Monday, September 8, 2008

Ramadhan lebih terasa...

Nikmat menahan lapar dan dahaga terbalas elok andai berbuka menerusi acara yang sempurna. Setelah sekian hari kita berpuasa, aku secara peribadi mengangkat acara berbukaku terasa sedikit sempurna kelmarin. Sempurna dalam konteks terasa akan kemeriahan Ramadhan. Sangat bererti sekali pada ku. Nurul mengaturnya dengan baik sekali.

Aku amat menghargainya.

Semoga Tuhan membalas budi serta jasa baiknya. Keletihan yang dirasa ketika siangnya berbalas dengan hamparan juadah serta suasana yang sedikit romantika berbunga mesra.

Sungguh manis sekali.



Nurul 'usha panas' kat gua sebelum memasuki dewan!Adeh!!


Kami tiba di Dewan Sri Perdana 2 jam lebih awal. Sangat awal sedangkan acara bakal berlangsung pada jam 630 petang. Termanggu-manggu kami berdua duduk diperkarangan letak kereta sambil mengira detik berbuka. Entah mengapa hari itu begitu memenatkan. Apa lagi sebelum itu hampir 3 jam kami ronda-ronda di celah-celah bandaraya Kuala Lumpur.

Tekak kering semacam minta disiram!

Aku sempat membersihkan 'dashboard kereta', menyapu sedikit krim pengilat di rim tayar keretaku. Aku sendiri kehairanan, dalam banyak-banyak masaku yang terluang, aku memilih hari itu untuk membersihkannya. Nurul asyik memerhati. Mungkin bingung dengan telatahku yang kurang siuman sedikit pada hari tersebut.



Aku bikin kerja. Tengah sibuk ni!

Tepat jam 630, kami masuk ke dalam dewan. Perkarangan dewan juga kelihatannya telah penuh dibanjiri manusia. Saudara Mahfuz Omar juga kelihatan bersama 'kengkawannya'.



Aku tahu!!aku memang rakus, lebih-lebih lagi jika 'lamb bakar' bergelimpangan bak kelapa tua dibawah pohon nyiur.




Amboi, terserlah keasyikan diwajah menikmati hidangan. Nurul makan sangat banyak dari kebiasaannya. Aku salute!!!



Aku akhirnya duduk tersadai seperti 'platipus' kekenyangan sambil menikmati persembahan oleh artis nasyid jemputan.

Kami bergerak keluar kira-kira jam 10 malam. Sebelum menghantar Nurul pulang, kami sempat 'ronda-ronda' sekitar jalan TAR. Faham sahaja bagaimana suasana disana. Terasa seperti besoknya raya.

Terima kasih untuk suatu hari yang sangat indah.

Sunday, September 7, 2008

Cerita tak seram yang diseramkan!!

Seperti selalu, aku tidur agak lewat. Kali ini boleh tahan ekstremnya. Masuk tidur jam 9 pagi. Dua tiga kali juga aku bersahur pada sesi berbeza dalam satu malam. Seperti semalam, dan juga malam-malam sebelumnya, topik penceritaan yang kami serumah fokuskan pada pagi sahur itu ialah tentang cerita-cerita seram. Pakwad yang pada mulanya sudah berbaring dibilik untuk tidur tiba-tiba muncul di ruang tamu sambil mengheret tilam, tangan pula menjinjing bantal.


Tidak tahan agaknya diusik adi dan hazmi. Pakwad takut hantu. Entah dengan tidak semena-mena semua berjemaah duduk berbaring sambil masing-masing berkongsi cerita. Pelbagai siri cerita seram dikupas pada masa itu. Masing-masing mengambil giliran untuk bercerita. Masing-masing baring rapat, manakala aku baring dihujung sekali bersebelahan pakwad konon-kononnya kalau hantu datang aku yang menghadap dahulu. Sengaja aku berkata begitu untuk memujuk hati pakwad yang keseraman.

Adi sempat mencelah, ‘bulan puasa mana ada hantu weh!!!’

Aku senyum sahaja mendengarnya. Persoalan yang menjadi fokus malam itu ialah tentang sejauhmana kehadiran iblis, syaitan dan jin ketika Ramadhan???

Aku punya pendapat sendiri tentang ini. Sepertimana kamu semua tahu, jika ditanya mana-mana ustaz dan ustazah di sekolah umumnya, jawapan mereka pasti sama sahaja. Hantu syaitan ini diikat gari supaya tidak menganggu umat manusia sepanjang Ramadhan. Jawapan yang seolah-olah cuba memujuk hati pelajar.

Tidak mengapa!

Lagi pula persoalan ini tidak begitu penting untuk difikirkan. Tidak membina pada sesetengah manusia moden. Cuma mungkin boleh dibincang sebagai selingan agar masa lepak tidak berlalu sia-sia. Itu lebih baik. Aku tidak mahu mengulas panjang tentang ini walau aku punya pendirian sendiri. Aku tidak mahu dilihat seolah-olah cuba memandai-mandai.

Teringin pula rasanya aku berkongsi pengalaman sendiri.

Cerita ini tiada kaitan langsung dengan Bulan Ramadhan. Kisah yang berlaku pada jumaat tengahari. Tidaklah seseram cerita orang lain ye. Begini mulanya, ketika itu aku di UIA Gombak.

Baru pulang dari kuliah.

Aku boleh sahaja terus ke masjid menunaikan solat jumaat selepas kelas, namun aku memilih untuk pulang ke bilik terlebih dahulu. Sesampai dibilik, bisikan Iblis menggoda aku. Tiba-tiba rasa malas untuk solat jumaat.

Aku fikir pendek, ‘ahh, baring sekejap pun ok!!’

Sketsa pun bermula. Sedang aku berbaring selesa, aku terasa ada kepala hitam sedang memerhati. Aku nampak jelas bayang kepala hitam itu, sambil mataku meliar menjeling kearah kanan. Kebetulannya, pada hari itu aku keseorangan. Tiada sesiapa dibilik. Cuma aku. Lokasi bilik aku betul-betul terletak bersebelahan bukit dan hutan. Jika aku berbaring malam, jendela betul-betul berada dihadapan, lalu menampakkan seluruh isi hutan yang gelap sambil sekali sekala kelihatan bintang dan bulan silih berganti berpijar-pijaran. Cantik betul. Aku jarang tutup tingkap, walau ketika tidur. Sejuk, angin malam sangat nyaman sekali.

Berbalik kepada cerita tadi.

Sedang aku perasan ada satu kepala hitam sedang menjengah perhati. Aku mengambil keputusan untuk memandang tepat. Dadaku berdegup kencang, kakiku seolah kejang. Aku takut. Aku tidak percaya yang aku takut. Bukan main-main!!Aku nampak satu kepala sedang menjengah dibalik pintu almariku dari sebelah luar. Aku menutup muka dengan bantal.

Aku takut!!! Seberapa ketika aku meninjau lagi. Tiba-tiba hilang.

‘betul ke apa yang aku nampak ni??’

Aku meninjau lagi sambil tercari-cari. Sedang aku tertinjau-tinjau, kepala itu menjengah lagi.

‘cilaka!!pergi kau dari sini!!jangan ganggu aku!!’

Aku menjerit ketakutan. Aku menutup muka dengan bantal. Kepala hilang. Suasana kembali tenang seketika, dada yang berdegup kencang pada mulanya kembali ke paras biasa. Aku meninjau lagi. Kali ini aku terkejut sehingga hampir terkencing.

‘caaak!!’

Satu lembaga gelap betul-betul berada depan mata. Aku hampir tidak percaya apa yang aku lihat. Aku masih waras. Jelas dan nyata. Aku tutup muka dengan bantal. Sambil mulut aku terkumat kamit membaca ayatul Kursi dan ayat 3 Qul, aku kembali meninjau. Hilang lagi!! Tiada apa-apa. Aku rasa tidak sampai 10 saat, lembaga hitam kembali.

‘caaak!!!’ Haiyo, aku percaya dengan apa yang aku nampak.

Aku marah. Aku tidak tahan. Aku bingkas bangun sambil mencabar lembaga berhadapan satu sama satu sambil bangun gagah buat-buat berani ala-ala Stephen Chow.

‘cilaka kau!!keluar sial!, kau datang sini, hantu betul, celaka!!!

Kataku mencabar sambil menyumpah-nyumpah ketakutan. Abdomen aku kecut. Lembaga tiada kelihatan. Aku capai kopiah diatas meja. Terus keluar sambil memerhati setiap penjuru bilik. Aku membaca seberapa banyak surah dan ayat. Ayatul kursi aku baca sambil mengelilingi ruang bilik.

Dengan pantas aku keluar menuju masjid.

Dari mula berjalan sampai ke masjid, aku tidak merasa ada kopiah pun diatas kepala. Rambutku seolah-olah terpacak tinggi. Seperti rambut Aidid Marcello model minyak rambut Bylcream. Masih terpacak!!!Bulu roma menegak. Bersama seluar trek UIA dan t-shirt Body Glove berharga rm11 yang dibeli dipasaraya Sogo dihiasi pula dengan kopiah arab ala-ala kumpulan In-Team, aku bersahaja ke masjid.

Disini segalanya bermula.

Hampir setiap malam aku dihantui kejadian aneh. Aku bermimpi. Aku menderita insomnia. Tidak bisa tidur malam. Aku trauma, namun tidak menceritakan kepada sesiapa melainkan seorang dua rakan yang rapat.

Aku pernah kaku keras berpusing-pusing sambil terpinga tanpa daya lawan seolah-olah dibelit ular besar. Aku pernah dihempap kuat di dada sehingga penghadang kayu ditilam patah dan kepalaku tersadung ke bawah katil dan pelbagai kejadian aneh lagi seperti kewujudan suara-suara aneh yang senantiasa bermain digegendang telinga dengan bahasa yang sukar untuk aku fahami, sebiji macam bacaan mantera dalam cerita Long Khong.

Selama berbulan aku mengalami masalah yang sama. Aku mengadu kepada ayah dikampung. Ayah menyuruhku pulang.

Aku segera pulang naik bas Mutiara dekat Green Wood, Gombak.

Dikampung lain pula. Malam pertama tidur dirumah, aku mengalami kejadian aneh. Agak misteri nusantara juga la kan. Aku sedang menonton televisi ketika itu. Keseorangan menonton perlawanan bola sepak. Aku terlena.

Saatnya bermula bila aku terjaga dari lena.

TV masih lagi ‘on’, siaran pula sudah tamat. Serupa seperti ketika Piere Andre terjaga dari tidur dalam filem Jangan Pandang Belakang. Bezanya, aku merasa gegaran dirumah. Lantai tempatku berbaring bergegar kuat.

‘Astaghfirullah!!’ gempa bumi ke ni??’

Aku bingkas bangun sambil tunduk sedikit menekap telinga ke lantai.

‘confirm gempa bumi!!’

Dengan bunyi gegaran yang kuat mengaum, aku bangun sambil berjalan terhoyong hayang. Ruang rumah bergegar kuat. Aku tidak fikir lain selain terbayang wajah kedua ibubapa dan adik-adik yang sedang tidur.

Aku berlari ke arah bilik.

Sejurus sahaja aku melepasi ruang tamu aku perasan suasana kembali normal seperti biasa. Aku terus berpaling ke belakang meninjau ruang tamu. Keadaan baik sahaja.

Aku ‘confius’!!!

Aku mengucap panjang. Aku ke ‘toilet’ mengambil air sembahyang. Aku solat isya’. Selepas solat aku sambung tidur dalam keadaan berjaga-jaga sambil kain bercu (kain kapan) ditangan kanan.

Namun itu kali terakhir aku mengalami malam-malam yang buruk.

Sekembali daripada kampung semuanya kembali seperti biasa. Aku bebas dari gangguan. Sampai sekarang aku masih tertanya-tanya. Apakah hikmah dan alasan disebalik apa yang berlaku. Apakah ada penjelasan lain yang lebih saintifik terhadap segala gangguan yang berlaku ke atas aku selain mengaitkannya dengan gangguan ghaib.

Aku akhirnya faham.

Biarlah aku simpan sendiri. Walau bagaimanapun, sejak kejadian itu. Aku tidak lagi meninggalkan solat jumaat.

Aku insaf!

Aku masih lagi trauma. Menjelang Jumaat memang sangat menggusarkan hatiku. Aku masih terbayang. Namun seboleh-bolehnya aku tidak akan meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja. Kalau tertinggal pun sebab terlebih tidur.

Ini adalah antara sorotan yang bisa aku kongsi bersama. Manakala yang lainnya aku lebih suka simpan sendiri. Walau apa pun, diskusi tentang siri cerita seram ini memang diminati sesetengah orang. Tidak kurang juga bagi sesetengah rakan-rakan disini.

Sekali lagi aku tegaskan.

Aku tidak mempercayai hantu. Tapi aku percaya wujudnya organisasi iblis dan jin yang tidak pernah serik mengganggu manusia. Iblis dan syaitan memang jahat. Namun percayalah, manusia boleh jadi lebih jahat dari mereka-mereka yang sedia jahat ini.

Semua tahu Jin terdiri dari pelbagai jenis, bangsa dan agama. Ada yang Islam, Kristian, majusi malah komunis pun ada. Kehidupan yang lebih kurang serupa dengan manusia. Bezanya mereka ini makhluk ghaib yang tidak ternampak dek pancaindera manusia melainkan bagi sesetengah golongan manusia yang ‘gifted’, yang terbuka mata hati, terlepas hijab dimata. Sebab itu kita perlu kembali kepada agama.

Aku bukan mahu berdakwah disini!

Sekadar menjadi ejen penyampai agar bersama kita meneliti, menganalisa tentang fenomena yang kecil ini namun bisa memberi impak yang besar jika tidak difahami dengan baik. Pemahaman manusia berbeza mengenai hal ini. Namun jika tidak dipantau, aqidah bisa melayang terbang.

Tuhan murka!

Untuk mengambil hati para jin-jin Islam yang baik yang sedang memerhati aku menulis dari suatu jarak yang dekat namun jauh dimensinya, disini aku tegaskan yang mereka juga punya perasaan. Kita tidak wajar menyalahkan mereka. Kadang-kadang, histeria serta segala apa rasukan yang berlaku hanyalah sebagai satu protes atau mesej yang hendak mereka sampaikan kepada manusia.

Manusia kadang-kadangnya zalim.

Bukan sekadar menzalimi diri malah orang lain juga. Para jin juga tidak terlepas dari ketegangan akibat perbuatan manusia. Kita berkongsi didunia yang sama, cuma dimensinya sahaja berbeza.

Diskusi dirumah berakhir di pagi hari.

Manakala yang lainnya enak terlena didodoi terhibur dengan siri cerita seram, aku, pakwad dan nahfis bertahan sehingga ke konklusinya. Selesai sahaja kami menutup diskusi pada pagi itu, terdengar jelas dek telinga bunyi ngauman naga..

’khorrRRrr’.

Adi dan hazmi mengamuk berlawan dengkur. Aku sekadar senyum.


Friday, September 5, 2008

Kehilangan sebuah nikmat yang sangat nikmat sekali

Lupakan pasal minuman susu Soya Yeos yang masih dara itu. Masih lagi suci tidak terusik. Biar saja disitu sampai rakan-rakan serumah semua kembali. Hari ini tidak kurang samanya dengan semalam. Aku seperti biasa, akibat ketidakcukupan tidur bersahaja bangun lambat pada jam 630 petang.

Sungguh kejam aku rasa.

Aku gagal menggunakan masa yang diperuntukkan Tuhan. Aku tewas dengan meninggalkan waktu wajib yang sepatutnya aku isi untuk berinteraksi dengan Tuhan. Padahal, dalam 9-10 jam aku tidur disiang hari, ada masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk aku berkomunikasi dengan Tuhan.Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan ini.

Sungguh kejam sekali.

Pastinya roh aku terseksa andai aku ditakdirkan mati, roh menuding jari kepada badan, badan pula menyalahkan roh. Aku bangun lewat jam 630 petang, kala rakan-rakan sudah pun bersiap untuk turun mencari juadah berbuka. Telefon bimbitku tidak putus-putus berdering, ada juga panggilan yang tidak sempat aku jawab.

Sudah semestinya panggilan dari ‘my kinky sayang’ yang tidak berputus asa mengejut aku bangun.

Sejaga dari tidur aku bangun dalam kondisi yang sangat pilu namun bersahaja. Aku menyesal dalam hati. Selesai aku bersiap, aku terus keluar menuju tempat letak kereta. Aku berjanji dengan nurul untuk berbuka sekali. Aku lihat jam ditangan sudah menghampiri jam 7 malam.

‘issh, aku pasti lewat sampai!!’.

Kasihan nurul terpaksa tunggu lama. Dari Puncak Perdana, aku singgah ke Shah Alam menuju ke bank. Dalam poket hanya ada 30 sen. Bayar tol di tol Batu tiga pun tidak cukup. Ketika di Maybank, laungan azan jelas kedengaran. Pantas aku keluar, sambil sempat meninjau warga-warga S.Alam berbuka puasa.

‘ciss!!aku masih dalam kereta.

Rasanya seperti aku berbuka keseorangan semalam, bezanya kali ini aku menghabiskan waktu afdhal berbuka didalam kereta. Aku menuju ke Petaling Jaya, semestinya ke rumah Nurul. Dalam kereta, telefon tidak putus berdering siap dengan mesej pesanan ringkas sekali. Kamu mungkin boleh mengagak panggilan dari siapa.

Kasihan dia, aku bersimpati.

Aku melalui lebuhraya persekutuan dengan penuh rasa syahdu. Kala orang lain berbuka elok, aku masih dilebuhraya, dalam kereta pula tu!

Sesampai di PJ, aku terus ke Pondok Salero. Kedai makan 'generasi abah-abah melepak' yang lokasinya betul-betul dibawah kediaman Nurul. aku pesan teh’o ais dan ais kosong bersama dua pinggan nasi putih kosong.

Tidak lama selepas itu, kelihatan wajah ayu tersipu-sipu senyum memandang aku. Nurul turun dengan membawa bersama juadah yang dipersetujui ketika aku 'mamai'. Dia tidak marah, asyik senyum sahaja sambil menghidangkan makanan. Semestinya kuih Melaka kegemaran aku.

Lama tunggu?

Aku bertanya selamba.

‘erm, tidaklah, sempatlah mandi dan solat sekejap’. Balasnya.

‘owh, kenapa tak berbuka dulu tadi?

‘dah, minum air kosong dengan kakak dekat rumah, kan kita nak berbuka bersama, tu yang tak makan tadi’.

Aku menelan air liur simpati, sambil mata meliar memandang juadah. Juadah santapan biasa sahaja, namun istimewa pada aku. Ikan cencaru bakar bersama Tom Yam campur. Aku dengan tidak banyak songeh makan dengan lahap sambil Nurul asyik memerhati. Aku tahu dia suka perhati aku makan. Emak aku juga begitu.

Selesai makan, kami berbual panjang, bercerita pasal raya, baju raya dan semua berkisar hari raya sambil dia tidak habis-habis memainkan lagu Suatu Hari di Hari Raya dendangan sifu M.Nasir dalam telefon bimbitku.(telefon bimbit Nurul sebenarnya, tapi aku pakai)

Kemudian kami naik ke rumah, sebab aku membawa bersama baju-baju kotor yang hendak dibasuh. Bukan basuh pakai tangan ye, tapi mesin yang basuh. Aku tidak sekejam itu untuk mengeksploitasi peranan tradisional seorang wanita.

Sambil menunggu, kami berinai.

Kebetulan pada siang harinya ada seorang Datin kenalan Nurul memberinya inai. Aku pun ikut berinai.

Kami main-main inai!.

Dua jari kelingkingku diinai rapi. Manakala Nurul menginai semua jari tangannya.

Hm, agak menarik juga, eksotik.

Tepat jam 12 malam aku segera balik ke gugusan Puncak Perdana.

Penegasan yang hendak aku tegaskan disini ialah, aku kehilangan nikmat berbuka. Antara kegembiraan bagi orang yang berpuasa ialah berbuka puasa tepat pada waktunya tanpa berlengah. Itu lebih baik dan sangat afdhal.

Nikmat itu yang hilang.

Alangkah seronoknya berbuka sambil masing-masing duduk menunggu awal didepan juadah sambil menanti azan bergema. Detik menanti makan itu yang mahal sebenarnya, tiada dijumpa pada hari dan bulan yang biasa selain Ramadhan. Selera itu mungkin ada, namun kurang penangannya jika berbuka lambat 45 minit seperti itu. Wallahua’lam Bissawab.

Thursday, September 4, 2008

Masih Belum Sempurna

Kami bertahan sehingga azan subuh pada sahur semalam, ternyata misi mustahil kami menemui jalan buntu bagi merebut minuman susu Soya Yeos. Masing-masing kelihatan tenang namun sempat ’pekena Nescafe panas secara berjemaah’ sebagai jalan alternatif bagi menggantikan minuman susu soya yeos itu. Tidak mengapa, sekurang-kurangnya kami masih punya bekalan buat santapan berbuka besok hari. Bisik hati kecil ku!!ketika yang lainnya masuk tidur, aku dan emi masih berjaga. Percaya atau tidak, aku dan emi berjuang bermatian bergelut melawan masalah tidur. Sambil aku bergolek-golek diatas tilam empuk subsidi kerajaan, aku melihat emi mundar mandir meninjau ruang rumah tanpa hala tuju. Sekejap masuk ke tandas, keluar tandas, mundar mandir sekitar ruang tamu. Daerah pembaringan aku juga diruang tamu bersama adi dan hazmi. Lena betul mereka tidur. Masing-masing mengaum sambil diselang seli dentuman bunyi ’vroom’(berdengkur la tu) Sukar untuk aku melelapkan mata. Hanya telefon bimbit menjadi teman hibur. Aku belek-belek berulang kali sms di inbox handphone ku. Ada 3 mesej masuk sepanjang subuh pagi itu. Aku hanya merenung mesej itu tanpa membalas. Kebetulannya pada pagi itu, aku ada urusan bersama emi di Gombak. Lalu kami berdua mengambil keputusan untuk terus berjaga sampai pagi. Tepat jam 8.30 pagi kami sudah pun bersiap. Azizi pun ikut sekali. Terasa berat sekali mata ini untuk dibuka. Ketika itu lah baru perasaan mengantuk itu menyerang. ’Ngantuk gile ni emi!!!’ aku meluah rasa. Emi pun menyahut, ’itu la, aku pun ngantuk gile ni’..’Tak mengapa’ bisik hati kecil ku. Sekurang-kurangnya aku tidak keseorangan mengantuk bila berdepan dengan Brader Ali Bakar dipejabatnya nanti. Kami pun bergerak sambil singgah sebentar di Subang bagi menjemput iewa dan hamna. Sambil melalui jalan yang sesak, ditambah pula perasaan mengantuk. Aku memandu perlahan sambil dihiburkan dengan celoteh seorang co-pilot dan 3 orang penumpang yang manja dibelakang. Kami sampai dipejabat Brader Ali tepat jam 1030 pagi seperti yang dijanjikan. Itu pun setelah 3 kali berpusing-pusing sekitar medan idaman Gombak mencari tempat parking. Maklumlah, bateri kereta ku manja sikit. Terpaksa mencari ruang yang sedikit berbukit untuk berhenti, mudah sikit usaha menolaknya nanti sebagai persediaan kalau-kalau kereta aku gagal dihidupkan. Jika tidak, alamatnya terpaksalah beramai-ramai berusaha keras menolak kereta yang baterinya sudah afdhal untuk ditukar baru. Nampaknya jalan sekitar itu semua mendatar sahaja jadi kami tiada pilihan melainkan hanya parking ditempat yang disediakan, betul-betul didepan pejabat Brader Ali. ’memang terpaksa menolak la nanti!!’ bisik hati kecil ku. Sesi temubual berjalan lancar sekali walau sekali sekala aku sedikit ’lalok’ menahan ngantuk berdepan Brader Ali. Seperti biasa, Brader Ali lantang bersuara apabila diajukan beberapa pertanyaan yang sensitif. Bergegar jugalah jantung kami mendengarnya, abdomen pun bisa kecut.



Bersemangat sekali kami berdiskusi bersama Brader Ali perihal konsert M.Nasir yang bakal diadakan di Istana Budaya konon-kononnya, fokus nampaknya Brader Ali mendengar konklusi daripada aku. Konklusi yang tidak seindah seperti yang terpapar pada imej. Kelihatan jelas emi menutup wajahnya, menahan ketawa mungkin. Maklum saja, aku menjadi kambing hitam ketika itu.

Sesi temuramah edisi kedua tamat kira-kira jam 3 petang. Aku begitu penat sekali. Apa yang aku nampak hanya tilam. Aku perlu tidur. Tapi seperti dijangka kereta ku meragam. Sungguh degil untuk dihidupkan. Dalam hujan aku, zizi dan emi menolak kereta dengan bergaya sambil iewa didalam cuba menghidupkan enjin, Alhamdulillah, hidup juga akhirnya, terasa kejang pula peha montok ku ini. Sesudah menghantar iewa dan hamna balik ke Subang, kami singgah pula ke stesen komuter Batu Tiga Shah Alam untuk menghantar azizi yang perlu segera balik ke Putrajaya. Aku dan emi melawan perasaan mengantuk. Mujur ada emi, jika tidak beberapa kali juga kereta yang dipandu hampir tersasar dek kondisi aku yang sedikit ’lalok’. Sesampai di gugusan Puncak Perdana, aku dan emi segera meluru pulang. Aku seperti dijangka terus meluru ke katil untuk tidur. KLMJ kembali menghantui sejaganya aku daripada lena. Aku terjaga hampir jam 7 malam. Rumah senyap dan sunyi sahaja. Seorang manusia pun tiada kelihatan. Yang tinggal aku seorang. ’aduh!!’ aku berbuka sorang-sorang la ni agaknya!!bisik rasa hati..Aku bergegas ke kafe tanpa membersihkan muka. Juadah yang diambil sederhana sahaja. Cuma nasi dan 3 ketul ayam goreng bersama air sirap. Manakala pemanis mulut tiada. Sudah licin kehabisan. Aku berjalan pulang sambil mengeluh sendirian. Aku suka benda yang manis, tanpa pemanis mulut tidak lengkap rasanya bila berbuka. Sekembali dari kafe, aku meninjau ruang legar rumah. Kosong dan sunyi. Aku letak bungkusan makanan diatas meja sambil aku ke bilik menghidupkan ’laptop’. Aku belek-belek mencari lagu yang sesuai sebagai santapan halwa telinga ketika berbuka nanti namun tiada satu lagu pun yang sesuai aku rasa bagi mengisi kesunyian dihati, pujuk hati sendiri kononya. Lagu raya pun tiada. Sekurang-kurangnya ditemani lagu ’Dendang Perantau’ pun sudah cukup. Aku biarkan ’laptop’ itu menganga, lalu ke depan untuk mengambil makanan sambil terdengar laungan azan yang menandakan sudah masuk waktu berbuka. Aku baca doa buka puasa perlahan-lahan sambil berjalan lalu duduk keseorangan menikmati juadah. Hanya ayam sahaja yang aku ratah sambil mata fokus ke dinding manakala nasi tidak pula aku berselera untuk menghabiskannya..’aku kena kahwin cepat-cepat ni, paling kurang ada insan yang bisa sediakan semua bila aku tertidur seperti tadi..ishh, sunyi betul!!!’ aku mengomel dalam hati. Laju aku mengemas bekas makanan untuk ku buang diruang dapur rumah. Sambil itu aku terperasan...minuman susu soya yeos yang masih belum terusik..’misi masih belum tamat rupanya’ bisikku sambil memandang penuh rakus..gGrr..


Minuman susu Soya Yeos kegemaran Hakim, terselit elok disuatu ruangan dekat dapur. Masih tidak terusik. Sengaja aku abadikannya buat gelakan rakan-rakan.

Wednesday, September 3, 2008

Amukan Soya Alor Setar



Sebagai kesinambungan kepada entri sebelumnya, inilah air susu Soya yang hangat diperkatakan sebelum ini. Air susu soya yeos yang menjadi rebutan kala sahur, dibawa khas daripada Alor Setar. Sehingga kini, air soya itu masih tidak diusik. Masing-masing memasang mata menanti harap akan ada panglima gagah berani untuk merasmikannya. Inilah imej gambar yang sempat kami abadikan buat tatapan rakan-rakan diruang maya ini. Jangan lupa bersahur ye!!Alangkah indahnya bangun sahur. Imej diatas menunjukkan Hakim bernafsu besar ingin memiliki susu Soya Yeos keramat ini. Namun kasihnya tak sampai.




Imej manja yang sempat dirakamkan oleh emi. Dari kiri, aku, pakwad dan hakim. Manakala nahfis, adi dan hazmi dibelakang sedang khusyuk melayari laman web My space dan Friendster sambil mendengar lagu Suatu Hari di Hari Raya dendangan M.Nasir. Sweet bukan?

Marah+Amarah=Sabar

Pantas aku meluru menuju ke cafe bersama niat tulus untuk mencari juadah buat bekalan sahur sebentar tadi. Aku sedar yang aku berjalan dengan membawa bersama emosi yang tidak menentu. Hampir jua terlanggar seseorang, namun dengan penuh rasa bongkak aku melirik lirikan penuh jelaga, penuh marah. Terasa seolah-olah berpuluh ekor jin amarah dikiri dan kanan bahu. Masing-masingnya berusaha meniup gelodak amarah, berbisik-bisik menyalakan api agar marak. Terasa beratnya. Jika tidak diserpa oleh beberapa rakan yang aku kenal disitu, sudah tentu aku tidak sedar akan keboblokan diri. ”zul!!” aku melihat ke hadapan..hai!! aku cuba beramah sambil bersalaman dengan salah seorang daripada mereka, namun aku gagal menyembunyikan emosi yang bergelora. ’ada masalah ke zul?’ sahabat itu tadi menegur..’haa, nampak muka macam bermasalah, takut tengok!!’ sampuk seorang lagi sahabat. ’itulah, ada masalah sikit!!’ jawabku ringkas sambil cuba menguntum senyum yang tidak ikhlas. ’sabar zul!!bulan Ramadhan ni..!!’ sahabat pertama menambah. Aku terus bergerak ke kedai ibu sambil kepala menunduk ke bumi. Kesal benar rasanya bersikap begitu. Aku tersentak lalu mengusap dada. Jika tidak ditegur tadi, semestinya aku akan terus terbakar sebegitu. Maklumlah, sebagai aku, aku kenal benar akan diriku. Aku tahu benar, bila-bila aku bisa meletup. ’astaghfirullahala’zim’ aku beristighfar didalam hati meminta ampun kepada Tuhan. Aku rasional kembali bila sedar sifat amarah dan bongkak hanya milik Tuhan semata-mata. Siapalah aku untuk menyalahgunakannya. Kadang-kadang perasaan ’moody’ begini memang tidak dapat dielak. Aku sering tidak merasa bumi bila dikuasai nafsu amarah itu. Aku terasa kakiku tidak menjejak bumi. Aku memasuki kedai ibu. Tekak merindui disiram teh ais. Kecewa!!aku berlalu kecewa kerna kedai ibu kehabisan ais. Sekali lagi terasa ingin melenting. Aku beristighfar sekali lagi. Tunduk melihat kaki, memastikan kakiku berpijak dibumi nyata. Sesampainya dirumah, aku berubah ceria, aku merasa aura ceria mendominasi ruang rumah. Berdekah-dekah aku ketawa melihat telatah rakan-rakan. Aku bercakap tidak berhenti sambil duduk membuka bungkusan makanan yang tidak seberapa itu (aku sememangnya tidak boleh menyimpan makanan lama-lama, nanti boleh sahur lagi). Aku makan bertiga bersama adi dan pakwad. Manakala yang lainnya sibuk memandang laptop masing-masing. Sekali sekala mereka menyampuk. Semestinya kami ceria pakwad sudah pulang. Baru kembali dari kampung halaman bersama nahfis. Rindu untuk menyakat dia. Selama seminggu ini suasana sunyi. Tiada mangsa untuk disakat. Jadi , aku membalas dendam untuk ketawa gumbira. Bermodalkan air soya yang pakwad bawa dari kampung, kami berebut untuk membukanya. Hakim merajuk manja. Sebab, sudah 3 kali dia minta air soya dan cincau dari pakwad, tapi pakwad menggeleng. Ternyata pakwad sayang aku. Aku minta sekali, pakwad suruh buka. Tapi aku tak buka pun. Pakwad suruh buka lagi. Aku jeling Hakim, konon tak sampai hati nak buka. Pakwad pujuk Hakim. Kelakar betul dua orang tu bertekak manja. Suasana sahur ceria. Apa-apa pun, sempat juga aku merasa juadah dari Alor Setar, bertambah lauk aku. Terima kasih pakwad kerna sudi berkongsi lauk denganku. Inilah suasana yang kami suka dirumah. Masing-masing bergurau, menyakat. Saat aku sedang menulis ini, nahfis pula pulang membawa McD. Amboi, sedap nampak!!Aku harus sahur lagi. Food lover la katakan.. Sebagai penegasan yang ingin aku sampaikan disini, jangan ’moody’ sangat. Nampak buruk!!lagi pula jika seseorang yang dikatakan punya aura yang tinggi membawa perasaan amarahnya, suasana riuh bisa bertukar dingin, sunyi umpama bilik gelap dibalai Polis, bayangkan hanya kerna seorang daripada 10 membawa marah, yang 9 orang bisa terkesan sekali. Sekali sekala jika terasa ingin marah, jangan takut lepaskan perasaan amarah itu, lepaskan disini bermaksud, menukar hala marah tersebut kepada sesuatu yang lebih positif dan bukannya menunjuk-nunjuk satu dunia, semua orang bermasalah bukan? Normal lah tu!!Jadi, senyumlah selalu. Jangan segan untuk menguntum senyum. Semuanya dalam hati. Siram perasaan amarah itu sampai padam, keringkan ia agar gembira mengambil alih. Lihat, aku kembali ceria.Wallahua’lam Bissawab.

Tuesday, September 2, 2008

Saat Yang Sangat KLMJ

Pejam celik mata Ramadhan pun tiba,

Neraka ditutup Syurga dibuka,

Bersama lapang dada hati ini menerima,

Kedatangan bulan berkat yang dinanti semua.


Dariku kecil sehingga dewasa,

Raikan Ramadhan dengan penuh rasa ria,

Walau hati sering alpa,

Melupa tidak menunggu itu ada.


Waktu kecil ketika berpuasa,

Petang wajib menjamu mata ,

Keluar bersiar sebelum berbuka,

Tidak dituruti maka tingkah menggila,

Mengugut menyantap berbuka segera,

Sebelum berkumandang azan berbuka.


Tiba pula masa berbuka,

memandang juadah didepan mata,

kuih melaka pembuka selera,

Azan maghrib dinanti sekeluarga.


Nafsu menggila kala berbuka,

Kuih melaka dimamah segera,

Risau tak sempat lauk yang lainnya,

Dengan angah berebut berlumba.


Diberi betis hendakkan peha,

Dengan angah berebut segala,

Sampai kembung perut terasa,

Baru puas nafsu yang mengada.


Selepas berbuka, aku bersedia,

Keluar tarawih konon-kononnya,

Berbasikal keluar saat terdengar suara,

Panggilan rakan malam bermaharajalela.


Tengah malam menjelang juga,

Tidak puas bermain berlaga,

Dengan rakan konvoi bersama,

Tunjuk hebat depan si hawa.


Walau kecil, gelora itu ada,

Peluang merayap tarawih lesennya,

Bertarawih tidak merayau sahaja,

Sambil menanti morih tiba.


Tarawih sekadar serakaat dua,

Jeling-menjeling itu sahaja,

Menduga iman rakan yang ada,

Bergelak ketawa di saf yang mulia.


Bait-bait nakal diatas sekadar selingan manja sebagai pembuka entri pertama di bulan Ramadhan ini, manakala imej lelaki melayu terakhir diatas sekadar penghias diruangku yang kusam ini. Moga-moga dengan adanya imej diatas itu melancarkan lagi mesej-mesej yang ingin aku sampaikan kepada kamu. Kenangan lalu mengusik jiwa, alamak jiwang betul!!begitu KLMJ sekali. Fuh, Ramadhan oh Ramadhan!!Saat sehari sebelum puasa semua menanti depan televisi, mendengar khusyuk pengumuman puasa yang disampai oleh penyimpan mohor besar Raja-Raja. Kadang-kadangnya bukan menanti puasa, cuma bila datang bulan puasa teringatkan raya. Sabarlah, bulan raya akan tiba jua. Habiskan dulu kewajipan yang didepan mata. Seronok bukan? Mestilah seronok, keluar bersiar menjamu mata di Bazar Ramadhan, menjeling rakus ayam percik, apam balik, murtabak yang dijual, bukannya hendak beli sangat pun, cuma sekadar mengimarahkan aktiviti lagha kala Ramadhan, saja tunjuk muka dibazar. Paling kurang pun bagi yang tengah solo bolehlah pandang-pandang, jeling-jeling kat awek-awek yang kontrol-kontrol ayu membeli juadah. Percaya atau tidak, masa bulan puasalah saat menongkah ke syurga bagi orang lelaki, mana tidaknya saat inilah kaum hawa berduyun-duyun keluar umpama bidadari turun dari syurga. Umpama semut-semut merah mengangkut makanan, sekali melirik senyum, bisa gugur air liur berebut terjun ke tanah. Fenomena luarbiasa sekali setahun, lagi pula, saat begini bukan selalu kita raikan. Selain berbuka, sepertimana yang aku bagitahu sebelumnya, aku amat gemar bangkit sahur. Sudah menjadi kewajipan buat aku. Jika terlepas, nescaya besok paginya aku rasa tidak sempurna. Maklumlah, dari kecil sudah terdidik untuk bangkit sahur, walau lewat mana sekalipun masuk tidur. Bersahur itu sudah menjadi suatu kewajipan buat aku. Tambah lagi, aku memang sentiasa berselera. Cuma bezanya sewaktu kecil dulu, aku bermatian bangkit sahur. Setakat bonda datang mengejut, aku tidak endah sangat, boleh lagi buat-buat tidur manja. Tapi bila terdengar sahaja suara harmoni gabungan suara accapella bonda disedapkan lagi dengan suara bass ayahanda, mesti terjaga! Aduh, tidak boleh tidak memang kena bangun. Sekarang lain pula rasanya, tidak perlu bermatian bangkit sahur. Malam umpama siang, siang pula umpama malam. Paling-paling pun kawan-kawanlah tempat bermesra tatkala sahur tiba. Entahlah, aku sendiri sudah keliru dengan definisi sahur. Mana tidaknya, sepanjang malam berkali-kali aku sahur. Kalau dirumah, bersahur sekali sahaja. Itu pun dekat-dekat menjelang waktu imsak. Sekarang, selagi malam umpama siang, maka setiap minit itulah sangat berharga. Perut ini asyik meminta-minta untuk diusap manja. Kasihan bukan? Terpaksa pula berkerja lebih masa. Walau bagaimanapun, bersyukurlah dengan nikmat yang Tuhan bagi. Bersyukur sebab kita berpeluang meraikan bulan Ramadhan. Cuma persoalan yang aku kira penting sebagai penegasan pada entri kali ini ialah, jangan jadikan Ramadhan itu sebagai alasan untuk kita tidak produktif. Bila puasa sahaja semuanya kurang produktif. Padahal Ramadhan itu sama sahaja dengan bulan-bulan yang lainnya, yang beza cuma zatnya sahaja yang memberi peluang kepada manusia untuk menempah tiket ke syurga. Cuba kita fikir sejenak, aku sendiri sedang berfikir kenapa jadi begini. Agaknya mungkin memang sudah tersemai sejak dahulu lagi. Maklumlah, bulan Ramadhan banyak pula pantang larangnya. Silap-silap jika terlampau produktif dan aktif, kurang pula pahala puasa, itu kira ok lagi, yang terbatal puasa apa cerita? Seperti biasa, menjelang Ramadhan tiba, kadar orang Islam tidur disiang hari meningkat secara drastik. Aku hanya mengagak sahaja. Ini bukan fakta, tapi tidak juga auta. Walau apa pun, selamat merayakan bulan Ramadhan kepada semua, selamat berpuasa. Wallahua'lam Bissawab.