Lupakan pasal minuman susu Soya Yeos yang masih dara itu. Masih lagi suci tidak terusik. Biar saja disitu sampai rakan-rakan serumah semua kembali. Hari ini tidak kurang samanya dengan semalam. Aku seperti biasa, akibat ketidakcukupan tidur bersahaja bangun lambat pada jam 630 petang.
Sungguh kejam aku rasa.
Aku gagal menggunakan masa yang diperuntukkan Tuhan. Aku tewas dengan meninggalkan waktu wajib yang sepatutnya aku isi untuk berinteraksi dengan Tuhan. Padahal, dalam 9-10 jam aku tidur disiang hari, ada masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk aku berkomunikasi dengan Tuhan.Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan ini.
Sungguh kejam sekali.
Pastinya roh aku terseksa andai aku ditakdirkan mati, roh menuding jari kepada badan, badan pula menyalahkan roh. Aku bangun lewat jam 630 petang, kala rakan-rakan sudah pun bersiap untuk turun mencari juadah berbuka. Telefon bimbitku tidak putus-putus berdering, ada juga panggilan yang tidak sempat aku jawab.
Sudah semestinya panggilan dari ‘my kinky sayang’ yang tidak berputus asa mengejut aku bangun.
Sejaga dari tidur aku bangun dalam kondisi yang sangat pilu namun bersahaja. Aku menyesal dalam hati. Selesai aku bersiap, aku terus keluar menuju tempat letak kereta. Aku berjanji dengan nurul untuk berbuka sekali. Aku lihat jam ditangan sudah menghampiri jam 7 malam.
‘issh, aku pasti lewat sampai!!’.
Kasihan nurul terpaksa tunggu lama. Dari Puncak Perdana, aku singgah ke Shah Alam menuju ke bank. Dalam poket hanya ada 30 sen. Bayar tol di tol Batu tiga pun tidak cukup. Ketika di Maybank, laungan azan jelas kedengaran. Pantas aku keluar, sambil sempat meninjau warga-warga S.Alam berbuka puasa.
‘ciss!!aku masih dalam kereta.
Rasanya seperti aku berbuka keseorangan semalam, bezanya kali ini aku menghabiskan waktu afdhal berbuka didalam kereta. Aku menuju ke Petaling Jaya, semestinya ke rumah Nurul. Dalam kereta, telefon tidak putus berdering siap dengan mesej pesanan ringkas sekali. Kamu mungkin boleh mengagak panggilan dari siapa.
Kasihan dia, aku bersimpati.
Aku melalui lebuhraya persekutuan dengan penuh rasa syahdu. Kala orang lain berbuka elok, aku masih dilebuhraya, dalam kereta pula tu!
Sesampai di PJ, aku terus ke Pondok Salero. Kedai makan 'generasi abah-abah melepak' yang lokasinya betul-betul dibawah kediaman Nurul. aku pesan teh’o ais dan ais kosong bersama dua pinggan nasi putih kosong.
Tidak lama selepas itu, kelihatan wajah ayu tersipu-sipu senyum memandang aku. Nurul turun dengan membawa bersama juadah yang dipersetujui ketika aku 'mamai'. Dia tidak marah, asyik senyum sahaja sambil menghidangkan makanan. Semestinya kuih Melaka kegemaran aku.
Lama tunggu?
Aku bertanya selamba.
‘erm, tidaklah, sempatlah mandi dan solat sekejap’. Balasnya.
‘owh, kenapa tak berbuka dulu tadi?
‘dah, minum air kosong dengan kakak dekat rumah,
Aku menelan air liur simpati, sambil mata meliar memandang juadah. Juadah santapan biasa sahaja, namun istimewa pada aku. Ikan cencaru bakar bersama Tom Yam campur. Aku dengan tidak banyak songeh makan dengan lahap sambil Nurul asyik memerhati. Aku tahu dia suka perhati aku makan. Emak aku juga begitu.
Selesai makan, kami berbual panjang, bercerita pasal raya, baju raya dan semua berkisar hari raya sambil dia tidak habis-habis memainkan lagu Suatu Hari di Hari Raya dendangan sifu M.Nasir dalam telefon bimbitku.(telefon bimbit Nurul sebenarnya, tapi aku pakai)
Kemudian kami naik ke rumah, sebab aku membawa bersama baju-baju kotor yang hendak dibasuh. Bukan basuh pakai tangan ye, tapi mesin yang basuh. Aku tidak sekejam itu untuk mengeksploitasi peranan tradisional seorang wanita.
Sambil menunggu, kami berinai.
Kebetulan pada siang harinya ada seorang Datin kenalan Nurul memberinya inai. Aku pun ikut berinai.
Kami main-main inai!.
Dua jari kelingkingku diinai rapi. Manakala Nurul menginai semua jari tangannya.
Hm, agak menarik juga, eksotik.
Tepat jam 12 malam aku segera balik ke gugusan Puncak Perdana.
Penegasan yang hendak aku tegaskan disini ialah, aku kehilangan nikmat berbuka. Antara kegembiraan bagi orang yang berpuasa ialah berbuka puasa tepat pada waktunya tanpa berlengah. Itu lebih baik dan sangat afdhal.
Nikmat itu yang hilang.
Alangkah seronoknya berbuka sambil masing-masing duduk menunggu awal didepan juadah sambil menanti azan bergema. Detik menanti makan itu yang mahal sebenarnya, tiada dijumpa pada hari dan bulan yang biasa selain Ramadhan. Selera itu mungkin ada, namun kurang penangannya jika berbuka lambat 45 minit seperti itu. Wallahua’lam Bissawab.
No comments:
Post a Comment