Monday, October 27, 2008

Apa pula selepas 4 haribulan?




Gambar kenangan semasa 'Malam Perfutsalan Graduan'


Ada apa tentang tarikh itu?

Aku ‘seriau’ untuk memikirkannya. Sementara menanti saat itu hadir, ruang yang sedang aku nikmati kini di rencahi sebaiknya. Sejak berakhirnya ‘final presentation’ tempoh hari, aku dan yang lain-lain meneruskan tradisi mingguan kami. Malam yang dikatakan sebagai ‘malam perfutsalan graduan’ begitu meriah sekali. Terima kasih kepada ‘mojo’ atas usaha keras menganjurkan acara pada malam itu walau pun khabarnya ‘mojo’ sendiri sedang bergelut dengan perasaan sendiri. Biasalah Mo, rencah sebuah pementasan. Tanpa rencah, pementasan tiada makna, tiada drama. Statik!


Bala pencinta makanan dalam perjalanan ke rumah Fareez


Kesempatan menghadiri rumah terbuka kelmarin antara sesuatu yang ditunggu-tunggu. Pertamanya, rumah terbuka Fareez di Subang, yang keduanya bertandang pula ke rumah Sofea di seksyen 3 Shah Alam. Sebagai pencinta makanan, peluang yang datang bergolek tidak wajar ditolak. Apatah lagi berkesempatan menikmati ‘lamb chop’ yang antara lainnya merupakan santapan utama dirumah Sofea. Teruja tidak terkata, daging kambing depan mata. Hah, apa lagi? Membaham santapan bak sang singa yang sedang laparlah gamaknya!


Sesi bergambar selepas makan-makan time!!!Tuan rumah, Fareez berdiri dihujung sekali sebelah kiri.

Dari kiri: Boy, emi, arip dan zizi!


Gua bersama Jason Amad Mraz


wajah-wajah gembira

Bersama puan rumah, Sofea!

Perut kenyang, mata pun layu, dari kiri: ayap, emi dan hakim.


Menjelang maghribnya, seperti selalu, aku ke Petaling Jaya menziarahi Nurul. Sementara menanti Nurul bersiap, aku tertonton sebuah rancangan realiti di Astro iaitu ‘sehati berdansa’. Teringat pula wajah bonda, semestinya bonda dikampung juga mungkin sedang menyaksikan gelek-gelek manja selebriti didepan kaca tv. Bersiaran di Astro, sebuah stesen tv yang terkenal dengan kemahiran merealitikan fantasi manusia yang sememangnya dahagakan runtunan -runtunan emosi.Terbahak juga aku gelak menontonnya. Setelah siap, aku dan Nurul terkedek-kedek menuju ke ruang meletak kereta.

Aku : kita lepak kat seksyen 13 nak? Kat situ ada KFC? Awak mengidam KFC kan?

Nurul : ok!!

Aku : tapi saya tak makanlah, awak sorang je makan k?

Kami pantas ke seksyen 13, aktiviti makan-makan berterusan pula di KFC seksyen 13 Shah Alam. Selagi boleh aku sebenarnya sedang cuba mengawal tahap pemakananku, namun, aku tertewas. aku asyik tertewas semenjak setahun dua ini. Dimeja makan, Nurul bersuara;

Nurul: siapa yang mengidam KFC sebenarnya ni? Saya ke awak? Nurul bertanya sinis..

Aku : entahlah, saya pun pelik!!Sambil aku menjilat jari..

Kami duduk lama disitu sambil berbicara perihal masa depan. Rancak sungguh perbualan kami. Ketika Nurul kelihatannya rancak bercerita mengenai perancangan masa depannya, fikiran aku menerawang jauh. Aku mula terawang-awang..

Apa pula selepas 4 haribulan?

Tidak dinafikan yang aku sangat ‘seriau’ ketika itu. Aku cuba untuk tidak terlalu memikirkannya, tetapi ia tetap juga datang menghantui emosi. Mahu atau tidak, aku harus bersedia mengambil risiko. Seperti yang selalu aku ceritakan sebelum ini, hidup merupakan sebuah pementasan yang mana skripnya sudah tertulis di ‘luh mahfuz’. Tuan pengarah semestinya tahu apa yang terbaik buat para pelakonnya. Namun, pilihan tetap ditangan kita, jatuh bangun, berjaya atau gagal tetap jua ditangan kita. Selagi kita berusaha, aku positif kepada penantian yang gembira. Andai cara fikir begini boleh dikatakan sebagai sebuah ‘escapism’, aku tidak kisah jika ia bisa jadi penawar. Wallahua’alam Bissawab.

Wednesday, October 22, 2008

Hasrat untuk mewujudkan sebuah band yang berorientasikan muzik rock ternyata kesampaian. Sungguh pun hayatnya seketika cuma, tetapi pelan yang dihajati terlaksanana sudah. Maka tercapai juga impian dan angan-angan untuk bergelar seorang rockstar. Maaf, aku tidak berpegang kepada falsafah drug, sex and rock and roll disini. Imej-imej yang bakal kamu saksikan seketika nanti hanyalah sebuah pementasan. Semangat untuk menjadi seorang rockstar diterjemahkan menerusi sesi photoshoot yang sengaja diadakan tempoh hari.

Kehadiran band yang tidak siap ini bukanlah untuk menggugat mana-mana band sedia ada. Jika kamu perhatikan posisi aku didalam imej, tentu sekali kamu bertanggapan yang aku ini ‘travis Barker wannabe’. Oh tidak sekali! Aku tidak tahu memukul tong drum. Memukul drum secara miming mungkin pandai. Tetapi tidaklah sepandai aku memukul bola badminton menggunakan raket jenama Yonex. Sekadar sebuah pementasan.

Hidup ini merupakan sebuah pementasan. Manakala skripnya pula sudah termaktub didalam Al-Quran dan sunnah. Sebuah skrip paling agung yang diturunkan oleh Tuhan kepada makhluk ciptaannya yang sempurna. Setiap patah ayat yang terkandung merupakan bahasa Tuhan. Tiada bahasa seindah bahasa Tuhan. Lebih afdhal andai dibaca dan dihayati berulang kali, persis sebuah dialog secara langsung dengannya.

Jika hidup bisa diterjemahkan sebagai sebuah pementasan, maka tidak salah andai kita fokus kepada peranan kita yang sebenar. Sekali sekala menyimpang itu perkara lumrah, tetapi jika asyik menyimpang berulang kali itu yang bermasalah.

Kalau asyik terbabas dari watak asal, macam mana nak jadi Rosyam Nor? Sekurang-kurangnya gagal menggondol anugerah pelakon terbaik, menyapu anugerah pelakon pembantu terbaik pun sudah cukup kiranya. Pengarah mana yang tidak naik ‘hangin’ jika pelakonnya gagal menghayati skripnya dengan baik. Susah-susah diciptanya sebuah Ummul Kitab, tetapi pelakonnya pula bermasalah. Maaf, aku tidak bermaksud untuk memberi sifat kepada tuan direktor kita, tetapi sebagai metafora kepada definisi tuan pengarah ciptaan manusia.

Orang tua selalu berpesan, dengar nasihat ustaz, tetapi usah mengikut perangai ustaz. Alang-alang aku punya sebuah medium atau ruangan sosial aku sendiri, apalah salah aku memberi peringatan. Agar kelak peringatan itu bisa aku jadikan sebagai sandaran untuk aku bermuhasabah sendiri. Aku sebetulnya amat gemar memerhati tingkah laku manusia. Jika diberi peluang untuk duduk sendirian, aku lebih gemar melepak dimana-mana tempat, asalkan aku berpeluang melihat gelagat serta karektor manusia.

Namun, fasa untuk aku bereksperimentasi kepada kenikmatan dunia sudahpun aku tinggal jauh nun dibelakang tanpa ada sedikit pun rasa untuk kembali merasai. Lagi pula, aku seakan sudah tidak selesa lagi untuk bermenung seorangan. Takut nanti dilabel sebagai seorang yang misteri pula. Tetapi sifat misteri itu masih relevan untuk dikekalkan. Aku memang serius dalam ini.

Kepada yang masih mencari-cari jalan, usah bingung memikirkan sebuah remedi. Dalam dunia ini, memang kita terdedah kepada pelbagai cara yang kononnya akan membawa kita ke syurga. Tetapi itu semua hanya sekadar ilusi. Bukan hakikat. Dalam dunia yang penuh ilusi, bintang dilangit pun kita mampu gapai, bulan terang pun bisa nampak diriba. Harus kita ingat, kesan kepada sebuah akibat itu merupakan sebuah tragedi . Renungi bait-bait seperti dibawah:

TUJUH PULUH TIGA pintu,
TUJUH PULUH TIGA jalan,
Yang sampai hanya SATU jalan,
Ribu-ribu margasatua,
mencari raja si Muraq,
Yang sampai hanya TIGA PULUH!

Sebagai remedi, manusia selalunya akan memilih salah satu dari pintu masuk jalan-jalan tersebut. Namun hakikatnya, hanya wujud satu jalan sahaja iaitu sunnah, manakala selebihnya merupakan jalan mati. Manakala 30 merupakan kata kunci sebagai penyuluh untuk kita menjejaki sunnah, iaitu bersamaan dengan 30 juzuk dalam kitabullah. Kata kunci yang sudah bocor sekian lama dipasaran. Namun kita masih lagi belum menghayatinya.

Banyak yang sudah bocor! Hatta soalan di Alam Barzah kelak juga sudah lama bocor. Soalan yang lazim kedengaran dari mulut pak lebai atau ustaz-ustaz iaitu;

Malaikat datang bertanya, 'Marrobbuka?' (Siapa Tuhan kamu?)

Jawapannya, tidak perlu aku bagi tahu. Semua orang tahu. Malah, masih ramai tidak ambil peduli. Perkara yang dianggap remeh oleh sesetengah dari kita termasuk aku. Tidak cukup dengan itu, ada juga yang sanggup memerah kepala, menodai soalan-soalan dari Malaikat. Aku teringat tentang teka -teki seorang teman ketika bersekolah dahulu.

Teman: Apa yang engkau akan jawab bila Malaikat datang bertanya. 'Marrobbuka?' (Siapa Tuhan kamu?)

Gua: Lalu aku dengan lurus bendulnya berkata, 'Allah!!!'

Teman: Jawapan engkau salah!!Tegas kawan gua..

Gua: Sambil menggaru kepala gua bertanya balik, habis tu apa jawapannya sengal??

Teman: Bersama aras keyakinan yang tinggi, teman gua menjawab..

Sudah gaharu,
Cendana pula,
Sudah tahu,
Bertanya pula!!'

Maaf, aku tidak bermaksud untuk berkomedi disini. Sekadar sebuah cerita benar yang suka untuk aku kongsi bersama. Mungkin ramai antara kamu yang mengetahui tentang cerita berbentuk picisan murahan sebegini.

Atas pengalaman-pengalaman yang sudah, aku mempelajari banyak perkara. Aku banyak belajar tentang tingkahlaku manusia, tentang pementasan dan juga lakonan manusia. Aku melihat turun naik, jatuh bangunnya seorang manusia. Aku juga mengerti akan fasa-fasa yang dilalui oleh sesetengah dari mereka. Bermula saat mereka tidak kenal dunia, berterusan sehingga saat mereka rasa mengenal dunia, berterusan lagi sehingga saat mereka rasa dunia itu milik mereka, sehingga suatu saat mereka teraba-raba dalam kegelapan, mencari arah dalam suluhan. Selalunya aku hanya tersenyum didalam hati jika terlihat pementasan dari kelompok-kelompok ini. Ingat, kesan dari sebuah akibat ialah tragedi. Suatu tragedi yang tidak wajar berulang.

Sehingga kini aku masih lagi memerhati, masih lagi mencari, masih mempelajari tentang hakikat sebenar sebuah pementasan. Wallahu’alam Bissawab.

Disini aku paparkan sekali sebuah pementasan menerusi imej-imej yang lahir dari sesi ‘photoshoot’ tempoh hari.


Susah jadi 'Rockstar' yang kena melompat mengangkang begini!!


Imej-imej yang lahir atas nama pementasan. Semestinya aku merindui mereka. Sekuntum senyuman yang manis lagi manja aku tujukan khas buat Emi, Zizi, Iewa dan Hamna. Tanpa kerja keras mereka, aku tidak akan duduk senang sambil memanjai diri di laman ini. Semoga tercapai cita-cita bersama untuk ke majlis anugerah dekan.Perjalanan aku berehat disini.

Friday, October 17, 2008

Aku cuba nukilkan sebuah ekspresi, membawa kamu melintas lalu singgah ke sebuah hentian aspirasi. Aku tidak membawa aspirasi rakyat disini, aku membawa aspirasi sendiri. Mewakili sebuah fitrah dan emosi. Aku percaya, sebilangannya merasai, semua akan menempuhi. Andai tidak, Tuhan itu tidak sesekali bekalkan kita sebuah emosi.

Hanya untuk kita rasai, agar kita bisa mengerti.



Disuatu sudut aku berhenti,
berfikir sendiri,
lalu duduk memujuk hati sendiri,
sambil mengenang kembali,
sebuah cereka acuan sendiri.



Gembira tanpa suara,
riang mengolah senyum asmara,
ria menguntum seluruh raga,
tiada lagi lara,
hilang duka,
ria menjelma.




Mencari inspirasi,
menuju destinasi,
halatuju ciptaan sendiri,
realiti yang pasti,
bahu berat menggendong aspirasi,
puncak didaki, sampainya tidak pasti.





Fitrah cinta datang dan pergi,
sahabat berduka sukar pula dicari,
yang nyatanya akan ada yang mengerti,
kekasih sejati mengerti,
sahabat juga mengerti,
Dia lagi mengerti.


Pelihara sebuah emosi, kerna penghormatan bermulanya disini.

Bak kata Brader M.Nasir tempoh hari, dalam hidup manusia akan sering melalui garis-garis lurus. Usah kita langkaui garisan yang lurus, kerna garisan itu simbolik kepada sebuah sempadan. Jika elok pembawaannya, keseimbangan akan terbit.

Sempadan yang bagaimana terpulang kepada pemahaman kamu sendiri.

Sehari bisa mengundang seribu emosi yang berbeza, apatah lagi seminggu, sebulan dan setahun. Malam juga sering mempengaruhi pasang surut air dikepala, apatah lagi ketika bulan mengambang. Andai bulan bisa mempengaruhi pasang surut air dilaut, apatah lagi pasang surut air dikepala. Beginilah antara rencah kehidupan makhluk kompleks ciptaan yang maha kuasa.

Kelmarin tergolong dalam hari yang sungguh bermakna sekali. Peluang bertemu mata dengan sifu M.Nasir tentunya akan terus dikenang. Sudah tentu tidak mudah untuk memahami bahasa puitis M.Nasir. Bukan sahaja puitis pada lirik lagunya, malah bahasa pertuturannya juga indah. Bertempat di Studio Ronggeng miliknya yang bertempat di Bandar Baru Sungai Buloh, sang Phoenix bangkit bersuara.

Beliau agak kelakar sebenarnya. Beberapa kali juga aku tumpas dek lawak seriusnya itu. Beberapa kali juga kaki aku kejang bila lidah ini kelu. Lawak tidak sekadar jenaka, tapi mendalam sekali maksudnya. Diskusi selama 1 jam di Luncai Emas begitu berjaya sekali. Aku tidak larat untuk menulis panjang disini. Sekadar menyelitkan beberapa imej untuk dikongsi bersama. Walau apa pun, tanpa ehsan Brader Ali Bakar mana mungkin kami bisa ketemu muka mata bertentang mata dengan beliau. Beliau seorang yang sangat 'wisdom'.

Sambil merenung imej-imej dibawah, mari kita diam-diam menyanyikan lagu Mantera Semerah Padi.




Dari kiri: Azizi, Emi, M.Nasir, Iewa, Gua dan Hamna.

Sunday, October 12, 2008

Sebilangan dari adik beradik Puncak Gua

Berdiri Dari kiri: Amad, Emi, Hakim dan Azizi.
Berduduk Dari Kiri: Gua, Fareez dan Conan.

Sebilangan dari kami

Riak wajah rakan sekelas


Eid One World

Bersama hati yang tulus aku selit bersama imej-imej yang terakam pada suatu malam yang gumbira bak kata rakan bloggerku. Tentu sekali menerusi ekspresi serta riak wajah di foto, kamu boleh mentafsir mahu pun meneka gelora yang berjelaga dalam diri mereka-mereka ini. Termasuklah aku sendiri.

Aku tidak punya apa-apa rungutan tentang majlis tersebut, lagi pula aku tidak berbelanja banyak apatah lagi beriya membuat persiapan yang rapi untuk ke majlis ini. Jadi, apa lagi yang boleh aku harapkan?

Jawapannya, duduk goyang kaki, makan dan minum sambil menikmati muzik. 'Food Presentation' sangat menarik perhatian aku.

Terima kasih buat 'Brader Chicken', tanpa lu, gua hanya layak duduk rumah pekena 'hot chocholate' sahaja sambil berSMS.

Walau apa pun, malam yang ditunggu sudah pun berlalu. Ayuh, kita buka lembaran baru kerna penamatnya bukan disini. Perjalanan masih banyak berbaki, masih jauh untuk kita rentasi. Tahniah buat tenaga kerja MPG. Hakikat yang nyata ialah setiap acara tidak akan lari dari kesilapan.

Teladan istimewa buat mereka yang keras berusaha.

Sekurang-kurangnya wujud kelompok-kelompok yang sanggup membuat kerja kebajikan hanya untuk meraikan rakan-rakan sendiri. Paling tidak, ia sudah pun terlaksana. Terima kasih untuk suatu malam yang gumbira yang bertempat disebuah banggunan kebanggaan Malaysia iaitu, KLCC.

Terkenang saat manis ketika menghabiskan masa selama 4 hari semasa berkhidmat untuk MDEC, MSC Malaysia ditempat yang sama bagi menjayakan program WCIT @ World Congress of IT 2008.

Jika ada antara rakan-rakan yang tidak berpuas hati pada malam tersebut, aku menyeru agar kamu lupakan sejenak rencah peristiwa malam itu. Usah disimpan didalam hati. Lagi pula kita masih berada dibawah naungan bulan Syawal, bulan kita bermaafan. Bersyukurlah ada rakan-rakan yang sudi berkerja keras demi meraikan rakan-rakan yang lain. Tahniah semua!!!

Saturday, October 4, 2008

Aidilfitri memberi ruang kepada muslimin dan muslimat untuk saling maaf memaafi antara satu dengan yang lain. Merapatkan jurang yang telah lama renggang, mengeratkan sillaturrahim sekaligus mengukuhkan ukhuwah sesama saudara.

Namun, jika diperhatikan slot-slot drama sepanjang musim raya ini, aku dapati ia seakan-akan sama saja plotnya, cukup dengan membaca sinopsis cerita sudah tahu bagaimana penyudah serta mesej yang hendak disampaikan. Kebanyakannya fokus kepada kesedihan, kepedihan serta penderitaan.

Benar, Aidilfitri memberikan ruang serta tapak yang ampuh kepada kita untuk saling melangsaikan dosa zahir dan batin. Entah mengapa stesen TV lebih gemar menyogok masyarakat kita dengan menjamu drama yang melayan perasaan, drama yang meruntun air mata. Sedangkan Aidilfitri itu dirai sebagai menyambut kemenangan setelah cukup sebulan berpuasa. Tidak sahaja puasa makan dan minum, malah nafsu juga berpuasa.

Istimewa bukan? Suatu amalan yang diberikan ekslusif kepada umat Muhammad SAW.

Aku terperasan, mengapa pembikin drama gemar menjamu skrip air mata kepada penonton-penonton sepanjang raya. Seolah-olah, Aidilfitri menjadi medan untuk kita bersedih. Mungkin sekadar menyuntik elemen nostalgia agaknya. Aku sendiri menitis air mata bila melihat drama melayu seorang anak menderhaka kepada ibubapa, namun akhirnya insaf dipagi raya, tidak pun pertemuan tragis seorang anak bersama jenazah ibunya dipagi raya. Sadis bukan drama melayu kita. Apatah lagi jika watak ibu dilakonkan dengan berkesan oleh Fauziah Nawi. Pelakon yang sinonim dengan watak ibu tua yang merana.

Walau apa pun, tiada apa yang salah. Sekadar hiburan semata-mata. Lagi pula, orang kita sememangnya terkenal dengan sikap pemaaf, sensitif dan sebagainya. Tidak hairanlah jika ada yang bersedih nangis dipagi Syawal mengenangkan mereka yang sudah tiada. Apalah sangat kegembiraan itu jika diraikan tanpa mereka-mereka yang tersayang. Kemeriahan Syawal seakan kurang terasa.

Walau apa pun, mengingat kembali mereka yang sudah tiada itu tidak salah. Namun yang salahnya bila kita menjadikan Aidlfitri ini sebagai medan tempat melepaskan kesedihan. Raikan kemenangan kita pada Syawal yang mulia.

Jangan lupa ceria dan senyum selalu.

Dibawah merupakan imej tradisi ketika pagi Syawal. Suatu tradisi yang sangat istimewa. Memaafkan itu bukan perkara yang mudah, namun kedatangan Syawal mengubah segala. Segalanya menjadi kosong (0-0). Nilai yang wujud pada bulan ini tidak mungkin sama dengan bulan-bulan yang lain, sebab itu kedatangannya dinanti semua. Wallahua'alam Bissawab.


Gua bersama ayah dan bonda

Gua tahu ayah gua sentiasa ampunkan gua!!!

RM1+++ untuk kucupan mesra sebegini, mmmuuaahh!!!!bonda juga sempat posing..malu la tuh!

Friday, October 3, 2008

Aidilfitri tahun ini agak serupa dengan tahun-tahun yang sudah.

Tiada apa-apa perbezaan kepada seorang pemuda yang sehingga kini masih mengejar dan mencari kemeriahan Syawal yang pernah dinikmati suatu ketika dahulu. Seperti selalu, mercun dan bunga api merupakan mainan lazim menjelang Syawal. Sesetengahnya berpendapat, tanpa dentuman mercun, Syawal seakan kurang meriah. Selagi jari tak putus, kulit tak melecur, mata tak buta, selagi itu dentuman mercun akan terus bergumpita menenggelamkan suara takbir yang berkumandang.

Tatkala orang-orang tua sibuk bertasbih, bertahmid menyambut kedatangan Syawal disurau mahupun dirumah, pemuda-pemudi kebanyakannya memilih peperangan sebagai salah satu acara lazim meraikan Syawal. Sebagai seorang pemuda yang masih terperangkap antara keinginan remaja serta kematangan seorang dewasa, aku memilih untuk menyahut cabaran pesaing-pesaing terdekat menerusi persembahan hebat dengan menunjukkan kehebatan masing-masing meledakkan bahan bakar. Ledakan mercun bergumpita silih berganti. Masing-masing tidak ingin kalah. Persaingan sihat menjelang Aidilfitri.

Malam menjelang Syawal, aku mengerahkan bala komando untuk menggerunkan pihak lawan. Berbekalkan mercun import dari China dan Taiwan itu, bala komando aku berjaya menagih rasa hormat pihak lawan. Sebagai Tuan Jeneral, aku hanya mengatur strategi sahaja. Manakala semua misi bahaya digerakkan sempurna oleh bala komando ku yang begitu komited sekali. Selain mengatur strategi, Tuan Jeneral lebih gemar bermain bunga api, kerna bunga api itu lebih indah dan kurang berisiko putus tangan berbanding ledakan mercun yang berbahaya selain dentuman kuatnya yang hampir menyamai ledakan C4. Bala yang menimpa Altantuya sudah cukup aku jadikan sandaran untuk lebih berhati-hati dalam memilih bahan ledakan. Bunga api itu indah, percikannya membentuk suatu visual yang indah berseni mengagumkan mata-mata yang melihat.

Maaf, tiada lampiran imej bahan bakar pada entri ini. Aku risau ia bakal mengundang persoalan ramai tentang bagaimana bahan bakar sehebat itu berada dibawah simpananku. Sebelum tirai entri ini berlabuh, aku menyeru:

Raikan Aidilfitri ini bersama ledakan-ledakan mercun, halakan mercun roket tepat ke kawasan pihak lawan. Setelah kekuatan pihak lawan mula lumpuh, arahkan pula skuad sniper membaling beratus biji mercun bola ke arah benteng lawan, penggunaan lastik ketika melancarkan mercun bola lebih efektif. Pada masa yang sama, arahkan skuad komando menanam mercun bola berantai berdekatan kubu lawan kerna ia bisa bertindak sebagai jerangkap samar sekaligus memerangkap pihak musuh. Setelah segalanya sempurna mengikut pelan tindakan, maka lancarkan pula peledak terhebat menuju ke langit sebagai tanda penguasaan.

Jangan harapkan kesudahan tentang perkara diatas kerna perkara ini merupakan isu yang tidak mungkin berkesudahan. Ia akan berakhir dengan sendirinya andai ada yang putus jari, melecur kulit atau buta mata. Pilihan ditangan kamu. Jadi , usah berhenti selagi kemalangan yang aku sebut diatas belum menimpa diri.

Maka, mainlah kamu puas-puas.