Friday, October 17, 2008


Kelmarin tergolong dalam hari yang sungguh bermakna sekali. Peluang bertemu mata dengan sifu M.Nasir tentunya akan terus dikenang. Sudah tentu tidak mudah untuk memahami bahasa puitis M.Nasir. Bukan sahaja puitis pada lirik lagunya, malah bahasa pertuturannya juga indah. Bertempat di Studio Ronggeng miliknya yang bertempat di Bandar Baru Sungai Buloh, sang Phoenix bangkit bersuara.

Beliau agak kelakar sebenarnya. Beberapa kali juga aku tumpas dek lawak seriusnya itu. Beberapa kali juga kaki aku kejang bila lidah ini kelu. Lawak tidak sekadar jenaka, tapi mendalam sekali maksudnya. Diskusi selama 1 jam di Luncai Emas begitu berjaya sekali. Aku tidak larat untuk menulis panjang disini. Sekadar menyelitkan beberapa imej untuk dikongsi bersama. Walau apa pun, tanpa ehsan Brader Ali Bakar mana mungkin kami bisa ketemu muka mata bertentang mata dengan beliau. Beliau seorang yang sangat 'wisdom'.

Sambil merenung imej-imej dibawah, mari kita diam-diam menyanyikan lagu Mantera Semerah Padi.




Dari kiri: Azizi, Emi, M.Nasir, Iewa, Gua dan Hamna.

Sunday, October 12, 2008

Sebilangan dari adik beradik Puncak Gua

Berdiri Dari kiri: Amad, Emi, Hakim dan Azizi.
Berduduk Dari Kiri: Gua, Fareez dan Conan.

Sebilangan dari kami

Riak wajah rakan sekelas


Eid One World

Bersama hati yang tulus aku selit bersama imej-imej yang terakam pada suatu malam yang gumbira bak kata rakan bloggerku. Tentu sekali menerusi ekspresi serta riak wajah di foto, kamu boleh mentafsir mahu pun meneka gelora yang berjelaga dalam diri mereka-mereka ini. Termasuklah aku sendiri.

Aku tidak punya apa-apa rungutan tentang majlis tersebut, lagi pula aku tidak berbelanja banyak apatah lagi beriya membuat persiapan yang rapi untuk ke majlis ini. Jadi, apa lagi yang boleh aku harapkan?

Jawapannya, duduk goyang kaki, makan dan minum sambil menikmati muzik. 'Food Presentation' sangat menarik perhatian aku.

Terima kasih buat 'Brader Chicken', tanpa lu, gua hanya layak duduk rumah pekena 'hot chocholate' sahaja sambil berSMS.

Walau apa pun, malam yang ditunggu sudah pun berlalu. Ayuh, kita buka lembaran baru kerna penamatnya bukan disini. Perjalanan masih banyak berbaki, masih jauh untuk kita rentasi. Tahniah buat tenaga kerja MPG. Hakikat yang nyata ialah setiap acara tidak akan lari dari kesilapan.

Teladan istimewa buat mereka yang keras berusaha.

Sekurang-kurangnya wujud kelompok-kelompok yang sanggup membuat kerja kebajikan hanya untuk meraikan rakan-rakan sendiri. Paling tidak, ia sudah pun terlaksana. Terima kasih untuk suatu malam yang gumbira yang bertempat disebuah banggunan kebanggaan Malaysia iaitu, KLCC.

Terkenang saat manis ketika menghabiskan masa selama 4 hari semasa berkhidmat untuk MDEC, MSC Malaysia ditempat yang sama bagi menjayakan program WCIT @ World Congress of IT 2008.

Jika ada antara rakan-rakan yang tidak berpuas hati pada malam tersebut, aku menyeru agar kamu lupakan sejenak rencah peristiwa malam itu. Usah disimpan didalam hati. Lagi pula kita masih berada dibawah naungan bulan Syawal, bulan kita bermaafan. Bersyukurlah ada rakan-rakan yang sudi berkerja keras demi meraikan rakan-rakan yang lain. Tahniah semua!!!

Saturday, October 4, 2008

Aidilfitri memberi ruang kepada muslimin dan muslimat untuk saling maaf memaafi antara satu dengan yang lain. Merapatkan jurang yang telah lama renggang, mengeratkan sillaturrahim sekaligus mengukuhkan ukhuwah sesama saudara.

Namun, jika diperhatikan slot-slot drama sepanjang musim raya ini, aku dapati ia seakan-akan sama saja plotnya, cukup dengan membaca sinopsis cerita sudah tahu bagaimana penyudah serta mesej yang hendak disampaikan. Kebanyakannya fokus kepada kesedihan, kepedihan serta penderitaan.

Benar, Aidilfitri memberikan ruang serta tapak yang ampuh kepada kita untuk saling melangsaikan dosa zahir dan batin. Entah mengapa stesen TV lebih gemar menyogok masyarakat kita dengan menjamu drama yang melayan perasaan, drama yang meruntun air mata. Sedangkan Aidilfitri itu dirai sebagai menyambut kemenangan setelah cukup sebulan berpuasa. Tidak sahaja puasa makan dan minum, malah nafsu juga berpuasa.

Istimewa bukan? Suatu amalan yang diberikan ekslusif kepada umat Muhammad SAW.

Aku terperasan, mengapa pembikin drama gemar menjamu skrip air mata kepada penonton-penonton sepanjang raya. Seolah-olah, Aidilfitri menjadi medan untuk kita bersedih. Mungkin sekadar menyuntik elemen nostalgia agaknya. Aku sendiri menitis air mata bila melihat drama melayu seorang anak menderhaka kepada ibubapa, namun akhirnya insaf dipagi raya, tidak pun pertemuan tragis seorang anak bersama jenazah ibunya dipagi raya. Sadis bukan drama melayu kita. Apatah lagi jika watak ibu dilakonkan dengan berkesan oleh Fauziah Nawi. Pelakon yang sinonim dengan watak ibu tua yang merana.

Walau apa pun, tiada apa yang salah. Sekadar hiburan semata-mata. Lagi pula, orang kita sememangnya terkenal dengan sikap pemaaf, sensitif dan sebagainya. Tidak hairanlah jika ada yang bersedih nangis dipagi Syawal mengenangkan mereka yang sudah tiada. Apalah sangat kegembiraan itu jika diraikan tanpa mereka-mereka yang tersayang. Kemeriahan Syawal seakan kurang terasa.

Walau apa pun, mengingat kembali mereka yang sudah tiada itu tidak salah. Namun yang salahnya bila kita menjadikan Aidlfitri ini sebagai medan tempat melepaskan kesedihan. Raikan kemenangan kita pada Syawal yang mulia.

Jangan lupa ceria dan senyum selalu.

Dibawah merupakan imej tradisi ketika pagi Syawal. Suatu tradisi yang sangat istimewa. Memaafkan itu bukan perkara yang mudah, namun kedatangan Syawal mengubah segala. Segalanya menjadi kosong (0-0). Nilai yang wujud pada bulan ini tidak mungkin sama dengan bulan-bulan yang lain, sebab itu kedatangannya dinanti semua. Wallahua'alam Bissawab.


Gua bersama ayah dan bonda

Gua tahu ayah gua sentiasa ampunkan gua!!!

RM1+++ untuk kucupan mesra sebegini, mmmuuaahh!!!!bonda juga sempat posing..malu la tuh!

Friday, October 3, 2008

Aidilfitri tahun ini agak serupa dengan tahun-tahun yang sudah.

Tiada apa-apa perbezaan kepada seorang pemuda yang sehingga kini masih mengejar dan mencari kemeriahan Syawal yang pernah dinikmati suatu ketika dahulu. Seperti selalu, mercun dan bunga api merupakan mainan lazim menjelang Syawal. Sesetengahnya berpendapat, tanpa dentuman mercun, Syawal seakan kurang meriah. Selagi jari tak putus, kulit tak melecur, mata tak buta, selagi itu dentuman mercun akan terus bergumpita menenggelamkan suara takbir yang berkumandang.

