Wednesday, March 25, 2009

Aku sudah biasa menempuh kegagalan. Walau bagaimana pun, aku tidak menjadikan kegagalan tersebut sebagai unsur halangan untuk aku bangkit semula. Kalau diikutkan, aku belum lagi layak untuk bertutur sebegini memandangkan aku sendiri masih lagi bertatih. Cuma, pada malam yang dingin sebegini aku terangsang untuk berkongsi sesuatu. Manalah tahu, ada yang terkesan bila membacanya.

Sesuatu yang aku perolehi sepanjang musim yang suram ialah, untuk meraih sesuatu yang kita tidak pernah dapat, kita harus melakukan sesuatu yang tidak pernah kita buat. kalau dulu, aku sering bersandar kepada nasib yang baik semata-mata, namun tetap jua malas berusaha untuk meraihnya.

Sekarang tidak lagi. Sikit-sikit tu adalah juga!

Untuk sampai ke puncak everest, kita perlu mengambil risiko untuk mendaki walau pun kita sedar yang kita akan berdepan dengan pelbagai kesukaran sepanjang tempoh pendakian tersebut. Maaf, entri ini sekadar ingatan buat diriku sendiri dan aku percaya ekspresi sebegini berupaya mengubah ‘chi’ atau menolak sebarang unsur negatif yang kadangkala suka merasuk dan bermanja dalam diri.

Apabila Tuhan menarik subsidi atau ‘loan’ yang dipinjamkan kepada kita, tidak bermakna kita sebagai peminjam atau ‘borrower’ telah disenarai hitamkan atau ‘blacklisted’ dan tidak juga itu boleh diistilahkan sebagai salah satu bentuk hukuman atau ‘punishment’ dari Tuhan.

Aku tidak gemar menyempitkan diri aku bahawasanya segala kegagalan itu adalah hukuman dari Tuhan, tetapi aku lebih gemar melihat ia sebagai suatu bentuk hikmah yang mungkin nanti bila sampai masanya kita tersedar yang Tuhan telah menyediakan sesuatu yang jauh lebih baik dari apa yang kononnya kita akan dapat di masa lepas. Kadang-kadang, kita mungkin rasa peluang pada masa lepas adalah yang terbaik tetapi sebenarnya mungkin tidak.

Mungkin?

Dalam bahasa mudah, ada sesuatu yang menanti kita pada masa hadapan yang mana hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sudah semestinya jika kita terus positif dan percaya, maka baik juga yang kita terima. Cuba kamu pantau pergerakan aku dan lihat pencapaian seterusnya. Itu pun dalam tempoh 10 tahun ye!

Lebat juga tutur kata aku malam ini. Manusia kadangkala memang sombong tapi tidak sedar hakikat sombong hanyalah milik Tuhan semata-mata.

Aku sendiri kadang-kadangnya sering teremosi bila mengenangkan peristiwa lepas, termenyesal tentang peluang yang pernah dimiliki namun walau macam mana sekali pun kita menyesal, masa tetap akan terus mara kehadapan tanpa menginjak ke belakang. Jadi, apa baiknya untuk kita mengenang peristiwa yang sudah menjadi sejarah melainkan mengenang untuk kita jadikan sebagai pedoman agar ia tidak lagi berulang dimasa akan datang.

Bak kata P.Ramlee, usah dikenang peristiwa lalu..jika dikenang, air mata berlinang! P.Ramlee cakap tuu..!

Maka kamu diluar sana dengarlah!

Dengarlah kerna aku yang menulis, ikut nasihat aku tapi usah ikut fi’il aku. Sudah semestinya aku ialah orang yang berpengalaman merasai kegagalan dan aku tidak mahu ada dikalangan kamu yang merasainya kerna manusia yang baik itu ialah manusia yang belajar menerusi kesilapan orang lain. Anggap saja aku sebagai salah satu mata-mata yang terkehadapan kerna bila mata sudahpun melihat lubang, kamu tidak terus jatuh ke lubang yang sama dimana tempat mata-mata itu jatuh.

Sudahlah, aku khuatir kamu kebosanan.

