Saturday, August 9, 2008

Mencari jalan pulang...

Hari ini hari istimewa. Tarikh keramat. 10/8. Saat ini ayah ku lahir ke dunia. Menjadikan umurnya sekarang genap 51 tahun. Seumur dengan Malaysia. Wahh, ayah sudah tua namun aku percaya jiwanya masih muda. Walau tidak lagi semuda dahulu, terserlah masih semangat mudanya, masih lagi membara dan akan terus menyala. Aku hadiahkan bait tanpa irama buat mu ayah terchenta. Dendangkan ia ikut alunan irama rasa.


Assalamualaikum...

Salam buat ayah along kasi mula,
Along pohon doa agar ayah sentosa,

Umur tiada apa hanya sekadar angka,

Walau umur tua tapi hati biar muda.

Walau hati muda ayah jangan melata,
Kudrat sudah tua itu bukan soalnya,

Yang penting semangat terus membara,
Romantika berdua berdansa bersama bonda.

Along perhati dari jauh sahaja,
Walau jauh along tidak buta,
Cakap ayah along ikut saja,
Walau kadang tidak setuju kata.

Tidak setuju kata itu perkara biasa,
Faham hakikat ayah sayang saya,
Mana ada ibubapa dalam dunia,
Ingin lihat anak ’depa’ binasa.

Along ingat apa ayah pesan,
Along tidak bebal masih lagi simpan,
Pesan ayah along buat pedoman,
Janji tidak buat hal pada masa depan.

Kadangkala janji along masih engkari,
Entah mengapa masalah datang mencari,
Along masih cuba muhasabah diri,
Mungkin tidak patuh pada arahan ayah beri.

Ayah jangan gusar kalau along bengong,
along sudah besar tidak lagi bingung,
along simpan kuku biar nampak kudung,
takut jadi hal ayah bonda murung.

Tarikh ini memang keramat,
51 tahun yang sudah ayah lahir di Tumpat,
Nak lihat nenek along tak sempat,
Jika tidak pasti banyak cerita kan terungkap.

Along redha tidak jumpa nenek,
Masa jumpa atuk lidah along masih pendek,
Jika berbicara pasti orang usik,
Maklumlah bicara along bahasa pelik.

Usia muda ayah merantau,
Tinggal keluarga atuk nenek risau,
Lihat potret lama ayah macam Buakaw,
Prebet muda pinggang berlilit pisau.

Pistol along sekarang pistol mainan,
Pistol ayah berpeluru along angkat tangan,
Masa sekolah pisau along simpan,
Tunjuk belang depan kawan rakan.

Sasau along dahulu gelora remaja,
Kini ditambat elok terpelihara,
Makrifat tidak disalah guna,
Jika terguna hanya terpaksa.

Darah along perwira waja,
Mengikut jejak ayah terchenta,
Kembar along sentiasa menjaga,
Andai tersua malapetaka.

Ayah usah lagi gusar,
Bonda bersama ayah sentiasa,
Bagi tumpuan pada Angah segera,
Angah punya darah bahaya.

Along masih lagi mendaki,
Mencari sesuatu yang tidak pasti,
Keinginan ada didalam hati,
Suatu hari pasti akan diketemui.

Selamat hari lahir along dendangkan,
Buat ayah nun jauh di Pasir Puteh, Kelantan,
Andai prosa irama tersalah ejaan,
Sengaja along sisipkan buat seloka ayah bacakan.

Along ada hajat dihati,
Sebelum berundur ada infokini,
Memasang impian punya taman sendiri,
Ayah tolong curi bunga Mawar ditaman Pak Rosli.

Sekadar doa along titipkan,
Semoga usia ayah berpanjangan,
Bersama cik Dayang ayah berpimpinan,
Kekal selamanya langkah seiringan.


Sekadar suatu selingan buat ayah terchenta, saat hari lahir mu tiba aku masih disini, tidak bertemu jalan pulang. Aku masih mencari jalan pulang, semoga kehidupan mu bersama bonda bertambah-tambah lagi makmurnya serta dilimpahi rezeki yang tiada berpenghujung. Aku mungkin tidak mampu menjadi seorang anak yang taat, jauh lagi untuk menjadi anak yang boleh kamu banggakan seperti suatu ketika dahulu sebelum kebanggaan itu diragut lalu hanyut dek hentaman arus deras ombak gelora remaja ku. Saat ini aku masih mencari jalan pulang.

Tuesday, August 5, 2008

Dedikasi Istimewa Yang Sangat Special


Entri istimewa khas kepada yang istimewa. Sekian hari aku tidak menulis membuatkan aku terfikir untuk menghadiahkan kamu sesuatu. Sesuatu yang tidak seberapa namun cukup manis buat aku. Aku tidak mengambil tempoh yang lama untuk menghasilkan entri ini kerna pesona ria aku begitu agung sekali sehingga aku berkeputusan untuk menghadiahkan sekuntum senyuman sebagai penghargaan kepada kamu. Manusia berubah, aku juga berubah. Pendirian aku untuk tidak menulis perihal rasa yang selamanya menjadi hak peribadi aku, aku noktahkan diruangan pistol berpeluru ini.
Khas buat kamu, Nurul Hidayu Bt Rosli...
Hati berpaut mati,
Alasan tiada mahu mencari,
Bercerai mati hasrat dihati,
Ligat rasa tumpulnya pasti,

Dari mata terlihat ombak,
Ombak datang bawa gelora,
Terserlah agung gelora asmara,
Deras arus menyingkir lara,

Tercungap nafas luluh jiwa,
Tidak dia berputus asa,
Memberi jua walau terseksa,
Percaya pada dewata hatinya,

Berakit perlahan rapat ke sisi,
Suci budi dia berbakti,
Berpada-pada dia memberi,
Buat jantung penerang hati,

Kelopak bunga mekar akhirnya,
Berkembang molek ria bersama,
Kumbang terjerat kemudian rela,
Mula terpaksa sudahnya suka,

Suka akhirnya cinta,
Berdua mereka memiliki tahta.


Kala keseorangan aku mengilhamkan bait-bait jujur demi memberi gambaran tentang apa yang aku rasa mengenai kamu. Sungguh pun tidak sepuitis mana-mana madah cinta agung namun keterbukaan aku untuk mengalah demi kasih dan sayangku terhadap kamu usah lagi dipertikaikan. Aku menerima kamu bersama lapang dada, hati terbuka dan seadanya. Andai selama ini kamu sering makan hati dengan sikap acuh tak acuh ku itu, aku pohon ampun kerna segala apa yang aku lakukan hanyalah demi perkara pokok untuk masa hadapan. Aku tidak dingin, tidak jua berpaling hati, namun demi suatu tuntutan aku tiada pilihan. Aku memilih untuk berperang dengan masa, masa yang ada tidak memungkinkan untuk aku bertemu kamu seperti dahulu. Andai kamu bersedih, aku juga merasakan perkara sama. Aku memahami jika sepi itu menjadi teman tidur mu, aku jua begitu namun tiada apa yang mampu aku lakukan kala ini selain sering cuba memenuhi kualiti masa untuk berdua. Aku pohon supaya kamu tabahkan hati, bersabar menerima kondisi aku yang masih diambang ke kiri dan ke kanan umpama lalang ditiup angin. Percayalah, walau apa jua perkara yang aku lakukan kini tidak lain hanyalah demi kebaikan bersama. Aku kira kamu cukup matang untuk memahami segala apa yang aku korbankan kini. Tiada salahnya jika kamu turut berkorban demi sebuah hubungan yang lebih ampuh lagi teguh dimasa hadapan. Aku nampak pengorbananmu itu. Andai kamu ingat, aku sering menekankan perkara sabar. Mengertilah, andai kamu bersabar dan redha dengan ujian ini aku percaya kita pasti akan bersama suatu hari nanti. Saat kesusahan melanda diri, aku mengharap kamu mengerti. Insya’Allah.
Dedikasi istimewa buat yang teristimewa,

Saat badai melanda kamu tetap teguh dibelakang aku, kamu sentiasa ada saat aku perlukan kamu. Tiada janji manis mampu aku taburkan, yang ada cuma kasih bak bunga yang makin mekar dihati. Terima kasih atas taat setia kamu walaupun aku tahu kamu bisa saja pergi.

Teguhkan pendirianmu, kuatkan semangatmu, jangan kamu merendah diri, aku sentiasa berada disisi.

Abaikan segala perasaan rendah dirimu itu, walaupun ayam berlada masakanmu itu masin tempoh hari, tetap jua habis aku langsaikan. Kamu amat bagus dalam hal itu. Percayalah, perut ku terasa dimanja.


Saturday, July 19, 2008

Buakaw K.O di K-1 2008




Walau pun sudah basi, aku masih lagi berfikir, berfikir mengenai kekalahan mengejut fighter kegemaran aku di pentas K-1 iaitu Buakaw Por Pramuk. Aku masih berdegil untuk tidak mahu menerima kenyataan bahawasanya ayam tambatan Thailand itu tewas kepada Yoshihiro Sato, salah seorang fighter handalan daripada negara matahari terbit. Aku memilih untuk tidak mahu menerima kenyataan bukan sekadar kerna Buakaw tewas, tetapi kekalahan secara K.O kepada Sato. Pentas K-1 2008 ini menyaksikan Buakaw kecundang buat pertama kalinya secara K.O walaupun pertarungan tersebut menyaksikan Buakaw kelihatan mendominasi setiap pusingan lebih-lebih lagi pada pusingan pertama dan kedua. Walaupun tewas, Buakaw tetap Buakaw dengan kemampuannya mendominasi pihak lawan dengan asakan yang cukup keras dan jitu, masing-masing menjamu pihak lawan dengan hamparan seribu asakan. Walaupun begitu, aku tidak merasakan yang Sato bernasib baik kerna ketangkasannya kelihatan cukup menyerlah disamping kelasakan tubuh badannya menyerap asakan Buakaw dipentas K-1 kali ini. Sato juga cemerlang kerna berjaya mencuri satu tumbukan tepat mengenai Buakaw lalu tumbang lantas membawa kepada kemenangannya. Aku hanya sekadar terpana melihat hero ku tumbang. Peraturan baru yang dikenakan pada pentas K-1 cukup memberi kesan kepada Buakaw. Senjata utama Muay Thai iaitu siku, tidak langsung dibenarkan. Penggunaan siku umpama menusuk mata pisau ke muka lawan. Malah, keupayaan siku menghiris muka lawan memang tidak dapat dipertikaikan . Secara sendirinya membawa kelebihan kepada peserta-peserta bukan Thailand seperti Sato. Ternyata, Buakaw hilang satu kelebihan di pentas K-1. Namun, aku kira K-1 bukanlah pentas sebenar bagi Muay Thai Fighter, tetapi sudah cukup untuk menguji kehebatan sebenar para Muay Thai Fighter berhadapan pihak lawan tanpa kedua-dua senjata utama mereka.

Dua imej yang teratas merupakan imej Buakaw Por Pramuk manakala, bagi imej yang terakhir merupakan imej Yoshihiro Sato satu-satunya 'fighter' yang berjaya menjinakkan Buakaw secara K.O. Aku masih lagi kecewa kerna aku mengandaikan 'fighter' sehandal Buakaw tidak mungkin akan tewas secara K.O. Tidak dapat tidak, kenyataannya Buakaw tetap seorang manusia biasa.

Thursday, July 17, 2008

Hadiah Dari Langit

Aku demam. Kala demam melanda, aku hampir tidak bisa melakukan apa-apa. Setiap pergerakanku kian lembab dan perlahan, persis sang kura-kura merangkak dicelahan rumput, sedangkan aku seorang yang tidak bisa duduk diam. Katil menjadi kubu paling selamat, sahabat paling erat, tempat aku bersandar. Hendak makan tidak pula berselera, hendak minum tekak perit pula, hendak bernafas, hidung pula tersumbat, kepala pening kadang kala, badan pula seram sejuk. Sejuk sampai mencucuk tulang temulang. Namun, ini semua ketentuan Tuhan bukan? Sengaja dia mendatangkan bala berupa penyakit kepada hambanya, tidak lain bertujuan agar manusia itu sentiasa ingat kepadanya. Manusia umumnya akan mula kembali kepada nya jika terasa diri itu di timpa musibah berupa bala atau penyakit. Perkara lazim bagi manusia. Aku juga salah seorangnya, sedang menerima hukuman. Saat mengalami keperitan begini mula menyebut nama Tuhan yang satu. Terkumat-kamit bibir berzikir memuji zat Tuhan. Tuhan tidak pernah pula berpaling dari hambanya, namun sebaliknya manusialah yang sering lalai dan leka. Lihat, betapa mudah sahaja Tuhan itu membolak balikkan hidup manusia. Saat dia ingin menguji, dia bisa menarik kembali begitu sahaja nikmat yang telah dipinjamkan sementara, kun faya kun (kalau dia kata jadi, maka jadilah). Lihat sahaja aku, Tuhan menarik kembali nikmat kesihatan yang telah dipinjam kepada aku sebelum ini. Aku sedar selama ini sebagai peminjam aku tidak menjaga nikmat yang telah dia amanahkan kepada aku. Maka, demam ini adalah penebus dosa bagi setiap kekejaman dan kesalahan yang telah aku lakukan ke atas tubuh badan aku ini. Jadi, kasih Tuhan terhadap hambanya begitu agung sekali, jelas bukan? Maka tidak wajar ada antara kita yang tergamak menyalahkan Tuhan terhadap sesuatu takdir yang berlaku. Redha merupakan jalan terbaik saat menjalani sesuatu hukuman. Wallahua’lam Bissawab.

Wednesday, July 16, 2008

Alam Bawah Tanah Yang Sangat Underground!!

Dek berebutkan Cop Mohor Kepala Naga, berpuluh sampai beratus nyawa melayang pergi sebegitu sahaja. Perebutan kuasa antara taikor-taikor besar mengundang bencana marabahaya yang tidak terperi kesannya. Bala yang datang bukan sahaja ditanggung oleh pengikut-pengikut mereka malah terbeban pula dibahu orang-orang luar yang tidak berdosa malah bukan pula pemegang-pemegang kad kongsi gelap. Taikor besar hanya mengarahkan sahaja tanpa menidakkan sedikit pun tindakan kejam adik-adiknya terutama adiknya yang bernama Tiger. Tiger memang selalu ada disisi Taikor. Maklumlah, orang kanan merangkap manusia kepercayaan bagi Taikor besar. Kerja yang rumit selalunya digalas oleh sang Tiger. Kalau nama pun sudah Tiger, aku kira kamu sendiri sedia maklum sahajalah apa kesudahan kerjanya. Lihat saja hasil kerja Tiger, cukup sifat, cukup seninya. Setakat mencampak c4 dibadan manusia lalu diletupkan itu merupakan kerja biasa, Tiger melakukannya dengan cukup mudah namun memeritkan mangsa. Para adik yang lain menurut sahaja kehendak Taikor mereka, yang penting periuk nasi mereka terjaga. Selagi Taikor terus diatas, selagi itu adik beradik yang lain boleh kaut untung, kawasan lama terus makmur, kawasan baru bakal diteroka lantas makin banyaklah hasil kutipan wang perlindungan. Walau bagaimanapun, Cop Mohor Kepala Naga itu masih belum lagi diketemukan. Taikor-taikor yang bertelagah telah menghantar beratus pengikut mereka bagi mengesan kedudukan cop mohor tersebut. Masing-masing berkehendakkan cop mohor tersebut dengan apa jua cara sekali pun meski terpaksa menghalalkan cara. Apa yang pelik, sudah amalan para taikor untuk memandang sipi perkara halal, yang dikejar hanyalah matlamat. Sesiapa yang berjaya memiliki Cop Mohor Kepala Naga itu bakal ditabal raja kehidupan gelap lalu layak bergelar angkun @ kepala kongsi. Para pengikut masing-masingnya sekarang tengah hangat berkelahi, berparang sesama sendiri. Namun tidak kurang juga ada yang belot. Belot menyimpang ke haluan lain. Si pembelot yang dahulunya juga salah seorang Tiger besar merasakan dirinya patut naik lebih tinggi dari kedudukannya sekarang. Malah punya ramai pengikut dibelakangnya. Lantas dengan lantang mencabar Taikor nya sendiri. Sehingga kini, belum ada sesiapa lagi yang berjaya mengesan malah menguasai cop mohor tersebut, yang ada hanyalah kematian serta kecederaan kritikal yang dihadapi oleh para pengikut-pengikut mereka. Aku sendiri sebagai pemerhati merasa hiba melihat apa yang berlaku. Kenapa tidak masing-masingnya bertolak ansur kerna mereka bukannya tidak kenal mengenal antara satu sama lain malah, pernah mengangkat sumpah menjadi adik beradik. Tetapi kerna berebutkan baton ke tangga kuasa, semuanya hilang pertimbangan. Mana bisa kita makan sebelanga nasi melainkan jika kita membahagikan sedikit bahagian kepada orang lain dan sebahagian lagi kepada orang yang lain pula.


Manusia umumnya mudah terpesona dengan kuasa. Hanya kerna perebutan kuasa, maruah negara bisa tergadai. Maruah bangsa bisa tercemar. Walau apa pun, bukan kuasa itu yang salah. Tetapi yang salah ialah tangan-tangan orang yang berada ditampuk kuasa. Kita lihat bagaimana mereka menyalahgunakan kuasa demi kebuncitan perut mereka sendiri. Semuanya ditangan kita. Ya atau tidak, nilai bangsa kian bolos. Tanggungjawab kita sucikannya kembali. Tampuk itu tidak kotor, tapi tangan sendiri yang mencemarkannya. Bersama kita kembalikan tampuk itu kepada yang berhak lagi layak. Persoalannya, kamu nampak siapa yang berhak?Jika masih samar terlindung dek kabus, tunggu sahaja matahari tegak dikepala memancarkan sinar habanya.

Monday, July 14, 2008

Kita Teka Kesudahannya Kelak...

Pertandingan Muay Thai Kampung Pisang kian sengit kelihatannya. Para peserta nampaknya kian bersungguh menyediakan diri masing-masing untuk berada pada kondisi yang begitu cergas sekali menjelang pertarungan akhir. Masing-masing dengan rangkaian latihan serta persediaan rapi dan tidak kurang dengan amalan ritualnya tersendiri. Ada yang menyuntik tonik dibadan, penggunaan stimulasi kimia mahupun bahan stimulasi yang bersifat semulajadi. Tidak kurang dengan persiapan berupa azimat sambil mengunyah sireh lalu dihembus ke lengan. Malah, azimat tulang babi sekali pun diikat sekali bersama lilitan kain di lengan kanan mahupun kiri. Ada yang berhabis wang keluar modal berbelanja besar bagi meraih publisiti untuk menggerunkan pihak lawan. Semuanya hanyalah sekadar pertarungan emosi sebelum menjelangnya pertarungan sebenar. Masing-masing mengeluarkan kenyataan berbeda sebelum berlangsungnya pertarungan akhir. Ada yang begitu yakin nadanya, ada juga yang kelihatannya masih memancing, lebih kepada bermain tarik tali. Kononnya tidak mahu kelihatan terlalu menonjol kehadapan mengancam pilihan utama kejohanan. Namun masih ada yang bisa tunduk lagi ke bumi merendah diri, perlahan suara namun yakin bersahaja. Manakala, Pak Munawe pula tersenyum riang, tersengih menampakkan giginya yang tinggal tidak banyak batang itu kerna berada diposisi untuk menceduk segala apa yang terhidang didepan mata. Ceduk ke kanan dia untung, ke kiri juga sama. Menjelang pertarungan 4 penjuru ini, kian lebat spekulasi melanda mengenai pertarungan akhir itu kelak. Bersilih ganti cawan kopi terhidang kerna berbincang mengenai kebarangkalian pertarungan peringkat agung ini. Tersengih lagi Pak Munawe kerna warungnya mengaut untung. Walau apa pun, ia masih lagi menjadi tanda tanya tentang apakah kesudahannya nanti. Semua peserta sudah pun kita kenal taringnya, malah persembahan Wai Kru nya juga sudah biasa kita saksikan. Ada yang lembut seni bunga sembahnya namun penangan Corakae Kwart Hang (keting) cukup deras sehingga tujuh keturunan pun masih jua terasa sakitnya pangkal peha bila ayunan deras itu singgah menerpa. Ada juga yang kelihatan begitu agresif sekali namun layu ditengah pertarungan, hanya kerna lalai seketika, singgah Sork Klap (siku balik) ke muka terus longlai pengsan tidakkan bangun. Pilihan utama tidak menjamin kemenangan mutlak bukan? Hanya mereka yang benar-benar faham tentang percaturan sesuatu pertarungan bakal memenangi perlawanan itu nanti. Sama-sama kita saksikan. Wallahua’lam Bissawab.

Terawang Memburu

Aku sedang terawang, jaga ku seolah berkhayal sambil terasa menyisip Glock kontot ku disisi. Melangkah gagah persis lagak panglima namun setiap inci tapak langkahan itu kosong dan tidaklah segah mana. Hatta yang demikian tidaklah hebat mana Panglima Hang Tuah itu tanpa Taming Sari keris keramat. Aku juga begitu, tanpa Glock aku tidak bisa menembak buru. Aku hanya bisa memerhati serata arena melihat haiwanan bermaharajalela sesama sendiri sambil aku membongkok mengintai dicelahan semak tanpa bisa berbuat apa-apa, akhirnya lenguh sendi pinggang lalu terbaring lena. Hendak ku tembak, Glock nya pula tiada. Tiada guna jika peluru sebaldi jika Glock medium pelepas sebutir peluru itu tiada dijinjing bersama. Jika peluru perak memadai jika sedikit, yang ada cuma peluru biasa. Peluru biasa yang aku manterakan sambil ku celup sedikit mata pelurunya ke tanah agar terasa peritnya bagi yang terkena, kerna bila mati nanti ke tanah juga ia kembali. Itu pun jika mantera ku itu mustajab. Maka apa yang aku mampu bikin hanya sekadar memerhati, memerhati penat menyampah sumpah melihat gelagat haiwanan itu bermaharajalela menunjuk kuasa, menjaga kawasan memenuhi perut sendiri. Tersentak dari lamunan bila akhirnya aku terjaga sedar bila peluru sebaldi akhirnya semakin berkurang, yang tinggal cuma sekadar cukup pakai sahaja. Malah, tidaklah peluru yang tinggal itu mampu menundukkan Sang Raja Haiwanan yang sekalian kejamnya itu. Wallahua’lam Bissawab.