Wednesday, June 11, 2008

Anjakan Suatu Monolog

Melihat kepada situasi terkini, masih relevan jua kata-kata Pendeta Za’ba mengenai dilema bangsa melayu. Aku terkesan sedikit sebanyak apabila memerhati senario sebegini. Apatah lagi aku sendiri berada didalam kelompok yang sama. Apatah lagi aku membudayakan budaya yang sama diperturunkan menerusi satu generasi ke satu generasi yang lain. Aku melihat diri aku tidak kurang bezanya dengan seseorang yang lain darihal sebangsa sendiri. Aku mempusakai warisan kebangsaan hasil tinggalan nenek moyang sejak kesekian lamanya. Bagaimana kita bisa memperelokkan perihal ini. Suatu dogma sempit serta kepercayaan lemah yang melanda sejak zaman berzaman lagi. Aku mendengar sejak berdekad dimeja-meja kopi, artikel mahupun buku yang bersoal tentang betapa bangsa kita begitu sinonim dengan sikap kebangsaan yang sangat lemah berbanding suatu bangsa yang lain yang hidup senang walau pada mulanya menumpang ditanah milik kita sendiri. Aku kira jika aku sendiri ingin maju melangkah setapak kehadapan, aku perlu mengikis setiap warisan kebangsaan yang aku pusakai sejak sekian lamanya. Bukan senang dan tidak juga mudah untuk mengikis sikap yang sudah tertanam lama, untuk mengubahnya suatu transformasi mental wajar berganti kepada suatu pemikiran yang baharu, dan bukannya terus selesa senang begini sambil duduk tanpa berbuat apa-apa sambil sekali sekala memuaskan nafsu tidur. Ibarat sebuah pohon yang sudah tertanam dalam akarnya. Masakan bisa berubah sekelip mata. Sikap tidak suka menanggung kerugian, ditimpa kegagalan wajar dibuang jauh nun kebelakang, tiada salahnya aku mencuba sesuatu yang baharu kerna jika gagal sekalipun aku masih bisa bangkit dan yang paling penting ialah bagaimana aku belajar dari sebuah kesilapan itu agar tidak mengulanginya pada masa yang mendatang. Kegagalan membawa kepada suatu keberjayaan yang pasti jika tepat perkiraanya. Walau bagaimanapun, untuk membentuk generasi yang baharu memerlukan suatu kesekutuan bersama bala bangsa agar kita sendiri menjadi generasi pemula sekaligus bakal melahirkan generasi-generasi bangsa yang baharu malah jitu pembangunan mindanya. Aku menyeru diriku sendiri agar menyahut cabaran global agar aku memulakannya terlebih dahulu sebelum aku menyeru yang lainnya. Aku impikan zuriatku tidak seperti aku. Biarkan mereka menerobos keluar, biar mereka menerongkah arus tidak seperti laluan aku. Jika di halusi sejenak, kita bisa keluar dari kepompong yang ada jika kita sendiri sedar betapa pentingnya ia dimulai dari diri kita terlebih dahulu. Walaupun tidak sepenuhnya namun generasi selepas kita pasti sedikit sebanyak mengikut warisan sikap kebangsaan aliran baharu yang kita miliki justeru mengubah mentaliti generasi seterusnya tanpa meninggalkan sedikit pun nilai-nilai murni serta pegangan jiwa yang sudah tertanam lama. Sikap seperti katak dibawah tempurung ini harus dibasmi sama sekali, kerna ianya tidak lagi relevan buat generasi kita kini. Sekarang ini aku berpendapat walau apa jua masalah yang menimpa bangsa kita, wajar kita hadapinya dengan tenang terbuka dada tanpa mengelabah lesu tiada hala, tanpa sandaran, tanpa usaha. Sesungguhnya sesuatu bangsa lainnya yang berteduh sebumbung dengan kita sudah sejak turun temurun lagi mempusakai warisan tinggalan moyang mereka. oleh itu tidak hairan bagaimana mereka bisa tampil hebat dirangkaian perniagaan lantas menguasai ekonomi dalam negara. Mungkin agaknya mereka terkenang sejarah silam detik ketika mengalami saat kesukaran lalu merangsang generasi pemula mereka untuk menyemai sikap serta nilai yang wujud dalam diri mereka kini. Atas sandaran itulah mereka berkerja kuat seolah-olah akan membawa kesemua harta yang digali ke kubur sana. Kita asyik berdebat sesama sendiri, mengistiharkan perang kepada penentang bila mana kita merasa tergugat namun kita hanya beromong kosong semata-mata, bersandar terhadap suatu yang kita sendiri tidak gunakan sepenuhnya, tidakkah kita terfikir untuk membuktikan sesuatu dengan kaki sendiri tanpa perlu bermanja sakan menerima sesuatu subsidi. Aku berpendapat jika kita inginkan sesuatu, kita wajar membuktikan sesuatu agar kita punya air muka untuk menerima segala bantuan yang dihulur kerajaan. Tidakkah sekarang ini bangsa kita sedang ditertawakan? Untuk generasi aku mungkin kita tidak sempat mengubah sekalian semuanya namun semuanya wajar kita mulakan dulu agar manfaatnya nanti dapat kita wariskan kepada generasi selepasnya. Selain itu, kesekutuan yang aku bilang sebelumnya juga penting dalam kita menyemai kesedaran terhadap kepayahan yang dialami bangsa sendiri. Kita sebagai generasi pemula wajar untuk saling bantu membantu meningkatkan taraf bangsa sendiri. Kelompok bangsa yang kaya wajar membantu kelompok yang miskin. Tidak wajar jika kita hanya bersandar dibahu kerajaan untuk menagih bantuan, tidak wajar kita hanya menagih simpati kerajaan. Setidak-tidaknya kita wajar punya inisiatif sendiri dalam menentukan naik turun taraf kehidupan. Atas alasan inilah, kesekutuan serta kerjasama yang jitu penting dalam menentukan naik turun sesuatu bangsa. Ini tidak, yang wujud hanyalah hasad serta iri hati merosakkan empayar sesama saudara. Pemikiran yang tersepit dicelahan suatu dogma yang karut wajar dilempar kelautan hitam agar tiada lagi kepercayaan sempit memerangkap bangsa kita. Walau hidup ditengah banjaran global sebegini masih kedapatan kelompok yang terperangkap mengamalkan kepercayaan syirik lagi karut. Cuba sahaja selidiki bagaimana Bill Gates, atau setidak-tidaknya Tan Sri Syed Mukhtar al-Bukhari berjaya dalam rangkaian perniagaan mereka, aku kira mereka tidak memerlukan khidmat pelaris atau jua agen syirik dalam mempertahankan empayar mereka malah kesediaan mereka berkongsi keuntungan bersama yang memerlukan melipat gandakan lagi keuntungan yang mereka perolehi.


Nampaknya aku wajar berundur buat seketika. Aku sekadar melayan celoteh serta bebelan kata-kata hati, ini juga sekadar monolog yang berkecamuk dalam muara jiwaku. Apa yang aku coret hanyalah sekadar suatu kesimpulan terhadap suatu artikel yang aku kira masih jua relevan pada masa kini. Siapalah aku untuk berkata lebat sebegini melainkan sekadar berkongsi sesuatu kepada kamu semua diruangan ini. Biul seketika kepala ku, tiba-tiba menukar hala fikir darihal bermonolog kepada sesuatu yang tidak pasti sehingga aku melahirkan entri ini. Aku bukanlah seorang pejuang bangsa dan tidak sekali-kali seberani seperti apa yang aku coretkan namun aku akui kadang-kadang kesedaran sebegini timbul jua kesan daripada sesuatu rangsangan yang cukup jitu. Aku sekadar cuba berpesan kepada diri sendiri dan akan terus berpesan agar akhirnya terbuka hati mencuba untuk jadi seperti apa yang aku coretkan. Kepada kamu, kamu fikirkan sendiri. Jika ada yang tidak bersetuju, membangkang, menidakkan apa yang aku lontarkan disini, ingatlah yang kamu punya hak untuk berbuat demikian. Walahhua’lam Bissawab.

No comments: