Monday, March 17, 2008

..Antara Realiti dan Fantasi..


Kadang-kadang bertanya kepada cermin diri, apakah maksud tersirat disebalik mimpi-mimpi ngeri? Disebening pagi yang sunyi begini, aku terjaga dek gangguan yang kembali menghantui. Sukar untukku memvisualisasikan, bagaimana ngerinya mimpi yang menghantuiku tadi. Aku terkesima seketika. Hanya zikrullah dan ayatul Qursi yang terkumat-kamit dibibir ketika ku terjaga, mungkin terbawa-bawa agaknya dengan kisah nan semalam. Jika kamu bertanya aku, apakah aku mempercayai mimpi? Jawapan yang pasti mungkin terpacul keluar ialah aku mempercayainya tetapi masih meletakkan sempadan disebalik tirai keberpercayaanku itu. Aku tidak gemar memeningkan kepala yang sedia tipsi ini hanya untuk memikirkan suatu perkara yang kurang membina ku rasa. Disaat aku melaungkan tentanganku terhadap mereka-mereka yang berkepercayaan karut, rupa-rupanya aku sendiri rebah dek gangguan Iblis dan Syaitan laknatullah itu. Aku segera bersyahadah, pendapatku begini, hantu wujud dalam khayalan dan ilusi manusia semata-mata. Aku melihat, ilusi itu dijana oleh iblis menerusi gerakan rahsianya yang cukup sistematik. Aku percaya, kepercayaan yang meresap sejak turun temurun inilah yang membawa kepada kewujudan ilusi-ilusi ini. Aku menyaksikan bagaimana kepercayaan ini menghadiahkan ketakutan yang amat, dalam diri masyarakat terutamanya kanak-kanak dan aku antara jutaan mangsanya, hatta di era KLCC terpacak megah begini pun masih ada yang rebah, kalut, riuh memikir dan menyebar fahaman serong begini. Iblis dan syaitan bersorak riang tatkala manusia bercerita mengenainya. Sekadar contoh, senarionya begini, disebalik banglo usang yang sudah lama terbiar, wujud penunggu didalamnya. Biasa kita dengar bukan? Sebelum kamu menduga aku, aku ingin membawa kamu untuk memikirkan sesuatu. Wajib untuk kita percaya perkara ghaib bukan? Tetapi perkara ghaib yang bagaimana? Masih wujud sempadannya antara daerah kita dengan mereka. Sukar untuk mereka menembusi dimensi kita. Kecuali dengan suatu cara, iaitu melalui kepercayaan. Benar, jin, syaitan dan iblis itu dinyatakan jelas wujud didalam ummul kitab, teringat akan Tuhan telah berfirman, namun terlupa surahnya tapi ku kira berbunyi begini "dan tidak aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepadaku" (Betulkan jika ku tersalah mengenai surah ini) dan benar aku beriman kepada perkara ghaib iaitu mengakui kewujudan jin dan syaitan yang sudah lama wujud sebelum Adam, namun perkataan hantu langsung tidak dinyatakan didalam kitabullah. Apatah lagi polong, pocong, toyol dan sebagainya. Aku menyeru agar kita percaya kepada hakikat yang lebih tepat, meletakkan kepercayaan kepada sesuatu yang punya sandaran. Masyarakat terutamanya perlu didedahkan dengan hidangan yang lebih ilmiah lagi mengenyangkan minda dan bukannya dimomokkan dengan agenda karut iblis laknatullah seperti ini. Pokok yang disembur racun mana mungkin akan tumbuh sempurna, begitu jua masyarakat bukan? Cukuplah sekadar kita sedar siapa musuh abadi, cukuplah jika bercerita tuk dijadikan pedoman agar tidak lagi terperangkap dek kelicikan syaitan yang direjam. Masing-masing punya cara fikir yang berbeza, namun aku tetap bersama pendirian agar kita tidak mudah terpedaya dengan segala propaganda iblis yang sejak kejadian Adam lagi sangat iri hati lalu mendorongnya menetapkan matlamat untuk mengheret kita engkar bersamanya. Fokusnya hanya satu, iaitu menyesatkan anak Adam menerusi pelbagai cara. Antara kaedah yang nyata keberjayaannya ialah, bagaimana iblis itu mengheret masyarakat ke lorong yang lohong dengan meniupkan kepercayaan ditengah-tengah masyarakat melalui jelmaanya sebagai pontianak harum sundal malam yang memiliki kuasa ke atas kita, sedangkan kita sedar bahawa alam ini milik tuhan yang satu dan tiada kuasa yang didambakan melainkan kepunyaan mutlaknya semata-mata. Percayalah, sesungguhnya jika setitik tinta kita sandarkan kepada makhluk ini, maka rosaklah aqidah, bila rosaknya aqidah, maka Tuhan kita madukan, bila kepercayaan terbahagi dua akhirnya iblis menjadi sandaran, tanpa diduga kita terbawa ke lembah syirik, justeru menempah satu tiket untuk ke nerakanya. Ketika itu, iblis meraikannya kerna berjaya merekrut anak Adam memeriahkan neraka. Jangan percayakan ilusi, tapi ku menggesa kita percaya kepada perkara yang betul. Wallahua'lam bissawab.

No comments: