Thursday, September 18, 2008

Bisikku pada hati, kononnya..

'
malam ini cukuplah sekadar aku bereksplorasi dari suatu paparan ke paparan yang lain!!!'

Biasalah, kadang-kadang apa yang terbuat tidak seperti apa yang terniat. Pada awalnya aku hanya sekadar ingin memberi sedikit ruang dihati sambil melayani karenah ria dan lara manusia dan memerhati segala yang terakam oleh otak menerusi retina mata. Aku cuba untuk tidak menulis.

Aku lemah!!!

Hati mengalun irama nestapa, eksplorasi ke ruang blogsfera seakan terhenti seketika!!! Paparan demi paparan aku lihat serupa, malah ada juga yang sama, ada juga yang serupa tetapi tidak sama manakala ada juga yang sama tetapi serupa. Kini semua seakan sibuk, penekanan utama beralih kepada suatu hala yang tiada kesudahan, tidak berpenghujung malah sampai bila-bila pun perihal ini tetap akan berulang, berpusing bak roda basikal.

Nampaknya manusia memang tidak pernah puas pada sepinggan nasi. Sepinggan nasi seakan tidak cukup buat 3 beradik. Ada sahaja cubaan untuk berebut nasi lebih. Peratus banyak mana nasi dipinggan sudah pun dipersetujui bersama. Sabarlah, bagi peluang pada abang dahulu. Abang lahir dulu, maka tunggulah abang sudah besar. Barulah nasi boleh dibahagi sama rata. Lagi pun abang kurang sikit bijaknya dari adik. Maklumlah, si adik walau kecil tetapi perangai macam Sin Chan, si nakal bijak yang bermata sepet.

Sampai bila?

Maaf, aku tiada jawabannya!!!

Suasana bagai dilanda garuda, walau tidak lagi sampai ke aras darurat. Kini, masing-masingnya sedang beragenda, sedang berjuang menegakkan perjuangan masing-masing, ada yang tulus, ada juga yang mulus, tidak kira dari pihak mana yang mereka wakili. Bagi yang berkuku taring dilihat punya 'power' untuk menarik 'backpacker-backpacker' ruang maya melekat rapat bertujuan meraih sokongan. Lalu mereka pun berdiskusi sambil menghambur kata-kata kesat sesama saudara.

Langsung tiada penyatuan. Perbezaan pendapat itu tidak salah. Malah, itu sekadar pendirian yang boleh bertukar ganti, boleh diperhalusi agar semua mencapai kata sepakat. Apa yang pasti, agama tidak boleh ditukar ganti.

Ruang blogsfera menjadi suatu medium yang sangat-sangat efektif. Bila bilangan sudah ramai maka masing-masing mula yakin mengeluarkan taring sambil menunjuk kuku lalu bergigitan dan bercakaran antara satu sama lain, berlontar pandangan, berjelingan penuh emosi. Ada yang jadi Zombie, ada pula seperti Vampire. Bila menggigit, mangsa yang tergigit bakal terkena jangkitan. Mengikut seperti orang bodoh, bak kerbau ditarik hidung.

Ini apa yang aku lihat sepanjang tempoh aku bereksplorasi seketika tadi. Kerna kuasa, manusia bisa lupa. Kerna kuasa, manusia tidak endah walau diperkudakan. Kerna kuasa, maafkan lawan, musuhi rakan. Kerna kuasa, tiada istilah saudara seagama, tiada erti saudara sebangsa. Etika mula rapuh, nilai mula goyah. Kepentingan diri diutamakan, masyarakat awam yang menjadi taruhan.

Masyarakat awam terseksa akibat tersepit dicelah-celah pergelutan oleh mereka-mereka yang bercita-cita. Menggapai cita-cita oleh yang bercita-cita. Sungguh bercita-cita tuan empunya cita-cita. Khabarnya kelompok bercita-cita ini sangat bijak memanipulasi. Apa sangatlah yang rakyat tahu. Tidak semua rakyat dari yang tua hingga ke muda menjaga tepi kain negara. Sesetengahnya sudah selesa andai keperluan asas, makan dan minum terbela, percayalah itu sudah pun memadai buat sesetengah mereka. Mereka juga punya urusan lain lalu perkara yang mereka fikir sulit lebih-lebih lagi melibatkan kuasa diserah bulat-bulat kepada mereka-mereka yang difikirkan sesuai untuk mewakili mereka nanti. Pandai mengambil hati tidak salah, tetapi, janganlah cuba menangguk di air yang keruh.


Dalam hal ini aku berpegang kepada satu pegangan sahaja. Rumah tangga mana yang tidak berkocak bila ditiup angin. Apa lagi kita manusia biasa, yang sering tersilap, tersalah khilafnya. Justeru, aku tidak mahu bermain api disini. Cukuplah sekadar aku diberi peluang untuk terus memerhati, terus melihat, terus berbakti kepada pertiwi. Yang hak amat sukar sekali kita lihat, manakala yang batil sering menipu mata. Biarlah kelompok mana sekali pun yang memerintah, asalkan Alif, Ba dan Ta tidak tergadai.

Apa itu Alif, Ba, Ta???

Agama, Bangsa, Tanah air!!!


No comments: