Monday, June 29, 2009

Semalam aku tidur lewat.

Aku leka mengulang baca kisah Alexander The Great, atau sinonim dengan nama Iskandar Zulkarnain.

Adakah mereka individu yang sama?

Muncul Raja Kurush?

Seorang raja yang dikatakan mempercayai Tuhan yang satu. Mengakui keesaan Tuhan. Seorang yang dikhabarkan adil saksama. Manakala Alexander, juga hebat seiring visi dan cita-cita dalam melebarkan empayar.

Tapi, adakah Alexander beriman? Zeus itu siapa? Tuhan Olympia?

Bagaimana pula dengan Raja Leonidas?

Juga hebat, dengan berbekalkan kekuatan seramai 300 orang melanggar tentera Parsi. Leonidas hebat kerna berani bertempur dengan tentera Parsi yang jauh lagi besar kekuatannya selain menafikan ramalan para dewa yang tidak membenarkannya keluar berperang.

Zaman Leonidas khabarnya tiada istilah teruna dan dara. Lagi menarik dikhabarkan kaum lelaki dirogol oleh para wanita. Untuk mencari si dara hampir mustahil ketika itu. Faham-fahamlah, kalau dikatakan hidup ala regim tentera, hidup untuk berperang, sudah pasti yang perempuannya turut gagah. Bila gagah, jadi rakus sedikit. Setakat lelaki apa nak goyang!

Ternyata Leonidas tiada langsung bercirikan Zulkarnain seperti yang dinyatakan dalam Ummul Kitab.

Alexander?

Siapa Raja Kurush?

Lalu aku tertidur, bermimpikan perempuan cantik, berkebaya merah. Bibir mulus nan merah saga, rambut disanggul rapi ala-ala Vanida dalam Red Kebaya. Sedang aku bergelut antara lena dan jaga aku bangkit.

Aku lihat jam disisi menunjukkan pukul 6.15 pagi. 'Aku kena solat ni?' hatiku berbisik. Aku ikut kata rasa, baring lagi 5 minit. Namun terjaga balik 20 minit selepas itu.

Bingkas aku bangun solat subuh!

Dengan penuh dramatik, aku mengangkat kedua-dua tangan ala-ala Tupac, lalu menunjukkan jari tengah ke setiap penjuru bilik sambil berkata..

'pergi main jauh-jauh, kau dah tewas'!

Saturday, June 27, 2009

Semenjak aku mengenali dunia siber, aku bertemu dengan kepelbagaian disiplin ilmu. Sehingga kadangkala tidak terfikir oleh minda tentang kepelbagaian ilmu yang wujud. Masalahnya bukan ilmu-ilmu yang baharu, tetapi disiplin ilmu yang sudah lama dibawa sejak zaman para Nabi dan Wali lagi.

Sejarah melakarkan betapa umat Islam sangat kaya dengan kepelbagaian disiplin ilmu namun akibat konspirasi serta agenda 'hidden hand' mengakibatkan umat yang dahulunya gah membina tamadun yang begitu hebat tersingkir dari carta dunia. Musuh berkerja keras cuba menafikan kehebatan tamadun agamaku dengan menyebarkan dakyah serta propaganda palsu kepada masyarakat agar agamaku dipandang sepi lalu lahirlah gelaran atau perlambangan tertentu untuk penganut yang menganuti agamaku.

Adakah negara samudera diatas angin yang diwar-warkan datangnya dari timur?

Adakah panji serta tentera fisabilillah terhebat lahir dari timur?

Memandang bangsaku sendiri adalah kaum yang sangat misteri maka teori-teori yang wujud tentang kebangkitan tentera dari timur tidak boleh tidak mungkin betul. Jika tidak benar kita usahakan juga biar jadi benar kerna walaupun segalanya sudah tertulis di Luh Mahfuz, nasib sesuatu kaum itu tetap terletak ditangan sendiri atas perinsip usaha selain percaya kepada 'kun faya kun', qoda' dan qodar.

Apa lagi yang istimewa tentang kaumku, sudahlah menganut agama yang suci. Turun dari langit pula, bukan ciptaan sasterawan, bukan dendangan ahli muzik, bukan hasil ilham tok nujum. Turun dari langit diiring pula oleh ketua segala Malaikat.

Jika benar jalur serta salah silah dari zaman Sulaiman hingga zaman para wali terus ke Yunan lalu singgah ke kepulauan nusantara, maka negeri yang dikhabarkan merupakan negeri samudera itu mungkin benar. Maka Parameswara serta kehebatan Hang Tuah itu tidak dapat disangkal lagi kerna kononnya tamadun bangsaku pada era itu begitu hebat sekali.

Kehebatan tamadun yang diwarisi terus menerus secara rahsia yang kononnya berkongsi teknologi dari zaman Sulaiman yang mana ada teori menyatakan yang setiap 200 tahun wujud suatu permesyuaratan atau majlis menurun ilmu.

Kedengaran seperti agak kelakar tetapi terpulanglah untuk kita menganalisis serta membuat kajian sendiri. Seperti yang aku kata diawal lagi, ledakan dunia siber membawa kita kepada teori-teori, teori konspirasi, propaganda dan sebagainya. Bagi mereka-mereka yang pening kepala tentang hal ini agar dinasihatkan supaya terus kembali kepada pemahaman agama yang tradisional. Pemahaman agama yang teras iaitu percaya kepada Tuhan yang satu dan Muhammed itu pesuruhnya.

Tidak salah mengaji ilmu-ilmu sufi, tasawuf dan sebagainya namun terasnya kena teguh, seteguh besi waja. Selagi ilmu yang diturunkan itu tidak lari dari akhlak para Rasul. Jangan ada yang tiba-tiba nampak Tuhan, nampak Malaikat, nampak itu, nampak ini. Penafsiran tentang ini juga berbeza, tetapi yang teruknya ialah menghalalkan yang haram. Menghalalkan yang haram ini bukan ajaran atau akhlak yang dibawa para Rasul.

Kalau kita kata makam kita tinggi sehingga tidak mengapa jika tidak sembahyang, seks bebas dan sebagainya seolah-olah sudah dijanjikan maka aku rasa pembawa yang membawa ini sudah sah sesat.

Siapa dia, dan siapa pula Muhammed?

Aku seru agar saudara-saudaraku berhati-hati. Bak kata seorang teman, cari akhirat kita dapat dunia, cari dunia akhirat belum pasti. Nabi Muhammed yang sudah dijamin masuk syurga pun berusaha keras berkerja, bersolat, berpuasa dan sebagainya, apatah lagi kita.

Bukan apa, kita tidak mahu kejadian yang menimpa Ayah Pin berulang. Cukuplah dia seorang yang menjadi mangsa suatu bisikan.

Aku menulis begini juga sebagai ingatan buat diriku sendiri, langsung tidak berniat apa-apa melainkan sebagai satu simulasi agar aku ingat tentang apa yang aku tulis lalu aku zahirkannya perlahan-lahan.

Benar, jika difikirkan bangsa Melayu merupakan bangsa paling misteri didunia. Nampak pemalu, nampak penyegan tetapi berisi. Bak padi, semakin berisi semakin menunduk.

Memang misteri!

Bukan setakat pandai simpan, khazanah ilmu yang sangatlah rahsia ada pada bangsa yang sangat misteri ini. Kalau Jepun ada Naruto dan Son Goku, itu apa ada hal. Apa beza dengan Mat Kilau, Kiai Salleh, Tok janggut dan sebagainya.

Parang terbang nak?

Jurus nak?

Dekat mana lagi kita boleh dengar manusia menunggang Harimau?

Bangsa Africa pun 'salute'. Misterinya..

Aku yakin di kepulauan nusantara ini wujud mereka-mereka yang menyimpan segala macam ilmu. Cuma mungkin ilmu ini tidak diturunkan sahaja. Jika ada antara kamu yang arif, aku mohon berkongsi tentang ini. Kita bukan berkongsi tentang sesuatu paranormal disini. Tetapi percayalah, kehebatan tamadun-tamadun serta pendekar-pendekar yang lalu punya alasan saintifik yang mana boleh diperjelaskan menerusi sains dan fizik.

Thursday, June 25, 2009

Keyakinan wujud jika kita tahu apa yang kita mahu, sifat yakin kepada diri sendiri tidak akan datang bergolek jika kita kekurangan ilmu tentang apa yang ingin kita lakukan. Jika tidak, masakan wujud sikap kurang yakin terhadap diri sendiri.

Sikap kurang yakin terbit bila mana kita merasakan kita tidak bersedia untuk melakukan sesuatu. Tidak kira apa skop serta bidang tugasan masing-masing jika kita kekurangan ilmu pengetahuan tentang sesuatu pasti memberi kesan kepada kesediaan kita dalam melaksanakannya.

