Sunday, September 7, 2008

Cerita tak seram yang diseramkan!!

Seperti selalu, aku tidur agak lewat. Kali ini boleh tahan ekstremnya. Masuk tidur jam 9 pagi. Dua tiga kali juga aku bersahur pada sesi berbeza dalam satu malam. Seperti semalam, dan juga malam-malam sebelumnya, topik penceritaan yang kami serumah fokuskan pada pagi sahur itu ialah tentang cerita-cerita seram. Pakwad yang pada mulanya sudah berbaring dibilik untuk tidur tiba-tiba muncul di ruang tamu sambil mengheret tilam, tangan pula menjinjing bantal.


Tidak tahan agaknya diusik adi dan hazmi. Pakwad takut hantu. Entah dengan tidak semena-mena semua berjemaah duduk berbaring sambil masing-masing berkongsi cerita. Pelbagai siri cerita seram dikupas pada masa itu. Masing-masing mengambil giliran untuk bercerita. Masing-masing baring rapat, manakala aku baring dihujung sekali bersebelahan pakwad konon-kononnya kalau hantu datang aku yang menghadap dahulu. Sengaja aku berkata begitu untuk memujuk hati pakwad yang keseraman.

Adi sempat mencelah, ‘bulan puasa mana ada hantu weh!!!’

Aku senyum sahaja mendengarnya. Persoalan yang menjadi fokus malam itu ialah tentang sejauhmana kehadiran iblis, syaitan dan jin ketika Ramadhan???

Aku punya pendapat sendiri tentang ini. Sepertimana kamu semua tahu, jika ditanya mana-mana ustaz dan ustazah di sekolah umumnya, jawapan mereka pasti sama sahaja. Hantu syaitan ini diikat gari supaya tidak menganggu umat manusia sepanjang Ramadhan. Jawapan yang seolah-olah cuba memujuk hati pelajar.

Tidak mengapa!

Lagi pula persoalan ini tidak begitu penting untuk difikirkan. Tidak membina pada sesetengah manusia moden. Cuma mungkin boleh dibincang sebagai selingan agar masa lepak tidak berlalu sia-sia. Itu lebih baik. Aku tidak mahu mengulas panjang tentang ini walau aku punya pendirian sendiri. Aku tidak mahu dilihat seolah-olah cuba memandai-mandai.

Teringin pula rasanya aku berkongsi pengalaman sendiri.

Cerita ini tiada kaitan langsung dengan Bulan Ramadhan. Kisah yang berlaku pada jumaat tengahari. Tidaklah seseram cerita orang lain ye. Begini mulanya, ketika itu aku di UIA Gombak.

Baru pulang dari kuliah.

Aku boleh sahaja terus ke masjid menunaikan solat jumaat selepas kelas, namun aku memilih untuk pulang ke bilik terlebih dahulu. Sesampai dibilik, bisikan Iblis menggoda aku. Tiba-tiba rasa malas untuk solat jumaat.

Aku fikir pendek, ‘ahh, baring sekejap pun ok!!’

Sketsa pun bermula. Sedang aku berbaring selesa, aku terasa ada kepala hitam sedang memerhati. Aku nampak jelas bayang kepala hitam itu, sambil mataku meliar menjeling kearah kanan. Kebetulannya, pada hari itu aku keseorangan. Tiada sesiapa dibilik. Cuma aku. Lokasi bilik aku betul-betul terletak bersebelahan bukit dan hutan. Jika aku berbaring malam, jendela betul-betul berada dihadapan, lalu menampakkan seluruh isi hutan yang gelap sambil sekali sekala kelihatan bintang dan bulan silih berganti berpijar-pijaran. Cantik betul. Aku jarang tutup tingkap, walau ketika tidur. Sejuk, angin malam sangat nyaman sekali.

Berbalik kepada cerita tadi.

Sedang aku perasan ada satu kepala hitam sedang menjengah perhati. Aku mengambil keputusan untuk memandang tepat. Dadaku berdegup kencang, kakiku seolah kejang. Aku takut. Aku tidak percaya yang aku takut. Bukan main-main!!Aku nampak satu kepala sedang menjengah dibalik pintu almariku dari sebelah luar. Aku menutup muka dengan bantal.

Aku takut!!! Seberapa ketika aku meninjau lagi. Tiba-tiba hilang.

‘betul ke apa yang aku nampak ni??’

