Wednesday, July 16, 2008

Alam Bawah Tanah Yang Sangat Underground!!

Dek berebutkan Cop Mohor Kepala Naga, berpuluh sampai beratus nyawa melayang pergi sebegitu sahaja. Perebutan kuasa antara taikor-taikor besar mengundang bencana marabahaya yang tidak terperi kesannya. Bala yang datang bukan sahaja ditanggung oleh pengikut-pengikut mereka malah terbeban pula dibahu orang-orang luar yang tidak berdosa malah bukan pula pemegang-pemegang kad kongsi gelap. Taikor besar hanya mengarahkan sahaja tanpa menidakkan sedikit pun tindakan kejam adik-adiknya terutama adiknya yang bernama Tiger. Tiger memang selalu ada disisi Taikor. Maklumlah, orang kanan merangkap manusia kepercayaan bagi Taikor besar. Kerja yang rumit selalunya digalas oleh sang Tiger. Kalau nama pun sudah Tiger, aku kira kamu sendiri sedia maklum sahajalah apa kesudahan kerjanya. Lihat saja hasil kerja Tiger, cukup sifat, cukup seninya. Setakat mencampak c4 dibadan manusia lalu diletupkan itu merupakan kerja biasa, Tiger melakukannya dengan cukup mudah namun memeritkan mangsa. Para adik yang lain menurut sahaja kehendak Taikor mereka, yang penting periuk nasi mereka terjaga. Selagi Taikor terus diatas, selagi itu adik beradik yang lain boleh kaut untung, kawasan lama terus makmur, kawasan baru bakal diteroka lantas makin banyaklah hasil kutipan wang perlindungan. Walau bagaimanapun, Cop Mohor Kepala Naga itu masih belum lagi diketemukan. Taikor-taikor yang bertelagah telah menghantar beratus pengikut mereka bagi mengesan kedudukan cop mohor tersebut. Masing-masing berkehendakkan cop mohor tersebut dengan apa jua cara sekali pun meski terpaksa menghalalkan cara. Apa yang pelik, sudah amalan para taikor untuk memandang sipi perkara halal, yang dikejar hanyalah matlamat. Sesiapa yang berjaya memiliki Cop Mohor Kepala Naga itu bakal ditabal raja kehidupan gelap lalu layak bergelar angkun @ kepala kongsi. Para pengikut masing-masingnya sekarang tengah hangat berkelahi, berparang sesama sendiri. Namun tidak kurang juga ada yang belot. Belot menyimpang ke haluan lain. Si pembelot yang dahulunya juga salah seorang Tiger besar merasakan dirinya patut naik lebih tinggi dari kedudukannya sekarang. Malah punya ramai pengikut dibelakangnya. Lantas dengan lantang mencabar Taikor nya sendiri. Sehingga kini, belum ada sesiapa lagi yang berjaya mengesan malah menguasai cop mohor tersebut, yang ada hanyalah kematian serta kecederaan kritikal yang dihadapi oleh para pengikut-pengikut mereka. Aku sendiri sebagai pemerhati merasa hiba melihat apa yang berlaku. Kenapa tidak masing-masingnya bertolak ansur kerna mereka bukannya tidak kenal mengenal antara satu sama lain malah, pernah mengangkat sumpah menjadi adik beradik. Tetapi kerna berebutkan baton ke tangga kuasa, semuanya hilang pertimbangan. Mana bisa kita makan sebelanga nasi melainkan jika kita membahagikan sedikit bahagian kepada orang lain dan sebahagian lagi kepada orang yang lain pula.


Manusia umumnya mudah terpesona dengan kuasa. Hanya kerna perebutan kuasa, maruah negara bisa tergadai. Maruah bangsa bisa tercemar. Walau apa pun, bukan kuasa itu yang salah. Tetapi yang salah ialah tangan-tangan orang yang berada ditampuk kuasa. Kita lihat bagaimana mereka menyalahgunakan kuasa demi kebuncitan perut mereka sendiri. Semuanya ditangan kita. Ya atau tidak, nilai bangsa kian bolos. Tanggungjawab kita sucikannya kembali. Tampuk itu tidak kotor, tapi tangan sendiri yang mencemarkannya. Bersama kita kembalikan tampuk itu kepada yang berhak lagi layak. Persoalannya, kamu nampak siapa yang berhak?Jika masih samar terlindung dek kabus, tunggu sahaja matahari tegak dikepala memancarkan sinar habanya.

No comments: