Aidilfitri tahun ini agak serupa dengan tahun-tahun yang sudah.
Tiada apa-apa perbezaan kepada seorang pemuda yang sehingga kini masih mengejar dan mencari kemeriahan Syawal yang pernah dinikmati suatu ketika dahulu. Seperti selalu, mercun dan bunga api merupakan mainan lazim menjelang Syawal. Sesetengahnya berpendapat, tanpa dentuman mercun, Syawal seakan kurang meriah. Selagi jari tak putus, kulit tak melecur, mata tak buta, selagi itu dentuman mercun akan terus bergumpita menenggelamkan suara takbir yang berkumandang.
Tatkala orang-orang tua sibuk bertasbih, bertahmid menyambut kedatangan Syawal disurau mahupun dirumah, pemuda-pemudi kebanyakannya memilih peperangan sebagai salah satu acara lazim meraikan Syawal. Sebagai seorang pemuda yang masih terperangkap antara keinginan remaja serta kematangan seorang dewasa, aku memilih untuk menyahut cabaran pesaing-pesaing terdekat menerusi persembahan hebat dengan menunjukkan kehebatan masing-masing meledakkan bahan bakar. Ledakan mercun bergumpita silih berganti. Masing-masing tidak ingin kalah. Persaingan sihat menjelang Aidilfitri.
Malam menjelang Syawal, aku mengerahkan bala komando untuk menggerunkan pihak lawan. Berbekalkan mercun import dari China dan Taiwan itu, bala komando aku berjaya menagih rasa hormat pihak lawan. Sebagai Tuan Jeneral, aku hanya mengatur strategi sahaja. Manakala semua misi bahaya digerakkan sempurna oleh bala komando ku yang begitu komited sekali. Selain mengatur strategi, Tuan Jeneral lebih gemar bermain bunga api, kerna bunga api itu lebih indah dan kurang berisiko putus tangan berbanding ledakan mercun yang berbahaya selain dentuman kuatnya yang hampir menyamai ledakan C4. Bala yang menimpa Altantuya sudah cukup aku jadikan sandaran untuk lebih berhati-hati dalam memilih bahan ledakan. Bunga api itu indah, percikannya membentuk suatu visual yang indah berseni mengagumkan mata-mata yang melihat.
Maaf, tiada lampiran imej bahan bakar pada entri ini. Aku risau ia bakal mengundang persoalan ramai tentang bagaimana bahan bakar sehebat itu berada dibawah simpananku. Sebelum tirai entri ini berlabuh, aku menyeru:
Raikan Aidilfitri ini bersama ledakan-ledakan mercun, halakan mercun roket tepat ke kawasan pihak lawan. Setelah kekuatan pihak lawan mula lumpuh, arahkan pula skuad sniper membaling beratus biji mercun bola ke arah benteng lawan, penggunaan lastik ketika melancarkan mercun bola lebih efektif. Pada masa yang sama, arahkan skuad komando menanam mercun bola berantai berdekatan kubu lawan kerna ia bisa bertindak sebagai jerangkap samar sekaligus memerangkap pihak musuh. Setelah segalanya sempurna mengikut pelan tindakan, maka lancarkan pula peledak terhebat menuju ke langit sebagai tanda penguasaan.
Jangan harapkan kesudahan tentang perkara diatas kerna perkara ini merupakan isu yang tidak mungkin berkesudahan. Ia akan berakhir dengan sendirinya andai ada yang putus jari, melecur kulit atau buta mata. Pilihan ditangan kamu. Jadi , usah berhenti selagi kemalangan yang aku sebut diatas belum menimpa diri.
Maka, mainlah kamu puas-puas.
Friday, October 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment