aku sedang tersenyum!