Monday, November 3, 2008

Seperti yang dijanjikan pada entri sebelumnya

Ada moleknya andai aku bercerita mengikut turutan kronologi, senang untuk kamu membaca, malah senang juga untuk aku menulis. Skripnya bermula begini;

Untuk berada lebih dekat dengan aku, Nurul dengan senang hati memohon untuk 'transfer' dari Maybank cawangan PJ Jalan 222 ke Maybank (Main Branch) seksyen 14 Shah Alam. Menurut surat pelepasan untuk 'transfer', Nurul dikehendaki segera melapor diri ke tempat kerja yang baru pada hari Isnin berikutnya. Disebabkan pelepasan untuk bertukar ke Shah Alam itu berlaku dengan pantas, maka Nurul tidak sempat untuk mencari rumah sewa dikawasan yang berdekatan dengan tempat kerja. Persediaan untuk berpindah ke Shah Alam dilakukan dengan kadar segera tanpa persediaan yang rapi. Maka, rumah teres di seksyen 20 di jadikan pilihan sementara sebelum mencari rumah sewa yang lebih dekat dengan tempat kerja yang baru.


1/11/2008 (sabtu)

Kira-kira jam 3 petang, aku ke PJ, Jalan 222 Impian Baiduri untuk memunggah barang-barang Nurul ke seksyen 20 Shah Alam. Kira-kira jam 8 malam, semua keperluan sudah siap dipunggah ke rumah baru. Aku langsung tidak masuk ke rumah, cuma mengangkat barang dalam kategori berat sampai ke pintu rumah sahaja.

Selepas itu kami keluar untuk 'dinner' sambil mencari kedai untuk 'duplicate' kunci rumah. Malam itu, kami 'dinner' bersama rakan-rakan gua yang lain kerna kebetulan sebelum itu kereta 'Pawad' mengalami masalah sekitar seksyen 3. Setelah operasi 'jump start' berjaya dilakukan ke atas Satria 1.6 Pawad, kami 'dinner' di seksyen 7. Kira-kira jam 11, aku menghantar Nurul pulang ke rumah baru.

Aku langsung tidak singgah.


2/11/2008 (ahad)

Kira-kira jam 2.30 petang, aku menjemput Nurul dirumah. Kami ke Thomas and Guy di SACC Mall Shah Alam untuk trim rambut. Bukan rambut aku tapi rambut Nurul. Kepenatan memunggah barang masih terasa, kami berkeputusan untuk terus pulang. Apa lagi ketika itu, Nurul dan rakan serumahnya yang lain sepakat untuk masak 'Laksa Penang' sebagai santapan makan malam.

Kami sampai dirumah ketika Maghrib. Aku tidak terus pulang ke Puncak Perdana ketika itu memandangkan dirumah Nurul ketika itu tiada sesiapa. Aku ke surau berdekatan untuk solat Maghrib. Kebetulan lokasi surau tidak berada jauh dari rumah. Setelah solat, rakan serumah Nurul masih tidak pulang.

Aku masih setia menanti diluar menemani Nurul.

Setelah pasti yang rencana untuk masak Laksa Penang 'cancel', aku dan Nurul ke kedai makan berdekatan. Tidak sedap hati untuk terus pulang malah segan untuk berdua walau pun duduk diluar rumah, apatah lagi kejiranan disitu merupakan kediaman keluarga malah surau pun seberang jalan sahaja.Melihatkan jam ditangan sudah hampir menginjak pukul 11 malam, aku menghantar Nurul pulang ke rumah.

Tetapi, rakan-rakannya masih belum pulang.

Aku meminta izin kepada Nurul untuk tumpang ke tandas, sementara Nurul pula menunggu disebelah luar. Jiran-jiran sebelah dan depan rumah juga turut menjadi saksi, itu pun kalau mereka mengambil tahu. Tidak sampai 3 minit pun aku ditandas, secara pantas. Selain 'shishi', aku hanya membersihkan muka.

Aku dan Nurul hanya duduk berkerusi diluar sahaja selepas itu. Diluar, kami bicara perihal masa depan. Nurul pula tidak letih cuba mengorek sebanyak rahsia daripada aku, pelbagai soalan pelik yang dia ajukan. Aku seorang yang misteri katanya, sudahlah misteri, serius pula. Aku hanya mengukir senyuman sambil mata menyaksikan gelagat remaja dan kanak-kanak bermain bola didepan mata.

Tidak lama selepas itu, kelibat rakan-rakan Nurul pun muncul didepan mata. Lalu gua minta izin untuk pulang. Dalam hati, aku sangat tidak sabar untuk sampai ke rumah. Aku berniat untuk menjelaskan hutang tidur yang tertunggak sekian lama. Kira-kira jam 11.45 malam, aku sampai ke Puncak Perdana. Aku 'parking' berdekatan 'bustop' pada awalnya. Sesampai ke pintu pagar, aku disambut manja oleh 'uncle pengawal' dan 'pak berahim'.

Aku : Assalamualaikum pak berahim! ujarku mesra..

Pak berahim: Waalaikumsalam!!haa, awak 'parking' kereta dekat mana? soal pak berahim..

Aku : Dekat 'bustop' tu pak berahim!kenapa pak berahim? tanyaku kehairanan..

Pak Berahim: Bawa masuk kereta awak, bahaya nanti hilang kereta letak disitu, ujarnya..

Aku : Boleh ke pak berahim? soalku kehairanan, lalu aku bertanya lagi, 'lagi pun saya tak ada sticker', kang nanti saya kena saman, tambahku lagi.

Pak Berahim: Tak siapa nak saman awak, saya bagi!! Tegas pak berahim!!

Aku : Thank you Pak Berahim!!!


Aku dengan rasa ketidaksedapan hati membawa masuk kereta. Aku tidak sedap hati sebenarnya malam itu memandangkan pak Berahim 'sporting' tidak seperti biasa. Entah mengapa, aku pun kurang periksa. Aku masuk sopan sambil mengucapkan salam kepada 'pak Berahim'. Suspen juga, tutur hati aku.


3/11/2008

Untuk dijadikan cerita, kira-kira 2.45 pagi ketika aku sedang diperbaringan di katil Hakim di Puncak Perdana , aku mendapat 'emergency call' dari Nurul yang mengatakan rumahnya dipecah masuk penyamun. Aku yang ketika itu 'mamai' berasa terkejut. Namun aku tidak kalut, sebaliknya menenangkan Nurul yang sedang menangis ketakutan.

Mujur, penyamun tidak memasuki bilik Nurul. Aku bersyukur untuk itu. Sebaliknya, bilik rakannya disebelah yang menjadi mangsa. Aku masih samar tentang apa yang hilang cuma yang aku tahu daripada Nurul, dua orang rakannya sempat melihat kelibat penyamun itu.

Ketika jam hampir meniti pukul 4 pagi, aku keluar juga dengan kebenaran 'uncle pengawal'.

Aku risau tentang Nurul yang tinggal sendirian, rakan-rakan serumahnya pula pergi membuat laporan polis tentang kejadian tersebut. Dipercayai, rakannya meronda ke seksyen 26. Penjejakan menerusi 'friend finder service' mengatakan sang penyamun di seksyen 26. Berita baik!

Namun, sesampai aku ke rumah Nurul, rakan-rakannya sudah pun pulang. Aku dengan serius masuk ke rumah bertanyakan hal dan peristiwa yang terjadi. Semuanya senyap tidak bersuara. Aku kepelikan seketika. Aku memanggil Nurul keluar untuk mendapatkan cerita yang terperinci.

Nurul yang ketakutan tidak henti menggigil takut. Tanganku digenggam erat. Aku meyakinkannya untuk masuk tidur, ketika itu aku yakin tiada apa yang akan berlaku. Aku menasihatkannya supaya memperbanyakkan doa, baca surah 3 qul, membaca ayatul Qursi dan solawat.

Lagi pula jam ditangan sudah hampir subuh, jadi secara logiknya penyamun itu tidak akan berpatah balik. Selepas itu aku berpatah balik ke Puncak Perdana. Dalam perjalanan pulang, Nurul meminta tolong supaya aku menghantarnya ke tempat kerja pada keesokan paginya. Memandangkan hari itu bakal menjadi hari pertama dia berkerja di Shah Alam, maka aku pun turut teruja untuk menemaninya. .

Aku tidak habis-habis mengucapkan rasa syukur. Tiba-tiba teringat akan pesanan aku terhadapnya pada hari pertama dia tidur dirumah baru. Aku berpesan supaya di azankan kamar tidurnya. Aku amat percaya pada konsep doa dan tawakal. Memadailah jika laungan azan itu hanya didengari telinga sendiri. Selain itu, aku memesan supaya kamar tidur dibacakan dengan Ayatul Qursi dan bacaan dari Surah 3 Qul. Insya'Allah, dengan izin Tuhan, doa-doa ini bisa memayungi kita, selain bertindak sebagai pendinding paling mujarab.

Aku beberapa kali menegaskan kepada Nurul, jangan diabaikan perkara ini. Ia mungkin nampak remeh, namun signifikannya amat besar sekali. Bacaan ayat-ayat suci ini bukan sahaja melindungi kita dari bisikan Iblis malah kita turut terlindung dari segala niat keji dan sifat jahat manusia. Aku bersyukur lagi kerna, walau pun penyamun itu memecah masuk menerusi pintu dapur, bilik Nurul langsung tidak terusik walau pun biliknya berada paling dekat dengan dapur malah pintu biliknya juga tidak berkunci.


3/11/2008 (isnin)

Aku bergerak menuju ke rumah Nurul pada jam 7.15 pagi. Sesampainya dirumah Nurul, kelihatan sebuah kereta peronda Polis jenis Waja 'parking' bersebelahan kereta aku. Ketika itu, aku masih tidak tahu menahu hal yang sebenar. Aku bersalaman dengan pegawai penyiasat iaitu Sarjan Rahman lalu beliau masuk ke rumah. Aku yang menanti Nurul diluar turut dipanggil masuk oleh Sarjan Rahman.

Sejejaknya kakiku ke rumah Nurul, barulah aku sedar yang aku adalah SUSPEK UTAMA kejadian pecah rumah itu. Nurul yang terpinga-pinga sambil kesedihan terkejut sekali, tidak menyangka barangkali mangsa menuduh aku. Aku lagi terkejut bila kedua-dua mangsa menuduh aku sebagai suspek. Setelah pengecaman dibuat dan di tanya beberapa kali oleh Sarjan Rahman kepada mangsa, maka mangsa memberi pengecaman secara 100% yang pencuri itu adalah aku.

Aku yang tidak tahu menahu menafikan sekeras-kerasnya pertuduhan tersebut. Maka berlaku perkelahian mulut disitu dan percayalah, jika tidak kerana Sarjan Rahman, kedua-dua mangsa hampir aku terkam. Beberapa keterangan diberikan dan aku memberi kerjasama kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan.

Sementara itu, kedua-dua mangsa masih tidak berpuas hati terhadap aku. Mangsa tidak habis-habis memaksa aku mengaku dihadapan Sarjan Rahman. Mereka kelihatan yakin dan pasti bahawasanya lembaga penyamun yang memecah masuk sekitar jam 2.45 pagi itu adalah aku berdasarkan kelibat fizikal dan riak wajah aku.

BULLSHIT!

Aku memang 'PANAS' dengan tuduhan melulu tersebut. Seolah-olah memang aku yang bersalah, namun memikirkan mangsa merupakan lelaki 'wannabe' , aku cuba untuk rasional. Sepengkid-pengkid mangsa pun, mereka tetap 'bertetek', aku hampir tidak boleh melakukan apa-apa, apa lagi Sarjan Rahman sebesar manusia itu berada disebelah aku. Aku dibawa ke belakang rumah oleh Sarjan Rahman untuk melihat pintu tempat penyamun 'DURJANA' itu pecah masuk.


Alasan pertuduhan pecah rumah terhadap aku;

Pertama: Aku dipercayai masuk ke rumah itu sekian-sekian waktu pada malam hari untuk buang air kecil. Aku didakwa oleh mangsa sempat nampak kunci pintu yang masih berada ditombol pintu. Pengesahan ini hasil daripada keterangan Nurul yang mengesahkan aku ada memasuki rumah untuk ke tandas.

Kedua : Penyamun didapati hanya masuk ke bilik mangsa, namun bilik Nurul terselamat. Walhal, bilik Nurul terletak paling dekat dengan pintu dapur. Hubungan kekasih antara aku dan Nurul dijadikan alasan mengapa bilik Nurul tidak dimasuki terlebih dahulu walaupun bilik Nurul juga tidak berkunci.

Ketiga : Pertuduhan paling berat sekali iaitu mangsa didapati mengecam 100% bahawasanya pencuri itu adalah aku berdasarkan kelibat fizikal serta riak wajah yang dikatakan ganas ini.


Atas sebab itu aku yang tidak tahu menahu ini dikehendaki segera ke Balai Polis Seksyen 10 Shah Alam untuk siasatan lanjut. Dengan segera aku ke Balai Polis seksyen 10 dengan membawa bersama rakan-rakan sebagai 'alibi' aku.

Aku sebetulnya berasa malu dengan pertuduhan begini. Kerna secara tidak langsung mencabar maruah aku. Jika aku dikatakan sebagai suspek, aku tidak kisah malah bersedia memberi kerjasama kepada pihak polis. Tapi malangnya, mangsa tidak melayani aku sebagai suspek tetapi berlagak yakin seolah-olah aku yang bersalah. Hukuman dijatuhkan sebelum siasatan habis dibuat.

Walaupun begitu, aku juga terpaksa bertindak serasional mungkin. Lagi pula Sarjan Rahman dan sahabatku Inspektor Azrin beberapa kali menasihatiku agar tidak tersilap langkah dengan membuat perkara yang bukan-bukan. Aku juga memahami keadaan mangsa, sudah tentu mereka yang menjadi mangsa akan bertindak sedemikian. Aku hanya bercerita dari perpektif aku sebagai mangsa keadaan. Sebagai yang tertuduh, aku berasa dizalimi.

Jika benar aku yang menyamun, siapa pula yang tidur dikatil Hakim. 100% pengakuan mangsa yang melihat penyamun itu membuatkan aku tertanya-tanya, adakah dakwaan ini bersandarkan akal yang waras, atau mangsa bertindak mengikut emosi. Atau juga penyamun itu memang seiras dengan aku.

Lembu punya susu, sapi yang dapat nama.

Hasil siasatan pihak polis, aku didapati tiada kena mengena dengan dakwaan ini memandangkan aku punya 'alibi'. Terbukti bahawa aku berada di Puncak Perdana ketika kejadian berlaku. Walau bagaimana pun, yang menuduh nampaknya masih tidak berpuas hati. Mangsa masih lagi ragu dengan segala bukti dan 'alibi' yang aku ada. Aku memang punya 'alibi', tetapi mangsa menegaskan tidak semestinya aku tidak melakukan perbuatan itu.

Alasannya, aku bisa saja berpakat dengan rakan-rakanku sekalian. Sudah tentu rakan-rakan akan membantu. Sekarang, aku fikir tiada gunanya aku cuba berlagak baik. Mangsa kelihatannya masih tetap dengan pendirian mereka. Siasatan masih berjalan. Mangsa sehingga kini khabarnya mencuba kaedah alternatif pula. Aku tidak gentar langsung, kerna pada aku, yang benar tetap benar. Walaupun aku tercabar kerna terasa seperti ego serta maruahku dicalar.

Setidak-tidaknya buat masa kini Nurul sentiasa menemani. Aku tidak terlalu memikirkan perihal pertuduhan tersebut. Aku hanya risaukan dia. Setidak-tidaknya Nurul sanggup mempertahankan aku. Kini, seharian aku tidak tenang memikirkan keadaannya. Lagi pula, kami masing-masingnya tidak punya sesiapa disini. Mahu atau tidak, aku wajib untuk bersamanya walau perit mana sekalipun kondisi ketika ini. Ternyata, dia memang setabah aku. Itu sudah cukup untuk membantu aku tika ini.

Aku hanya mengambil sikap tidak ambil peduli. Kalau ikutkan, perkaranya tidaklah sebesar mana. Pihak menuduh masih tidak berpuas hati. Aku hanya memerhati, menjaga tingkah. Malu memanglah malu, satu kejiranan melihat aku bersama Polis ketika itu.

Secara kebetulan;

  • Muka penyamun dikatakan seiras denganku
  • Aku pergi ke tandas
  • Aku berada pada waktu yang salah
  • Penyamun tidak mencerobohi bilik Nurul

Yang kelakarnya;

  • Aku sedang tidur ketika kejadian
  • Hasil siasatan mendapati penyamun tidak masuk ke rumah menggunakan kunci, sebaliknya memecah tombol pintu.
  • Aku ada kembar! Siapa agaknya?
  • Terdengar jeritan 'PENCURIIIII!!!!' Nurul segera menelefon aku, aku menjawab telefon dengan tenang malah Hakim turut berada disebelah. Kalau aku yang menyamun sudah semestinya aku tidak se 'cool' itu malah semestinya aku tercungap-cungap.
  • Kira-kira 45 minit sebelum aku tidur, aku sempat menghantar komen di Blog aku sendiri, membalas pertanyaan rakan blogger iaitu 'cha'. Larat pula aku ke seksyen 20 semata-mata untuk menyamun barang yang tidak seberapa itu. Baik aku ke Bukit Jelutong menyamun rumah Prof Razak, atau pun mencopet 'dopod' Adi.
  • Nurul menjadi detektif Conan pada suatu malam, ternyata keadaan bilik langsung sangat gelap. Jika lampu handphone ternyala sekali pun, tidak mungkin mangsa nampak aku dengan jelas.

Secara konklusinya, selain memastikan pintu, pagar dan tingkap rumah terkatup rapat, pastikan juga segala kemungkinan-kemungkinan yang bisa merisikokan keselamatan rumah anda. Jangan lupa buka lampu. Jangan bagi sesiapa masuk tandas. Lebih-lebih lagi jika orang itu tidak dikenali. Nanti tidak pasal-pasal, ada yang teraniaya. Sementara itu, jangan lupa berdoa. Doa merupakan pagar bagi manusia. Memang nampak remeh, tetapi signifikannya besar sekali. Kadang-kadang Tuhan itu membantu manusia berlainan cara. Sesuatu yang kita tidak nampak. Manusia merupakan makhluk yang sukar dijangka hatinya, manakala Tuhan merupakan satu-satunya tempat bagi manusia mengadu dan juga berkuasa membolak balikkan hati manusia. Jika ada yang berniat serong, insya'Allah, Tuhan itu bisa mengalihkan niatnya ke tempat lain. Tuhan itu Maha Pelembut, Ya Latif, maka apa lagi manusia? Wallahua'lam Bissawab.



Imej seorang yang dikatakan penyamun, jika kamu ternampak pemuda ini berkeliaran dimana-mana, telefon Polis, TANGKAP DIA BUAT SATE!!!Sekurang-kurangnya penyamun ini punya visi dan misi. Tidak hanya berbakat menyamun, malah suka berblog juga.


Semoga kamu mendapat iktibar, kadang-kadang kita sudah cukup berhati-hati, namun itu masih tidak mencukupi. Ternyata, Tuhan memang sedang berbicara denganku. Sehingga kini aku pasti si mangsa sendiri tahu penyamun itu bukan aku. Intuisi aku kuat tentang itu. Niat sebenar hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kepastian menjangkau 100% +++ memelikkan aku. Maka, sebagai manusia kita hanya mampu bersangka baik sahaja sesama manusia.

Sunday, November 2, 2008

Hazihi Fitnah!!!!

Gua punya sesuatu untuk dikongsi bersama. Namun, ketiadaan rasional akal serta keadaan emosi yang diterajui sifat amarah ketika ini menidakkan keinginan gua untuk menulis panjang disini.

Sabar, ada sesuatu untuk kamu semua. Jika Indonesia punya filem hebat seperti Ayat-Ayat cinta, gua juga punya filem versi sendiri yang tidak kurang juga sadisnya.

Apa yang bakal gua ceritakan kemudian nanti, merupakan kisah benar. Jika itu gayanya Tuhan berbicara dengan gua, maka gua bersyukur atas banyak perkara.

Sesungguhnya, perbuatan fitnah itu lebih dasyat daripada membunuh! Gua tidur dulu barang sejam dua, bila rasional gua kembali nanti, gua sambung sketsa yang gua beriya cerita tadi.

Mungkin ada sesuatu yang boleh kamu pelajari.

Friday, October 31, 2008

Apa masalah Batman kalau Gua Robin. Batman patut sujud syukur sebab Robin wujud, kalau dalam siri superhero melayu gua macam Tiongman la kan? Tapi bukan Robin Hood.

'Young and acrobatic.
You don't mind stepping aside
to give someone else glory'.


Your results:
You are Robin






Click here to take the "Which Superhero are you?" quiz...

Ingin membongkar siapa anda, sila click link diatas!
Ketika kecil dahulu aku gemar duduk sendirian. Duduk keseorangan dipayungi langit malam. Aku gemar melihat wajah indah langit, dihiasi pula dengan kerdipan bintang-bintang dan pancaran bulan. Suasana gelap malam begini begitu mengasyikkan. Aku memerhati setiap penjuru langit, melihat setiap isi-isinya selagi mampu dijangkau mata. Kebetulan pula, lokasi bilik aku yang strategik memudahkan aku untuk duduk bertafakur sambil melihat keindahan langit menerusi jendela.

Ketika itu, istilah 'tafakur, muhasabah, meditasi' amat asing sekali. Aku beranggapan, aktiviti itu hanya sekadar hobi, lebih tepat lagi aku seolah-olah terpanggil. Aku terasa yang hutan tebal serta alam cuba untuk memberitahu sesuatu. Ketika itu, Taman Norita (tempat kediaman) merupakan kawasan perumahan yang sangat baru. Populasi masyarakat yang tinggal disitu juga tidak ramai, tidak lebih dari sepuluh keluarga. Jaraknya pula lebih kurang 5km dari pekan Sri Aman.

Selalunya jika tidak dilaman beranda, atap rumah menjadi tempat tidurku. Bila berbaring, aku lihat jelas langit dan bintang seolah-olah bisa digapai dengan tangan. Apatah lagi dengan suasana dingin malam yang begitu mengujakan. Bulan dirasa tergenggam dek tangan.

Tetapi, aku tidak gila untuk berbaring sehingga lelap, nyamuk banyak. Ayah selalu juga menegur dan bertanya, tetapi aku tidak berapa gemar untuk memberi penjelasan panjang lebar. Bimbang ayah tidak faham. Malah, boleh dikata setiap malam akan selalu tertemu ayah yang kebetulannya sering juga pulang lewat malam atas tuntutan kerja. Ada operasi katanya, Ops sana, Ops sini. Tapi ayah tidaklah marah. Agaknya, dia percayakan aku. Maka, aku bebas untuk bertenggek di atap ala-ala Cloud dalam Storm Rider.

Apa yang aku dapat?

Aku tahu apa yang aku buat, aku faham, aku mencari dan aku dapat. Aku hanyalah seorang remaja yang dambakan hakikat. Ketika itu aku serabut kepala memikirkan mengapa manusia takut. Persoalan kenapa perlu takut membuatkan aku tidak senang duduk.

Takut Hantu?

Takut Gelap?

Takut Manusia?

Takut Tuhan?

Lalu atas kesedaran itu, aku mula mencabar diri. Mencabar diri untuk melawan rasa ketakutan, bagaimana menghadapi ketakutan. Aku memilih gelap, kononnya gelap mendatangkan beberapa perkara. Mistik bukan?

Hakikatnya apa? Apa yang yang aku perolehi?

Dalam usia ku 13 tahun itu,aku bertemu dengan sifat Tuhan yang satu. Aku terfaham tentang apa itu esa, Maha Esa. Bila faham, aku mula tidak tunduk kepada dunia. Lantas, aku tidak gusar. Apa yang dunia boleh lakukan melainkan atas ketentuannya. Apa yang dunia boleh tentukan sedangkan dunia itu haknya yang mutlak. Hak milik kekal. Andai pemahaman begini tertanam cantik, maka dunia ditapak tangan. Jalannya pasti juga cantik, elok, lurus.

Cabarlah dunia?

Kamu boleh cabar sesiapa sahaja tetapi jangan mencabar Tuhan dengan cuba menjadi Tuhan! Jangan memesongkan sifat yang secara azalinya milik Tuhan. Manusia tidak layak pun untuk memikulnya. Manusia tidak mencipta dunia!

Suatu ketika, aku pernah faham akan hakikat ini. Aku faham ketika berusia 13 tahun. Kini, dikala aku meniti usia lewat dua puluhan, aku seolah-olah tidak mengerti. Bengap, jahil, berdosa. Seolah-olah terpanggil sekali lagi untuk kembali mencari dan menerokai. Segalanya seolah-olah tertimbus dek kejahilan diri.

Manusia ini sifatnya apabila faham, mula berlagak pandai. Terlebih pandai mendatangkan angkuh. Bila angkuh, ditambah pula dengan bisikan Iblis Laknatullah, berlagak sebagai Tuhan pula.

Manusia tidak akan sedar jika tidak berfikir dengan akal. Ingat, Iblis punya banyak jalan untuk menggoda. Wallahua'lam Bissawab.

Thursday, October 30, 2008

Sukar membuang tabiat berjaga malam begini. Sampai bila? Aku tak tahu!! Suasana tempat kediaman dan teman serumah juga sedikit sebanyak penyumbang ke arah sindrom berjaga malam ini. Kami (suara majoriti ketika bicara malam) sependapat, sindrom ini sangat tidak elok, bukan sahaja kepada kesihatan malah cara hidup juga terkesan sama.

Dibawah merupakan antara kesan-kesan negatif bila terjangkit sindrom ini. Kesannya mungkin tidak dirasa dalam jangka waktu pendek, namun Insya'Allah, sekiranya amalan ini diamalkan secara istiqomah, penangannya agak boleh tahan.

Walau bagaimana pun, kesannya antara individu kepada individu yang lain mungkin tidak sama. Namun, secara umumnya mungkin begini:

Kesan pertama: Dapat dilihat jelas menerusi perubahan susuk fizikal, terutama bahagian abdomen atau perut yang kian montok atau kelihatan segar montok. Walaupun kamu memiliki dada yang bidang, bahu yang lebar, dan lengan yang besar, itu tidak bermakna kamu harus memanjakan abdomen bersama lipatan 'spare tyre' disekitar pinggang kamu. Sayang bagi kamu yang berkaki panjang, apatah lagi bagi aku yang berkaki comel begini.

Nasihat Pakar: Elakkan berjaga malam, berjaga hingga larut malam mendedahkan kamu kepada budaya makan-makan sepanjang malam. Faham-faham saja, kadang-kadang bila berjaga perut mula menyanyi lagu dangdut. Apatah lagi budaya makan-makan itu dimeriahkan lagi oleh rakan-rakan serumah yang begitu supportif sekali. Akhirnya tidur kekenyangan, proses penghadaman mula terganggu. Sepatutnya perut tidak perlu dibebani kerja lebih masa dimalam hari.

Kesan kedua : Celaru, mula mengeluh, pening kepala dan akhirnya keliru dengan orientasi hidup. Contoh lazim tatkala bangkit dari tidur, 'sekejapnya siang!!!'. Malamnya aktif, siangnya pasif. Kesudahannya produktiviti disiang hari mula hilang. Itu yang takda life tu. Selain itu, jadual makan mula tidak teratur. Bagi yang bangun kala petang, sudah tentu skip makan tengahari.

Nasihat Pakar: Ada sebab mengapa Tuhan menjadikan siang untuk berkerja, malam untuk beristirehat. Itik pun tidur malam, apatah lagi manusia. Jangan langgar hukum alam, fitrahnya memang begitu. Malam merupakan jangka waktu paling sesuai untuk tubuh badan manusia berehat. Seperti yang aku cakap tadi, sudah menjadi hukum alam.

Kesan ketiga : Bagi mereka yang berkerjaya atau mereka yang punya urusan seperti para mahasiswa yang ada kuliah di pagi hari, mahu atau tidak, mereka harus juga bangun walaupun pagi hari merupakan detik kemuncak ketika tidur. Kesan pertembungan antara keinginan untuk tidur dan kewajipan untuk bangun bisa dilihat menerusi pelbagai simptom antaranya seperti;

  • Lebam mata atau istilah saintifiknya 'eyebag'.
  • Mata merah berair (macam mata Maya Karin Pontianak Harum Sundal Malam)
  • Muka sembab berpeta akibat geseran yang terhasil oleh kulit muka dengan tilam
  • Tahi mata tersembul keluar
  • Tertinggal kad pelajar
  • Sahsiah rupa diri yang kurang menyenangkan
  • Kurang keyakinan diri

Nasihat Pakar : Senarai diatas adalah punca mengapa David Becham dan Christiano Ronaldo atau setidak-tidaknya lelaki-lelaki metroseksual harus mendapat rehat tidur yang cukup. Bagi mereka yang berambut 'spiky', bangun lewat mengurangkan jam kamu menyimpul jel dirambut. Tak terpacak la macam ni! Manakala bagi mereka yang suka 'flirting', aktiviti main-main mata pasti terjejas. Tahi mata yang berselerak sekitar mata bisa mengaburkan pandangan.

Kesan keempat: Tidak lagi bergaya pakai baju sendat, apatah lagi menanggal baju. Jika sebelum ini ada yang selesa tidak berbaju ketika tengah 'chill' di tepi pantai atau ketika lepak di Pulau Perhentian, kini tidak lagi. Jika dulu yakin berkata, 'cantikkan badanku, rampingkan', kini tidak lagi.

Nasihat Pakar : Tiada jalan lain melainkan bersenam serta kembali makan berpantang. Setidak-tidaknya membeli Losyen Mustajab Pati Halia yang khabarnya bagus untuk memecah lemak diperut.

Kesan kelima: Masalah selulit. Secara saintifiknya, selulit melahirkan tatu semulajadi diperkarangan pinggang. Proses penghasilan tatu yang begitu natural sekali.

Nasihat Pakar : Jangan lupa membeli Losyen Mustajab Pati Halia, Losyen ini boleh disapukan pada tempat-tempat bermasalah dan urutkan secara perlahan-lahan. Untuk kesan yang katakan optimum, sapukan setiap kali sebelum tidur. Boleh diguna sekerap mungkin.

Setiap penyakit itu pasti ada ubatnya, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Disini, aku senaraikan sekali langkah pencegahan alternatif kepada kamu. Mencegah itu lebih baik dari mengubati.

Pencegahan pertama : Pedulikan hasutan manja rakan-rakan, tutup telinga agar kamu tidak mendengar apa-apa bunyi yang seronok keluar dari laptop atau PC rakan-rakan lain. Sekiranya terdengar kawan-kawan mengilai ketawa kerna seronok bersembang atau riuh bermain PS atau juga bermain Counter Strike, anggap sahaja itu dugaan. Buat-buat tidur andai ada kawan yang nakal mengajak bersembang dan selalunya mereka akan berkata begini 'apa barang tidur awal, tak remaja lah macam ni', kalau tidak pun begini 'ilek lu, sap kok lu sepam dua sambl ngeteh'. Tidur awal, bangkit dengan segarnya pada pagi hari. Jangan lupa solat Subuh, sapukan air embun ke muka dan pergi sarapan. Lebih afdhal, lakukan sedikit senaman sit-up ketika bangkit tidur.

Pencegahan kedua : Kepada mereka-mereka yang begitu menitik beratkan soal kesihatan tubuh badan, ingatlah, sindrom tidur lewat malam mempercepatkan proses penuaan. Bagi mengelak kehenseman dan kecantikan kamu pudar, maka mula tidur awal dari tarikh sekarang. Setidak-tidaknya kamu cuba terlebih dahulu. Insya'Allah, langkah ini mudah untuk diamalkan bagi mereka yang belum lagi berada ditahap yang tegar berjaga malam. Bagi yang berada pada tahap tegar pula, disiplin adalah kunci utama. Tak maskulin lah kalau badan kelihatan lembik, lagi tak maskulin (meminjam kata-kata rakan blogger) kalau tiada gadis yang memandang.

Pencegahan ketiga: Elakkan minum air manis yang kandungan kafeinnya tinggi. Memang layan jika pekena nescafe disertai biskut Munchy's pada jam 3-4 pagi. Apatah lagi sejam dua sebelum itu masing-masing sudah kenyang melahap burger Hot dog special, siap tambah cheese lagi. Kesannya, skinny jeans bersaiz 32 tidak lagi muat untuk disarung ke pinggang. Sangat tak in-Trend kalau begini.

Diatas adalah antara simptom-simptom dan langkah penyelesaian alternatif bagi mereka yang terjangkit sindrom berjaga malam. Sebarang kesan lain bisa dibincangkan dilain waktu kelak. Entri ini tidak bermaksud untuk melukakan perasaan mereka-mereka yang berkerja syif malam seperti pak Guard UiTM, pekerja kilang gula, kelindan lori dan sebagainya. Malah, peringatan ini hanya tertakluk kepada mereka-mereka yang terjangkit atau yang mengamalkan budaya berjaga malam secara istiqomah. Sekiranya ada kesan-kesan lain, maka silalah berkongsi.

Manakala, harus juga diingat dan berwaspada tentang penggunaan istilah nasihat pakar diatas. Penggunaan istilah itu sekadar penyeri sebagai kiasan kepada kelemahan aku yang terjangkit oleh sindrom ini. Maka, aku menjadikan diri aku sendiri sebagai bahan eksperimen dan juga 'case study'. Selain memerhati rakan-rakan sejangkitan, aku juga menggunakan 'common sense' sendiri sebagai rujukan untuk menulis. Lebih tepat lagi, entri ini tidak bersifat fakta sebaliknya sekadar suatu selingan manja dari aku. Sekiranya betul, ianya mungkin kebetulan dan datangnya dari Allah, setiap kelemahan itu datangnya dari kelemahanku sendiri. Wallahua'lam Bissawab.

p/s: Selain dikatakan bahagia, pemilik abdomen yang munggil begini juga dikaitkan dengan sifat yang banyak menyimpan rahsia. Selain itu juga, abdomen munggil ini juga dikaitkan dengan kekayaan. Lagi munggil, lagi kaya.

Wednesday, October 29, 2008

Ronda-ronda sekitar seksyen 17 PJ mengundang seribu satu emosi buat aku. Kenangan ketika mula-mula menjejakkan kaki ke Kota terimbau secara automatisnya. Jika tidak kerna pelajaran, aku tidak mungkin singgah ke kota metropolis ini. Sama juga seperti remaja desa yang lainnya, keinginan untuk keluar bandar membuak-buak sekali. Apatah lagi bila ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam kursus undang-undang di UIA seketika dulu. Di PJ lah aku mula bertapak, kerna disitu terletaknya Pusat Matrikulasi UIA.

Bangga?

Pada mulanya memang terasa begitu. Terasa diri begitu istimewa sekali, senang cerita disitulah medan untuk aku perasan yang aku tergolong dikalangan remaja yang bijak. Walhal, hakikatnya tidak begitu. Ketika itu, aku tidak faham tentang rencana Tuhan, aku sering tertanya-tanya apa alasan disebalik keputusan cermerlangku dalam SPM.

Pada kaca mata kawan-kawan, aku mungkin layak. Tetapi jika diselak rekod-rekod peperiksaan sebelumnya, amat mustahil aku bisa berada dikalangan pelajar yang akan mendapat gred 1 ketika SPM.

Serius, aku langsung tidak belajar!

Buku teks subsidi kerajaan itu pun jarang terusik. Itu pun sering aku tinggalkan dibawah meja disekolah. Kalau pun ada yang bertanya apa rahsia disebalik keputusan cemerlang aku itu, aku hanya mampu menjawab;

Makanlah kekacang banyak-banyak!!!

Seingat aku, menjelang SPM, bonda membeli beraneka jenis kekacang. Seronok meratah kacang, apatah lagi sambil duduk tercanggung menonton televisyen. Dipendekkan cerita, ketika SPM, aku diserang bisul, bukan hanya satu, tapi beranak pinak pula. Habis satu kaki dijangkiti bisul. Kalau bisul setakat hidup segan mati tak mahu itu tak hairan sangat. Ini bisul yang jenis hidup suka, tak mati-mati. Sampai aku demam teruk dek panahan asamara bisa bisul.

Ayah mengusulkan agar bisul itu dibelah, supaya cepat sembuh. Doktor Rahim juga mengusulkan perkara sama. Tetapi, kerna sifat sejak azaliku yang alah kepada jarum, aku memilih untuk menelan ubat sahaja. Mandi pun tidak, apatah lagi ketika itu Pasir Puteh dilanda banjir. Bayangkanlah, betapa seksanya aku ke dewan peperiksaan. Tuhan sahaja yang tahu. Lebih mencabar bila bisul berdenyut-denyut manja.

Begitulah keadaannya sepanjang SPM. Sudahnya, apa sangat yang boleh aku harapkan dengan keputusan SPM aku itu nanti. Ayah dan bonda memang langsung tidak menaruh harap.

Seperti yang aku cerita sebelumnya, aku tidak faham akan rencana Tuhan. Aku tidak faham kerna aku jahil. Walau apa pun, aku hanya menganggap apa yang terjadi mungkin sebab tuah, yakni aku hanya bernasib baik. Ingat, tuah tidak datang dua kali.

Sementara menanti keputusan SPM, aku menghabiskan masa melepak dipasar, kebetulan kedai tempat aku melepak itu menjual kurma, kismis, buah tin, buah zaitun, buah bijan dan sebagainya. Disebabkan itu, bertahun aku menderita penyakit muak akan buah-buahan dari timur tengah. Alhamdulillah, tempoh pantang aku berpuasa terhadap buah-buah syurga itu telah berakhir. Beberapa minggu sebelum keputusan SPM keluar, kami sekeluarga pulang ke Sarawak bagi meraikan Aidilfitri.

Seingat aku tiada apa-apa yang istimewa sebelum aku tidur pada malam raya tersebut. Istimewanya mungkin ketika itu aku sedang tidur. Aku bermimpi mendapat sekian-sekian keputusan dalam SPM. Mimpi yang ternyata jelas dan nyata. Mimpi itu juga yang mengejutkan aku dari lena, seterusnya bangkit sambil telinga terdengar-dengar sayup takbir yang berkumandang.

Orang tua kata, mimpi yang baik elok benar dikhabarkan kepada orang. Orang pertama yang aku ceritakan ialah kepada bonda. Makcik aku, Dayang Hanifah juga turut mendengar ketika itu. Keyakinan aku yang tinggi terhadap mimpi itu membuatkan aku tenang. Seolah-olah aku telah mendapat jawapan dari langit.

Kononnya, Tuhan itu berbicara dengan aku. Secara logiknya, amat tidak masuk akal untuk aku percaya kepada mimpi sebegitu, memandangkan rekod-rekod peperiksaan aku tidak begitu baik. Apatah lagi aku tidak langsung memegang buku, mahupun mengulangkaji pelajaran. Jika dilihat menerusi graf peperiksaan, graf terakhir kelihatannya mendatar, setidak-tidaknya mungkin boleh menaik sedikit. Seperti yang aku tegaskan, tuah barangkali!

Sekembalinya dari Sarawak, aku bercerita pula kepada rakan-rakan baikku. Tiada reaksi dari mereka, sekadar memilih untuk tunggu dan lihat. Ketika semuanya sedang berdebar-debar untuk mengetahui keputusan, aku tenang sahaja. Tenang kerna rahsianya sudah bocor. Drama yang aku saksikan dimimpi menjadi realiti saat aku berjalan ke arah meja guru, cikgu Rozi mengucapkan tahniah kepada aku. Serupa macam dalam mimpi!. Sambil menyerahkan slip keputusan SPM;

Cikgu Rozi berkata 'Tahniah Faizul, awak mendapat .............!!! Tahniah sekali lagi dari saya, universiti dalam tangan ni!!!' Ujar cikgu Rozi. Aku tidak terkejut, hanya memandang sahaja slip tersebut tanpa wujud perasaan langsung. Setidak-tidaknya, bangga juga berada dikalangan dua belas orang pelajar terbaik sekolah.

Manakala, ustaz Zul bersebelahan cikgu Rozi sempat menyapa aku, 'Awak buat sendiri ke awak meniru ni??' katanya sinis. Aku dengan rendah diri membalas, 'saya buat sendiri ustaz!!' Ustaz Zul hanya menggangguk sambil mengukir senyum yang tidak ikhlas.

Ada alasannya mengapa Ustaz Zul meragui keputusan SPM aku, aku tidak langsung terasa dengan sindirannya. Sebetulnya ketika ujian pra-SPM, ustaz Zul adalah guru yang 'mengantoikan' aku hidup-hidup ketika sedang asyik menilik nota kecil ketika peperiksaan kertas pendidikan Islam. Kebetulan aku duduk dimeja terkehadapan sekali. Entah dimana silapnya, aku terlepas pandang sehingga tidak sedar beliau berada dibelakang aku.

Malu siot!!!


Kadang-kadang, dalam hidup ini kita tidak faham akan rencana Tuhan. Sudah semestinya Dia tahu apa yang terbaik buat kita. Sudah tentu ada perancangannya untuk kita dimasa depan. Mungkin kadang-kadang kita tidak mengerti, kita jahil tentang permainan apa yang berada didepan mata.

Namun semuanya punya alasan serta hikmah tersendiri kerna setiap sesuatu itu tidak akan berdiri begitu sahaja tanpa sandaran. Mungkin hanya menerusi takdir sebegitu bisa mengajar kita tentang hakikat sebuah kehidupan. Usah sesekali menyalahkan takdir kerna percayalah, dia tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Bersesuaian dengan sifat Maha pengasih dan Maha penyayang yang dimilikinya.

Nikmat kesenangan itu ujian, nikmat keperitan juga merupakan ujian langsung darinya.

BerAsbabkan keputusan itu, aku ke Pusat Matrikulasi UIA. Seleweh-leweh aku disana, aku berjaya juga grad dengan sempurna. Berbekalkan CGPA 2.56 aku itu, aku meneruskan pengajian undang-undang ke peringkat ijazah.

Sudah semestinya rakan-rakan yang rapat boleh membayangkan bagaimana Mohamad Faizul Moktar bergelar mahasiswa undang-undang? Mesti kelakar kan?

Setelah dua tahun diperingkat ijazah, aku grad awal!!!

Dalam pada itu, aku sedar yang aku tidak punya hati pun untuk berada disitu. Jika ada pun silap, maka disitulah silapnya. Aku tidak menyalahkan rencana Tuhan, aku tidak berpaling dari takdir yang membayangi hidup aku, malah aku bersyukur seadanya. Aku menerima takdir yang telah Tuhan tetapkan untuk aku. Aku menerima akibat dek kesilapan sendiri. Dari situ, aku memahami sesuatu yang tidak mungkin difahami segelintir manusia. Aku memahami bahawasanya itu bukanlah penutup bagi segala jalan yang ada didepan mata.

Aku merasa betapa besarnya keagungan Tuhan, aku terasa betapa kerdilnya aku sehingga kehidupan ini bisa dibolak-balik olehnya. Kun Fa Ya Kun, kalau Dia kata jadi, maka jadilah ia!!

UIA diakui memang 'Garden of knowledge and virtue'!

Setelah meronda, aku berkeputusan untuk singgah ke German. Maaf, bukan negara German. German ini ialah gelaran bagi deretan warung makan yang terletak dibelakang flat kediaman mahasiswa Universiti Malaya. Sudah semestinya 'PAKAPAU' menjadi pilihan hati. Setelah lama kepingin menikmati 'PAKAPAU', akhirnya hasrat itu tercapai.

'PAKAPAU' merupakan sejenis masakan yang aku kira hanya boleh didapati di German sahaja. Aku ulang, bukan negara German, tetapi gelaran bagi nama deretan warung. Kepada sesiapa yang menggemari juadah daging bercincang halus, berserta telur mata, berkuahkan sup kosong, jangan lupa singgah ke German di seksyen 17 PJ. Harus diingat, kepada mereka-mereka yang menitik beratkan soal diet harian, 'PAKAPAU' bukanlah jawapan kepada masalah itu.

Harus juga beringat, tuah tidak datang dua kali. Yang pertama mungkin tuah, selebihnya kita gali sendiri. Wallahua'lam Bissawab.

Monday, October 27, 2008

Belum terlambat rasanya untuk aku mengucapkan 'Happy Diwali' kepada penganut-penganut Hindu di Malaysia, walau pun aku sebenarnya tiada kawan berbangsa India, penganut Hindu. Seingat aku, dari kecil sehingga pra-dewasa begini, bilangan rakan India aku boleh dihitung dengan jari. Jika aku spesifikkan lagi, boleh dikatakan tiada langsung. Kalau difikir sejenak,

Tak Malaysia la macam ni!!

Kenalan India aku yang pertama bernama Guchan (bukan nama sebenar). Itu pun kebetulan aku terserempak dengannya di Bangsar sebulan dua yang lepas. Jika tidak, nama Guchan itu hampir langsung tiada dalam memori aku. Tetapi tidaklah termasuk di kalangan teman atau kawan. Tafsiran kawan disini ialah, teman-teman yang sering berhubung, bertanya khabar, berjumpa, berlepak bersama, atau setidak-tidaknya bergayut ditelefon, buat panggilan rindu(misscall) atau pun sekurang-kurangnya SMS .

Guchan tidak langsung termasuk dalam senarai yang aku perincikan tadi. Setidak-tidaknya ada juga seorang dari ribuan rakyat India yang mengenali aku. Walaupun hanya seorang, tetapi tetap memberi refleksi yang tersendiri apabila dia masih mengenali 'partner in crime'nya suatu ketika dulu yang mana kami pernah berkerjasama ketika masing-masing menjadi krew dalam teater muzikal 'My Bollywood Summer' sekitar 4 tahun yang lepas. Sekali imbas, Guchan hampir seiras dengan 'Big Snoop Dogg'. Apa lagi dia juga kononnya gangster besar dan 'kaki asur'.

Manakala kenalan India aku yang kedua merangkap yang terakhir ialah 'Uncle Jack' ( juga bukan nama sebenar ). Berbulan juga lamanya aku makan gaji di premis gelap beliau. Walau bagaimana pun, kehilangan misteri 'Uncle Jack' pada suatu hari yang telah aku jangka rupanya bukan mimpi. Intuisi aku tentang 'dark side'nya adalah benar sama sekali, sungguh jahat, hitam sehitam 'black money' yang sering dimomok olehnya. Sekiranya diberi satu lagi peluang untuk ketemu muka dengannya, maka rasakan 'kakiku di bibirmu Jack'!!!Sekiranya benar satu Klang itu milikmu, lu takkan lari beb!!!

Maaf, aku tidak bermaksud untuk bersikap rasis, entri ini tidak lahir atas dasar emosi. Aku percaya diluar sana masih ramai lagi individu India yang bersikap mulia serta tulus, cuma mungkin aku belum ditadirkan untuk bertemu dengan mereka. Contohnya seperti yang dapat aku saksikan sendiri di rumah terbuka Fareez tempoh hari. Aku percaya, dua individu yang aku ceritakan disini tidak langsung mencerminkan nilai serta sikap masyarakat mereka.

Sekiranya sembang berbelit itu merupakan budaya mereka, maka aku kira itu tidak menjadi masalah yang besar. Ia hampir kurang sama dengan sikap melayu yang malas, sikap orang cina yang mendominasi. Andai sikap ini adalah suatu budaya, maka kalau boleh mesti dihapuskan demi membentuk sebuah masyarakat majmuk yang dihormati. Kamu boleh katakan apa sahaja tentang masyarakat aku, kami menerima seadanya andai itu sebuah teguran yang membina. Kami boleh baiki apa yang kurang.

Namun, jika kata-kata itu dilempar berserta 'hidden agenda', maka kamu tersalah langkah. Tidak mungkin bangsa kami akan mengalah walau wujud lalang antara kami. Tidak lupa juga kepada bangsa bermata sepet, kami mengalah bukan bererti kalah. Kamu masih lagi meminta, meminta sesuatu yang sukar untuk dilepaskan. Untuk melepaskan itu mungkin tidak, tetapi berperingkat. Jika itu pun dikatakan rasis, maka kamu juga salah. Tanyalah mana-mana masyarakat sekali pun di dunia ini, siapa yang tidak prejudis dan rasis. Sudah tentu tuan tanah akan memberi keutamaan kepada anak beranaknya terlebih dahulu maka selebihnya baru dikongsi bersama yang lainnya.

Selamat menyambut Deepavali kepada seluruh masyarakat India diluar sana. Mari bangkit bersama untuk membina kesepakatan dan toleransi agar hubungan sesama kita semakin erat terjalin.

Aku kira, isu ini tidak sesekali akan selesai jika diambil kira dari perspektif bangsa. Mengapa tidak kita sama-sama kembali kepada agama kerna tiada satu agama pun di dunia yang menganjur umatnya memusuhi agama lain. Andai ditenung baik-baik, pemahaman kamu tentang agama kami pasti berubah jika kamu memilih untuk mengerti. Seorang Dhimmi itu terpelihara dari sebarang pencabulan baik dari segi hak dan juga kebebasan. Wallahua'lam Bissawab.