Friday, September 12, 2008

Aku tertanya-tanya.

Aku terfikir yang manusia kini tidak sahaja menjadi hamba kepada Tuhan yang satu. Mungkin ada antara kamu yang hairan. Mengapa?

Memang kita kadang kalanya lupa pada sesetengah perkara, kita hanya manusia biasa yang kadang kala alpa terlupa akan peranan serta watak sebenar manusia dalam dunia pementasan ciptaan Tuhan. Kita sering melanggar peranan dan karakter yang Tuhan ciptakan khusus untuk kita. Andai kita fokus kepada penjiwaan sesuatu watak, kemungkinan untuk kita tersasar jauh mungkin tidak berlaku. Jika tidak masakan wali Tuhan itu wujud bukan?

Aku cuba menjelaskan sebaik mungkin tentang apa yang aku cuba sampaikan. Andai tidak sampai aku khuatir ada yang silap faham akan maksud tersirat dari yang tersurat. Situasinya mungkin begini. Aku tidak mahu memberi contoh tentang seseorang yang lain. Biar aku sendiri sahaja dijadikan bahan eksperimen pada pagi sahur yang indah ini.

Berbalik kepada persoalan yang mula-mula sekali aku pertanyakan diatas. Tentang perhambaan manusia kepada sesuatu selain dari Tuhan yang satu. Aku seringkali menjadikan alasan ketiadaan wang jika ada antara rakan-rakan mengundang aku ke sesuatu tempat yang memerlukan aku berbelanja sedikit wang poket sebelum ini. Atas alasan itu, aku sering terdesak dengan memberi segala macam keutamaan untuk mencari wang lebih.

Aku mula bikin kerja!

Namun, tanpa disedari aku mula jadi hamba duit. Aku asyik fikir tentang duit. Aku asyik fikir bagaimana cari duit. Sehingga sampai satu tahap, kefokusan aku terhadap sesuatu perkara yang lain mula terabai. Dalam otak hanya fikir duit semata-mata. Suatu hari yang bosan, aku mula terfikir tentang sifat manusia yang menjadi hamba duit seperti aku.

Aku teringat lagu sifu M.Nasir tentang duit.'duit-duit, dimana kau duit'!!

Aku mula tertanya-tanya, betapa besarnya pengaruh duit dalam kehidupan manusia moden. Sehingga tanpa duit, manusia hampir tidak bisa melakukan apa-apa memandangkan zaman ini bukan lagi zaman yang menjadikan sistem barter sebagai tukaran wang. Lalu aku bertanya cermin diri. Aku berfikir sedalam-dalamnya ketika masa aku teringat.

Aku rupa-rupanya sudah menjadi hamba duit.

Sepatutnya tidak begitu. Bukan hanya duit, malah banyak lagi perkara yang boleh kita kaitkan bersama. Contoh lainnya ialah, kekasih. Bagaimana kita memuja seorang kekasih sehingga tiada satu saat pun dalam fikiran kita tidak berfikir tentangnya. Kita sanggup meluangkan lebih masa, kalau kerja kilang kita sanggup buat OT(overtime). Sama juga perihalnya kekasih, kita sanggup berjaga malam, bangun pagi, letih berlelah demi untuk seseorang yang kita cintai. Ini kita bincang dalam skop yang kecil. Seperti yang aku jelaskan tadi, kita hanyalah memainkan peranan manusia dalam suatu pementasan dunia. Kadang kala kita hampir tersasar jauh dari karakter atau watak sebenar yang sudah tuan direktor ciptakan untuk kita. Hakikatnya kita masih manusia. Hanya mereka yang luar biasa sahaja mampu menjiwai peranan bersama watak yang tercipta.

Mungkin persoalan yang aku lontarkan disini terlalu remeh pada sesetengah manusia. Namun aku tidak fikir begitu. Mahu atau tidak, kita tidak boleh menidakkan betapa besarnya pengaruh ini dalam diri manusia beragama. Semuanya tentang aqidah. Walau sejahil mana sekali pun atau sebesar gunung sekali pun dosa-dosa kita, nilai aqidah wajar kita pelihara bersama. Dari situ baru relevan konsep bertawakal kepada Tuhan.

Aku asyik tersasar sahaja, sekarang mungkin ingat, besok belum pasti. Dari dulu hingga kini masih juga sama. Walau bagaimana pun, tidaklah aku menyeru agar kamu semua tidak mencari duit atau sebagainya, tidaklah aku menyeru kamu agar tidak memuja seorang kekasih seperti terdapat dalam puisi dan lagu cinta. Cuma sekadar satu perkongsian yang ingin sekali aku lampirkan bersama diruang ini. Sekurang-kurangnya aku telah melaksanakan satu kewajiban lebih-lebih lagi di Bulan Ramadhan yang mulia ini. Malah jauh sekali untuk menjadi Ustaz yang memberi ceramah agama. Wallahua'lam Bissawab.

3 comments:

Camar Sendiri said...

hanya manusia gila yg tak pernah terlepas pandang,
kita ini dah tertulis manusia rakus diluar kesedaran,
bercerita tentang dunia,
memikir jalan mharungi realiti.
wang satu keperluan,
bangsat kita!
letakkan TUHAN di lain lampiran,
lampiran utama dikaburi cela dunia,
sedangkan yang pasti janji YANG ESA.

Hakim Nasir said...

tapi kalau bekerja cari duit sambil menghibur kanak2 bukan ke seronok zul?..hee

Joe Moktar said...

ya tu lain kim..mmg seronok!cume yg x seronoknye ble hati ni dh dikaburi dgn wang berlimpah ruah. mula la nak lagi dan lagi dan lagi..semuanya semacam x cukup..meh kita hiburkan hati-hati manusia!!!