Gua kini dalam proses penghijrahan. Hanya konsistensi sahaja yang gua harapkan. Memandangkan gua kini melihat dunia dengan lebih dekat, gua rasa lebih bersyukur terhadap apa yang gua miliki. Anak mata gua pedih sikit dek percikan air parit dari sisi jendela dunia. Semoga dunia berputar kepada kiblat yang sebenar.
Gua mungkin kekurangan masa untuk menulis, sekali sekala mungkin, seperti sekarang.
Lagi pun, gua sedang cuba mengumpul seribu satu cerita, sedang cuba menghimpunkan seribu satu pengalaman, Insya'Allah jika berkesempatan suatu hari jika gua punya ruang, akan gua susun cerita itu satu persatu.
Perkembangan mutakhir, gua sudah pun menjadi salah seorang ahli keluarga Digi, tapi bukan maskot Digi yang berwarna kuning tu, bak kata abang Mus BoxxTomoi.
Harap segalanya berjalan lancar. Hanya doa dan restu dari kedua orang tua yang gua pinta, agar simpang yang gua ikut dilimpahi keberkatan. Mana tahu, dari simpang yang satu ini, gua bertemu simpang jalan yang lebih baik.
Asyik ikut jalan kampung, teringin juga ikut jalan bandar, lancar sikit!
Jalan kampung ni mencabar, motivasi kena kuat, hidup perlu ada disiplin. Jika tidak kaki bisa tenggelam sebab selutnya dalam, apatah lagi ketika hujan turun.
Kepada saudara-saudara gua yang sedang mengelamun, sedang berkonflik, atau juga yang kita definisikan sebagai sedang melawan diri sendiri, usah kuatir, usah risau, usah salahkan keadaan, usah salahkan orang lain, sebaliknya kadang-kadang apa yang berlaku adalah berpunca dari diri sendiri.
Kita sebagai empunya badan bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Sebab itu kita dijadikan khalifah dimuka bumi. Pada masa yang sama, definisi khalifah atau imam itu usah disempitkan sangat. Walau kita tidak mengetuai sesuatu organisasi atau institusi, harus sedar, kita mengetuai diri sendiri. Itu yang dimaksudkan sebagai khalifah pada pandangan gua.
Baik pimpinan akal kita maka baik pembawaan diri. Acu cuba, try and test!
Kadang-kadang, kita rasa diri kita dihimpit segala macam kesusahan tapi percayalah, diluar sana masih ramai lagi yang susah. Kalau kita rasa kita ada masalah, diluar sana wujud ramai lagi manusia yang terhimpit dengan permasalahan dan dilema dalam kehidupan.
Bersyukurlah dengan apa yang kita ada selain berusaha untuk memperbaikinya. Betul, gua tak tipu!
Sekurang-kurangnya kita punya 3 perkara asas, iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Pernah terfikir tak ketika kamu menikmati makan malam yang enak, ada manusia lain yang kelaparan. Ketika kamu tidur bersandarkan bantal dan tilam yang empuk, berlindung dibalik hujan dan panas matahari, ada orang lain yang langsung tidak punya bumbung untuk tidur.Ketika kamu membersih muka dengan air dari paip yang bersih, ada manusia yang memalit muka dengan air keruh yang bertakung ditepi jalan.
Memang tak 'fair and lovely'!
Banyak yang gua dapati, gua perolehi sepanjang tempoh pertapaan gua. Seperti yang gua maklumkan diperenggan awal, hanya konsistensi yang gua harap. Gua selalu cuba terapkan dalam diri supaya tidak terlalu selesa terhadap sesuatu, oleh itu gua akan sentiasa beringat.
Kalau gua lupa, kamu tolong ingatkan.
Jadi ingat saudara-saudaraku, bersyukurlah walau sedikit. Sebab yang sedikit itu tetap juga nikmat pemberian Tuhan terhadap kamu. Jika kamu buka mata seluas-luasnya, lalu lihat menerusi pandangan hati. Insya'Allah, dada kamu pasti lapang seketika, bukan sahaja lebih dekat di sisi dunia malah dekat juga di sisi Dia.
Thursday, December 18, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment