Monday, September 22, 2008


Aku terkenang zaman-zaman berkirim dan berbalas kad raya. Teringat sewaktu masih di sekolah rendah dahulu. Ketika itu ucapan raya menerusi SMS, Email dan sebagainya seakan begitu asing sekali. Aku sendiri menerima begitu banyak sekali kad-kad raya daripada rakan-rakan.

Namun lebih membanggakan saat menerima kiriman kad raya daripada 'aweks'. Fuhh, perasaan bangga berbunga-bunga dihati, perasaan perasan mula bermaharajalela. Isi kandungan kad ucapan biasanya panjang berjela, apatah lagi tercoret menerusi tulisan tangan. Jarang rasanya menerima kiriman kad raya daripada kawan lelaki. Kalau ada pun tidaklah seistimewa kad raya daripada perempuan.

Aku seperti biasa jual mahal, segan tapi mahu. Kelam kabut jugalah berbasikal ke pekan mencari kad-kad raya buat kiriman balas. Kad-kad raya yang diperoleh selalunya digantung sebagai perhiasan didinding rumah ketika raya. Lagi banyak kad raya, lagi bangga. Siap buat koleksi lagi.

Seronok betul!

Coretan wajib dipenghujung ucapan selalunya berakhir dengan serangkap pantun.

Pecah kaca,
Pecah gelas,
Sudah baca,
Harap balas.

Menarik bukan?

Sudah menjadi adat orang melayu, orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi, kita merasa. Orang menjual, kita membeli. Jadi tidak lengkap rasanya andai kiriman balas kad raya tidak diselitkan dengan pantun berbalas. Contohnya seperti rangkap pantun dibawah:

Pecah kaca,
Pecah tong,
Sudah baca,
Harap gantung.

Seronok bukan?

kini tidak lagi, kiriman kad raya seakan tenggelam dek arus masa. Seiring dengan kemajuan moden dunia, masyarakat kita kebanyakannya lebih senang menghadiahkan ucapan raya menerusi kemudahan terkini. Lebih mudah dan senang, jimat masa serta tidak perlu berbelanja besar.

Walau bagaimana pun, keikhlasan serta ketulusan hati itu tidak boleh diukur menerusi mana-mana medium penghantaran, cukuplah sekadar kita ikhlas, walaupun hanya menerusi SMS.

Pantun-pantun diatas merupakan pantun tetap semasa zaman awal persekolahanku. Tempat-tempat yang lainnya aku tidak pasti bagaimana. Sama mungkin.

Kepada mereka-mereka yang masih sudi menghadiahi kiriman kad-kad raya kepada aku. Salam kasih dan mesra buat kamu. Insya'Allah, aku cuba membalasnya.

Thursday, September 18, 2008

Bisikku pada hati, kononnya..

'
malam ini cukuplah sekadar aku bereksplorasi dari suatu paparan ke paparan yang lain!!!'

Biasalah, kadang-kadang apa yang terbuat tidak seperti apa yang terniat. Pada awalnya aku hanya sekadar ingin memberi sedikit ruang dihati sambil melayani karenah ria dan lara manusia dan memerhati segala yang terakam oleh otak menerusi retina mata. Aku cuba untuk tidak menulis.

Aku lemah!!!

Hati mengalun irama nestapa, eksplorasi ke ruang blogsfera seakan terhenti seketika!!! Paparan demi paparan aku lihat serupa, malah ada juga yang sama, ada juga yang serupa tetapi tidak sama manakala ada juga yang sama tetapi serupa. Kini semua seakan sibuk, penekanan utama beralih kepada suatu hala yang tiada kesudahan, tidak berpenghujung malah sampai bila-bila pun perihal ini tetap akan berulang, berpusing bak roda basikal.

Nampaknya manusia memang tidak pernah puas pada sepinggan nasi. Sepinggan nasi seakan tidak cukup buat 3 beradik. Ada sahaja cubaan untuk berebut nasi lebih. Peratus banyak mana nasi dipinggan sudah pun dipersetujui bersama. Sabarlah, bagi peluang pada abang dahulu. Abang lahir dulu, maka tunggulah abang sudah besar. Barulah nasi boleh dibahagi sama rata. Lagi pun abang kurang sikit bijaknya dari adik. Maklumlah, si adik walau kecil tetapi perangai macam Sin Chan, si nakal bijak yang bermata sepet.

Sampai bila?

Maaf, aku tiada jawabannya!!!

Suasana bagai dilanda garuda, walau tidak lagi sampai ke aras darurat. Kini, masing-masingnya sedang beragenda, sedang berjuang menegakkan perjuangan masing-masing, ada yang tulus, ada juga yang mulus, tidak kira dari pihak mana yang mereka wakili. Bagi yang berkuku taring dilihat punya 'power' untuk menarik 'backpacker-backpacker' ruang maya melekat rapat bertujuan meraih sokongan. Lalu mereka pun berdiskusi sambil menghambur kata-kata kesat sesama saudara.

Langsung tiada penyatuan. Perbezaan pendapat itu tidak salah. Malah, itu sekadar pendirian yang boleh bertukar ganti, boleh diperhalusi agar semua mencapai kata sepakat. Apa yang pasti, agama tidak boleh ditukar ganti.

Ruang blogsfera menjadi suatu medium yang sangat-sangat efektif. Bila bilangan sudah ramai maka masing-masing mula yakin mengeluarkan taring sambil menunjuk kuku lalu bergigitan dan bercakaran antara satu sama lain, berlontar pandangan, berjelingan penuh emosi. Ada yang jadi Zombie, ada pula seperti Vampire. Bila menggigit, mangsa yang tergigit bakal terkena jangkitan. Mengikut seperti orang bodoh, bak kerbau ditarik hidung.

Ini apa yang aku lihat sepanjang tempoh aku bereksplorasi seketika tadi. Kerna kuasa, manusia bisa lupa. Kerna kuasa, manusia tidak endah walau diperkudakan. Kerna kuasa, maafkan lawan, musuhi rakan. Kerna kuasa, tiada istilah saudara seagama, tiada erti saudara sebangsa. Etika mula rapuh, nilai mula goyah. Kepentingan diri diutamakan, masyarakat awam yang menjadi taruhan.

Masyarakat awam terseksa akibat tersepit dicelah-celah pergelutan oleh mereka-mereka yang bercita-cita. Menggapai cita-cita oleh yang bercita-cita. Sungguh bercita-cita tuan empunya cita-cita. Khabarnya kelompok bercita-cita ini sangat bijak memanipulasi. Apa sangatlah yang rakyat tahu. Tidak semua rakyat dari yang tua hingga ke muda menjaga tepi kain negara. Sesetengahnya sudah selesa andai keperluan asas, makan dan minum terbela, percayalah itu sudah pun memadai buat sesetengah mereka. Mereka juga punya urusan lain lalu perkara yang mereka fikir sulit lebih-lebih lagi melibatkan kuasa diserah bulat-bulat kepada mereka-mereka yang difikirkan sesuai untuk mewakili mereka nanti. Pandai mengambil hati tidak salah, tetapi, janganlah cuba menangguk di air yang keruh.


Dalam hal ini aku berpegang kepada satu pegangan sahaja. Rumah tangga mana yang tidak berkocak bila ditiup angin. Apa lagi kita manusia biasa, yang sering tersilap, tersalah khilafnya. Justeru, aku tidak mahu bermain api disini. Cukuplah sekadar aku diberi peluang untuk terus memerhati, terus melihat, terus berbakti kepada pertiwi. Yang hak amat sukar sekali kita lihat, manakala yang batil sering menipu mata. Biarlah kelompok mana sekali pun yang memerintah, asalkan Alif, Ba dan Ta tidak tergadai.

Apa itu Alif, Ba, Ta???

Agama, Bangsa, Tanah air!!!


Tuesday, September 16, 2008

Pemandangan dari udara, Bandar Simanggang.


Mercu Tanda Sri Aman, Tugu Merpati


Jika dihalusi nombor tengah pada kad pengenalanku, tertera angka 13 berdiri megah. Sebagai mercu perlambangan kepada status latar belakangku yang berasal dari Sarawak, lebih spesifik lagi di Simanggang atau nama komersialnya dikenali sebagai Sri Aman. Aku dizahirkan ke dunia menerusi kebun mulia ibuku yang berasal dari Sarawak, berbenihkan baja Kelantan dari sebelah ayah, lalu lahirlah seorang remaja dewasa yang kadang kalanya mengalami sedikit kecelaruan akibat pertembungan dua budaya dan nilai yang berbeza. Imej diatas menunjukkan pekan kelahiranku. Tugu Merpati seperti yang kelihatan diatas merupakan tempat mainanku sewaktu sekolah rendah. Kebetulan ianya terletak bersebelahan Sekolah Rendah Abg Aing. Ayah pernah 'mengantoikan' aku ketika sedang asyik 'dating' secara berjemaah disitu.


Sekadar Gambar Hiasan


Tinggal lebih kurang 14 hari sahaja lagi umat Islam bakal meraikan sambutan Aidilfitri. Sebagai Sarawakian, sudah tentunya keindahan warna dan kemanisan rasa kek lapis Sarawak berenang-renang di anak mata, berlari-lari anak dipermukaan lidah. Secara automatisnya juga, kelihatan jelas kelibat ibu yang sudah semestinya akan sibuk didapur. Bagi Sarawakian, beraya tanpa kek lapis seakan sama seperti pakai seluar longgar tanpa mengenakan tali pinggang (pandangan bersifat peribadi) Aku sendiri sudah terbau wangian tepung naik sendiri walau ibu kini berada nun jauh di Kelantan. Seperti mana anak-anak mithali yang lain, aku juga turun ke dapur untuk membantu ibu. Dalam erti kata lain, tolong tengok!!!


Semangat Benak


Menetap lama di semenanjung tidak langsung memberi kesan kepada ibu. Walau jauh mana bumi tempatnya berpijak, kampung hilir Sri Aman tetap dihati, bahasa ibunda masih tetap terpelihara, nilai budaya masih berpaut rapat, seiring dengan status Dayang yang dimiliki. Sedikit sebanyak tempiasnya mengena aku, semangat Bujang Senang itu masih mengalir deras dijiwa, sederas 'benak' di sungai Batang Lupar. Mana mungkin aku lupa pada anak buaya dikamar mandi nenek aku, mana mungkin aku bisa lupa pada keenakan rasa 'ikan terubok' dibulan Ramadhan, mana mungkin lidah ini bisa lupa pada 'ikan bulu', apatah lagi 'laksa Sarawak'. Melupakan tidak sekali, meninggalkan itu mungkin ada. (kurang kesempatan)


Nasi Dagang, sedak aahh!!!


Aku sekadar terkenang semangat lalu, sekadar menitip nostalgia lama. Andai aku rindu, masakan ibu tidak rindu, malah rindunya itu melebihi rinduku pada tanah tumpah tercinta. Itu aku pasti. Lebih-lebih lagi saat menjelangnya Aidilfitri. Bak kata P.Ramlee, 'memori lalu usah dikenang, jika dikenang air mata berlinang'. Kepada ibuku yang sering mengikuti ruang pistolberpeluru ini, anakanda mu ini punya satu permintaan, dalam sibuk-sibuk menggarap kek lapis didapur itu, jangan lupa rangkumkan sekali 'Nasi Dagang' yang juga salah satu juadah 'feveret' anak mu ini. Aku merinduimu..ting tong!!! (iklan Follow me)

Monday, September 15, 2008


Jika Tony Jaa berjaya menyuntik serum baru dalam filem-filem bergenre aksi menerusi aksi bela diri luar biasanya dalam filem Ongbak, disini bersama sekeping hati yang teruja aku kepilkan sekali imej seorang pelakon wanita iaitu Yanin Mitananda.

Seorang heroin wanita yang berjaya memaut rapat hati aku menerusi aksi seni tempurnya yang begitu 'solid' sekali. Gaya seni Muay persis Tony Jaa. Latar belakangnya belum lagi dikenal pasti.

Jika sebelum ini aku agak prejudis terhadap kemampuan wanita hanya dalam filem bergenre aksi, namun aksi kemas Yanin merubah persepsiku. Aku tidak sesekali meragui mutu lakonan pelakon-pelakon wanita kerna siapalah aku untuk memperkatakannya, cuma apa yang aku ingin 'highlight' kan disini ialah kemampuan pelakon aksi wanita seperti Yanin beraksi kemas seperti yang ditonjolkannya dalam filem 'Chocolate' arahan Prachya Pinkaew tanpa menghilangkan 'realism' sesuatu aksi. Lihat saja filem-filem aksi yang mengetengahkan pelakon-pelakon wanita lain seperti dalam filem bela diri Kill Bill, Dead or Alive dan sebagainya. Terlalu malang apabila kesan efek melampau dalam filem itu menghilangkan rasa 'realism'. Ishh!!!kacau dowh!!

Aksinya hampir setaraf dengan hero-hero lelaki yang lain seperti Tony dan Jacky Chan. Lihat sahaja mutu sepakan layangnya, layangannya cukup kemas sekali, malah sempat mencangkuk kemas kepala lawan. Perhatikan tendangan kucingnya, cukup jitu selaku seorang wanita. Teknik sikuan dan tumbukannya juga tampak kemas. Tidak lembik dan 'lemau' seperti sesetengah pelakon wanita. Apatah lagi kelihatannya Yanin melakukan sendiri aksi seni akrobatik tanpa menggunakan khidmat 'stuntman'. Aksi begini tampak lagi menarik jika dibanding dengan filem-filem aksi persembahan kung fu Jet Li yang begitu melampau sekali efek dan logiknya.



Filem ini diindahkan lagi menerusi shot-shotnya yang menarik namun sangat berbahaya. Seni kareografinya sangat indah pada mata aku. Koordinasi pelawan dengan pihak lawan amat sukar sekali dicipta, ia benar-benar menguji kredibiliti dan daya kreativiti kareografer aksi tempur. Gua salute!!!

Tidak salah mengaplikasi teknologi atau efek khas dalam sesuatu aksi tetapi kesannya tampak cacat. Penambahan efek khas pada aku biarlah dilakukan secara sederhana sambil mengekalkan permainan sesuatu seni bela diri yang asli.


Walau pun 'chocolate' tidak jauh bezanya dengan filem-filem seni bela diri yang lain seperti Ong Bak atau Tom Yum Goong, tetapi kekuatan fizikal yang ditonjolkan oleh Yanin begitu menyerlah sekali. Sememangnya Yanin sudah terbiasa mungkin dengan latihan-latihan lasak, atas sebab itulah Yanin langsung tidak kekok terutamanya dalam 'scene' yang melibatkan aksi-aksi tempur. Yanin kelihatan bersungguh meniru aksi gaya Tony Jaa, walau pun permainan Muay nya tidak berapa asli tetapi itu sudah memadai. Sesetengah pengamal bela diri sudah tentu boleh mengagak justeru menilai gaya permainannya yang sebenar.

Malaysia bila lagi?

Usah bercakap soal hero aksi wanita, malah hero aksi lelaki pun kian sebu. Sesudah era Eman Manan, aku tidak nampak ada sesiapa pun hero lain yang bisa mengganti tempatnya terutamanya dalam filem atau drama tempatan yang mengangkat seni bela diri sebagai tema. Jika ada pun, kebanyakannya lembik atau 'fake' ketika berlakon aksi tempur malah sesetengahnya lebih terbawa-bawa akan aksi-aksi terbang dalam filem kung fu Hong Kong. Jika bicara tentang silat, mana mungkin ada aksi tendangan sambil berterbangan diudara ala-ala Jet Li. Mungkin juga kita kekurangan pengarah aksi kareografi yang berpengalaman. Lantaran itu kita gagal menzahirkan seni bela diri kita yang asli ke filem.

Negara jiran iaitu Thailand berjaya mengangkat seni Muay Thai sebagai salah satu seni tempur paling gemilang didunia malah secara tidak langsung memperkenalkan budaya masyarakat Thai ke seluruh dunia menerusi paparan dalam filem-filem mereka.

Malaysia bila lagi?

Amatlah rugi jika seni tari silat melayu itu terus kekal melayu dibumi melayu. Antara drama silat yang masih terkunci rapat dalam minda aku ialah 'keris hitam bersepuh emas' dan jika tidak silap, Eby Yus dan Wak didi merupakan pengarah kareografi aksi silat dalam drama itu. Tidak lupa juga 'scene' bertempur dalam filem 'matinya seorang patriot' lakonan Eman Manan dan Zulkifli Zain. Antara 'scene' tempur berpedang yang sangat indah dan kreatif sekali. Ura-ura guru Jak Othman sang Harimau Berantai ingin membawa silat melayu ke filem nampaknya sehingga kini belum menjadi realiti.

Satu perkara lagi, aku sudah pun menonton filem 'Brave', kolaborasi Malaysia-Thailand. Aku melihat Afdlin Shauki berpotensi untuk melakonkan adegan tempur dengan baik, berbanding hero cerita itu sendiri malah Brader Awie pun kelihatan lembik. Soal berat badan tidak menjadi masalah, lihat sahaja kelincahan Sammo Hung. Ianya akan menjadi lebih baik andai Afdlin mengorbankan sedikit masa untuk menjalani latihan tempur secara intensif. Gaya sudah ada, cuma memerlukan sedikit improvisasi terutama dari segi 'speed' dan kepadatan sesuatu serangan baik tumbukan tangan dan sepakan kaki. Lagi pula Afdlin tahu mengeksploitasi kelebihannya dan gaya tempur ala-ala sumo seakan sesuai untuk beliau bawa. Wallahua'lam Bissawab.

Friday, September 12, 2008

Aku tertanya-tanya.

Aku terfikir yang manusia kini tidak sahaja menjadi hamba kepada Tuhan yang satu. Mungkin ada antara kamu yang hairan. Mengapa?

Memang kita kadang kalanya lupa pada sesetengah perkara, kita hanya manusia biasa yang kadang kala alpa terlupa akan peranan serta watak sebenar manusia dalam dunia pementasan ciptaan Tuhan. Kita sering melanggar peranan dan karakter yang Tuhan ciptakan khusus untuk kita. Andai kita fokus kepada penjiwaan sesuatu watak, kemungkinan untuk kita tersasar jauh mungkin tidak berlaku. Jika tidak masakan wali Tuhan itu wujud bukan?

Aku cuba menjelaskan sebaik mungkin tentang apa yang aku cuba sampaikan. Andai tidak sampai aku khuatir ada yang silap faham akan maksud tersirat dari yang tersurat. Situasinya mungkin begini. Aku tidak mahu memberi contoh tentang seseorang yang lain. Biar aku sendiri sahaja dijadikan bahan eksperimen pada pagi sahur yang indah ini.

Berbalik kepada persoalan yang mula-mula sekali aku pertanyakan diatas. Tentang perhambaan manusia kepada sesuatu selain dari Tuhan yang satu. Aku seringkali menjadikan alasan ketiadaan wang jika ada antara rakan-rakan mengundang aku ke sesuatu tempat yang memerlukan aku berbelanja sedikit wang poket sebelum ini. Atas alasan itu, aku sering terdesak dengan memberi segala macam keutamaan untuk mencari wang lebih.

Aku mula bikin kerja!

Namun, tanpa disedari aku mula jadi hamba duit. Aku asyik fikir tentang duit. Aku asyik fikir bagaimana cari duit. Sehingga sampai satu tahap, kefokusan aku terhadap sesuatu perkara yang lain mula terabai. Dalam otak hanya fikir duit semata-mata. Suatu hari yang bosan, aku mula terfikir tentang sifat manusia yang menjadi hamba duit seperti aku.

Aku teringat lagu sifu M.Nasir tentang duit.'duit-duit, dimana kau duit'!!

Aku mula tertanya-tanya, betapa besarnya pengaruh duit dalam kehidupan manusia moden. Sehingga tanpa duit, manusia hampir tidak bisa melakukan apa-apa memandangkan zaman ini bukan lagi zaman yang menjadikan sistem barter sebagai tukaran wang. Lalu aku bertanya cermin diri. Aku berfikir sedalam-dalamnya ketika masa aku teringat.

Aku rupa-rupanya sudah menjadi hamba duit.

Sepatutnya tidak begitu. Bukan hanya duit, malah banyak lagi perkara yang boleh kita kaitkan bersama. Contoh lainnya ialah, kekasih. Bagaimana kita memuja seorang kekasih sehingga tiada satu saat pun dalam fikiran kita tidak berfikir tentangnya. Kita sanggup meluangkan lebih masa, kalau kerja kilang kita sanggup buat OT(overtime). Sama juga perihalnya kekasih, kita sanggup berjaga malam, bangun pagi, letih berlelah demi untuk seseorang yang kita cintai. Ini kita bincang dalam skop yang kecil. Seperti yang aku jelaskan tadi, kita hanyalah memainkan peranan manusia dalam suatu pementasan dunia. Kadang kala kita hampir tersasar jauh dari karakter atau watak sebenar yang sudah tuan direktor ciptakan untuk kita. Hakikatnya kita masih manusia. Hanya mereka yang luar biasa sahaja mampu menjiwai peranan bersama watak yang tercipta.

Mungkin persoalan yang aku lontarkan disini terlalu remeh pada sesetengah manusia. Namun aku tidak fikir begitu. Mahu atau tidak, kita tidak boleh menidakkan betapa besarnya pengaruh ini dalam diri manusia beragama. Semuanya tentang aqidah. Walau sejahil mana sekali pun atau sebesar gunung sekali pun dosa-dosa kita, nilai aqidah wajar kita pelihara bersama. Dari situ baru relevan konsep bertawakal kepada Tuhan.

Aku asyik tersasar sahaja, sekarang mungkin ingat, besok belum pasti. Dari dulu hingga kini masih juga sama. Walau bagaimana pun, tidaklah aku menyeru agar kamu semua tidak mencari duit atau sebagainya, tidaklah aku menyeru kamu agar tidak memuja seorang kekasih seperti terdapat dalam puisi dan lagu cinta. Cuma sekadar satu perkongsian yang ingin sekali aku lampirkan bersama diruang ini. Sekurang-kurangnya aku telah melaksanakan satu kewajiban lebih-lebih lagi di Bulan Ramadhan yang mulia ini. Malah jauh sekali untuk menjadi Ustaz yang memberi ceramah agama. Wallahua'lam Bissawab.

Thursday, September 11, 2008

Ketika melayari laman maya sebentar tadi, aku terlihat imej-imej ini. Jiwaku masih terperangkap dalam imej-imej ini. Bak gunung berapi yang berdentum menunggu saatnya meletus, begitulah juga dengan saka baktiku yang meluap-luap minta dilepaskan. Aku masih disini, tersepit antara realiti dan fantasi.



Senjata keris yang menjadi identiti kepada pendekar-pendekar Melayu Nusantara




Tentunya aku juga punya angan untuk memiliki senjata moden seperti diatas. Maaf, angan-angan ini bukanlah dibawah pengaruh 'Counter Strike'!!



Walau apa sekali pun tanggapan mahu pun tohmahan yang dilabelkan kepada kelompok ini, jiwaku masih teguh berdiri dibalik semangat-semangat ini. Masyarakat bebas untuk mempertikaikan kredibiliti mereka, namun usah sekali-kali mempertikaikan jiwa dan semangat dibalik pakaian seragam ini.


Tertanya-tanya juga pada cermin diri.

Kemana hala tuju aku selepas ini. Hanya tinggal beberapa langkah sahaja lagi untuk aku menamatkan larian. Tidak langsung berbangga malah hanya merupakan titik mula kepada sebuah kehidupan yang lain. Sekadar satu hentian tenpat aku bernafas, sambil mengumpul balik sisa-sisa tenga untuk berlari semula. Namun sekurang-kurangnya aku berasa sedikit selesa kerna bakal melangkah ke suatu tapak yang baru.

Apa pula selepas ini?

Aku tidak berani merancang sesuatu yang tidak pasti. Kerna tiket yang aku perolehi nanti sekadar cukup-cukup makan sahaja. Tiket itu bukanlah sesuatu yang aku bisa sandarkan. Paling tidak aku perlu juga merencana sesuatu untuk mengubah apa yang tertinggal dibelakang. Masa meninggalkan aku jauh dihadapan. Untuk mengejarnya pasti menolak sedikit lagi angka dari umurku.

Apa selepas ini?

Aku masih lagi mencari, aku bersandar kepada suatu sandaran yang Maha Agung. Aku percaya yang aku masih punya tempat untuk berlabuh. Mana mungkin aku bisa tersisih dengan keluasan bumi yang sebegini luas. Mana mungkin tiada satu tanah pun yang tidak memerlukan khidmat bakti serta kudratku. Pasti ada juga nanti. Aku percaya.

Apa selepas ini?

Aku menanti detik itu tiba. Apa yang aku harapkan cuma kepercayaan dari mereka-mereka yang aku sayang. Itu sudah lebih dari memadai. Percaturan sebegini membuatkan aku sudah tidak punya pilihan lain selain pergi berhadapan dengan cabaran dunia. Sampai bila? Aku juga tidak pasti. Aku cuba untuk tidak risau tentang ini.

Apa selepas ini?

Aku cuba membayar jasa mereka-mereka yang berada teguh dibelakangku. Mungkin ada dikalangan saudara-saudara yang begitu memandang tinggi kepada aku, aku berterima kasih. Namun percayalah, kehidupan aku tidaklah seindah seperti yang terlampir diruangan ini. Masih banyak perkara yang perlu aku lunaskan. Apa yang terpapar hanyalah sekadar sketsa dan drama. Namun aku masih jujur. Aku tetap juga bersyukur kepada segala anugerah yang Tuhan kurniakan. Hatiku dilimpahi dengan segala nikmat kasih sayang. Tidak pernah sunyi. Aku masih bersyukur. Kerna apa yang ada kini bukanlah sesuatu yang bisa dibeli. Wang ringgit tidak mampu membeli kasih sayang. Bak kata Timbaland, apa guna Master Card, Visa, American Express, HSBC Card andai dalam diri tidak terisi dengan kasih sayang. Buat masa ini, ia sudah lebih dari cukup.

Apa pula selepas ini?

Sejujurnya, aku sangat positif dan optimis tentang masa depan. Selama mana juga aku mahu bersandar pada kasih dan sayang, kerna prosa yang masih lagi fakta ialah, kasih sayang tidak bisa beli beras. Wallahua'lam Bissawab.