Wednesday, September 3, 2008

Marah+Amarah=Sabar

Pantas aku meluru menuju ke cafe bersama niat tulus untuk mencari juadah buat bekalan sahur sebentar tadi. Aku sedar yang aku berjalan dengan membawa bersama emosi yang tidak menentu. Hampir jua terlanggar seseorang, namun dengan penuh rasa bongkak aku melirik lirikan penuh jelaga, penuh marah. Terasa seolah-olah berpuluh ekor jin amarah dikiri dan kanan bahu. Masing-masingnya berusaha meniup gelodak amarah, berbisik-bisik menyalakan api agar marak. Terasa beratnya. Jika tidak diserpa oleh beberapa rakan yang aku kenal disitu, sudah tentu aku tidak sedar akan keboblokan diri. ”zul!!” aku melihat ke hadapan..hai!! aku cuba beramah sambil bersalaman dengan salah seorang daripada mereka, namun aku gagal menyembunyikan emosi yang bergelora. ’ada masalah ke zul?’ sahabat itu tadi menegur..’haa, nampak muka macam bermasalah, takut tengok!!’ sampuk seorang lagi sahabat. ’itulah, ada masalah sikit!!’ jawabku ringkas sambil cuba menguntum senyum yang tidak ikhlas. ’sabar zul!!bulan Ramadhan ni..!!’ sahabat pertama menambah. Aku terus bergerak ke kedai ibu sambil kepala menunduk ke bumi. Kesal benar rasanya bersikap begitu. Aku tersentak lalu mengusap dada. Jika tidak ditegur tadi, semestinya aku akan terus terbakar sebegitu. Maklumlah, sebagai aku, aku kenal benar akan diriku. Aku tahu benar, bila-bila aku bisa meletup. ’astaghfirullahala’zim’ aku beristighfar didalam hati meminta ampun kepada Tuhan. Aku rasional kembali bila sedar sifat amarah dan bongkak hanya milik Tuhan semata-mata. Siapalah aku untuk menyalahgunakannya. Kadang-kadang perasaan ’moody’ begini memang tidak dapat dielak. Aku sering tidak merasa bumi bila dikuasai nafsu amarah itu. Aku terasa kakiku tidak menjejak bumi. Aku memasuki kedai ibu. Tekak merindui disiram teh ais. Kecewa!!aku berlalu kecewa kerna kedai ibu kehabisan ais. Sekali lagi terasa ingin melenting. Aku beristighfar sekali lagi. Tunduk melihat kaki, memastikan kakiku berpijak dibumi nyata. Sesampainya dirumah, aku berubah ceria, aku merasa aura ceria mendominasi ruang rumah. Berdekah-dekah aku ketawa melihat telatah rakan-rakan. Aku bercakap tidak berhenti sambil duduk membuka bungkusan makanan yang tidak seberapa itu (aku sememangnya tidak boleh menyimpan makanan lama-lama, nanti boleh sahur lagi). Aku makan bertiga bersama adi dan pakwad. Manakala yang lainnya sibuk memandang laptop masing-masing. Sekali sekala mereka menyampuk. Semestinya kami ceria pakwad sudah pulang. Baru kembali dari kampung halaman bersama nahfis. Rindu untuk menyakat dia. Selama seminggu ini suasana sunyi. Tiada mangsa untuk disakat. Jadi , aku membalas dendam untuk ketawa gumbira. Bermodalkan air soya yang pakwad bawa dari kampung, kami berebut untuk membukanya. Hakim merajuk manja. Sebab, sudah 3 kali dia minta air soya dan cincau dari pakwad, tapi pakwad menggeleng. Ternyata pakwad sayang aku. Aku minta sekali, pakwad suruh buka. Tapi aku tak buka pun. Pakwad suruh buka lagi. Aku jeling Hakim, konon tak sampai hati nak buka. Pakwad pujuk Hakim. Kelakar betul dua orang tu bertekak manja. Suasana sahur ceria. Apa-apa pun, sempat juga aku merasa juadah dari Alor Setar, bertambah lauk aku. Terima kasih pakwad kerna sudi berkongsi lauk denganku. Inilah suasana yang kami suka dirumah. Masing-masing bergurau, menyakat. Saat aku sedang menulis ini, nahfis pula pulang membawa McD. Amboi, sedap nampak!!Aku harus sahur lagi. Food lover la katakan.. Sebagai penegasan yang ingin aku sampaikan disini, jangan ’moody’ sangat. Nampak buruk!!lagi pula jika seseorang yang dikatakan punya aura yang tinggi membawa perasaan amarahnya, suasana riuh bisa bertukar dingin, sunyi umpama bilik gelap dibalai Polis, bayangkan hanya kerna seorang daripada 10 membawa marah, yang 9 orang bisa terkesan sekali. Sekali sekala jika terasa ingin marah, jangan takut lepaskan perasaan amarah itu, lepaskan disini bermaksud, menukar hala marah tersebut kepada sesuatu yang lebih positif dan bukannya menunjuk-nunjuk satu dunia, semua orang bermasalah bukan? Normal lah tu!!Jadi, senyumlah selalu. Jangan segan untuk menguntum senyum. Semuanya dalam hati. Siram perasaan amarah itu sampai padam, keringkan ia agar gembira mengambil alih. Lihat, aku kembali ceria.Wallahua’lam Bissawab.

Tuesday, September 2, 2008

Saat Yang Sangat KLMJ

Pejam celik mata Ramadhan pun tiba,

Neraka ditutup Syurga dibuka,

Bersama lapang dada hati ini menerima,

Kedatangan bulan berkat yang dinanti semua.


Dariku kecil sehingga dewasa,

Raikan Ramadhan dengan penuh rasa ria,

Walau hati sering alpa,

Melupa tidak menunggu itu ada.


Waktu kecil ketika berpuasa,

Petang wajib menjamu mata ,

Keluar bersiar sebelum berbuka,

Tidak dituruti maka tingkah menggila,

Mengugut menyantap berbuka segera,

Sebelum berkumandang azan berbuka.


Tiba pula masa berbuka,

memandang juadah didepan mata,

kuih melaka pembuka selera,

Azan maghrib dinanti sekeluarga.


Nafsu menggila kala berbuka,

Kuih melaka dimamah segera,

Risau tak sempat lauk yang lainnya,

Dengan angah berebut berlumba.


Diberi betis hendakkan peha,

Dengan angah berebut segala,

Sampai kembung perut terasa,

Baru puas nafsu yang mengada.


Selepas berbuka, aku bersedia,

Keluar tarawih konon-kononnya,

Berbasikal keluar saat terdengar suara,

Panggilan rakan malam bermaharajalela.


Tengah malam menjelang juga,

Tidak puas bermain berlaga,

Dengan rakan konvoi bersama,

Tunjuk hebat depan si hawa.


Walau kecil, gelora itu ada,

Peluang merayap tarawih lesennya,

Bertarawih tidak merayau sahaja,

Sambil menanti morih tiba.


Tarawih sekadar serakaat dua,

Jeling-menjeling itu sahaja,

Menduga iman rakan yang ada,

Bergelak ketawa di saf yang mulia.


Bait-bait nakal diatas sekadar selingan manja sebagai pembuka entri pertama di bulan Ramadhan ini, manakala imej lelaki melayu terakhir diatas sekadar penghias diruangku yang kusam ini. Moga-moga dengan adanya imej diatas itu melancarkan lagi mesej-mesej yang ingin aku sampaikan kepada kamu. Kenangan lalu mengusik jiwa, alamak jiwang betul!!begitu KLMJ sekali. Fuh, Ramadhan oh Ramadhan!!Saat sehari sebelum puasa semua menanti depan televisi, mendengar khusyuk pengumuman puasa yang disampai oleh penyimpan mohor besar Raja-Raja. Kadang-kadangnya bukan menanti puasa, cuma bila datang bulan puasa teringatkan raya. Sabarlah, bulan raya akan tiba jua. Habiskan dulu kewajipan yang didepan mata. Seronok bukan? Mestilah seronok, keluar bersiar menjamu mata di Bazar Ramadhan, menjeling rakus ayam percik, apam balik, murtabak yang dijual, bukannya hendak beli sangat pun, cuma sekadar mengimarahkan aktiviti lagha kala Ramadhan, saja tunjuk muka dibazar. Paling kurang pun bagi yang tengah solo bolehlah pandang-pandang, jeling-jeling kat awek-awek yang kontrol-kontrol ayu membeli juadah. Percaya atau tidak, masa bulan puasalah saat menongkah ke syurga bagi orang lelaki, mana tidaknya saat inilah kaum hawa berduyun-duyun keluar umpama bidadari turun dari syurga. Umpama semut-semut merah mengangkut makanan, sekali melirik senyum, bisa gugur air liur berebut terjun ke tanah. Fenomena luarbiasa sekali setahun, lagi pula, saat begini bukan selalu kita raikan. Selain berbuka, sepertimana yang aku bagitahu sebelumnya, aku amat gemar bangkit sahur. Sudah menjadi kewajipan buat aku. Jika terlepas, nescaya besok paginya aku rasa tidak sempurna. Maklumlah, dari kecil sudah terdidik untuk bangkit sahur, walau lewat mana sekalipun masuk tidur. Bersahur itu sudah menjadi suatu kewajipan buat aku. Tambah lagi, aku memang sentiasa berselera. Cuma bezanya sewaktu kecil dulu, aku bermatian bangkit sahur. Setakat bonda datang mengejut, aku tidak endah sangat, boleh lagi buat-buat tidur manja. Tapi bila terdengar sahaja suara harmoni gabungan suara accapella bonda disedapkan lagi dengan suara bass ayahanda, mesti terjaga! Aduh, tidak boleh tidak memang kena bangun. Sekarang lain pula rasanya, tidak perlu bermatian bangkit sahur. Malam umpama siang, siang pula umpama malam. Paling-paling pun kawan-kawanlah tempat bermesra tatkala sahur tiba. Entahlah, aku sendiri sudah keliru dengan definisi sahur. Mana tidaknya, sepanjang malam berkali-kali aku sahur. Kalau dirumah, bersahur sekali sahaja. Itu pun dekat-dekat menjelang waktu imsak. Sekarang, selagi malam umpama siang, maka setiap minit itulah sangat berharga. Perut ini asyik meminta-minta untuk diusap manja. Kasihan bukan? Terpaksa pula berkerja lebih masa. Walau bagaimanapun, bersyukurlah dengan nikmat yang Tuhan bagi. Bersyukur sebab kita berpeluang meraikan bulan Ramadhan. Cuma persoalan yang aku kira penting sebagai penegasan pada entri kali ini ialah, jangan jadikan Ramadhan itu sebagai alasan untuk kita tidak produktif. Bila puasa sahaja semuanya kurang produktif. Padahal Ramadhan itu sama sahaja dengan bulan-bulan yang lainnya, yang beza cuma zatnya sahaja yang memberi peluang kepada manusia untuk menempah tiket ke syurga. Cuba kita fikir sejenak, aku sendiri sedang berfikir kenapa jadi begini. Agaknya mungkin memang sudah tersemai sejak dahulu lagi. Maklumlah, bulan Ramadhan banyak pula pantang larangnya. Silap-silap jika terlampau produktif dan aktif, kurang pula pahala puasa, itu kira ok lagi, yang terbatal puasa apa cerita? Seperti biasa, menjelang Ramadhan tiba, kadar orang Islam tidur disiang hari meningkat secara drastik. Aku hanya mengagak sahaja. Ini bukan fakta, tapi tidak juga auta. Walau apa pun, selamat merayakan bulan Ramadhan kepada semua, selamat berpuasa. Wallahua'lam Bissawab.

Thursday, August 14, 2008

Guys!!!

This week is "Breast Awareness Week"!
Please spread the slogan:

"WE STARE BECAUSE WE CARE"..


Salah satu rantaian SMS yang sangat kelakar tetapi sangat jujur pernah aku terima. Aku tegaskan lagi sekali, JUJUR. Mesej ini benar-benar menceriakan hari ku, sepanjang hari aku dan rakan tersengih kenakalan. Kepada kaum hawa diluar sana, usah tersinggung jika terbaca mesej ini. Apa yang ada pada kamu merupakan ciptaan yang sangat agung sekali, jaga semoleknya aset kamu itu. Aku tidak bermain-main disini, sekadar menyahut seruan kempen semata-mata. Jadi, usah fikir dalam sampai ke perkara kuning, aku tidak bermaksud untuk sampai kesitu. Ambil yang positif sahaja. Kepada rakan-rakan, jangan terlalu menunjukkan sikap keterujaan melampau terhadap kempen ini, yang pertama itu mungkin rezeki, yang kedua pula pastinya sengaja, jadi aku tidak berani memberi sebarang jaminan buat jelingan yang kedua itu. Maka adalah lebih elok andai kamu ambil skim perlindungan insuran terlebih dahulu kerna pernah terjadi kes manusia mati tercekik tertelan kasut bertumit tinggi.

Pioneer yang 'otai' lagi Legend


Sepagi bersama 'Papa Rawk' ,
Selama 2 jam otak kami dibasuh 'bersih-bersih' oleh 'otai' ini di perkarangan pejabatnya di Boxx Office Medan Idaman, Gombak semalam.
kiri: Gua dan Brader Ali Bakar

Tuesday, August 12, 2008

Suci kasih terhalang sekat,
Bungaan madu menharap sengat,
Mekar rindu berkampung pesat,
Suara manja seakan azimat.

Sukma merelung terasa ketat,
Dambaan pilu mengeluh penat,
Sang ikan tersangkut penangan pukat,
Pukat dijala nelayan hebat.

Bicara lidah seboleh tepat,
Dewa mengerti maksud tersirat,
Dewi turun mengharap cepat,
Nyawa asmara rasa terikat.

Bersimpuh pendekar gemala hebat,
Merempuh musuh datang memikat,
Mengusik usah milik si Jebat,
Bersentuh bisa puas berubat.

Haruman bunga usah dirapat,
Panglima melompat menyiku tepat.

Monday, August 11, 2008

Ku bawa rasa walau ke mana...


Rencah rasa tambah menduri,

Meruntun kalbu bawa ke kamar,

Gundah rasa kencang terisi,

Hati pincang badan merasa.


Serak suara tidak terdengar,

Kepala terhantuk saraf menyilang,

Tapak melangkah ringan terasa,

Resah digenggam terbawa pulang.


Dua dunia dimensi setara,

Jiwa mengidam andaikan ada,

Genggaman resah lepas ke sana,

Hamparan ria dibiar saja.


Jari menurut tuntutan rasa,

Menerpa tiba memaksa jiwa,

Dua jiwa terbahagi setara,

Satu nyawa firasat berbeda.


Sepasang mata melihat jauh,

Melihat jauh sampai peluh,

Merempuh yang ampuh,

Siapa yang teguh,

Siapa lagi utuh,

Andai tersasar itu tidak sungguh,

Air mata tidak keruh,

Tentang sampai lumpuh,

Sampai hati luluh,

Mata mengelak jauh,

Tidak selalu angkuh,

Kerdip mata berlabuh,

Pukauan bisa rapuh,

Rapuh mata bertentang sungguh,

Bersungguh sampai jauh,

Mata berkuasa penuh.