Tatkala orang-orang tua sibuk bertasbih, bertahmid menyambut kedatangan Syawal disurau mahupun dirumah, pemuda-pemudi kebanyakannya memilih peperangan sebagai salah satu acara lazim meraikan Syawal. Sebagai seorang pemuda yang masih terperangkap antara keinginan remaja serta kematangan seorang dewasa, aku memilih untuk menyahut cabaran pesaing-pesaing terdekat menerusi persembahan hebat dengan menunjukkan kehebatan masing-masing meledakkan bahan bakar. Ledakan mercun bergumpita silih berganti. Masing-masing tidak ingin kalah. Persaingan sihat menjelang Aidilfitri.

Malam menjelang Syawal, aku mengerahkan bala komando untuk menggerunkan pihak lawan. Berbekalkan mercun import dari China dan Taiwan itu, bala komando aku berjaya menagih rasa hormat pihak lawan. Sebagai Tuan Jeneral, aku hanya mengatur strategi sahaja. Manakala semua misi bahaya digerakkan sempurna oleh bala komando ku yang begitu komited sekali. Selain mengatur strategi, Tuan Jeneral lebih gemar bermain bunga api, kerna bunga api itu lebih indah dan kurang berisiko putus tangan berbanding ledakan mercun yang berbahaya selain dentuman kuatnya yang hampir menyamai ledakan C4. Bala yang menimpa Altantuya sudah cukup aku jadikan sandaran untuk lebih berhati-hati dalam memilih bahan ledakan. Bunga api itu indah, percikannya membentuk suatu visual yang indah berseni mengagumkan mata-mata yang melihat.

Maaf, tiada lampiran imej bahan bakar pada entri ini. Aku risau ia bakal mengundang persoalan ramai tentang bagaimana bahan bakar sehebat itu berada dibawah simpananku. Sebelum tirai entri ini berlabuh, aku menyeru:

Raikan Aidilfitri ini bersama ledakan-ledakan mercun, halakan mercun roket tepat ke kawasan pihak lawan. Setelah kekuatan pihak lawan mula lumpuh, arahkan pula skuad sniper membaling beratus biji mercun bola ke arah benteng lawan, penggunaan lastik ketika melancarkan mercun bola lebih efektif. Pada masa yang sama, arahkan skuad komando menanam mercun bola berantai berdekatan kubu lawan kerna ia bisa bertindak sebagai jerangkap samar sekaligus memerangkap pihak musuh. Setelah segalanya sempurna mengikut pelan tindakan, maka lancarkan pula peledak terhebat menuju ke langit sebagai tanda penguasaan.

Jangan harapkan kesudahan tentang perkara diatas kerna perkara ini merupakan isu yang tidak mungkin berkesudahan. Ia akan berakhir dengan sendirinya andai ada yang putus jari, melecur kulit atau buta mata. Pilihan ditangan kamu. Jadi , usah berhenti selagi kemalangan yang aku sebut diatas belum menimpa diri.

Maka, mainlah kamu puas-puas.

Monday, September 29, 2008

Aku berdiskusi seketika tadi. Panjang sungguh keluhan jiwa seorang saudara. Tiada dayanya aku berbuat apa-apa melainkan sekadar merasai kesakitan, keperitan yang dialaminya. Aku sedaya upaya cuba memasuki ruang jiwanya yang kacau, pedih serta penuh penyesalan. Nilai sebuah pelajaran yang aku kutip tidak mungkin akan terbayar. Terima kasih kerna mempercayaiku wahai saudara. Perkara lazim yang dialami semua manusia. Tidak ubah seperti sebuah bahtera yang bergelut dengan deruan kencang sang ombak ditengah-tengah lautan. Hanya kecekalan serta toleransi yang erat sahaja bisa dijadikan sandaran. Gigi mana yang tidak tergigit lidah saudara. Kesilapan lazim seorang manusia.

Aku melahirkan tulisan dibawah sebagai jalan tengah untukku salurkan sketsa yang tercetera. Sebuah keluhan yang aku himpunkan menjadi kata-kata, lalu aku bingkai kemas menerusi medium yang tidak seberapa ini.