Aku sekadar berkongsi tentang apa yang aku rasa. Sebelum aku masuk tidur bemimpikan para bidadari, aku harap kamu mendapat sesuatu. Sekali sekala kalau bermuhasabah begini elok juga.Hari ini ketika kerja aku perasan yang aku sudah pandai mengukir senyum. Kadang-kadang, senyuman aku manja sampai ke telinga.

Aku tidak mengurat!

Daripada asyik bikin muka ketat, sekali sekala senyum apa salahnya. Cuba kamu senyum, sambil senyum pejamkan mata. Bila lelap, pasti Bidadari menyapa.


Monday, March 23, 2009

Aku sedang cuba untuk merealitikan fantasi pistol berpeluru. Tidak sekadar 'Glock' kontot yang aku pikul di alam maya malah suatu realiti pasti di dunia nyata.

Sesetengahnya mungkin faham tentang apa yang aku maksudkan. Ya benar, aku menyukai segala bentuk kekerasan sebenarnya. Jauh dalam diri aku tersimpan unsur 'energy' bersifat batu yang sengaja tidak aku pamerkan.

Lalu, aku salirkan tenaga itu menjadi sesuatu yang lembut bak pasir di tepi pantai agar ia tidak disalah guna hingga bisa mengazabkan diri sendiri.

Senario di atas hanya sebagai pembayang, tapi maksud yang tersirat di sebalik yang tersurat ialah:

Aku nak jadi James Bond!

Aku sekadar ingin menulis, aku gian.

Sunday, March 22, 2009

Kalau masuk bab politik, orang melayu memang jaguh. Aku kurang faham mengapa orang kita asyik bertempik teriak bersorak kononnya memperjuangkan hak melayu. Sana sini kita lihat ada saja figura ala perwira bangsa bangun mempertahankan hak melayu kononnya.

Isu yang sama sejak berdekad di ulang berkali-kali. Isu yang aku rasa tidak akan berkesudahan sampai bila-bila. Sebagai seorang yang jahil sangat tentang senario politik semasa di Malaysia, aku kira isu ini akan tetap menjadi isu yang sama setiap kali menjelang apa-apa pemilihan atau pertukaran kerusi dalam tampuk pentadbiran.

Aku tidak menidakkan tentang isu hak orang Melayu kerna sebagai Melayu aku juga seperti orang Melayu lainnya yang mahu hak Melayu bumiputera ini terus terpelihara. Cuma kadang-kadang siulan para politikus ini kedengarannya tidak lebih sekadar siulan yang kosong. Siulan bersifat retorik yang disengajakan untuk kepentingan politik masing-masing.

Siulan begini sangatlah tidak merdu pada pemikiran cetek aku.

Orang Melayu umumnya sudah sedar akan hak mereka, cuma mengapa tidak difokuskan bagaimana untuk memperkasakan bangsa Melayu itu sendiri. Diluar sana berapa ramai lagi orang Melayu miskin, berapa ramai lagi yang masih menganggur bak menunggu rezeki turun dari langit, berapa ramai lagi Melayu direkrut sebagai Mat Rempit. Belum lagi dicampur dengan kes penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

Malah Mat Rempit pun tahu akan hak-hak Melayu.

Tapi apa gunanya bersiul kalau survival bangsa semakin terancam. Aku secara peribadi memang tabik dengan politikus yang jujur cuma kadang-kadang aku terperasan senario politik orang Melayu lebih fokus kepada mempolitikkan sesuatu lebih dari memperjuangkan. Perjuangan bukan untuk bangsa, tetapi perjuangan untuk kemasyuran politik semata-mata.

Cuba lihat isu apa yang tidak dipolitikkan, dari sukan, pendidikan hingga ke isu agama malah isu penggunaan bahasa ibunda sendiri pun dipolitikkan. Itu belum lagi dicampur mainan politik warung kopi. Kasihan budak-budak sekolah yang nak belajar, belajar sains dan matematik pun susah, sekejap itu, sekejap ini.

Sebelum budak-budak sekolah ini bertukar fikiran menjadikan Mat Rempit sebagai karier, ada baiknya para ilmuan dan politikus duduk semeja mencari jalan penyatuan, mencari formula untuk memperkasakan bangsa.

Mandat yang diberi bukan tiket untuk memperkasakan diri sendiri, kemenangan yang diperoleh bukan untuk dirai tetapi itu semua tanggungjawab berat lagi besar. Seharusnya kita sedia maklum yang bangsa lainnya terutama yang bermata sepet akan terus mengintai peluang, mencucuk duri perlahan-lahan, menabur wang kertas ke muka kita lalu akhirnya kita yang duduk tersembam dibumi sendiri.

Sampai bila kita hendak bersultan dimata, beraja dihati sedangkan dalam poket ketandusan 'money'.

Mungkin kita terlalu selesa dibumi sendiri sampai bila kita berlari, kita tidak perasan wujudnya orang kedua dibelakang. Hakikatnya orang kedua sudah tahu tahap lajunya larian kita, dan bila-bila masa sahaja bersedia untuk memintas. Sebelum kita dipintas diakhir garisan penamat tersebut, adalah lebih molek jika kita terus mencari formula bagaimana untuk terus kekal dihadapan sambil memerhati gondola-gondola dibelakang.

Kita tidak perasan yang sebenarnya larian kita perlahan, kerna kita terlalu selesa. Bukan sahaja selesa, malah bersiul lagi sambil menyanyi lagu girang. Tidak cukup dengan itu, bakar rokok sebatang sambil berlari.

Sebelum kita betul-betul pancit dan melayu baik minum Tongkat Ali Power Root segera!

Gua pun nak minum Tongkat Ali ni, tapi Tongkat Ali yang sedia ada ini tak cukup ampuh la brader, carilah formula baru untuk orang yang melayu macam gua ni sebab kalau lu suruh gua carikan sendiri, baik gua je jadi 'pusher' Tongkat Ali, baik gua ganti lu brader!

Gua perlu lu, lu perlu gua! Tapi tak 'mutual understanding' jika gua je yang terhegeh-hegeh 'support' lu, tapi lu minum Tongkat Ali Baek Punyer sorang-sorang sambil sorok-sorok di Mahligai Astakona lu!

Yang lu orang pentingkan cuma orang lain yang bakal rampas tempat lu. Kami bagaimana, takkan nak rampas hak kami?

Thursday, March 19, 2009

Kadang-kadang bila lelah kita tidak kisah pun di mana hendak melabuhkan punggung. Buat masa ini, begitulah rutin harian aku. Lelah itu pasti, cuma aku tidak mahu terlalu merungut. Sekurang-kurangnya bila kurang tidur, hari itu terasa panjang. Dalam sehari pelbagai macam perkara yang boleh dibuat.

Buat masa ini, si ia sang kancil berwarna Biru lah peneman paling setia. Tidak pernah meragam walau sekali pun. Seolah-olah memahami kondisi tuannya. Walaupun aku tidak memanjainya dengan kalungan eksesori mahal, mahu pun menyumbati lubang mulutnya dengan aneka makanan dan minuman yang berkhasiat tetapi masih jua ia tegar memayungi aku dari hujan dan panas terik mentari.

Tidak cukup dengan itu, diselimutinya pula aku dari dingin sang embun malam.

Sering pula dikala orang lain tidur lena, aku terjaga dek ketidakselesaan dari tulang pinggul. Aku palu perutnya bertalu-talu, aku ketuk tampar pipinya, aku jentik telinganya namun masih jua ia setia, masih jua ia akur dengan aku.

Besar sungguh jasa ia terhadap aku, sesungguhnya budi ia sukar untuk aku balas. Kadang-kadang aku tahu ia sedih, ia berkorban segala keenakan hidup demi orang lain. Demi aku terutamanya, tuannya yang paling komando sekali.

Hakikatnya aku tahu suatu hari ia terpaksa aku lepaskan, ia perlu juga di 'upgrade'.

Walau pun kita panggil ia, namun kadang-kadang ia lebih berguna daripada dia. Ia walau tiada akal, namun kadang kala memahami, dia walau berakal namun kadang kala jelik. Walau dia fitrahnya lebih sempurna berbanding ia, namun dek ketinggian akal buat dia sombong sedangkan ia jauh sekali untuk jadi sebegitu.

Jadi, hargai ia di sekeliling kita. Ia walau tiada unsur akal tetap suatu kejadian tuhan, tetap juga makhluk. Baik kita jaga, seribu kali baik ia bagi.

Entri ini sekadar suatu penghargaan untuk ia, itu sahaja. Dia itu bukan sesiapa, dia itu hanya takrifan umum buat sekalian manusia. Suatu pandangan sisi yang sering kala aku rasa bila berdepan dengan terlalu ramai dia.

Thursday, March 12, 2009

Diskusi tentang agama merupakan isu yang paling sensitif untuk di bicarakan. Apatah lagi jika isu itu diperdengarkan disebuah negara kecil yang diberi nama Malaysia.

Sentap benar gayanya mukadimah diatas, tapi serius, ia memang sensitif!

Bertambah sensitif jika tiba-tiba suatu hari yang sudah pun berlalu itu ada seorang gadis genit yang cantik idaman semua jejaka menyapa kamu mengajak makan tengahari bersama menerusi email. Wajah yang tenang bak sungai Batang Lupar ini tiba-tiba berkocak seolah-olah dilibas ekor Bujang Senang.

"i nak belanja u lunch tengahari ni, i tak tau nak lunch dengan siapa, lagi pun ada something nak tanya u ni..."

Dalam situasi yang sebegini tegang, maka bak Rosyam Nor si lelaki yang 'not so tall, dark and hansome' itu tadi berpaling ke arah kiri lalu memberikan respon tanda setuju hanya dengan menganggukkan kepala. Tahap keperasanan ketika itu dikesan sama saing dengan Benjamin Button.

Ketika makan tengahari, masing-masing duduk bertentangan antara satu sama lain. Mata bertentang mata. Dalam hati lelaki yang dikatakan 'not so tall, dark and handsome' itu mula berbisik nakal sesuai dengan fitrah lelakinya, "..bersungguh benar pancaran sinar mata gadis ini, mesti nak confess something ni.."

haa, kenapa ni..? ada hal apa..?

i ada hal sikit nak tanya pendapat u..tu pun if u tak kisah la kan..?

hal apa?

u jangan ambil hati tau, kita open ok..? i just nak share something dengan u..

ok..!

kenapa di Malaysia ni, if seorang Kristian itu nak kahwin dengan Muslim, yang Kristian tu kena convert, kenapa tak yang Muslim tu yang convert..?

kenapa u tanya soalan ni..? susah i nak jawab..

tidaklah, kalau u tengok dekat Indonesia, Kristian dengan Muslim boleh je kahwin campur as long as couple tu tolerate with each other, plus their family also accept their marriage as well..?

macam ni lah, u kena faham yang agama Islam merupakan agama rasmi negara Malaysia, kalau dah diwartakan sebagai agama rasmi sudah tentu perlembagaan mengenai beragama digubal seiring dengan kepentingan Islam..itu baru sudut perlembagaan negara, belum lagi ditambah dengan hukum Islam yang mengharamkan umatnya dari keluar agama, sekiranya murtad boleh dihukum bunuh..!

tetapi dimana pula kebebasan beragama itu, sedangkan kami sendiri pun takut diberi punishment oleh Tuhan kami jika kami yang kena convert..! totally unfair for us..

u tak boleh cakap macam ni, u kena faham apa definisi kebebasan beragama itu! kebebasan itu bukan bermakna u bebas membuat apa sahaja, kebebasan itu tidak bermakna u boleh menganut atau bertukar agama sewenang-wenangnya tapi, macam yang i cakap tadi agama Islam itu agama rasmi, jadi pihak pemerintah yang ditunjangi oleh Muslim perlu memastikan kesucian agama Islam itu dipelihara..kenapa ni..? cuba u cerita betul-betul..?

boyfriend i kan Melayu, just in case kami kahwin nanti takkan i nak convert Islam..?

ok, kalau betul u takutkan punishment dari Tuhan u, u sayang dan patuh pada agama u, kenapa u tak sacrifice, in stead of u kahwin dengan boyfriend u, baik u pilih agama u sendiri, bukankah itu lebih baik dan u sendiri pun tak akan dapat punishment..so, tak ada isu bukan?

u jangan ambil hati, i sekadar bertanya sahaja, sebab kadang-kadang memang i rasa tak puas hati..

i tak ambil hati, i pun faham situasi u kan..tapi i rasa kalau u betul-betul patuh pada agama u, kenapa u tak tinggalkan boyfriend u demi agama sendiri..u masih juga nak dua-dua..sama juga boyfriend u, kalau betul dia sayangkan agamanya, dia patut dahulukan agama..u pun sama so masing-masing tak akan ada isu..betul..???

sebenarnya, parents i tak kisah kalau i convert to Islam, cuma i saja yang tak nak sebab takut nanti i nampak macam bermuka-muka dengan Tuhan..

parents boyfriend u macam mana?

parents boyfriend i ok dengan i..we all dah plan nak kahwin dah pun and family dia pun tak kisah..

really..? so, maknanya u akan convert Muslim lah nanti..??

no lah..!!! i takkan convert, tapi boyfriend i yang akan convert..parents dia tak kisah..

huh!!!

maybe we all akan move to Australia or Singapore, then after 3-4 years baru balik sini..

???
Sebenarnya aku lebih gemar bersantai dirumah jika punya ruang senggang yang cukup. Perhimpunan pada majlis-majlis sosial dikala malam sememangnya sudah lesap entah kemana perginya, lagi pula sejak dahulu aku kurang terarah untuk menghala ke situ.

Kurang terarah tak bermakna tidak pernah, tidak pernah hanya pada lembut lidah bicara. Jadi, jangan cepat sangat menduga ikan di air itu jantan atau betina. Nanti malu sendiri.

Aku bukan seorang yang anti sosial!

Namun aku lebih gemar jika pertemuan sosial itu berorientasikan sesuatu yang sihat. Sesuatu yang sihat pada hemat aku ketika ini ialah, sesuatu yang memberi manfaat pada tubuh badan malah kualiti masa yang sedia ada juga tidak terbazir begitu sahaja.

Contoh pertemuan sosial paling bermakna pada aku ialah melalui sukan.

Walau bagaimana pun, tidak bermakna pertemuan melalui medium sukan ini sahaja yang terbaik. Terpulang kepada tafsiran serta pegangan individu itu sendiri. Tidak semestinya terbaik untuk aku, maka ia akan menjadi pilihan terbaik buat kamu. Kita adalah individu berbeza bukan? Masakan boleh sama sedangkan kita tidak serupa.

Tidak juga memberi makna yang aku anti atau prejudis terhadap mereka-mereka yang tidak sealiran dengan pegangan aku. Masing-masing punya alasan serta sebab tersendiri dalam memilih sesuatu yang ingin dilakukan, selalunya ia lebih kepada keberkesanan sesuatu medium itu memberi manfaat positif atau juga manfaat negatif terhadap seorang pemilih itu.

Tidak kira manfaat positif mahu pun negatif, ia tetap juga manfaat bukan? Terpulang pada tafsiran seseorang individu itu sendiri.

Setiap manusia itu berhak untuk membuat pilihan yang terbaik tentang apa yang ingin dilakukannya. Usah lihat yang negatif sahaja, kadangkala kita harus bersangka baik.

Sebagai contoh, aku melihat sukan itu sebagai agen pelepas tekanan yang terulung berbanding jika aku bersukan dilantai kelab. Menyedari diri ini yang kadangkala pendiam namun bukan sebarang diam, bersukan merangsang aku untuk lebih bersikap mesra rakyat. Kebanjiran bergelen-gelen peluh yang membasahi tubuh genit terasa nyaman sekali. Puas!

Serius, aku rasa seksi!

Kebetulan, akhir bulan ini nanti aku diwajibkan untuk hadir menjalani kursus di Genting Highland. Maka lahirlah entri ini setelah aku terdiam bila termeneliti tentatif serta agenda luar di sana kelak.

Serius, aku mula rasa tidak seksi!

Tuesday, February 17, 2009

Syukur juga bila demam begini.

Mulanya gua memang tidak bercadang pun untuk mengambil surat sakit di mana-mana Klinik kesihatan. Gua fikir setakat demam manja-manja begini tidak perlu sampai ambil cuti sebab nanti memberi kesan kepada 'score card' gua. Jam 12 malam gua tidur dengan harapan bisa bangun jam 6 pagi berikutnya sebab masuk kerja pukul 7 pagi.

Alahai hampanya perasaan kerna sejaganya gua dari lena yang aman jarum jam sudah pun memasuki tangga 7 pagi. Kekalutan gua bangkit diiringi bunyian 'beep' yang menyucuk kepala. Gua pasif, kurang gemar tergesa-gesa, alang-alang sudah lambat begini lebih molek gua cuti.

Selalunya gua jarang lambat, rutin harian 15 minit sebelum waktu jam kerja gua sudah pun mengemaskan kuda-kuda di 'office' sambil bermeditasi barang seminit dua. Maklumlah, kerjaya ini memerlukan gua berinteraksi, gua bukan sahaja jururunding, malah bertindak sebagai penasihat bagi hal ehwal kebajikan pelanggan.

Gua harus berdisiplin memandangkan gua tergolong dalam kaum yang minoriti sekali bilangannya. Buat masa ini, itu bukanlah hal yang besar bagi gua. Cuma, untuk berjaya itu kita harus juga memaksa diri sendiri untuk keluar dari kepompong yang selesa. Jika tidak, selama-lamanya gua akan tertinggal di belakang Ryan dan Raju.

Gua tahu, Ryan dan Raju pandang rendah dekat gua!

Syukur sangat bila demam begini.

Gua percaya Tuhan itu sangat sayangkan gua sampai DIA hantar virus demam kepada gua semata-mata kerna DIA Maha Mengetahui yang gua perlu rehat. Jangan risau, Tuhan punya peruntukan berehat bagi sekalian manusia. Tunggu sahaja, semua akan menikmati peruntukan berehat tersebut.

Ada 2 perkara yang menjadi igauan gua sebelum ini sudah pun gua lihat. Pertamanya ialah KL International Muay Thai Challenge. Walau bagaimanapun, gua terlepas pertempuran antara Tengku Shahrizal (Kuda Merah) melawan Hamdan Moktar (Malaysian Tigers). Menonton pertempuran itu menerusi saluran 'youtube' tidak puas rasanya.

Tengku Shahrizal merupakan salah seorang calon bagi peringkat kelayakan 'The Contender Asia' musim kedua. Sebagai orang kampung, sokongan sememangnya untuk beliau.

Manakala perkara kedua sudah tentu filem Ong Bak 2. Gua tidak mahu memberi sebarang komentar terhadap filem ini. Gua yakin, filem ini pasti lebih menarik andai tugas pengarahannya diserahkan kepada yang lebih layak. Manakala, Tony boleh sahaja fokus sebagai kareografer aksi seni. Sayang sangat rasanya, penceritaan plot pasti jadi lebih menarik andai ditangankan oleh pengarah yang betul.

Tiada apa sangat yang hendak gua beritakan kepada kamu semua. Hanya sekadar cerita berbentuk picisan semata-mata.

Walau bagaimanapun, jangan lupa merancang kerna merancang itu untuk kita, yang menentukan hanyalah DIA diatas sana. Walau pun setiap perancangan yang sudah kita tetapkan tidak selari dengan ketentuan darinya, itu adalah rahmat sebenarnya. Tidak usah kita ribut-ribut, tidak usah kita ratap nangis.

Telan sahaja bulat-bulat!




Salah seorang sahabat gua sudah pun selamat 'fly' ke Australia 15 hb lepas. Buat pengetahuan kawan-kawan yang mengenalinya, keadaannya masih sama seperti mana sebelum berangkat. Gua ada membuat panggilan ke Australia semalam, ternyata Tiger kita sedang sibuk mencari rumah sewa disana. Tiger masih lagi serabut nampaknya.

Kali pertama gua jumpa lu, lu panggil gua abang. Apa tua sangat ke muka gua bro?


Jangan lu lupa Malaysia sudah la Tiger. Lu tu Harimau makan hati!


Syukur sangat bila demam begini...