Thursday, March 19, 2009

Kadang-kadang bila lelah kita tidak kisah pun di mana hendak melabuhkan punggung. Buat masa ini, begitulah rutin harian aku. Lelah itu pasti, cuma aku tidak mahu terlalu merungut. Sekurang-kurangnya bila kurang tidur, hari itu terasa panjang. Dalam sehari pelbagai macam perkara yang boleh dibuat.

Buat masa ini, si ia sang kancil berwarna Biru lah peneman paling setia. Tidak pernah meragam walau sekali pun. Seolah-olah memahami kondisi tuannya. Walaupun aku tidak memanjainya dengan kalungan eksesori mahal, mahu pun menyumbati lubang mulutnya dengan aneka makanan dan minuman yang berkhasiat tetapi masih jua ia tegar memayungi aku dari hujan dan panas terik mentari.

Tidak cukup dengan itu, diselimutinya pula aku dari dingin sang embun malam.

Sering pula dikala orang lain tidur lena, aku terjaga dek ketidakselesaan dari tulang pinggul. Aku palu perutnya bertalu-talu, aku ketuk tampar pipinya, aku jentik telinganya namun masih jua ia setia, masih jua ia akur dengan aku.

Besar sungguh jasa ia terhadap aku, sesungguhnya budi ia sukar untuk aku balas. Kadang-kadang aku tahu ia sedih, ia berkorban segala keenakan hidup demi orang lain. Demi aku terutamanya, tuannya yang paling komando sekali.

Hakikatnya aku tahu suatu hari ia terpaksa aku lepaskan, ia perlu juga di 'upgrade'.

Walau pun kita panggil ia, namun kadang-kadang ia lebih berguna daripada dia. Ia walau tiada akal, namun kadang kala memahami, dia walau berakal namun kadang kala jelik. Walau dia fitrahnya lebih sempurna berbanding ia, namun dek ketinggian akal buat dia sombong sedangkan ia jauh sekali untuk jadi sebegitu.

Jadi, hargai ia di sekeliling kita. Ia walau tiada unsur akal tetap suatu kejadian tuhan, tetap juga makhluk. Baik kita jaga, seribu kali baik ia bagi.

Entri ini sekadar suatu penghargaan untuk ia, itu sahaja. Dia itu bukan sesiapa, dia itu hanya takrifan umum buat sekalian manusia. Suatu pandangan sisi yang sering kala aku rasa bila berdepan dengan terlalu ramai dia.

No comments: