Monday, March 31, 2008

Kehidupan tanpa sebuah sistem yang sempurna. Sampai bila?

Percaturan yang bijak amat didambakan untuk hidup. Kehidupan yang berpandukan sebuah sistem yang kemas bisa membentuk sebuah jalanan kehidupan yang baik serta bermatlamat. Terpulang kepada kamu untuk mendefinisikan sebuah sistem yang aku nyatakan tadi. Jika di acukan pistol berpeluru ini tepat ke kepalaku, aku tidak mengikut mana-mana sistem. Aku hanyalah seorang pemuda yang hidup disebuah sistem ciptaan sendiri. Segalanya ku atur menerusi gerak hati. Segalanya ku rancang mengikut gerak rasa. Benar, kehidupan tanpa paksi kadang-kadangnya meletakkan hidupku di sebuah perantaraan antara ya atau tidak. Sistem yang mana aku meletakkan diriku sebagai nakhoda justeru mengemudi kapal layar ku sendiri. Sistem yang kadang-kadangnya korup, namun jua kadang-kadangnya lancar mengikut acuan yang ku rencanakan sendiri. Namun, aku tetap aku yang masih meletakkan sempadan terhadap setiap sesuatu perkara yang aku jalani. Sesampah kehidupan tanpa paksi yang ku ikuti kini, aku jua akur kepada setiap perkara yang membataskan aku terhadap sesuatu perkara. Aku hanyalah seorang hamba yang akur kepada sebuah sistem maha sempurna ciptaan maha esa. Keterbatasan serta sempadan aku sukat di situ. Sistem yang tercipta buat manusia agar hidup terus dibawah payungan dia yang maha kuasa. Untuk berada di sistem itu aku kira belum sampai tahapnya lagi. Namun aku akui, sedang dalam proses untuk terus mengikuti secara perlahan tanpa sebarang paksaan dibawah sistem itu sedikit masa lagi. Buat masa kini aku perlu mencari rentak serta ruang yang baru untuk aku menolak kelemahan sistem sedia ada yang sudah menjadi darah dagingku selama ini. Untukku tinggalkan begitu sahaja tidak mungkin sekali. Perancangan serta kekuatan yang tinggi amat diperlukan agar aku tidak terus terlentok layu mengikut paksiku sendiri. Aku mengharapkan sekelumit kekuatan yang wujud dalam diri ini sebagai azimat untuk aku terus melangkah menuju ke suatu sistem yang lebih sempurna. Kehidupan akan terus memburuku andai aku masih lagi berada di takuk yang lama. Walau apa pun, cukuplah sekadar jika aku mampu untuk terus hidup di sebuah sistem yang ku reka sendiri tetapi masih mampu mengawal sempadan daerah yang berada di bawah tanggungjawabku. Sampai di sini buat entri pada pagi ini. Aku amat mendambakan tidur yang sempurna sekali. Tidak terdaya mengangkat pemberat yang di pikul mata ini. Selamat kita ketemu lagi. Wallahua'lam Bissawab.

Sekuntum senyuman tanda sebuah penghargaan.

Zul...
"kau boleh bagi lebih lagi, aku kenal kau siapa. aku tahu kau boleh majukan diri dan seterusnya 'dot.dot.dot' kau. kau dah ada semua, cuma apa yang kau perlukan sebagai 'dot' ialah menggalinya dengan lebih dalam lagi"

Ku hadiahkan sekuntum senyuman sebagai tanda terima kasih dan juga penghargaanku kepada yang menghadiahi aku sehelai kertas kecil. Aku tidak ambil peduli apakah tinta hitam yang tercoret menegak itu kritikan di sebalik komplimen ataupun komplimen di sebalik kritikan. Walau apa pun, senyuman yang ku hulur kala menulis ini ku hadiahkan kepada kamu.

Jika aku tidak begini, Pasti aku tidak begitu!!!

Jika aku tidak mati,
Aku akan hidup!
Jika aku tidak hidup,
Aku tak kenal erti kehidupan!
Jika aku tidak kenal kehidupan,
Aku tidak akan tahu hidup ini indah!
Jika aku tidak tahu hidup ini indah,
Aku berada dalam kerugian!
Jika ku berada dalam kerugian,
Tidak bererti hidup ini!
Jika hidup ini tiada erti,
Alangkah terbazirnya masa!
Jadi, aku lebih rela berjuang untuk mati,
Daripadaku rugi dalam kehidupan.

Kesimpulannya, kehidupan memberi manusia kepada beberapa pilihan. Namun pilihan itu selalunya datang pakej bersama pasangannya. Jika ada sesuatu, pasti akan tidak ada sesuatu. Begitulah sebaliknya. Kehidupan ini memberi ruang buat manusia untuk memilih, memilih sendiri halatuju yang dihajati. Namun tidak semua pilihan itu mampu tuk di gapai tangan, kerna untuk menggapai sesuatu pasti ada kos lepas nya. Jika aku tidak begini, pasti aku tidak begitu!!!

Tangan-tangan yang berpaut lalu bersambut..Pasti tiba jua waktunya.

“bila tangan berpaut, salam bersambut, parut dek luka akan hilang selama-lamanya” Petikan kata-kata hikmat Pak Raden melalui Mas. Satu diskusi bersama ketika ku duduk leka sambil kesayupan suara itu kedengaran namun cukup terkesan menembak dada yang sedang mengelamun terbang merentasi angkasaraya. Saat perkataan itu terpacul keluar, terasa diri ini terlambung di awangan seketika. Ku tarik nafas sedalam mungkin tuk kembali fokus ke alam nyata. Lalu ku simpan kemas di suatu sudut diruangan minda tuk ku kongsi bersama. Sekadar andaian ku tentang dunia. Andai tangan-tangan kecil ini bisa berpaut, pasti suatu hari nanti tangan-tangan itu bisa menggoncang dunia. Andai salam tangan-tangan ini bersambut, para penjajah dunia bisa jatuh tersungkur menyembah bumi lalu tunduk ikut bersama dibawah naungan yang maha esa. Andai fantasi menjadi realiti, segala kelukaan dek kekejaman itu pasti hilang sekelip mata meraikan keberjayaan yang dinanti sejak sekian lama, maka keamanan akan akhirnya menyusul tiba. Namun sebaliknya, selagi tangan-tangan itu memukul sesama saudara, selagi itu gergasi dunia menunjukkan taringnya. Selagi itu juga para muhajiddin di Palestin, para muhajiddin di Afghanistan dan para tentera fisabilillah yang kononnya proksi keganasan itu akan terus mengangkat senjata memerangi mereka yang kononnya Dewataraya. Ku acu pistol berpeluru itu!!!Wallahua'lam Bissawab.

Cetusan Harapan Pistol Berpeluru!!!

“Meninjau segenap karya cetusan anak kecil di serata lembah maya yang kusam, ku sedari masih ada, masih hijau, masih berjiwa kelompok kecil anak nusa yang tinggi melangit jati bangsa yang mengalir deras menerusi urat jiwa. Justeru pistol berpeluru melihat Pak Samad tidak perlu putus kerisauan memikirkan kepada siapa harta warisan tinggalannya serta generasi pemula di persandarkan kelak. Masihkan wujud anak kecil yang menunggu sabar, setia menanti setulus hati sehingga mungkin nanti jiwa itu kan terkeluar menerongkah pagar semangat memertabatkan bahasa yang di hembar hemburkan berjiwa bangsa. Usah di putus akan asa itu terhadap tentangan gelombang baru zaman jahiliah termenjelma ini duhai para ayahanda, kerna api jiwa dan semangat yang kamu nyalakan masih lagi bernyala panas walau mungkin sudah kurang jelaganya dek tiupan angin tsunami. Usah sekali berpaling hati kerna anak kecil ini masih lagi memerlukan tongkat nasihatmu lantas memetik kembali api nyalaan tertinggi melawan kekuatan sang angin. Raksasa yang hidup dibalik gelombang gergasi itu akhirnya mesti dijinakkan agar jatidiri bangsa terus kukuh mencengkam jiwa yang tidakkan mungkin hilang buat selamanya. Harapan generasi pemula masihkan wujud dihati setiap jiwa pilihan Tuhan yang sempat dan pernah kamu tawan. Cuma hanya tinggal bimbingan serta panduan agar anak kecil ini tidak terus tersimpang menuju jalanan songsang. Sudah sampai masanya untuk bangkit dek serangan bertubi mungkin, mungkin sudah tiba masanya. Mahu tunggu sampai kapan? Bangkitlah laju agar melayu itu tidakkan benar-sebenar seorang melayu yang menyendirikan agama mereka. Lagi pula kita sudah lama tersakit dek serangan kotor itu. ”

Saturday, March 29, 2008

Ceritanya Bermula Begini;

Tatkala menyelusuri lorong sepi kala malam dingin diperkampungan konkrit di Bukit Jelutong itu. Kelihatan riak wajah terkesima menyaksikan adanya perumahan mewah dibalik Bukit yang dahulunya sepi tanpa kunjungan. Sedang mereka meniti lorong berbukit itu, Lalu muncul satu suara memecah kesunyian malam;

Si Polan1: “kalau nak tau, asalnya dahulu kawasan ini berbukit!!” (katanya dengan yakin)
Si Polan2: ???
Si Polan3: ???
Si Polan4: ???

Semua diam tanpa reaksi, masing-masing kelihatannya sedang berfikir. Kerut di dahi jelas kelihatan sambil salah seorangnya mengusap dagu sendiri. Tidak berpuas hati dengan reaksi yang diberikan, Seraya suara ini muncul semula cuba memecah tembok sepi itu lalu dengan selamba menyambung;

Si Polan1: “Bukit Jelutong!!!”

Baki Tertunda

Semalam seperti biasa kami menyambung baki pengambaran yang masih belum selesai. Bergerak keluar jam 3.45 petang menuju ke bandar Shah Alam. Seperti selalunya, semua kelihatan penat. Aku juga penat tentunya. Lemah sendi-sendi lutut yang ada. Baki shot di sana selesai akhirnya dan hanya tinggal beberapa babak akhir yang akan disambung sebentar lagi. Menerusi ruang waktu senggang yang ada ini, aku mengambil kesempatan tuk menulis seketika. Habis babak-babak semalam kami singgah minum seketika sebelum pulang ke rumah di kepulauan Puncak Perdana. Aku agak longlai dan hanya menulis sebentar sahaja di ruangan ini sebelum layu tertembak di atas katil. Entri sebelumnya yang sempat ku garap ringkas hanyalah merupakan suatu imbauan merentasi memori sudah. Sekadar pengajaran yang cuba tuk dikongsi bersama. Hari ini kemungkinannya akan menjadi hari penamat bagi projek short film kami. Harap-harapnya keadaan cuaca menyebelahi kami. Jika sebelum ini cuaca hujan dinanti, hari ini mengharapkan sinar matahari datang bersama angin-angin meniup goyang dedaun-daunan. Nampaknya sudah tiba masa tuk kami bersiap. Dilain entri kita ketemu lagi. Aku seperti rakan yang lain juga tidak sabar menunggu tamatnya penggambaran ini, kerna ada satu lagi proses yang akan kami lalui bersama iaitu proses editing. Tentunya aku meyerah untuk kerja suntingan. Apa yang termampu mungkin hanya duduk menemani si penyunting sampai ke subuh hari. Tersedar dari lena dek deringan telefon oleh bonda tercinta. "along, dah bangun subuh belum?" (tegas nada bonda, mungkin tahu agaknya aku belum bangkit) lalu ku jawab segemersik suara Mariah Carey bangun tidur, "dah ma, dah solat dah!"(jawapan harianku dikala bonda tiba-tiba menelefon)Wallahua'lam Bissawab.