Terlalu yakin kepada kemampuan diri sendiri tidak menjamin survival kita dalam melakukan sesuatu. Sikap yakin bodoh serta sombong sering kali makan tuan. Akhirnya duduk terngadah bak kepala pening ditimpa buah kelapa tua ketika duduk santai cuci mata ditepian pantai.

Aku rasa, untuk berjaya kita mahu atau tidak perlu mencabar diri sendiri. Lakukan sesuatu yang sukar, laksanakannya sehingga tamat. Melakukan sesuatu yang sukar apatah lagi perkara sukar itu merupakan suatu kelemahan sendiri merupakan cabaran yang menarik sebenarnya.

Contoh, kita tahu kita kurang pandai bercakap dikhalayak dan kita sedar itu kelemahan kita. Untuk mengatasi kelemahan itu perlu ada kekuatan, kekuatan itu mungkin datang dari beberapa sudut mengikut empunya badan masing-masing. Asalkan sumber kekuatan itu disulami objektif serta misi yang jelas serta tidak berlawanan dengan fitrah suci manusia itu sudah cukup kuat rasanya untuk merangsang kita berlawan dengan diri sendiri.

Ada peluang cuba bercakap, tonjolkan bakat yang tersembunyi. Selalunya perkara yang lemah kita rasa kita tidak mampu buat selalunya boleh menjadi batu loncatan untuk kita berjaya dikemudian hari. Seteruk-teruk kejadian sekalipun, kita berjaya mengatasi rasa takut tersebut.

Kenapa?

Kenapa aku bicarakan hal ini? Sebab semalaman aku tidak boleh tidur, aku mimpi tentang matematik. Masalah gua selesai selepas berjaya menguasai matematik. Hidup ini matematik, bijak menguasai angka maka banyak persoalan mengenai kehidupan kita boleh kupas satu persatu.

Juzuk Quran ada berapa?

Berapa jumlah surah dalam Ummul Kitab?

Tidak campur dengan berapa banyak lagi persoalan matematik, dimensi, aturan, shariat, hakikat, tariqat dan ma'rifat. Semuanya ada kiraan tertentu. Rahsia dalam rahsia yang perlu diteroka, alam dan manusia.

Ceteknya ilmu kita.

Kita sibuk mencari modul, modul maha pencipta dekat depan mata sahaja. Ayuh, ada ilmu kita kongsi. Gua ambil sikit, lu dapat lagi banyak, gua sebar, lu tak miskin malah lu lagi kaya.

Baru Multi Level Marketing!

Kalau gua Ahmad Deedat, mesti semua kata 'Ya betul', tapi malangnya gua hanya seorang operator kelas tinggi kononnya yang baru berangan menjadi penolong pentadbir kementerian katanya.


Tuesday, June 23, 2009

Lelaki yang bisa menahan kemarahan adalah lelaki tulen, apatah lagi jika memaafkan. Aku adalah bangsa yang bisa menahan emosi namun bila aku sendiri menyaksikan bagaimana muka dicemar dengan air longkang boleh pula menelan setitik air longkangan tersebut bikin aku jadi lagi kagum.

Salute!

Andai dihumban bangkai hidup ke laut sekalipun mana bisa membeli air muka yang terselia cantek. Andai disumbat dalam karung guni lalu dihumban di Janda Baik atau pun Genting Sempah sekalipun tidak mungkin boleh membayar harga yang diragut.

Solusi?

Hukum syarak kata 'Tiger'!

Diplomasi kata seorang lagi 'Tiger'!

Kita ambil kedua-dua sekali kata 'Tiger Jeneral'!

Aku salute bukan kerna wira yang menang, tidak juga bangga yang akhirnya si wira tunggal itu berjaya membuat kerja dengan licin tanpa meninggalkan kesan. Tapi sifat untuk bersedia memaafi antara satu sama lain itu yang aku kira tiada harga. Yang dizalimi memberi tawar satu harga baru kepada kehilangan sebuah harga yang sudah diragut.

Harga kepada sebuah kemaafan yang sukar untuk diberi dan perit untuk ditelan!

Andai ikut emosi, muka itu tidak akan jadi manusia lagi. Aku pastikan muka itu pakar surgeri pun tidak berani rawat.

Itu aku, dan aku tidak keseorangan!

Kadang-kadang kita rasa kita cukup penyabar sehingga kita bertemu dengan situasi yang mencabar kesabaran kita. Drama yang diarah semalam memberi aku pelajaran bagimana sifat memaafkan itu bisa menjadi penawar hati paling ampuh sekali. Masakan tidak, berperang dengan hati sendiri lebih sukar berbanding perang sesama manusia.

Ikut hati mati, ikut rasa binasa!




Sunday, June 21, 2009

Gomen

Semasa meneliti senarai jawatan yang ditawarkan dalam portal rasmi SPA tempoh hari, dengan rasa penuh syahdu aku terkesima lantas pening lalat memikirkan bahawasanya wujud juga jawatan sebagai 'Peniup Kaca'.

Peniup kaca?

Entah apa deskripsi atau skop kerjanya juga aku tidak tahu. Tertanya-tanya juga, bagaimana agaknya bidang tugas sebagai pegawai peniup kaca. Aku hanya mampu membayangkan yang seseorang itu sedang meniup kaca.

Jika difikirkan, jenuh juga hendak meniup.

Tak kisahlah, janji kerja bukan? Bukan senang dapat kerja Gomen. Itu kata-kata yang sering kita dengar bukan. Setakat kabel besar lidi, maka bertemuduga itu hanya sekadar memenuhi tuntutan kuotalah gamaknya.

Aku bagaimana?

Besok aku juga bertemuduga di Putrajaya, di Kementerian Sumber Manusia. Alang-alang dapat peluang, aku redah saja. Dapat atau tidak, itu rezeki. Maka tidak salah memasarkan diri agar dibeli oleh pihak Gomen. Orang Melayu, bertepuk tanganlah kalau dapat kerja gomen.

Tapi bukan sebagai peniup kaca!

Pernah dengar PTD gred Diploma?

Kalau ada gua nak? Jika sudah tertulis di Luh Mahfuz gua kerja gomen maka gua akan kerja gomen. Wallahua'alam Bissawab.

Friday, May 15, 2009

Antara senyum dan titis air mata

Ternyata aku rindu.

Senyum dan air mata adalah dua unsur berbeza. Namun siapa sangka kedua unsur ini merupakan pasangan paling ideal sekali. Sana sini aku lihat manusia senyum, sana sini juga terdapat manusia meratap bersama titis air mata. Kedua-duanya saling berlawanan antara satu sama lain. Siapa tidak mahu menguntum senyuman yang manis, senyum itu khabarnya perlambangan kepada sebuah hati yang luhur, itu pun jika ikhlas.

Air mata pula perlambangan kepada sekeping hati yang lara, hati yang gundah gulana, atau hati yang ditimpa musibah. Sebagai contoh, jika kita berpaling ke Palestina, mata-mata yang memandang tidak dapat tidak pasti bisa merasa kesedihannya. Cukup hanya dengan genangan air mata, kita tahu betapa berat bahu yang terpaksa dipikul.

Ternyata aku rindu.

Aku rindu pada setiap senyuman yang manis, senyuman yang ikhlas, senyuman yang suci. Manakala titis air mata hanya jika difikirkan perlu sahaja. Alangkah manisnya jika seorang lelaki mengalirkan air mata. Apatah lagi, titis tangisan itu lahir dek dirangsang oleh sesuatu yang meruntun jiwa.

Senyum dan air mata zahirnya berbeda. Tampak tidak cocok, namun jika difikir sehalus-halusnya, kedua unsur ini merupakan pasangan yang sejati. Pertembungan antara kedua-duanya bisa mencetuskan momen-momen yang hebat.

Ternyata aku benar rindu.

Rindu pada perkongsian antara keduanya. Pertembungan antara senyum dan titis air mata amat jarang berlaku. Maka beruntung pada pihak yang pernah merasa, sedang merasa dan bakal merasa. Cetusannya melahirkan imbangan yang begitu harmoni sekali.

Dan jika berlaku, ternyata dunia ini seakan kamu yang punya. Alasan padu mengapa aku harus rindu. Ternyata, aku memang rindu.

Saat kejauhan dari keluarga, air mata senang benar membasahi pipi. Kerinduan yang tidak terperi mengundang lara dihati. Namun apabila berkesempatan untuk menemui, bukan hanya senyuman terukir dibibir, malah air mata menitis sekali. Tidakkah itu sebuah momen yang hebat.

Perlambangan kepada sebuah kebahagiaan yang abadi.

