Wednesday, April 30, 2008

Sekadar Melepaskan Gian

Aku akur kepada kehendak sendiri, tidak sesekali terniat dihati untuk kembali menulis dalam tempoh terdekat. Gian mungkin, atau mungkin juga bersandarkan faktor permintaan. Tidak ramai pun yang bertanya sebenarnya. Sekadar alasan untuk ku cagarkan buat kalian disini. Sepanjang tempoh aku beradu, banyak perkara yang bermain dicelahan minda ku sebenarnya, sungguh banyak. Terasa ingin ku kongsi semua. Walau bagaimanapun, kalau kalian perasan, aku kurang berminat menyentuh soal cinta. Aku kira itu sangat peribadi dan tidak wajar tuk ku kongsi disini. Kalau ada pun hanyalah dalam bentuk puisi yang berselindung dibalik rima dan makna asal terselit dicelahan setiap huruf dalam entri agar tidak mudah tuk difahami sesiapa kecuali hanya aku dan dia. Kalau pun ada yang mengerti, diamkan sahaja. Cinta itu suci, soal cinta merupakan mainan hati, dan aku amat berhati-hati bila tersoal perihal cinta. Sebetulnya aku baru sahaja kembali pulang dari Ayer Keroh, Melaka. Ada tuntutan yang perlu aku galas disana. Kurang lebih 8 hari aku berkampung di Hotel Seri Malaysia. Minggu yang cukup memeritkan namun memberi seribu satu kepuasan sekaligus mencatatkan memori indah di bandaraya bersejarah itu. Disana, aku lupa pada segalanya, aku tinggalkan semua dibelakang hanya untuk berada disana. Aku alpa, aku terleka tapi gembira walau juga sedih kadang-kala. Aku pergi bertangan kosong, bila pulang tangan berisi. Riak wajah tampak sebu, laraan hati bersilih ria, kamar 324 itu, tidakkan sekali ku lupa. Entri ini berakhir ringkas disini. Mungkin dilain entri boleh ku kupas seribu satu cerita dengan lebih kemas lagi. Sekadar melepaskan gian serta kerinduan aku terhadap ruang ini. Aku masih lagi beradu. Aku tidak marah andai ada antara kalian beranggapan entri ini sekadar melepaskan batuk ditangga. Aku sendiri mengangguk tanda setuju. Wallahua'lam Bissawab.

Seketika cuma

Aku tidak berhenti menulis, cuma beradu seketika waktu. Perkara lazim bukan? Masa kini berpaling arah dariku. Aku sedang mengejarnya, makin hampir. Suatu detik aku pasti kembali.

Saturday, April 12, 2008

Aku marah andai aku marah..

Aku duduk jika berdiriku marah,
Aku baring jika dudukku marah,
Aku lena jika baringku marah,
Aku mimpi jika lenaku marah.

Aku jaga bila mimpiku marah,
Aku gerak, gerakan amarah,
Aku melangkah setapak, gerak amarah,
Aku melangkah undur andai munculnya marah.

Aku dan aku andaiku marah,
Aku bukan aku jikaku marah,
Aku bukan aku yang marah,
Aku bagaimana jika aku marah.

Aku gusar bila panglimaku yang marah,
Aku panglima, bila aku marah.
Himpunan rima suara amarah ini terbitnya hasil dari perbualanku bersama teman kala tengah malam nan sunyi. Suatu diskusi hati ke hati yang berlegar diruangan meja bulat. Entri ini juga dedikasi khas buat sang aura sesejuk angin melintas resap pada sekujur tubuh yang hangat disuatu ruangan laluan utama rumah Tuhan. Juga hasil pemerhatianku terhadap himpunan gerak amarah yang bertunjangkan Iblis bertopengkan agama. Kalian bebas untuk memberi sebarang rangsangan terhadap entri ku ini. Aku percaya bahawasanya warisan tinggalan berupa teman dampingan hanya sesuatu yang mampu dikawal manusia. Maka tidak wajar andai mereka kita jadikan tempat bersandar. Sesungguhnya hanya Dia diatas sana tempat kita memohon perlindungan. Andai ada insan yang mampu mengawalnya, mengapa tidak kalian?Wallahua'lam Bissawab.




Thursday, April 10, 2008

Suara seorang tua

Suara seorang tua,
Berlagu sayup lembut nadanya,
Rima pendeta mengusik jiwa,
Pemuda mendengar jauh meleka,

Sesayup jiwa seorang pemuda,
Lagilah sayup suara pendeta,
Rima pujangga panjang berjela,
Di lubuk batinnya terjaga diserpa.

Suara seorang tua,
Sayup bertenaga bercerita perihal dunia,
Menusuk dalam merangsang pemuda,
Tuk pergi bersama melihat dunia.

Suara seorang tua,
bersuara sayup bermadah cerita,
Menerusi rima suara hatinya,
Tercipta indah ketika di Korea.

Keindahan dunia belum diteroka,
Pemuda terangsang ingin mengembara.



Sunday, April 6, 2008

Kamu tahu, aku berada dikalangan kamu!!!

Ku mendengar bertali arus darah pekat deras mengalir di urat jiwa,
Ku mendengar hinanya rintihan itu membisik hati,
Ku mendengar bisikan suara hati yang gelap bersalut darahan nan hanyir,
Hentikan saja arus deras darahan yang hanyir itu,
Hapuskan saja si hina yang merintih sebelum terlepas keluar,
Putihkan ruangan hati kamu yang hitam,
Kamu tahu,
Andai syahid darah merah itu suci jadi jangan cemarkannya,
kamu tahu,
Bisikan marabahaya berbisik hanya akal saja senjatanya,
kamu tahu,
Hati boleh bersifat malaikat jadi jangan syaitankannya,
kamu sedar bukan,
Mainan bisikan ini mencetus perang sesama saudara,
kamu sedar bukan,
Darahan hanyir pekat menyeksakan hati,
kamu sedar bukan,
Ketul daging ini semakin membusuk bak bangkai,
Dimana kita?
Aku bertanya dimana kita?
Kamu punya akal,
Kamu punya ilmu,
Tetapi mana kekuatan kamu?
Ikut telunjuk nafsu,
Suapan haloba merabunkan mata,
Aku Nampak itu,
Kamu sedar akan itu,
Jangan sorokkan dariku!!
Kamu berada dikalangan aku!!
Aku berada dikalangan kamu!!
Kadang-kadang, cita-cita dan impian bisa menjerumuskan manusia ke suatu lembahan yang hina. Matlamat yang murni tidak menjamin ketulusan sesuatu tindakan. Manusia selalunya terjerut dek tali simpulannya sendiri. Hanya kerna mengejar nama dan kedudukan manusia lupa dimana mereka berpijak, mereka lupa ada manusia-manusia yang lain berpijak dibumi yang sama dengan mereka. Mereka lupa adanya manusia yang beratapkan langit yang sama dengan mereka. Mereka lupa adanya manusia yang faham benar dengan permainan mereka. Masakan tidak, mereka itu sama dengan mereka ini. Ciptaan yang serupa dari Tuhan yang sama. Wallahua'lam Bissawab.

Saturday, April 5, 2008

Kiriman Sekuntum Bunga Khas Buat Shilpa Lee!


Bunga itu perlambangan kepada wanita. Kesempurnaan yang dimiliki wanita seolah sekuntum bunga mekar lagi mewangi harumnya. Namun apalah ada pada kecantikan dan kesempurnaan yang dimiliki sekuntum bunga jika ranting yang menunjangi meliuk hampir menjejak bumi. Suatu kerugian terasa andai kuntuman bunga yang pernah mekar suatu ketika dulu akhirnya layu lalu jatuh perlahan menimpa bumi. Manusia tidak lari dari kesilapan. Andai tersilap langkah jangan mudah mengalah menukar hala. Shilpa Lee, usah jadikan liku yang dilalui mu sebagai suatu alasan untuk menggadai diri. Apalah sangat 130 pound itu berbanding maruahmu yang tidak terhitung nilainya. Semoga kamu kembali ke tempat sepatutnya kamu berada. Tiada budimannya lelaki tua yang melanggani kamu, yang ada cuma bala kumbang tua yang bangga tersengih kepuasan meragut madu.

Shilpa Lee! “Sang goblin teringin melanggani mu”!!! Dia kata, apalah sangat 130 pound itu jika mampu merawat alerginya terhadap angka.

Segalanya Kosong, Sekadar Kosong!



Nampak tin biskut itu?
Besar kan?
Tapi apa guna besar,
Jika isinya kosong!
Kelihatan berisi kan?
Memang berisi!
Tapi apa guna isi,
Jika intipatinya kosong!
Segalanya kosong!!
Sekadar kosong!!

Tembusan ke Dinding Yang Kuning

Perbualan ketika program sebentar tadi membawa aku ke suatu ruangan yang lain seketika. Tinggi ku terawang lalu terbang merentasi dinding-dinding kuning sekaligus menolak titik fokus ku untuk melayang bersama. Tiba-tiba terjelma difikiranku tentang sejauhmana aku jujur dalam menulis di ruangan ini. persoalan yang terbangkit adalah berlainan sekali namun intipatinya aku simpulkan menerusi sudut yang berbeda. Ku mengangguk kepala tanda setuju yang tidak semua orang gemar berkongsi himpunan rasa buat tatapan orang lain. Semuanya eksklusif buat tenungan mereka sendiri. Begitu juga dengan Mas mungkin, menulis hanya untuk tilikan sendiri. Apa yang dirasa, jiwa yang bergelora bukan langsung untuk orang lain. Ku sisip rasa terima kasih kepada Mas kerna melontarkan sesuatu untukku fikir disini. Bukan sesuatu kerja mudah sebenarnya untuk aku sendiri menulis di sini. Ku faham perasaannya. Suatu ketika aku pun pernah melaluinya. Namun segala apa yang aku catat disini benar-benar berasal dari lubuk jiwa. Apa yang terhasil hanyalah selepas melalui beberapa tapisan yang aku kira perlu untuk menjaga kemaslahatan yang sedia terjalin. Andai ku catat kesemua yang ada maka hasilnya nanti bisa bikin tekak meloya. Keterbukaan aku mengenai sesuatu dipisahkan melalui sempadan yang ada. Manakala setiap inci warna yang tercela aku simpan buat renunganku sendiri. Tiada hasilnya andai ku buka pekung di dada. Cukup sekadar aku mencatatkan liku cerita yang difikirkan perlu sahaja. Aku mendapat sesuatu disini, sesuatu yang tidak pernah ku impi. Selain sebagai rasa kebertanggunjawaban yang bersarang dihati, juga sebagai satu perkongsian agar nilai yang ku cerna di sini kembali kepadaku menerusi respon yang diberi. Adakalanya setiap jejak dosa perlu tuk dikongsi bersama agar nanti bisa dijadikan inspirasi kepada mereka-mereka yang mengalami permasalahan yang sama. Aku adalah cermin kamu, maka kamu adalah cermin aku, semuanya bersifat sama dijadikan Tuhan menerusi mani yang suci. Apa yang membezakan hanyalah secebis nilai yang wujud hasil warnaan yang dilalui. "Aku cinta, kamu pun cinta, aku benci, kamu benci, aku baik, kamu baik dan aku jahat, kamu juga jahat". Tidakkah kita makhluk yang serupa hasilan benih Adam dan Hawa. Andai ada mereka diluar sana mengaku dirinya sempurna, aku letak tapak kakiku di muka mereka. Bukan kerna aku berniat jahat namun sebagai tanda sangsi ku terhadap mereka yang mengaku sempurna. Aku ulang, "kamu jahat, aku pun bisa jahat. Kamu baik, aku pun bisa baik". Kita serupa seadanya.
Entri ini lahirnya hasil cedokan yang dicetuskan oleh saudari Mas. Langsung tidak kena mengena dengan apa yang kami bualkan. Namun aku sekadar mencerna menerusi sudut pemikiranku yang berbeza. Dari patah perbualan ringkas tentang puisi sehingga kepada permintaan agar aku mendeklamasi rima dan ritma serangkap dua. Sekadar mendeklamasi puisi menerusi jiwa. Sebenarnya aku bukanlah rujukan yang tepat untuk memberi pendapat, kerna aku masih lagi belajar dan seharusnya aku yang meminta nasihat tentang bagaimana mengilhamkan luahan jiwa menerusi adunan kata-kata. Arusnya deras membawa aku leka sehingga ummul kitab terpacul keluar sebagai penutup acara. Wallahua'lam Bissawab.

Friday, April 4, 2008

Kini Melintasi Garis-Garis Mati

Cuma tinggal tidak lebih 14 hari sahaja lagi untuk aku dan rakan melintasi garis-garis mati. Sesampainya kaki menjejak ke garisan penamat , maka akan ada ruang untuk mencelah menikmati tidur yang enak buat seketika. Sekarang pun aku tidur seperti orang kebanyakannya, tapi nikmat kepuasan itu belum sampai ke tahap yang mutlak. Hanya 2 hari ku pinta tuk ku lena sepuasnya. Bukan aku tidak punya 2 hari, tetapi situasi gawat tidak mengizinkan aku untuk bermimpi lebih lama. Aku berusaha tuk tidak menulis di ruangan ini buat seketika. Bukannya kerna ketandusan idea, cuma sekadar memberi laluan kepada tuntutan prioriti yang ada. Maklumlah, tuntutan komitmen. Aku masih lagi belajar, masih lagi belajar, dan masih lagi belajar. Proses pembelajaran yang berterusan buat persediaan ku untuk melangkah lebih laju lagi. Kehairanan juga, perkara tunjang aku perlahan-lahankan. Perkara selingan dilaju-lajukan. Namun nun jauh di benak jiwa tiada langsung unsur berbentuk rungutan. Bak kata Ahmad Dhani, “hadapi dengan senyuman, semuanya akan baik-baik saja”. Sebelum aku mengundur diri, tahniah ku ucapkan kepada bala Just Click Production kerna berjaya menaiki podium teratas dalam carta berita menerusi Bukan Berita Biasa. Aku sendiri tidak menyangka BBB di anugerahi sehambur pujian daripada Mr Energatik Nik Ramzi Nik Hassan. Masih terngiang dikepala bila beliau mengangkat BBB sebagai projek terbaik mengatasi batch-batch sebelumnya. Itu fakta dan bukan auta. Itu katanya, keluar langsung dari bibir pantas Mr energetik ini. Telinga ku yang mendengar masih tidak percaya, malahan Krew Just Click yang lainnya juga berperasaan sama. Terkesima , tersipu-sipu bangga. Aku juga bangga. Bangga kerna aku berada bersama mereka. Justeru projek akhir kami amat dinanti-nanti oleh Mr energetik ini. Sandaran setinggi gunung nampaknya diletakkan di bahu kami. Mampukah short film itu nanti memenuhi expectation beliau. Kami berdebar, kami berdebar dan kami sangat berdebar. Semuanya dilakukan sendiri tanpa bantuan atau tanpa konsultasi. Terfikir juga, apa yang beliau suka sangat dengan BBB, mungkin suntikan humor lagi sinikal agaknya. kejutan itu berterusan bila melihat ruang kosong bersebelahan nama kami di sehelai kertas putih tertera markah 96.8 daripada 100. Mana hilangnya 3.2 lagi untuk genap 100. Walau apa pun, terbaik itu hanyalah pada kaca mata beliau yang sudah lama berada dalam industri. Namun masing-masingnya bebas untuk menyuarakan pandangan masing-masing. Pandangan mata semua berbeza. Cantik dimata aku belum tentu cantik dimata kamu. Perkara subjektif sukar untuk di teka. Karya produksi yang lainnya juga bagus, cuma mungkin kebetulan sahaja kali ini BBB kelihatan sempurna dimata pemeriksa. Syukur yang tidak terhingga kami ucapkan. Kepenatan ketika mengejar garismati itu hilang tiba-tiba. Alangkah seronoknya jika digenapkan sahaja angka 100 itu. Sebelum aku merepek panjang bermain dengan angka yang sejak azali ku tidak gemar lebih afdhal andai entri ini berhenti disini. Aku berjanji untuk cuba mengupas sesuatu yang lebih membina dilain hari. Aku kekurangan tenaga untuk menulis dalam sehari dua ini. Jangan pula ada yang tidak percaya menulis menuntut kekuatan stamina yang tinggi. Lagi pula aku perlu mengutamakan prioriti yang ada. Sebagai permulaannya, aku perlu segera menelaah nota Event Management selepas ini. Ada exam pada esok pagi. Harapnya aku tidak tertewas nanti. Wallahua’lam Bissawab.

