Friday, October 31, 2008

Ketika kecil dahulu aku gemar duduk sendirian. Duduk keseorangan dipayungi langit malam. Aku gemar melihat wajah indah langit, dihiasi pula dengan kerdipan bintang-bintang dan pancaran bulan. Suasana gelap malam begini begitu mengasyikkan. Aku memerhati setiap penjuru langit, melihat setiap isi-isinya selagi mampu dijangkau mata. Kebetulan pula, lokasi bilik aku yang strategik memudahkan aku untuk duduk bertafakur sambil melihat keindahan langit menerusi jendela.

Ketika itu, istilah 'tafakur, muhasabah, meditasi' amat asing sekali. Aku beranggapan, aktiviti itu hanya sekadar hobi, lebih tepat lagi aku seolah-olah terpanggil. Aku terasa yang hutan tebal serta alam cuba untuk memberitahu sesuatu. Ketika itu, Taman Norita (tempat kediaman) merupakan kawasan perumahan yang sangat baru. Populasi masyarakat yang tinggal disitu juga tidak ramai, tidak lebih dari sepuluh keluarga. Jaraknya pula lebih kurang 5km dari pekan Sri Aman.

Selalunya jika tidak dilaman beranda, atap rumah menjadi tempat tidurku. Bila berbaring, aku lihat jelas langit dan bintang seolah-olah bisa digapai dengan tangan. Apatah lagi dengan suasana dingin malam yang begitu mengujakan. Bulan dirasa tergenggam dek tangan.

Tetapi, aku tidak gila untuk berbaring sehingga lelap, nyamuk banyak. Ayah selalu juga menegur dan bertanya, tetapi aku tidak berapa gemar untuk memberi penjelasan panjang lebar. Bimbang ayah tidak faham. Malah, boleh dikata setiap malam akan selalu tertemu ayah yang kebetulannya sering juga pulang lewat malam atas tuntutan kerja. Ada operasi katanya, Ops sana, Ops sini. Tapi ayah tidaklah marah. Agaknya, dia percayakan aku. Maka, aku bebas untuk bertenggek di atap ala-ala Cloud dalam Storm Rider.

Apa yang aku dapat?

Aku tahu apa yang aku buat, aku faham, aku mencari dan aku dapat. Aku hanyalah seorang remaja yang dambakan hakikat. Ketika itu aku serabut kepala memikirkan mengapa manusia takut. Persoalan kenapa perlu takut membuatkan aku tidak senang duduk.

Takut Hantu?

Takut Gelap?

Takut Manusia?

Takut Tuhan?

Lalu atas kesedaran itu, aku mula mencabar diri. Mencabar diri untuk melawan rasa ketakutan, bagaimana menghadapi ketakutan. Aku memilih gelap, kononnya gelap mendatangkan beberapa perkara. Mistik bukan?

Hakikatnya apa? Apa yang yang aku perolehi?

Dalam usia ku 13 tahun itu,aku bertemu dengan sifat Tuhan yang satu. Aku terfaham tentang apa itu esa, Maha Esa. Bila faham, aku mula tidak tunduk kepada dunia. Lantas, aku tidak gusar. Apa yang dunia boleh lakukan melainkan atas ketentuannya. Apa yang dunia boleh tentukan sedangkan dunia itu haknya yang mutlak. Hak milik kekal. Andai pemahaman begini tertanam cantik, maka dunia ditapak tangan. Jalannya pasti juga cantik, elok, lurus.

Cabarlah dunia?

Kamu boleh cabar sesiapa sahaja tetapi jangan mencabar Tuhan dengan cuba menjadi Tuhan! Jangan memesongkan sifat yang secara azalinya milik Tuhan. Manusia tidak layak pun untuk memikulnya. Manusia tidak mencipta dunia!

Suatu ketika, aku pernah faham akan hakikat ini. Aku faham ketika berusia 13 tahun. Kini, dikala aku meniti usia lewat dua puluhan, aku seolah-olah tidak mengerti. Bengap, jahil, berdosa. Seolah-olah terpanggil sekali lagi untuk kembali mencari dan menerokai. Segalanya seolah-olah tertimbus dek kejahilan diri.

Manusia ini sifatnya apabila faham, mula berlagak pandai. Terlebih pandai mendatangkan angkuh. Bila angkuh, ditambah pula dengan bisikan Iblis Laknatullah, berlagak sebagai Tuhan pula.

Manusia tidak akan sedar jika tidak berfikir dengan akal. Ingat, Iblis punya banyak jalan untuk menggoda. Wallahua'lam Bissawab.

2 comments:

cha said...

mampukah akal membantu kita berfikir dgn elok setiap detik?

Joe Moktar said...

mampu!dari akal dtgnya rasional cha..so dgn akal kta tau stiap apa yg kita buat..bygkan jika setiap detik tindak tanduk kita berpandukan akal..kitalah sebaik2 malaikat..tp,kita ttp manusia yg lalai n mlakukan kesilapan.cuma jgn lupa, yg penting,kita bljr dr stiap kesilapan yg kita buat kerna itu je la yg membezakan kita dgn manusia2 yg tidak mahu mengerti..pilihan ada ditangan kita..