Sambil kita mencari senyuman, jangan lupa pada air mata. Senyuman tanpa air mata belum tentu menjamin sebuah kegirangan. Air mata tanpa senyuman, pasti berbekas dihati. Gabung antara keduanya, hidup ini indah sekali. Sekali merasa pasti kepingin lagi.

Sungguh melankolik gua malam ini.

Nurul kata badan gua macam Awie, tapi jiwa gua Anuar Zain. Gua kata, kalau jiwa gua halus tidak mengapa, jangan orientasi gua yang halus.

Ya Allah, tak tidur lagi? Tiba-tiba terdengar seperti suara bonda menyapa. Bila sudah 27 tahun begini, kena dengar nasihat orang tua. Jatuh hukum derhaka nanti, jadi Malim Kundang.

Sunday, May 3, 2009

Hari ini, genap usia aku 27 tahun.

Tiada apa yang aku pinta selain memohon keberkatan dari yang Maha Esa. Nampaknya sudah 27 tahun aku mengharungi kehidupan dibumi Tuhan.

Sewaktu ayah berusia 27 tahun, ayah sudah punya 3 orang 'baby' comel. Hanya aku yang tidak comel. Berkulit hitam berkilat, tapi perasan 'handsome'. Ketika kecil suka tengok cermin, kalau tak berlagak ala-ala Rambo dengan topi askar dan seluar berceloreng, perasan diri macam Amy Search. Suka cari pasal dengan angah. Mula-mula memang main-main perang, sudahnya memang betul-betul berperang.

Mesti abang long kena menang, kalau kalah pun sebab ayahanda masuk campur!

27 tahun!

Satu jangkamasa yang panjang. Pelbagai liku pernah aku rasa, pelbagai pengalaman telah aku raih. Namun masih belum temui apa itu erti kematangan. Masih memerlukan pedoman serta panduan dari orang yang lebih tua. Aku lebih terbuka kini untuk mendengar segala macam nasihat.

27 tahun!

Sudah semestinya bila menjangkau usia begini, soalan biasa yang aku terima, 'bila nak kahwin?' Aku hanya berserah kepada jodoh. Kalau kata keinginan, umur 13 tahun pun keinginan itu sudah ada. Cuma tika waktu ini aku masih merancang. Apatah lagi bila orang tua sudah bagi lampu hijau.

Untuk memetik bunga ditaman itu bukan perkara enteng. Lebih-lebih lagi dizaman sekarang, kalau tiada modal, tak terbinalah taman bunga astakona.

27 tahun!

Aku masih rasa 18 tahun! Perasan!

Cuma aku masih ralat. Belum lagi ada pencapaian yang benar-benar 'the bomb'! Semua yang dirancang, hanya tinggal sekerat jalan. Itu yang aku maksudkan dengan sikap tidak matang. Cuma aku optimis, walau aku mungkin berkerja sebagai tukang sapu, tapi aku berimpian untuk menjadi tukang sapu yang terbaik!

27 tahun!

Kalau fikir duit, banyak mana pun gaji memang tidak akan cukup. Manusia sifatnya memang tidak pernah puas. Aku?

Aku sendiri pun tidak pernah puas!

Kini aku hanya menumpukan usaha bagaimana untuk merubah kehidupan dengan lebih baik. Masih lagi mencari peluang, masih lagi bertatih merencana masa depan. Sedang cuba mempersiapkan diri untuk menjadi bakal suami, bakal seorang ayah pada masa akan datang. Masih cuba untuk menjadi seorang anak yang taat kepada kedua ibu bapa, menjadi abang contoh buat adik-adik.

Nampak macam mithali, tapi siapa tahu. Masa masih panjang, masih lagi belum terlewat. Walaupun mungkin kejayaan itu akan dinikmati ketika usia aku 40 tahun.

Tapi relevan kah 40 tahun itu?

Sempatkah mereka menikmati sekelumit kesenangan yang bakal aku raih?

Aku optimis, mereka masih sempat. Aku hanya perlukan restu dari keduanya. Kalau tidak kesenangan dari sudut material, cukup sahaja dengan kesenangan hati. Itu kan lebih penting. Redha orang tua, jamin hidup bahagia.

27 tahun!

Aku menyambutnya dengan Nurul sebentar tadi. Aku terharu bercampur gembira, dia teman juga merangkap sahabat. Dalam hubungan aku tersedar yang kita tidak perlu berkira, silap faham sikit itu halalkan saja. Kalau turutkan ego, tidak akan kemana. Cukup dengan makan-makan kecil yang disediakan olehnya, itu sudah cukup memberi kesenangan pada hati yang lara memikirkan umur sudah menganjak ke 27 tahun.

Umur sekadar angka sahaja bukan?

Hadiah?

Aku dapat hadiah, tapi hadiahnya aku simpan seorang. Rahsia!Nurul memang romantik, cuma malangnya dia mendapat teman yang 'toya' seperti aku. Ibu kata aku anak ayah, perangai sebijik!Manalah aku tahu romantik-romantik ni, aku hanya menjadi diri sendiri. Nak menulis kad ucapan pun tidak pandai, sebab tulisan aku buruk. Kepala ini dulu puas kena ketuk dengan cikgu, namanya cikgu Dayang Mutiara, tulisan aku buruk sangat. Susah nak baca. Untuk huruf K sahaja aku kena tulis seribu perkataan. Sumpah kasut tumit tinggi beliau sering saja singgah dikepala. Perhati kedua dahi aku, kesan bengkak masih ada beb. Tapi tiada pula ayah aku mengamuk disekolah sebab aku jadi mangsa keganasan guru. Budak sekarang, jentik sikit pun tidak boleh!

27 tahun!

Aku masih tidak pandai mengira. Entah mengapa aku alah sangat dengan angka. MALAS!Kadang-kadang, bila singgah dimana-mana toko buku, aku rajin juga belek buku latihan matematik UPSR. Konon nak 'refresh' balik, tapi malang betul. Tiada apa yang nak di 'refresh'kan.

Kena 'back to basic' balik!

27 tahun!

Aku suka segala yang manis. Apa sahaja sajian yang manis semua aku sapu bersih. Fi'il pantai timur aku mula terserlah semenjak setahun ini.

'Boh kawe oghe kelate, kawe nok tokse pung meme oghe kelate jugok!' Marila gocoh nga kawe mari, nok bergocoh cari kawe la, kawe setel belako!'

Sikap terbuka aku pula mungkin datangnya dari sebelah ibu, Borneo mari ma!

'miak Sarawak bah, kamek Melayu Sarawak jadi jangan sapa-sapa main bangsa dengan kamek, sensitif, jangan nanyak soalan berapa lamak dah kamek datang Malaysia, Borneo ya bukan Malaysia kah?'

27 tahun!

Terima kasih kerna memberi perhatian kepada monolog diatas, monolog disampaikan bersama kronologi yang spontan tanpa menurut aturan masa. Sekadar berkongsi bagaimana rasanya menyambut hari lahir ketika berusia 27 tahun.

Setiap saat itu berharga. Jadi jangan cuba bermain dengan masa, masa itu begitu sempurna sekali. Tiada celanya masa itu jika hendak dibandingkan dengan sifat manusia yang suka mempermainkan masa. Secara tidak sedar, masa berjalan selamba meninggalkan kita.

Berjalan biar seiring dengan masa!

Matang pada umur yang seafdhalnya kita matang. Dewasa pada masa yang cukup kiraannya, cukup ha'ul nya. Setiap sesuatu yang segera ini mudah lembik, perlahan, lembab tapi jika matang pada usia yang tepat, jalannya cantik, tidak bersimpang. Biar mula perlahan, tapi pengakhirannya deras, perlahan balik bila sudah sampai ke kemuncak. Itu baru cantik, lurus. Kalau mula laju, ditengah-tengah nanti kena potong, kena 'overtake', bila sudah kena potong, mental mula kacau, jalannya tidak nampak cantik lagi. Sudahnya terpaksa mula dari awal balik. Ikut proses yang asal. Itu pun kalau nak jalannya cantik!

Aku bukan hendak bermain bahasa disini, cuma sekadar berkongsi. Berkongsi sesuatu yang aku rasa perlu untuk aku sampaikan sebagai salah satu tanggungjawab sosial aku.

Walau apa pun, selamat hari lahir buat diriku. Semoga aku terus bisa memacu kehidupan kerna kapalku nampaknya akan karam jika tiada modifikasi, tambah pula dengan cabaran kuat dari ombak laut yang memukul deras sisi kapal kecilku. Baik, aku wajar berundur kerna jam 6 pagi aku wajib berada di pejabat. Aku hanya ada 2 jam untuk tidur.

Aku kini genap 27 tahun.


4 Mei 2009