Seperti mana tubuh badan yang perlu dijaga rapi dari sebarang unsur penyakit luar mahu pun dalam, kesedaran untuk menjaga kedaulatan negara juga sewajibnya sama. Kalau kita sanggup berhabisan ratusan ringgit untuk membeli makanan, minuman serta suplimen yang berkhasiat, begitu juga dengan negara.
Kenapa kita berlebih dalam soal menjaga diri sendiri?
Sudah tentu untuk menjaga kesihatan dan mengelak tubuh badan dari serangan penyakit. Negara juga begitu gamaknya. Potensi untuk seseorang diserang sebarang bentuk serangan penyakit selalu ada. Sebab itu kebanyakan daripada kita mencarum dalam insurans dan sebagainya.
Semuanya untuk apa?
Semestinya sebagai persediaan kepada sebarang kemungkinan yang berlaku. Orang putih kata 'malang itu tidak berbau', kalau malang itu berbau lain pula cerita. Begitu juga pertahanan negara, untuk menjamin kedaulatan tanah air, sudah tentu banyak modal yang harus dikeluarkan sebagai persediaan terhadap sebarang kemungkinan.
Aku kadang-kadang terkilan juga, kita dapat lihat bagaimana sesetengah daripada kita bersikap tidak peduli, mungkin peduli tetapi aku kira kesedaran generasi baru tentang kedaulatan negara masih tipis. Senario semacam ini merbahaya sebenarnya. Bila kita terlalu selesa, nanti musibah datang kita tidak bersedia.
Bukan hendak menakutkan atau 'main acah keting', tetapi sebagai peringatan sesama sendiri kerna secara zahirnya kita lihat negara ini tampak begitu makmur, nampak tenang bak sungai yang tiada buaya.
Tetapi batinnya aku rasa sudah sampai masa untuk kita berjaga-jaga. Penyakit tidak hanya datang dari satu penjuru sahaja. Boleh jadi datang menyerang dari empat penjuru. Tidak hanya virus dari luar, tetapi virus dari dalam yang bisa melumpuhkan sistem imunasi badan sehingga tiada antidot pun yang mampu merawatnya kelak.
Kalau virus sudah menular dari dalam, maka susur laluan masuk ke dalam terbentang luas. Ala, macam kerajaan Siam membuka laluan kepada tentera nipon.
Jadi, jagalah kesihatan tubuh badan. Tak salah berbelanja berhabis duit untuk memanjai diri sendiri. Cuba bayang, tiba-tiba penyakit datang menyerang?
Masing-masing ada peranan, sekecil mana pun sumbangan tetap juga penting. Jangan asyik nak merempit sahaja, yang sakan berpolitik jangan asyik fikir perut sendiri, yang askar jangan leka ternak lemak, yang miskin jangan ayik mengeluh dan yang kaya jenguk-jenguklah ke tanah.
Kadang-kadang yang merempit lagi tinggi semangat patriotisme berbanding politikus, sesetengah orang awam lagi tinggi patriotisme berbanding askar-askar yang manja, ada yang lagi komando dari komando.
Lembik! diasak sikit mengadu, dikerah sikit merengek!
Wednesday, July 8, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment