Sunday, May 3, 2009

Hari ini, genap usia aku 27 tahun.

Tiada apa yang aku pinta selain memohon keberkatan dari yang Maha Esa. Nampaknya sudah 27 tahun aku mengharungi kehidupan dibumi Tuhan.

Sewaktu ayah berusia 27 tahun, ayah sudah punya 3 orang 'baby' comel. Hanya aku yang tidak comel. Berkulit hitam berkilat, tapi perasan 'handsome'. Ketika kecil suka tengok cermin, kalau tak berlagak ala-ala Rambo dengan topi askar dan seluar berceloreng, perasan diri macam Amy Search. Suka cari pasal dengan angah. Mula-mula memang main-main perang, sudahnya memang betul-betul berperang.

Mesti abang long kena menang, kalau kalah pun sebab ayahanda masuk campur!

27 tahun!

Satu jangkamasa yang panjang. Pelbagai liku pernah aku rasa, pelbagai pengalaman telah aku raih. Namun masih belum temui apa itu erti kematangan. Masih memerlukan pedoman serta panduan dari orang yang lebih tua. Aku lebih terbuka kini untuk mendengar segala macam nasihat.

27 tahun!

Sudah semestinya bila menjangkau usia begini, soalan biasa yang aku terima, 'bila nak kahwin?' Aku hanya berserah kepada jodoh. Kalau kata keinginan, umur 13 tahun pun keinginan itu sudah ada. Cuma tika waktu ini aku masih merancang. Apatah lagi bila orang tua sudah bagi lampu hijau.

Untuk memetik bunga ditaman itu bukan perkara enteng. Lebih-lebih lagi dizaman sekarang, kalau tiada modal, tak terbinalah taman bunga astakona.

27 tahun!

Aku masih rasa 18 tahun! Perasan!

Cuma aku masih ralat. Belum lagi ada pencapaian yang benar-benar 'the bomb'! Semua yang dirancang, hanya tinggal sekerat jalan. Itu yang aku maksudkan dengan sikap tidak matang. Cuma aku optimis, walau aku mungkin berkerja sebagai tukang sapu, tapi aku berimpian untuk menjadi tukang sapu yang terbaik!

27 tahun!

Kalau fikir duit, banyak mana pun gaji memang tidak akan cukup. Manusia sifatnya memang tidak pernah puas. Aku?

Aku sendiri pun tidak pernah puas!

Kini aku hanya menumpukan usaha bagaimana untuk merubah kehidupan dengan lebih baik. Masih lagi mencari peluang, masih lagi bertatih merencana masa depan. Sedang cuba mempersiapkan diri untuk menjadi bakal suami, bakal seorang ayah pada masa akan datang. Masih cuba untuk menjadi seorang anak yang taat kepada kedua ibu bapa, menjadi abang contoh buat adik-adik.

Nampak macam mithali, tapi siapa tahu. Masa masih panjang, masih lagi belum terlewat. Walaupun mungkin kejayaan itu akan dinikmati ketika usia aku 40 tahun.

Tapi relevan kah 40 tahun itu?

Sempatkah mereka menikmati sekelumit kesenangan yang bakal aku raih?

Aku optimis, mereka masih sempat. Aku hanya perlukan restu dari keduanya. Kalau tidak kesenangan dari sudut material, cukup sahaja dengan kesenangan hati. Itu kan lebih penting. Redha orang tua, jamin hidup bahagia.

27 tahun!

Aku menyambutnya dengan Nurul sebentar tadi. Aku terharu bercampur gembira, dia teman juga merangkap sahabat. Dalam hubungan aku tersedar yang kita tidak perlu berkira, silap faham sikit itu halalkan saja. Kalau turutkan ego, tidak akan kemana. Cukup dengan makan-makan kecil yang disediakan olehnya, itu sudah cukup memberi kesenangan pada hati yang lara memikirkan umur sudah menganjak ke 27 tahun.

Umur sekadar angka sahaja bukan?

Hadiah?

Aku dapat hadiah, tapi hadiahnya aku simpan seorang. Rahsia!Nurul memang romantik, cuma malangnya dia mendapat teman yang 'toya' seperti aku. Ibu kata aku anak ayah, perangai sebijik!Manalah aku tahu romantik-romantik ni, aku hanya menjadi diri sendiri. Nak menulis kad ucapan pun tidak pandai, sebab tulisan aku buruk. Kepala ini dulu puas kena ketuk dengan cikgu, namanya cikgu Dayang Mutiara, tulisan aku buruk sangat. Susah nak baca. Untuk huruf K sahaja aku kena tulis seribu perkataan. Sumpah kasut tumit tinggi beliau sering saja singgah dikepala. Perhati kedua dahi aku, kesan bengkak masih ada beb. Tapi tiada pula ayah aku mengamuk disekolah sebab aku jadi mangsa keganasan guru. Budak sekarang, jentik sikit pun tidak boleh!

27 tahun!

Aku masih tidak pandai mengira. Entah mengapa aku alah sangat dengan angka. MALAS!Kadang-kadang, bila singgah dimana-mana toko buku, aku rajin juga belek buku latihan matematik UPSR. Konon nak 'refresh' balik, tapi malang betul. Tiada apa yang nak di 'refresh'kan.

Kena 'back to basic' balik!

27 tahun!

Aku suka segala yang manis. Apa sahaja sajian yang manis semua aku sapu bersih. Fi'il pantai timur aku mula terserlah semenjak setahun ini.

'Boh kawe oghe kelate, kawe nok tokse pung meme oghe kelate jugok!' Marila gocoh nga kawe mari, nok bergocoh cari kawe la, kawe setel belako!'

Sikap terbuka aku pula mungkin datangnya dari sebelah ibu, Borneo mari ma!

'miak Sarawak bah, kamek Melayu Sarawak jadi jangan sapa-sapa main bangsa dengan kamek, sensitif, jangan nanyak soalan berapa lamak dah kamek datang Malaysia, Borneo ya bukan Malaysia kah?'

27 tahun!

Terima kasih kerna memberi perhatian kepada monolog diatas, monolog disampaikan bersama kronologi yang spontan tanpa menurut aturan masa. Sekadar berkongsi bagaimana rasanya menyambut hari lahir ketika berusia 27 tahun.

Setiap saat itu berharga. Jadi jangan cuba bermain dengan masa, masa itu begitu sempurna sekali. Tiada celanya masa itu jika hendak dibandingkan dengan sifat manusia yang suka mempermainkan masa. Secara tidak sedar, masa berjalan selamba meninggalkan kita.

Berjalan biar seiring dengan masa!

Matang pada umur yang seafdhalnya kita matang. Dewasa pada masa yang cukup kiraannya, cukup ha'ul nya. Setiap sesuatu yang segera ini mudah lembik, perlahan, lembab tapi jika matang pada usia yang tepat, jalannya cantik, tidak bersimpang. Biar mula perlahan, tapi pengakhirannya deras, perlahan balik bila sudah sampai ke kemuncak. Itu baru cantik, lurus. Kalau mula laju, ditengah-tengah nanti kena potong, kena 'overtake', bila sudah kena potong, mental mula kacau, jalannya tidak nampak cantik lagi. Sudahnya terpaksa mula dari awal balik. Ikut proses yang asal. Itu pun kalau nak jalannya cantik!

Aku bukan hendak bermain bahasa disini, cuma sekadar berkongsi. Berkongsi sesuatu yang aku rasa perlu untuk aku sampaikan sebagai salah satu tanggungjawab sosial aku.

Walau apa pun, selamat hari lahir buat diriku. Semoga aku terus bisa memacu kehidupan kerna kapalku nampaknya akan karam jika tiada modifikasi, tambah pula dengan cabaran kuat dari ombak laut yang memukul deras sisi kapal kecilku. Baik, aku wajar berundur kerna jam 6 pagi aku wajib berada di pejabat. Aku hanya ada 2 jam untuk tidur.

Aku kini genap 27 tahun.


4 Mei 2009

3 comments:

Junaidi Asmara said...

lu orang tua yg cool..lu juga survivor paling kental yg pernah gua kenal..

Anonymous said...

apa ada pada angka?
hahaha...yg penting jiwa..

Joe Moktar said...

Junaidi: x rse pun yg gua cool, tp mcm wa pnah ckp kt kwn2, ltk je kt mne wa tau nk survive cmne.tp bole survive je x cukup skrg ni. Selamat ke Bali, jgn noti2 sgt kt sne tu!

afan: lu mmg faham gua!sejak dulu..rimau lu ikut ke Ausie x?kalo die ikut kira hebat la tu merentas lautan sekali dgn lu!!!