Wednesday, October 29, 2008

Ronda-ronda sekitar seksyen 17 PJ mengundang seribu satu emosi buat aku. Kenangan ketika mula-mula menjejakkan kaki ke Kota terimbau secara automatisnya. Jika tidak kerna pelajaran, aku tidak mungkin singgah ke kota metropolis ini. Sama juga seperti remaja desa yang lainnya, keinginan untuk keluar bandar membuak-buak sekali. Apatah lagi bila ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam kursus undang-undang di UIA seketika dulu. Di PJ lah aku mula bertapak, kerna disitu terletaknya Pusat Matrikulasi UIA.

Bangga?

Pada mulanya memang terasa begitu. Terasa diri begitu istimewa sekali, senang cerita disitulah medan untuk aku perasan yang aku tergolong dikalangan remaja yang bijak. Walhal, hakikatnya tidak begitu. Ketika itu, aku tidak faham tentang rencana Tuhan, aku sering tertanya-tanya apa alasan disebalik keputusan cermerlangku dalam SPM.

Pada kaca mata kawan-kawan, aku mungkin layak. Tetapi jika diselak rekod-rekod peperiksaan sebelumnya, amat mustahil aku bisa berada dikalangan pelajar yang akan mendapat gred 1 ketika SPM.

Serius, aku langsung tidak belajar!

Buku teks subsidi kerajaan itu pun jarang terusik. Itu pun sering aku tinggalkan dibawah meja disekolah. Kalau pun ada yang bertanya apa rahsia disebalik keputusan cemerlang aku itu, aku hanya mampu menjawab;

Makanlah kekacang banyak-banyak!!!

Seingat aku, menjelang SPM, bonda membeli beraneka jenis kekacang. Seronok meratah kacang, apatah lagi sambil duduk tercanggung menonton televisyen. Dipendekkan cerita, ketika SPM, aku diserang bisul, bukan hanya satu, tapi beranak pinak pula. Habis satu kaki dijangkiti bisul. Kalau bisul setakat hidup segan mati tak mahu itu tak hairan sangat. Ini bisul yang jenis hidup suka, tak mati-mati. Sampai aku demam teruk dek panahan asamara bisa bisul.

Ayah mengusulkan agar bisul itu dibelah, supaya cepat sembuh. Doktor Rahim juga mengusulkan perkara sama. Tetapi, kerna sifat sejak azaliku yang alah kepada jarum, aku memilih untuk menelan ubat sahaja. Mandi pun tidak, apatah lagi ketika itu Pasir Puteh dilanda banjir. Bayangkanlah, betapa seksanya aku ke dewan peperiksaan. Tuhan sahaja yang tahu. Lebih mencabar bila bisul berdenyut-denyut manja.

Begitulah keadaannya sepanjang SPM. Sudahnya, apa sangat yang boleh aku harapkan dengan keputusan SPM aku itu nanti. Ayah dan bonda memang langsung tidak menaruh harap.

Seperti yang aku cerita sebelumnya, aku tidak faham akan rencana Tuhan. Aku tidak faham kerna aku jahil. Walau apa pun, aku hanya menganggap apa yang terjadi mungkin sebab tuah, yakni aku hanya bernasib baik. Ingat, tuah tidak datang dua kali.

Sementara menanti keputusan SPM, aku menghabiskan masa melepak dipasar, kebetulan kedai tempat aku melepak itu menjual kurma, kismis, buah tin, buah zaitun, buah bijan dan sebagainya. Disebabkan itu, bertahun aku menderita penyakit muak akan buah-buahan dari timur tengah. Alhamdulillah, tempoh pantang aku berpuasa terhadap buah-buah syurga itu telah berakhir. Beberapa minggu sebelum keputusan SPM keluar, kami sekeluarga pulang ke Sarawak bagi meraikan Aidilfitri.

Seingat aku tiada apa-apa yang istimewa sebelum aku tidur pada malam raya tersebut. Istimewanya mungkin ketika itu aku sedang tidur. Aku bermimpi mendapat sekian-sekian keputusan dalam SPM. Mimpi yang ternyata jelas dan nyata. Mimpi itu juga yang mengejutkan aku dari lena, seterusnya bangkit sambil telinga terdengar-dengar sayup takbir yang berkumandang.

Orang tua kata, mimpi yang baik elok benar dikhabarkan kepada orang. Orang pertama yang aku ceritakan ialah kepada bonda. Makcik aku, Dayang Hanifah juga turut mendengar ketika itu. Keyakinan aku yang tinggi terhadap mimpi itu membuatkan aku tenang. Seolah-olah aku telah mendapat jawapan dari langit.

Kononnya, Tuhan itu berbicara dengan aku. Secara logiknya, amat tidak masuk akal untuk aku percaya kepada mimpi sebegitu, memandangkan rekod-rekod peperiksaan aku tidak begitu baik. Apatah lagi aku tidak langsung memegang buku, mahupun mengulangkaji pelajaran. Jika dilihat menerusi graf peperiksaan, graf terakhir kelihatannya mendatar, setidak-tidaknya mungkin boleh menaik sedikit. Seperti yang aku tegaskan, tuah barangkali!

Sekembalinya dari Sarawak, aku bercerita pula kepada rakan-rakan baikku. Tiada reaksi dari mereka, sekadar memilih untuk tunggu dan lihat. Ketika semuanya sedang berdebar-debar untuk mengetahui keputusan, aku tenang sahaja. Tenang kerna rahsianya sudah bocor. Drama yang aku saksikan dimimpi menjadi realiti saat aku berjalan ke arah meja guru, cikgu Rozi mengucapkan tahniah kepada aku. Serupa macam dalam mimpi!. Sambil menyerahkan slip keputusan SPM;

Cikgu Rozi berkata 'Tahniah Faizul, awak mendapat .............!!! Tahniah sekali lagi dari saya, universiti dalam tangan ni!!!' Ujar cikgu Rozi. Aku tidak terkejut, hanya memandang sahaja slip tersebut tanpa wujud perasaan langsung. Setidak-tidaknya, bangga juga berada dikalangan dua belas orang pelajar terbaik sekolah.

Manakala, ustaz Zul bersebelahan cikgu Rozi sempat menyapa aku, 'Awak buat sendiri ke awak meniru ni??' katanya sinis. Aku dengan rendah diri membalas, 'saya buat sendiri ustaz!!' Ustaz Zul hanya menggangguk sambil mengukir senyum yang tidak ikhlas.

Ada alasannya mengapa Ustaz Zul meragui keputusan SPM aku, aku tidak langsung terasa dengan sindirannya. Sebetulnya ketika ujian pra-SPM, ustaz Zul adalah guru yang 'mengantoikan' aku hidup-hidup ketika sedang asyik menilik nota kecil ketika peperiksaan kertas pendidikan Islam. Kebetulan aku duduk dimeja terkehadapan sekali. Entah dimana silapnya, aku terlepas pandang sehingga tidak sedar beliau berada dibelakang aku.

Malu siot!!!


Kadang-kadang, dalam hidup ini kita tidak faham akan rencana Tuhan. Sudah semestinya Dia tahu apa yang terbaik buat kita. Sudah tentu ada perancangannya untuk kita dimasa depan. Mungkin kadang-kadang kita tidak mengerti, kita jahil tentang permainan apa yang berada didepan mata.

Namun semuanya punya alasan serta hikmah tersendiri kerna setiap sesuatu itu tidak akan berdiri begitu sahaja tanpa sandaran. Mungkin hanya menerusi takdir sebegitu bisa mengajar kita tentang hakikat sebuah kehidupan. Usah sesekali menyalahkan takdir kerna percayalah, dia tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Bersesuaian dengan sifat Maha pengasih dan Maha penyayang yang dimilikinya.

Nikmat kesenangan itu ujian, nikmat keperitan juga merupakan ujian langsung darinya.

BerAsbabkan keputusan itu, aku ke Pusat Matrikulasi UIA. Seleweh-leweh aku disana, aku berjaya juga grad dengan sempurna. Berbekalkan CGPA 2.56 aku itu, aku meneruskan pengajian undang-undang ke peringkat ijazah.

Sudah semestinya rakan-rakan yang rapat boleh membayangkan bagaimana Mohamad Faizul Moktar bergelar mahasiswa undang-undang? Mesti kelakar kan?

Setelah dua tahun diperingkat ijazah, aku grad awal!!!

Dalam pada itu, aku sedar yang aku tidak punya hati pun untuk berada disitu. Jika ada pun silap, maka disitulah silapnya. Aku tidak menyalahkan rencana Tuhan, aku tidak berpaling dari takdir yang membayangi hidup aku, malah aku bersyukur seadanya. Aku menerima takdir yang telah Tuhan tetapkan untuk aku. Aku menerima akibat dek kesilapan sendiri. Dari situ, aku memahami sesuatu yang tidak mungkin difahami segelintir manusia. Aku memahami bahawasanya itu bukanlah penutup bagi segala jalan yang ada didepan mata.

Aku merasa betapa besarnya keagungan Tuhan, aku terasa betapa kerdilnya aku sehingga kehidupan ini bisa dibolak-balik olehnya. Kun Fa Ya Kun, kalau Dia kata jadi, maka jadilah ia!!

UIA diakui memang 'Garden of knowledge and virtue'!

Setelah meronda, aku berkeputusan untuk singgah ke German. Maaf, bukan negara German. German ini ialah gelaran bagi deretan warung makan yang terletak dibelakang flat kediaman mahasiswa Universiti Malaya. Sudah semestinya 'PAKAPAU' menjadi pilihan hati. Setelah lama kepingin menikmati 'PAKAPAU', akhirnya hasrat itu tercapai.

'PAKAPAU' merupakan sejenis masakan yang aku kira hanya boleh didapati di German sahaja. Aku ulang, bukan negara German, tetapi gelaran bagi nama deretan warung. Kepada sesiapa yang menggemari juadah daging bercincang halus, berserta telur mata, berkuahkan sup kosong, jangan lupa singgah ke German di seksyen 17 PJ. Harus diingat, kepada mereka-mereka yang menitik beratkan soal diet harian, 'PAKAPAU' bukanlah jawapan kepada masalah itu.

Harus juga beringat, tuah tidak datang dua kali. Yang pertama mungkin tuah, selebihnya kita gali sendiri. Wallahua'lam Bissawab.

4 comments:

Anonymous said...

terlalu manis kenangan menuntut ilmu di taman ilmu & budi tu...banyak terpalit rasa suka mahu duka bersama teman bersama taulan..doa ayah ibu saja yg mengiringi perjalanan sang anak mendaki menara gaidng tersebut..!


PAKAPAU..??? I LIKEEEEE......!!!

Joe Moktar said...

aduhaidunia: itulah dia seebuah memori yg sgt manis utk dikenang.PAKAPAU bole jumpa kt German je..wohohoho!!!

emi riquelmi said...

terbaik zul...

Joe Moktar said...

Emi: Terbaik dowh