Sunday, August 9, 2009

Gua bangkit dari lena agak lambat hari ini. Tergesa-gesa jugalah bersiap mandi, solat subuh ekspres sebelum bergegas ke tempat kerja. Mengantuk usah cakaplah, teramat mengantuk sekali mata gua yang sedia ada sepet ini. Tambahan lagi terasa seperti ada bengkakan di sebelah mata kanan gua.

Ketumbit agaknya!

Tidak mengapa, naik ketumbit pun tidak semestinya disebabkan gua ada mengintai anak dara orang. Bak kata kawan gua, mungkin nyamuk betina gatal agaknya mengucup manja mata gua. Comel agaknya mata gua ketika sedang tidur.

Orang Kelantan kata 'timbeng', entah betul atau tidak ejaannya.

Ketika sedang memandu dari Shah Alam menuju Putrajaya, telefon bimbit gua berdering. Selain Nurul, tidak mungkin ada orang lain yang suka suki telefon. Eh, bonda rupanya. Ingatkan Nurul kata gua berbisik dalam hati. Ketika itu gua sudah pun berada di lebuhraya menuju Putra, jadi seronoklah sikit berborak lagi pun asyik rindu dengan keluarga, lebih-lebih lagi rindu terhadap ayahanda dan bonda.

Keterujaan gua menyahut panggilan telefon menjadikan lebuhraya plus itu gua yang punya, tanpa sedar berkenderaankan kancil turbo biru gua tenang cucuk rapat sebuah Harrier hitam di depan sambil bercakap kuat dengan bonda.

Buat dua kerja dalam satu masa memang begitu!

Kancil turbo gua siap menggigil menari 'shuffle' tapi bernasib baik pemilik Harrier itu mengalah masuk ke tengah. Semasa seiringan, gua sempat menjeling pemandunya lalu mengangkat tangan kiri gua tanda 'peace'. Kemesraan terjalin apabila pemandu Harrier tersebut turut mengangkat tangan walaupun tidak ikhlas. Jelas, sinar bulan dikepalanya.

Bonda menelefon sekadar mengingatkan gua yang hari ini adalah hari lahir ayah. Gua memang susah mengingati angka tapi bila bonda tanya tahu atau tidak ini hari apa, gua memang bisa mengagak. Kalau sudah di bulan Ogos maknanya tidak lain dan tidak bukan mesti hari lahir ayah dan disusuli pula dengan ulang tahun yang ke 28 perkahwinan mereka.

Sebelum ini, boleh dikatakan dalam sehari adalah 3 kali gua akan menelefon ke kampung, telefon adik-adik gua yang sedang menuntut di UiTM cawangan. Telefon sekadar suka-suka maklumlah berkerja di syarikat Telco segala bil dibiayai sepenuhnya oleh pihak syarikat. Jadi tidak perlu risau dengan bil telefon.

Kini tidak lagi, segalanya atas pembiyaan sendiri. Talian pula sudah pun di nyahaktifkan memandangkan gua belum lagi menjelaskan bil sebelumnya. Gua 'back to basic' baliklah seketika. Singgah ke 'public phone' itu biasa dalam seminggu dua ini.

Tidak kisah walau bagaimana susah sekali pun kehidupan itu, gua berpegang kepada beberapa perinsip yakni gua yakin dan percaya yang kehidupan yang gua lalui kini adalah lebih baik berbanding sesetengah orang, lebih senang berbanding mereka-mereka yang sedang kelaparan dijalanan.

Masing-masing punya ketentuan sendiri berteraskan usaha dan niat masing-masing. Semuanya berhak untuk menikmati sekelumit kesenangan, dan masa itu pasti akan tiba jika sampai masanya. Andai belum sampai makna kata Tuhan belum memberi perkenan maka sabarlah.

Kepayahan itu adalah suatu bentuk tarbiah dari Tuhan buat hambanya kerna tanpa kepayahan, sifat mahmudah itu sukar untuk mekar. Bukan senang untuk senang tapi tidak susah untuk menjadi susah.

Selalunya, perkara begini yang selalu berlegar dalam minda gua terutama ketika sedang memandu. Memandu memberi ruang untuk otak gua berfikir dengan lebih baik dan selalunya setiap perancangan harian gua putuskan ketika sedang memandu.

Walau apa pun, selamat hari lahir buat ayahanda gua Moktar B. Adam @ Apai. Untuk tahun ini tiada seloka atau pantun bisa anakmu ini garapkan cuma doa sahaja sebagai iringan kasih dan sayang selamanya. Kalau bisa dilahirkan sekali lagi ke dunia aku tetap mahu menjadi anakmu.

...

Baik, apa lagi yang boleh gua 'highlight' sekarang? Tiada kot?

No comments: