Thursday, October 30, 2008

Sukar membuang tabiat berjaga malam begini. Sampai bila? Aku tak tahu!! Suasana tempat kediaman dan teman serumah juga sedikit sebanyak penyumbang ke arah sindrom berjaga malam ini. Kami (suara majoriti ketika bicara malam) sependapat, sindrom ini sangat tidak elok, bukan sahaja kepada kesihatan malah cara hidup juga terkesan sama.

Dibawah merupakan antara kesan-kesan negatif bila terjangkit sindrom ini. Kesannya mungkin tidak dirasa dalam jangka waktu pendek, namun Insya'Allah, sekiranya amalan ini diamalkan secara istiqomah, penangannya agak boleh tahan.

Walau bagaimana pun, kesannya antara individu kepada individu yang lain mungkin tidak sama. Namun, secara umumnya mungkin begini:

Kesan pertama: Dapat dilihat jelas menerusi perubahan susuk fizikal, terutama bahagian abdomen atau perut yang kian montok atau kelihatan segar montok. Walaupun kamu memiliki dada yang bidang, bahu yang lebar, dan lengan yang besar, itu tidak bermakna kamu harus memanjakan abdomen bersama lipatan 'spare tyre' disekitar pinggang kamu. Sayang bagi kamu yang berkaki panjang, apatah lagi bagi aku yang berkaki comel begini.

Nasihat Pakar: Elakkan berjaga malam, berjaga hingga larut malam mendedahkan kamu kepada budaya makan-makan sepanjang malam. Faham-faham saja, kadang-kadang bila berjaga perut mula menyanyi lagu dangdut. Apatah lagi budaya makan-makan itu dimeriahkan lagi oleh rakan-rakan serumah yang begitu supportif sekali. Akhirnya tidur kekenyangan, proses penghadaman mula terganggu. Sepatutnya perut tidak perlu dibebani kerja lebih masa dimalam hari.

Kesan kedua : Celaru, mula mengeluh, pening kepala dan akhirnya keliru dengan orientasi hidup. Contoh lazim tatkala bangkit dari tidur, 'sekejapnya siang!!!'. Malamnya aktif, siangnya pasif. Kesudahannya produktiviti disiang hari mula hilang. Itu yang takda life tu. Selain itu, jadual makan mula tidak teratur. Bagi yang bangun kala petang, sudah tentu skip makan tengahari.

Nasihat Pakar: Ada sebab mengapa Tuhan menjadikan siang untuk berkerja, malam untuk beristirehat. Itik pun tidur malam, apatah lagi manusia. Jangan langgar hukum alam, fitrahnya memang begitu. Malam merupakan jangka waktu paling sesuai untuk tubuh badan manusia berehat. Seperti yang aku cakap tadi, sudah menjadi hukum alam.

Kesan ketiga : Bagi mereka yang berkerjaya atau mereka yang punya urusan seperti para mahasiswa yang ada kuliah di pagi hari, mahu atau tidak, mereka harus juga bangun walaupun pagi hari merupakan detik kemuncak ketika tidur. Kesan pertembungan antara keinginan untuk tidur dan kewajipan untuk bangun bisa dilihat menerusi pelbagai simptom antaranya seperti;

  • Lebam mata atau istilah saintifiknya 'eyebag'.
  • Mata merah berair (macam mata Maya Karin Pontianak Harum Sundal Malam)
  • Muka sembab berpeta akibat geseran yang terhasil oleh kulit muka dengan tilam
  • Tahi mata tersembul keluar
  • Tertinggal kad pelajar
  • Sahsiah rupa diri yang kurang menyenangkan
  • Kurang keyakinan diri

Nasihat Pakar : Senarai diatas adalah punca mengapa David Becham dan Christiano Ronaldo atau setidak-tidaknya lelaki-lelaki metroseksual harus mendapat rehat tidur yang cukup. Bagi mereka yang berambut 'spiky', bangun lewat mengurangkan jam kamu menyimpul jel dirambut. Tak terpacak la macam ni! Manakala bagi mereka yang suka 'flirting', aktiviti main-main mata pasti terjejas. Tahi mata yang berselerak sekitar mata bisa mengaburkan pandangan.

Kesan keempat: Tidak lagi bergaya pakai baju sendat, apatah lagi menanggal baju. Jika sebelum ini ada yang selesa tidak berbaju ketika tengah 'chill' di tepi pantai atau ketika lepak di Pulau Perhentian, kini tidak lagi. Jika dulu yakin berkata, 'cantikkan badanku, rampingkan', kini tidak lagi.

Nasihat Pakar : Tiada jalan lain melainkan bersenam serta kembali makan berpantang. Setidak-tidaknya membeli Losyen Mustajab Pati Halia yang khabarnya bagus untuk memecah lemak diperut.

Kesan kelima: Masalah selulit. Secara saintifiknya, selulit melahirkan tatu semulajadi diperkarangan pinggang. Proses penghasilan tatu yang begitu natural sekali.

Nasihat Pakar : Jangan lupa membeli Losyen Mustajab Pati Halia, Losyen ini boleh disapukan pada tempat-tempat bermasalah dan urutkan secara perlahan-lahan. Untuk kesan yang katakan optimum, sapukan setiap kali sebelum tidur. Boleh diguna sekerap mungkin.

Setiap penyakit itu pasti ada ubatnya, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Disini, aku senaraikan sekali langkah pencegahan alternatif kepada kamu. Mencegah itu lebih baik dari mengubati.

Pencegahan pertama : Pedulikan hasutan manja rakan-rakan, tutup telinga agar kamu tidak mendengar apa-apa bunyi yang seronok keluar dari laptop atau PC rakan-rakan lain. Sekiranya terdengar kawan-kawan mengilai ketawa kerna seronok bersembang atau riuh bermain PS atau juga bermain Counter Strike, anggap sahaja itu dugaan. Buat-buat tidur andai ada kawan yang nakal mengajak bersembang dan selalunya mereka akan berkata begini 'apa barang tidur awal, tak remaja lah macam ni', kalau tidak pun begini 'ilek lu, sap kok lu sepam dua sambl ngeteh'. Tidur awal, bangkit dengan segarnya pada pagi hari. Jangan lupa solat Subuh, sapukan air embun ke muka dan pergi sarapan. Lebih afdhal, lakukan sedikit senaman sit-up ketika bangkit tidur.

Pencegahan kedua : Kepada mereka-mereka yang begitu menitik beratkan soal kesihatan tubuh badan, ingatlah, sindrom tidur lewat malam mempercepatkan proses penuaan. Bagi mengelak kehenseman dan kecantikan kamu pudar, maka mula tidur awal dari tarikh sekarang. Setidak-tidaknya kamu cuba terlebih dahulu. Insya'Allah, langkah ini mudah untuk diamalkan bagi mereka yang belum lagi berada ditahap yang tegar berjaga malam. Bagi yang berada pada tahap tegar pula, disiplin adalah kunci utama. Tak maskulin lah kalau badan kelihatan lembik, lagi tak maskulin (meminjam kata-kata rakan blogger) kalau tiada gadis yang memandang.

Pencegahan ketiga: Elakkan minum air manis yang kandungan kafeinnya tinggi. Memang layan jika pekena nescafe disertai biskut Munchy's pada jam 3-4 pagi. Apatah lagi sejam dua sebelum itu masing-masing sudah kenyang melahap burger Hot dog special, siap tambah cheese lagi. Kesannya, skinny jeans bersaiz 32 tidak lagi muat untuk disarung ke pinggang. Sangat tak in-Trend kalau begini.

Diatas adalah antara simptom-simptom dan langkah penyelesaian alternatif bagi mereka yang terjangkit sindrom berjaga malam. Sebarang kesan lain bisa dibincangkan dilain waktu kelak. Entri ini tidak bermaksud untuk melukakan perasaan mereka-mereka yang berkerja syif malam seperti pak Guard UiTM, pekerja kilang gula, kelindan lori dan sebagainya. Malah, peringatan ini hanya tertakluk kepada mereka-mereka yang terjangkit atau yang mengamalkan budaya berjaga malam secara istiqomah. Sekiranya ada kesan-kesan lain, maka silalah berkongsi.

Manakala, harus juga diingat dan berwaspada tentang penggunaan istilah nasihat pakar diatas. Penggunaan istilah itu sekadar penyeri sebagai kiasan kepada kelemahan aku yang terjangkit oleh sindrom ini. Maka, aku menjadikan diri aku sendiri sebagai bahan eksperimen dan juga 'case study'. Selain memerhati rakan-rakan sejangkitan, aku juga menggunakan 'common sense' sendiri sebagai rujukan untuk menulis. Lebih tepat lagi, entri ini tidak bersifat fakta sebaliknya sekadar suatu selingan manja dari aku. Sekiranya betul, ianya mungkin kebetulan dan datangnya dari Allah, setiap kelemahan itu datangnya dari kelemahanku sendiri. Wallahua'lam Bissawab.

p/s: Selain dikatakan bahagia, pemilik abdomen yang munggil begini juga dikaitkan dengan sifat yang banyak menyimpan rahsia. Selain itu juga, abdomen munggil ini juga dikaitkan dengan kekayaan. Lagi munggil, lagi kaya.

3 comments:

Ridy Anwar said...

wehehe
tapi berat i still maintain u
=)

Aziziorama said...

aku suke kesa ke empat tue zul..
aku dengan ridy pasti suka..sebab teknik penyamaran dan penghasilan pakaian kulit harimau secara semula jadi oleh selulit..

baru KINKY.

kan RIDY!
hehehehe

Joe Moktar said...

Ridy: Ridy berada dalam kelasnya yg tersendiri..lightweight kan?

Azizi: Tatoo semulajadi yang terhasil secara natural..mmg kinky, ridy suka la tuh!!!!