Aku meninjau lagi sambil tercari-cari. Sedang aku tertinjau-tinjau, kepala itu menjengah lagi.

‘cilaka!!pergi kau dari sini!!jangan ganggu aku!!’

Aku menjerit ketakutan. Aku menutup muka dengan bantal. Kepala hilang. Suasana kembali tenang seketika, dada yang berdegup kencang pada mulanya kembali ke paras biasa. Aku meninjau lagi. Kali ini aku terkejut sehingga hampir terkencing.

‘caaak!!’

Satu lembaga gelap betul-betul berada depan mata. Aku hampir tidak percaya apa yang aku lihat. Aku masih waras. Jelas dan nyata. Aku tutup muka dengan bantal. Sambil mulut aku terkumat kamit membaca ayatul Kursi dan ayat 3 Qul, aku kembali meninjau. Hilang lagi!! Tiada apa-apa. Aku rasa tidak sampai 10 saat, lembaga hitam kembali.

‘caaak!!!’ Haiyo, aku percaya dengan apa yang aku nampak.

Aku marah. Aku tidak tahan. Aku bingkas bangun sambil mencabar lembaga berhadapan satu sama satu sambil bangun gagah buat-buat berani ala-ala Stephen Chow.

‘cilaka kau!!keluar sial!, kau datang sini, hantu betul, celaka!!!

Kataku mencabar sambil menyumpah-nyumpah ketakutan. Abdomen aku kecut. Lembaga tiada kelihatan. Aku capai kopiah diatas meja. Terus keluar sambil memerhati setiap penjuru bilik. Aku membaca seberapa banyak surah dan ayat. Ayatul kursi aku baca sambil mengelilingi ruang bilik.

Dengan pantas aku keluar menuju masjid.

Dari mula berjalan sampai ke masjid, aku tidak merasa ada kopiah pun diatas kepala. Rambutku seolah-olah terpacak tinggi. Seperti rambut Aidid Marcello model minyak rambut Bylcream. Masih terpacak!!!Bulu roma menegak. Bersama seluar trek UIA dan t-shirt Body Glove berharga rm11 yang dibeli dipasaraya Sogo dihiasi pula dengan kopiah arab ala-ala kumpulan In-Team, aku bersahaja ke masjid.

Disini segalanya bermula.

Hampir setiap malam aku dihantui kejadian aneh. Aku bermimpi. Aku menderita insomnia. Tidak bisa tidur malam. Aku trauma, namun tidak menceritakan kepada sesiapa melainkan seorang dua rakan yang rapat.

Aku pernah kaku keras berpusing-pusing sambil terpinga tanpa daya lawan seolah-olah dibelit ular besar. Aku pernah dihempap kuat di dada sehingga penghadang kayu ditilam patah dan kepalaku tersadung ke bawah katil dan pelbagai kejadian aneh lagi seperti kewujudan suara-suara aneh yang senantiasa bermain digegendang telinga dengan bahasa yang sukar untuk aku fahami, sebiji macam bacaan mantera dalam cerita Long Khong.

Selama berbulan aku mengalami masalah yang sama. Aku mengadu kepada ayah dikampung. Ayah menyuruhku pulang.

Aku segera pulang naik bas Mutiara dekat Green Wood, Gombak.

Dikampung lain pula. Malam pertama tidur dirumah, aku mengalami kejadian aneh. Agak misteri nusantara juga la kan. Aku sedang menonton televisi ketika itu. Keseorangan menonton perlawanan bola sepak. Aku terlena.

Saatnya bermula bila aku terjaga dari lena.

TV masih lagi ‘on’, siaran pula sudah tamat. Serupa seperti ketika Piere Andre terjaga dari tidur dalam filem Jangan Pandang Belakang. Bezanya, aku merasa gegaran dirumah. Lantai tempatku berbaring bergegar kuat.

‘Astaghfirullah!!’ gempa bumi ke ni??’

Aku bingkas bangun sambil tunduk sedikit menekap telinga ke lantai.

‘confirm gempa bumi!!’

Dengan bunyi gegaran yang kuat mengaum, aku bangun sambil berjalan terhoyong hayang. Ruang rumah bergegar kuat. Aku tidak fikir lain selain terbayang wajah kedua ibubapa dan adik-adik yang sedang tidur.

Aku berlari ke arah bilik.

Sejurus sahaja aku melepasi ruang tamu aku perasan suasana kembali normal seperti biasa. Aku terus berpaling ke belakang meninjau ruang tamu. Keadaan baik sahaja.

Aku ‘confius’!!!

Aku mengucap panjang. Aku ke ‘toilet’ mengambil air sembahyang. Aku solat isya’. Selepas solat aku sambung tidur dalam keadaan berjaga-jaga sambil kain bercu (kain kapan) ditangan kanan.

Namun itu kali terakhir aku mengalami malam-malam yang buruk.

Sekembali daripada kampung semuanya kembali seperti biasa. Aku bebas dari gangguan. Sampai sekarang aku masih tertanya-tanya. Apakah hikmah dan alasan disebalik apa yang berlaku. Apakah ada penjelasan lain yang lebih saintifik terhadap segala gangguan yang berlaku ke atas aku selain mengaitkannya dengan gangguan ghaib.

Aku akhirnya faham.

Biarlah aku simpan sendiri. Walau bagaimanapun, sejak kejadian itu. Aku tidak lagi meninggalkan solat jumaat.

Aku insaf!

Aku masih lagi trauma. Menjelang Jumaat memang sangat menggusarkan hatiku. Aku masih terbayang. Namun seboleh-bolehnya aku tidak akan meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja. Kalau tertinggal pun sebab terlebih tidur.

Ini adalah antara sorotan yang bisa aku kongsi bersama. Manakala yang lainnya aku lebih suka simpan sendiri. Walau apa pun, diskusi tentang siri cerita seram ini memang diminati sesetengah orang. Tidak kurang juga bagi sesetengah rakan-rakan disini.

Sekali lagi aku tegaskan.

Aku tidak mempercayai hantu. Tapi aku percaya wujudnya organisasi iblis dan jin yang tidak pernah serik mengganggu manusia. Iblis dan syaitan memang jahat. Namun percayalah, manusia boleh jadi lebih jahat dari mereka-mereka yang sedia jahat ini.

Semua tahu Jin terdiri dari pelbagai jenis, bangsa dan agama. Ada yang Islam, Kristian, majusi malah komunis pun ada. Kehidupan yang lebih kurang serupa dengan manusia. Bezanya mereka ini makhluk ghaib yang tidak ternampak dek pancaindera manusia melainkan bagi sesetengah golongan manusia yang ‘gifted’, yang terbuka mata hati, terlepas hijab dimata. Sebab itu kita perlu kembali kepada agama.

Aku bukan mahu berdakwah disini!

Sekadar menjadi ejen penyampai agar bersama kita meneliti, menganalisa tentang fenomena yang kecil ini namun bisa memberi impak yang besar jika tidak difahami dengan baik. Pemahaman manusia berbeza mengenai hal ini. Namun jika tidak dipantau, aqidah bisa melayang terbang.

Tuhan murka!

Untuk mengambil hati para jin-jin Islam yang baik yang sedang memerhati aku menulis dari suatu jarak yang dekat namun jauh dimensinya, disini aku tegaskan yang mereka juga punya perasaan. Kita tidak wajar menyalahkan mereka. Kadang-kadang, histeria serta segala apa rasukan yang berlaku hanyalah sebagai satu protes atau mesej yang hendak mereka sampaikan kepada manusia.

Manusia kadang-kadangnya zalim.

Bukan sekadar menzalimi diri malah orang lain juga. Para jin juga tidak terlepas dari ketegangan akibat perbuatan manusia. Kita berkongsi didunia yang sama, cuma dimensinya sahaja berbeza.

Diskusi dirumah berakhir di pagi hari.

Manakala yang lainnya enak terlena didodoi terhibur dengan siri cerita seram, aku, pakwad dan nahfis bertahan sehingga ke konklusinya. Selesai sahaja kami menutup diskusi pada pagi itu, terdengar jelas dek telinga bunyi ngauman naga..

’khorrRRrr’.

Adi dan hazmi mengamuk berlawan dengkur. Aku sekadar senyum.


2 comments:

wawad said...

pakwad?takut?yaka?aish.....mana ada....malam 2 bilik panas...tu yang aku tarik tilam keluar...

Joe Moktar said...

ya ka pakwad?bukan hg peluk aku ka malam kejadian tuh sambil hg menggesel geselkan kakimu ditapak kaki ku!!haha