Thursday, April 3, 2008

Pilih; Hidup atau Mati!!!





Maka dengan itu berakhir sudah pembentangan Charples Event Management dihadapan client malam tadi. Tiada apa yang menarik tuk ku kongsi disini melainkan seribu kelegaan yang bermaharajalela dihati apabila pemberat pertama yang dipikul terlepas jua. Bersama kerendahan hati, aku sebagai pemula kepada sebuah introduksi pembentangan kelihatan terdesak tuk menarik perhatian para client yang berada dekat dihadapan mata. Menarik perhatian disini lebih kepada cubaan tuk mengalih tumpuan para client daripada menghidu sebuah pengisian kempen yang serba serbi kekurangan melainkan kekuatan layout kempen yang menarik hasil garapan rakan sekerja saudara azizi. Selain itu, sekuntum senyuman hingga ke telinga ku hadiahkan kepada krew-krew Charples yang berusaha sehingga ke titisan peluh terakhir. Walaupun segala gerak kerja bermula lewat seperti biasa, hasilnya tidaklah cemerlang namun tidaklah mengecewakan, apatah lagi kedengaran hilai tawa para client yang mendengar sesi pembentangan kami semalam. Terhibur mungkin, dan sememangnya itulah misi utama yang kami harapkan iaitu agar semua terus ceria menguntum sebuah senyuman. Kami akur dengan kelemahan yang ada. Apatah lagi suasana malap menyelubungi setiap hadirin yang hadir sehingga terulit lesu menahan kehendak mata. Apabila introduksi pemula menampakkan ceria maka segalanya bermula lancar seketika. Hanya itu sahajalah yang mampu ku hadiahkan sebagai pemangkin kepada mereka agar pembentangan yang seterusnya hidup. Kelemahan yang ketara kami sorokkan agar tidak terhidu oleh para client yang terkenal peka derianya. Aku cuba berlagak biasa semalam namun seperti selalu aku tidak bisa mengawal lidah dari terus mengalunkan hamburan seribu perkataan. Daripada isi yang sedikit, berbekalkan tonik yang dibekalkan para laskar Charples aku laju mengambus separa bukit. Aku mungkin lebih petah ketika pembentangan berbanding bicara ketika mata bertentang mata, muka bertemu muka. Itu persepsiku sendiri tentang aku manakala persepsi kamu aku tidak tahu. Kembali kepada fokus kempen semalam. Secara sedar atau tidak, kita kadang-kadang bertransformasi menjadi seseorang yang lain ketika dijalan raya. Nilai dan jati diri yang ada seolah-olah terpukul jauh penangan hebat bukan kepalang resapan misteria hantu raya. Entah ke mana hilangnya sikap hemah dan toleransi yang ada ketika berada di jalan raya, masing-masingnya seperti tergesa-gesa memintas satu sama lain dalam erti kata lain menjadi pelumba tanpa tajaan. Fokus utama kempen adalah agar semua pengguna jalan raya sedar akan kepentingan toleransi sesama pengguna. Aku percaya semuanya bermula dari individu itu sendiri kerna pilihan terletak ditangan kita. Kepada pengguna jalan raya diluar sana termasuklah aku sendiri, kamu mempunyai dua pilihan; hidup atau mati. Akibatnya nanti bukan sahaja kita sendiri malah orang lain pun menanggung sama. Seperti kisah ku melanggar seorang seorang tua suatu ketika dulu. Sehingga kini ku masih dihantui perasaan kebersalahan terkesan dek peristiwa itu. Walau apa pun, ku Charples semua rakan yang ada. Tahan saja ye!!!



Kenapa Charples Event Management?


Sukar untuk diungkai penemuan perkataan ini. Walau bagaimanapun, asalnya perkataan ini tercipta dari seorang saudara. Maknanya tidaklah seberahi sebutan lidah, namun untuk diterangkan menerusi himpunan kata pasti tidak kesampaian maksudnya. Wallahua'lam Bissawab.