"Seketika bila aku punya ruang yang panjang untuk bernafas, aku kadang-kadangnya hiba sendirian. Entah, aku akur akan kelemahan diri. Aku gagal mengemudi kapal ku dengan baik. Aku hiba memikirkan kesan tindak tandukku kepada seseorang yang lain. Tanpa aku sedari, dalam diam aku menyimbah air ke dalam kawahan minyak yang panas. Meletup!!!Aku menipu andai aku tidak terkesan. Aku menipu andai aku tidak ambil peduli. Aku membiarkan gelodak jantanku mengelupur, berteriak angkuh kepada yang lemah. Aku masih tidak dapat memaafkan diri sendiri tentang segala apa yang terjadi. Sungguh, aku teramat kejam tempoh hari. Namun, segala apa yang tertonjol tempoh hari bukan aku. Aku sekadar cuba melarikan diri dari sebuah kemelut yang menghadang. Aku andaikan, jika aku berperilaku sedemikian bisa menjernihkan suasana. Namun aku melangkau jauh, minyak yang panas masakan bisa disimbah air walaupun air itu suci sifatnya. Tangan ini sepatutnya mendodoi manja, jari ini seharusnya mengusap mesra. Namun sebaliknya, tangan ini mengeras, jari ini menggeletar. Aku terkasar. Maka, apa lagi yang tinggal melainkan dia lari meninggalkan. Meninggalkan tanpa sudi memaafkan. Aku akui kesilapan diri, sekadar berangan mengharapkan kemilau sinar yang pernah menyinari semesta kembali memberikan sinar."

Orang-orang tua sering berpesan, 'ikut rasa binasa, ikut hati mati, ikut nafsu lesu'. Usah diturut perasaan emosi, kerna kesannya kelak pasti berakhir kepada sebuah penyesalan. Peluang tidak datang sekali. Hanya yang bernasib baik mendapat peluang kedua. Maka, guna ia sebaik-baiknya. Itu pun jika peluang itu datang kembali. Kepada saudara, berubahlah demi sebuah perhubungan yang lebih utuh. Pelajari segala nilai yang tertimba. Walau pun jauh disudut hati mu tidak menyangka begini, yang salah tetap salah. Walau bagaimanapun, persoalan itu bukan isunya, yang penting bagaimana kamu berkorban, berusaha membina kembali keyakinan si dia yang selama ini berbakti kepada mu.

Apa kata kita tinggalkan sebentar sketsa diatas. Kini, aku ingin membawa kamu singgah seketika ke suatu cerita yang lain. Pagi ini, aku suka ingin berkongsi tentang karenah kedua adik perempuanku. Sebelum itu, sila tenung imej-imej dibawah:


Ketika kecil: dua Dara dimanja, dibelai mesra!!!


Bila besar, mereka derhaka. Mereka memilih menjadi begini. Aku mula risau. Tidakku sangka, adik-adikku pejuang TALIBAN.


Hodoh bebenor rope deme!! AK47 berserta GLOCK..real tuh!

Inilah mereka, pendengar setia lawakku. Tanpa mereka, rumah terasa sepi. Sebagai seorang yang dikatakan abang yang mithali, aku memilih untuk bersikap terbuka terhadap mereka. Sesungguhnya menjaga adik perempuan amat sukar berbanding lelaki. Cabaran buat abang-abang serata dunia! Namun keterbukaan aku mereka balas begini. Ternyata, aku memang idola mereka. Wallahua'lam Bissawab.

Sekali lagi bersempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba besok, aku mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI DAN MAAF ZAHIR BATIN.

Sunday, September 28, 2008

Alhamdulillah..

Bersyukur kepada ketenangan yang kini ku rasa, bersyukur kepada keamanan yang aku berahikan selama ini. Amin. Percutian Aidilfitri di kampung menyahkan segala ketegangan yang selama ini berteriak dihati. Mana tidaknya, seharian berehat santai sambil tidur sementara menunggu waktu berbuka. Kalau tidak tidur pun aku lebih suka melayari internet sambil diselang selikan dengan menonton TV. Paling tidak pun, aku akan ke dapur turun menjenguk ibu.

Aku pasti, semua ibu-ibu di Malaysia sedang sibuk menyediakan persiapan terakhir menjelangnya 1 Syawal. Teruskan perjuanganmu wahai ibu-ibu seMalaya!! Sediakan juadah terbaik sebagai bonus bagi meraikan hari mulia Aidilfitri nanti. Kepada ibuku yang berada didapur...

'Gua salute'!!

Pagi-pagi selepas Subuh begini, aku jarang terus tidur. Tidak tidur konon-kononnya untuk memberi kelegaan kepada perut. Melantak, melahap semasa sahur inilah natijahnya! Perut ini perlu dijaga selalu, andai kamu bertindak kejam dengan memaksanya melakukan kerja lebih masa, terimalah natijah pembalasannya nanti. Sudah pasti tidak semudah itu untuk ia melihat kamu tidur dengan aman. Adehh!!!

Aku juga mengambil kesempatan yang tidak seberapa ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua Muslimin dan Muslimat walau dimana kamu berada. Aku memohon seribu kemaafan andai aku pernah terkasar bahasa secara sengaja atau tidak, terlepas tutur, tersilap langkah dan sebagainya. Semoga Syawal kali ini kita raikan dengan penuh kesederhanaan dan kesyukuran. Sebulan melawan godaan segala nafsu memberikan umat Islam hak yang mutlak untuk bergembira seadanya.

Bersama nikmati kemeriahan Syawal.

Saturday, September 27, 2008

Lega..!!

Akhirnya sampai jua ke kampung setelah mengharungi jalan-jalan yang penuh liku, penuh warna-warni. Mana tidaknya, jalan pulang menuju ke pantai timur begitu menyesakkan sekali. Lebih kurang sama seperti tahun-tahun yang sudah. Aku hanya mampu menahan sakit pinggang serta mengantuk yang amat. Tidaklah sesakit mana, sekadar manja-manja mengada.

Walau bagaimanapun, fasa pertama perjalanan berkereta secara solo ini biasa-biasa sahaja. Menyelusuri lebuh raya Karak menuju terus ke Bentong. Sesampai di Bentong, aku memacu segera ke Raub. Seterusnya singgah di Hentian Benta di Kuala Lipis. Setelah melibas kebab daging, aku terus gerak. Jalan raya seperti litar lumba. Masing-masing mengejar antara satu sama lain. Sungguh meriah suasana jalan raya. Maklumlah masing-masingnya tidak sabar mahu beraya. Lagi meriah andai ada yang terlanggar 'divider', lagi riuh andai ada yang tersembam manakala kaki pula tertinggal dibahu jalan, lagi warna warni andai ada yang pergi tak kembali. Memang hati kering sekering keting Buakaw.

Fasa kedua perjalanan, aku pancit sedikit. Aku kurang tidur, seterusnya aku mengalami keciciran tenaga yang merudum lantas melumpuhkan semangat juang ku untuk terus beraksi. Prestasi sedikit hambar. Moralnya disini, kamu semua sendiri sudah sedia maklum. Sebelum memulakan perjalanan yang jauh, pastikan kamu mendapat rehat yang cukup. Kasi caj dulu, baru mencapai prestasi yang optimum, memotong pun tidak terasa.

Aku tewas di Gua Musang. Terlelap lebih 2 jam. Mimpi memandu kereta sambil tidur mengejutkan aku dari lena. Aku bangkit menguap sambil mendepakan kedua-dua belah tangan lalu mengeliat . Aku duduk singgah ke sebuah gerai. Semangkuk sup ekor aku hirup licin. Sedapnya hirup sup!!Cuma yang tak sedapnya terasa keseorangan tanpa peneman yang selalu disisi. Sunyi, sesunyi filem Sepi.

Aku teruskan baki perjalanan bagi fasa yang terakhir. Aku memandu perlahan sahaja. Merasai angin yang dingin, menikmati embun suci. Sungguh sejuk mencengkam anak jantung. Dada seolah-olah beku, menghimpit tulang.

Sesampainya dirumah, suasana mula bising. Tandanya aku sudah pulang!!!

Itu ceritanya semalam, cerita hari ini lain pula. Tiada kaitan dengan Aidilfitri yang bakal tiba nanti. Aku terlihat imej-imej lama, tanpa segan silu aku ingin berkongsinya bersama kamu!!


Penemuan PistolBerpeluru bermula sejak kanak-kanak lagi!

Lokasi: Kuching, aku merindui rambut ala-ala Bob Marley ku ini. Natural tau!Seluar tak berzip, gigi pula rongak kat tengah. Angah kepit lutut!'cover line' kencing dalam seluar!