Thursday, July 30, 2009

Daripada entri terakhir sehingga ke hari ini seperti biasa hidup gua diwarnai warna-warna pelangi, antara suka dan juga duka. Kalau kata duka mungkin boleh jadi terkesan sedikit dengan pemergian seorang saudara akibat kemalangan.

Pengajarannya, bila teringatkan seseorang jangan teragak untuk berhubung terus, bertanya khabar. Andai sempat, Alhamdulillah.

Cuba fikir jika tidak sempat?

Natijahnya ialah, kempunan, menyesal, terngiang dan sebagainya. Malang tidak berbau, kalau berbau pun bukan kita ambil endah sangat sebab kita lupa Tuhan itu MAHA, MAHA ke atas segala-segala yang berada dibumi dan dilangit.

Jika difikir sepositif yang mungkin, itu yang terbaik buat arwah. Semoga saudaraku itu tergolong dikalangan mereka-mereka yang beruntung. Berehat meninggalkan debu dunia menuju ke alam yang fana.

Al-Fatihah buat Shahrul Iman@Yoe.

...

Perkembangan paling terkini ialah gua baru melaporkan diri di Kementerian Dalam Negeri isnin yang lalu di Putrajaya. Belum pun seminggu di KDN, gua akan bertukar ke jabatan bersebelahan iaitu Kementerian Sumber Manusia.

Bila kata gomen, apa yang kamu akan fikir?

Rasanya, gua tahu apa kamu fikir dan buat masa ini 80% dari apa yang kamu fikir adalah betul walau pun mungkin tidak tepat.

Semua sudah menjadi resam, menjadi budaya.

Aku masih lagi setahun jagung, seperti bayi suci yang baru lahir. Tengoklah macam mana acuannya nanti. Walau bagaimana pun, aku masih menadah tangan dan bersyukur ke atas segala-galanya.

Sunday, July 12, 2009

Bila bercakap nak yang hebat saja, gambaran yang diberi bukan main tinggi. Harapan ditabur bak pasir berterbangan ditiup sang angin lalu lolos keluar dari celah jari jemari.

Cakap harus hebat, biar papa janji bergaya!

Nampak meninggi tapi hati baik siapa tahu. Setiap kata-kata yang dilepas keluar jika diiringi niat untuk melaksanakannya bukankah juga suatu doa. Doa itu tidak semestinya ditikar sembahyang.

Lebar-lebur!

Tapi jangan melampau, politik sikit-sikit itu lumrah. Apa-apa pun pilih jalan yang lurus.


Walau rupa miow tapi hati kena singa

Badan kecil tapi hati naga

Wednesday, July 8, 2009

Seperti mana tubuh badan yang perlu dijaga rapi dari sebarang unsur penyakit luar mahu pun dalam, kesedaran untuk menjaga kedaulatan negara juga sewajibnya sama. Kalau kita sanggup berhabisan ratusan ringgit untuk membeli makanan, minuman serta suplimen yang berkhasiat, begitu juga dengan negara.

Kenapa kita berlebih dalam soal menjaga diri sendiri?

Sudah tentu untuk menjaga kesihatan dan mengelak tubuh badan dari serangan penyakit. Negara juga begitu gamaknya. Potensi untuk seseorang diserang sebarang bentuk serangan penyakit selalu ada. Sebab itu kebanyakan daripada kita mencarum dalam insurans dan sebagainya.

Semuanya untuk apa?

Semestinya sebagai persediaan kepada sebarang kemungkinan yang berlaku. Orang putih kata 'malang itu tidak berbau', kalau malang itu berbau lain pula cerita. Begitu juga pertahanan negara, untuk menjamin kedaulatan tanah air, sudah tentu banyak modal yang harus dikeluarkan sebagai persediaan terhadap sebarang kemungkinan.

Aku kadang-kadang terkilan juga, kita dapat lihat bagaimana sesetengah daripada kita bersikap tidak peduli, mungkin peduli tetapi aku kira kesedaran generasi baru tentang kedaulatan negara masih tipis. Senario semacam ini merbahaya sebenarnya. Bila kita terlalu selesa, nanti musibah datang kita tidak bersedia.

Bukan hendak menakutkan atau 'main acah keting', tetapi sebagai peringatan sesama sendiri kerna secara zahirnya kita lihat negara ini tampak begitu makmur, nampak tenang bak sungai yang tiada buaya.

Tetapi batinnya aku rasa sudah sampai masa untuk kita berjaga-jaga. Penyakit tidak hanya datang dari satu penjuru sahaja. Boleh jadi datang menyerang dari empat penjuru. Tidak hanya virus dari luar, tetapi virus dari dalam yang bisa melumpuhkan sistem imunasi badan sehingga tiada antidot pun yang mampu merawatnya kelak.

Kalau virus sudah menular dari dalam, maka susur laluan masuk ke dalam terbentang luas. Ala, macam kerajaan Siam membuka laluan kepada tentera nipon.

Jadi, jagalah kesihatan tubuh badan. Tak salah berbelanja berhabis duit untuk memanjai diri sendiri. Cuba bayang, tiba-tiba penyakit datang menyerang?

Masing-masing ada peranan, sekecil mana pun sumbangan tetap juga penting. Jangan asyik nak merempit sahaja, yang sakan berpolitik jangan asyik fikir perut sendiri, yang askar jangan leka ternak lemak, yang miskin jangan ayik mengeluh dan yang kaya jenguk-jenguklah ke tanah.

Kadang-kadang yang merempit lagi tinggi semangat patriotisme berbanding politikus, sesetengah orang awam lagi tinggi patriotisme berbanding askar-askar yang manja, ada yang lagi komando dari komando.

Lembik! diasak sikit mengadu, dikerah sikit merengek!

Monday, June 29, 2009

Semalam aku tidur lewat.

Aku leka mengulang baca kisah Alexander The Great, atau sinonim dengan nama Iskandar Zulkarnain.

Adakah mereka individu yang sama?

Muncul Raja Kurush?

Seorang raja yang dikatakan mempercayai Tuhan yang satu. Mengakui keesaan Tuhan. Seorang yang dikhabarkan adil saksama. Manakala Alexander, juga hebat seiring visi dan cita-cita dalam melebarkan empayar.

Tapi, adakah Alexander beriman? Zeus itu siapa? Tuhan Olympia?

Bagaimana pula dengan Raja Leonidas?

Juga hebat, dengan berbekalkan kekuatan seramai 300 orang melanggar tentera Parsi. Leonidas hebat kerna berani bertempur dengan tentera Parsi yang jauh lagi besar kekuatannya selain menafikan ramalan para dewa yang tidak membenarkannya keluar berperang.

Zaman Leonidas khabarnya tiada istilah teruna dan dara. Lagi menarik dikhabarkan kaum lelaki dirogol oleh para wanita. Untuk mencari si dara hampir mustahil ketika itu. Faham-fahamlah, kalau dikatakan hidup ala regim tentera, hidup untuk berperang, sudah pasti yang perempuannya turut gagah. Bila gagah, jadi rakus sedikit. Setakat lelaki apa nak goyang!

Ternyata Leonidas tiada langsung bercirikan Zulkarnain seperti yang dinyatakan dalam Ummul Kitab.

Alexander?

Siapa Raja Kurush?

Lalu aku tertidur, bermimpikan perempuan cantik, berkebaya merah. Bibir mulus nan merah saga, rambut disanggul rapi ala-ala Vanida dalam Red Kebaya. Sedang aku bergelut antara lena dan jaga aku bangkit.

Aku lihat jam disisi menunjukkan pukul 6.15 pagi. 'Aku kena solat ni?' hatiku berbisik. Aku ikut kata rasa, baring lagi 5 minit. Namun terjaga balik 20 minit selepas itu.

Bingkas aku bangun solat subuh!

Dengan penuh dramatik, aku mengangkat kedua-dua tangan ala-ala Tupac, lalu menunjukkan jari tengah ke setiap penjuru bilik sambil berkata..

'pergi main jauh-jauh, kau dah tewas'!

Saturday, June 27, 2009

Semenjak aku mengenali dunia siber, aku bertemu dengan kepelbagaian disiplin ilmu. Sehingga kadangkala tidak terfikir oleh minda tentang kepelbagaian ilmu yang wujud. Masalahnya bukan ilmu-ilmu yang baharu, tetapi disiplin ilmu yang sudah lama dibawa sejak zaman para Nabi dan Wali lagi.

Sejarah melakarkan betapa umat Islam sangat kaya dengan kepelbagaian disiplin ilmu namun akibat konspirasi serta agenda 'hidden hand' mengakibatkan umat yang dahulunya gah membina tamadun yang begitu hebat tersingkir dari carta dunia. Musuh berkerja keras cuba menafikan kehebatan tamadun agamaku dengan menyebarkan dakyah serta propaganda palsu kepada masyarakat agar agamaku dipandang sepi lalu lahirlah gelaran atau perlambangan tertentu untuk penganut yang menganuti agamaku.

Adakah negara samudera diatas angin yang diwar-warkan datangnya dari timur?

Adakah panji serta tentera fisabilillah terhebat lahir dari timur?

Memandang bangsaku sendiri adalah kaum yang sangat misteri maka teori-teori yang wujud tentang kebangkitan tentera dari timur tidak boleh tidak mungkin betul. Jika tidak benar kita usahakan juga biar jadi benar kerna walaupun segalanya sudah tertulis di Luh Mahfuz, nasib sesuatu kaum itu tetap terletak ditangan sendiri atas perinsip usaha selain percaya kepada 'kun faya kun', qoda' dan qodar.

Apa lagi yang istimewa tentang kaumku, sudahlah menganut agama yang suci. Turun dari langit pula, bukan ciptaan sasterawan, bukan dendangan ahli muzik, bukan hasil ilham tok nujum. Turun dari langit diiring pula oleh ketua segala Malaikat.

Jika benar jalur serta salah silah dari zaman Sulaiman hingga zaman para wali terus ke Yunan lalu singgah ke kepulauan nusantara, maka negeri yang dikhabarkan merupakan negeri samudera itu mungkin benar. Maka Parameswara serta kehebatan Hang Tuah itu tidak dapat disangkal lagi kerna kononnya tamadun bangsaku pada era itu begitu hebat sekali.

Kehebatan tamadun yang diwarisi terus menerus secara rahsia yang kononnya berkongsi teknologi dari zaman Sulaiman yang mana ada teori menyatakan yang setiap 200 tahun wujud suatu permesyuaratan atau majlis menurun ilmu.

Kedengaran seperti agak kelakar tetapi terpulanglah untuk kita menganalisis serta membuat kajian sendiri. Seperti yang aku kata diawal lagi, ledakan dunia siber membawa kita kepada teori-teori, teori konspirasi, propaganda dan sebagainya. Bagi mereka-mereka yang pening kepala tentang hal ini agar dinasihatkan supaya terus kembali kepada pemahaman agama yang tradisional. Pemahaman agama yang teras iaitu percaya kepada Tuhan yang satu dan Muhammed itu pesuruhnya.

Tidak salah mengaji ilmu-ilmu sufi, tasawuf dan sebagainya namun terasnya kena teguh, seteguh besi waja. Selagi ilmu yang diturunkan itu tidak lari dari akhlak para Rasul. Jangan ada yang tiba-tiba nampak Tuhan, nampak Malaikat, nampak itu, nampak ini. Penafsiran tentang ini juga berbeza, tetapi yang teruknya ialah menghalalkan yang haram. Menghalalkan yang haram ini bukan ajaran atau akhlak yang dibawa para Rasul.

Kalau kita kata makam kita tinggi sehingga tidak mengapa jika tidak sembahyang, seks bebas dan sebagainya seolah-olah sudah dijanjikan maka aku rasa pembawa yang membawa ini sudah sah sesat.

Siapa dia, dan siapa pula Muhammed?

Aku seru agar saudara-saudaraku berhati-hati. Bak kata seorang teman, cari akhirat kita dapat dunia, cari dunia akhirat belum pasti. Nabi Muhammed yang sudah dijamin masuk syurga pun berusaha keras berkerja, bersolat, berpuasa dan sebagainya, apatah lagi kita.

Bukan apa, kita tidak mahu kejadian yang menimpa Ayah Pin berulang. Cukuplah dia seorang yang menjadi mangsa suatu bisikan.

Aku menulis begini juga sebagai ingatan buat diriku sendiri, langsung tidak berniat apa-apa melainkan sebagai satu simulasi agar aku ingat tentang apa yang aku tulis lalu aku zahirkannya perlahan-lahan.

Benar, jika difikirkan bangsa Melayu merupakan bangsa paling misteri didunia. Nampak pemalu, nampak penyegan tetapi berisi. Bak padi, semakin berisi semakin menunduk.

Memang misteri!

Bukan setakat pandai simpan, khazanah ilmu yang sangatlah rahsia ada pada bangsa yang sangat misteri ini. Kalau Jepun ada Naruto dan Son Goku, itu apa ada hal. Apa beza dengan Mat Kilau, Kiai Salleh, Tok janggut dan sebagainya.

Parang terbang nak?

Jurus nak?

Dekat mana lagi kita boleh dengar manusia menunggang Harimau?

Bangsa Africa pun 'salute'. Misterinya..

Aku yakin di kepulauan nusantara ini wujud mereka-mereka yang menyimpan segala macam ilmu. Cuma mungkin ilmu ini tidak diturunkan sahaja. Jika ada antara kamu yang arif, aku mohon berkongsi tentang ini. Kita bukan berkongsi tentang sesuatu paranormal disini. Tetapi percayalah, kehebatan tamadun-tamadun serta pendekar-pendekar yang lalu punya alasan saintifik yang mana boleh diperjelaskan menerusi sains dan fizik.

Thursday, June 25, 2009

Keyakinan wujud jika kita tahu apa yang kita mahu, sifat yakin kepada diri sendiri tidak akan datang bergolek jika kita kekurangan ilmu tentang apa yang ingin kita lakukan. Jika tidak, masakan wujud sikap kurang yakin terhadap diri sendiri.

Sikap kurang yakin terbit bila mana kita merasakan kita tidak bersedia untuk melakukan sesuatu. Tidak kira apa skop serta bidang tugasan masing-masing jika kita kekurangan ilmu pengetahuan tentang sesuatu pasti memberi kesan kepada kesediaan kita dalam melaksanakannya.

Terlalu yakin kepada kemampuan diri sendiri tidak menjamin survival kita dalam melakukan sesuatu. Sikap yakin bodoh serta sombong sering kali makan tuan. Akhirnya duduk terngadah bak kepala pening ditimpa buah kelapa tua ketika duduk santai cuci mata ditepian pantai.

Aku rasa, untuk berjaya kita mahu atau tidak perlu mencabar diri sendiri. Lakukan sesuatu yang sukar, laksanakannya sehingga tamat. Melakukan sesuatu yang sukar apatah lagi perkara sukar itu merupakan suatu kelemahan sendiri merupakan cabaran yang menarik sebenarnya.

Contoh, kita tahu kita kurang pandai bercakap dikhalayak dan kita sedar itu kelemahan kita. Untuk mengatasi kelemahan itu perlu ada kekuatan, kekuatan itu mungkin datang dari beberapa sudut mengikut empunya badan masing-masing. Asalkan sumber kekuatan itu disulami objektif serta misi yang jelas serta tidak berlawanan dengan fitrah suci manusia itu sudah cukup kuat rasanya untuk merangsang kita berlawan dengan diri sendiri.

Ada peluang cuba bercakap, tonjolkan bakat yang tersembunyi. Selalunya perkara yang lemah kita rasa kita tidak mampu buat selalunya boleh menjadi batu loncatan untuk kita berjaya dikemudian hari. Seteruk-teruk kejadian sekalipun, kita berjaya mengatasi rasa takut tersebut.

Kenapa?

Kenapa aku bicarakan hal ini? Sebab semalaman aku tidak boleh tidur, aku mimpi tentang matematik. Masalah gua selesai selepas berjaya menguasai matematik. Hidup ini matematik, bijak menguasai angka maka banyak persoalan mengenai kehidupan kita boleh kupas satu persatu.

Juzuk Quran ada berapa?

Berapa jumlah surah dalam Ummul Kitab?

Tidak campur dengan berapa banyak lagi persoalan matematik, dimensi, aturan, shariat, hakikat, tariqat dan ma'rifat. Semuanya ada kiraan tertentu. Rahsia dalam rahsia yang perlu diteroka, alam dan manusia.

Ceteknya ilmu kita.

Kita sibuk mencari modul, modul maha pencipta dekat depan mata sahaja. Ayuh, ada ilmu kita kongsi. Gua ambil sikit, lu dapat lagi banyak, gua sebar, lu tak miskin malah lu lagi kaya.

Baru Multi Level Marketing!

Kalau gua Ahmad Deedat, mesti semua kata 'Ya betul', tapi malangnya gua hanya seorang operator kelas tinggi kononnya yang baru berangan menjadi penolong pentadbir kementerian katanya.


Tuesday, June 23, 2009

Lelaki yang bisa menahan kemarahan adalah lelaki tulen, apatah lagi jika memaafkan. Aku adalah bangsa yang bisa menahan emosi namun bila aku sendiri menyaksikan bagaimana muka dicemar dengan air longkang boleh pula menelan setitik air longkangan tersebut bikin aku jadi lagi kagum.

Salute!

Andai dihumban bangkai hidup ke laut sekalipun mana bisa membeli air muka yang terselia cantek. Andai disumbat dalam karung guni lalu dihumban di Janda Baik atau pun Genting Sempah sekalipun tidak mungkin boleh membayar harga yang diragut.

Solusi?

Hukum syarak kata 'Tiger'!

Diplomasi kata seorang lagi 'Tiger'!

Kita ambil kedua-dua sekali kata 'Tiger Jeneral'!

Aku salute bukan kerna wira yang menang, tidak juga bangga yang akhirnya si wira tunggal itu berjaya membuat kerja dengan licin tanpa meninggalkan kesan. Tapi sifat untuk bersedia memaafi antara satu sama lain itu yang aku kira tiada harga. Yang dizalimi memberi tawar satu harga baru kepada kehilangan sebuah harga yang sudah diragut.

Harga kepada sebuah kemaafan yang sukar untuk diberi dan perit untuk ditelan!

Andai ikut emosi, muka itu tidak akan jadi manusia lagi. Aku pastikan muka itu pakar surgeri pun tidak berani rawat.

Itu aku, dan aku tidak keseorangan!

Kadang-kadang kita rasa kita cukup penyabar sehingga kita bertemu dengan situasi yang mencabar kesabaran kita. Drama yang diarah semalam memberi aku pelajaran bagimana sifat memaafkan itu bisa menjadi penawar hati paling ampuh sekali. Masakan tidak, berperang dengan hati sendiri lebih sukar berbanding perang sesama manusia.

Ikut hati mati, ikut rasa binasa!