Saturday, April 5, 2008

Tembusan ke Dinding Yang Kuning

Perbualan ketika program sebentar tadi membawa aku ke suatu ruangan yang lain seketika. Tinggi ku terawang lalu terbang merentasi dinding-dinding kuning sekaligus menolak titik fokus ku untuk melayang bersama. Tiba-tiba terjelma difikiranku tentang sejauhmana aku jujur dalam menulis di ruangan ini. persoalan yang terbangkit adalah berlainan sekali namun intipatinya aku simpulkan menerusi sudut yang berbeda. Ku mengangguk kepala tanda setuju yang tidak semua orang gemar berkongsi himpunan rasa buat tatapan orang lain. Semuanya eksklusif buat tenungan mereka sendiri. Begitu juga dengan Mas mungkin, menulis hanya untuk tilikan sendiri. Apa yang dirasa, jiwa yang bergelora bukan langsung untuk orang lain. Ku sisip rasa terima kasih kepada Mas kerna melontarkan sesuatu untukku fikir disini. Bukan sesuatu kerja mudah sebenarnya untuk aku sendiri menulis di sini. Ku faham perasaannya. Suatu ketika aku pun pernah melaluinya. Namun segala apa yang aku catat disini benar-benar berasal dari lubuk jiwa. Apa yang terhasil hanyalah selepas melalui beberapa tapisan yang aku kira perlu untuk menjaga kemaslahatan yang sedia terjalin. Andai ku catat kesemua yang ada maka hasilnya nanti bisa bikin tekak meloya. Keterbukaan aku mengenai sesuatu dipisahkan melalui sempadan yang ada. Manakala setiap inci warna yang tercela aku simpan buat renunganku sendiri. Tiada hasilnya andai ku buka pekung di dada. Cukup sekadar aku mencatatkan liku cerita yang difikirkan perlu sahaja. Aku mendapat sesuatu disini, sesuatu yang tidak pernah ku impi. Selain sebagai rasa kebertanggunjawaban yang bersarang dihati, juga sebagai satu perkongsian agar nilai yang ku cerna di sini kembali kepadaku menerusi respon yang diberi. Adakalanya setiap jejak dosa perlu tuk dikongsi bersama agar nanti bisa dijadikan inspirasi kepada mereka-mereka yang mengalami permasalahan yang sama. Aku adalah cermin kamu, maka kamu adalah cermin aku, semuanya bersifat sama dijadikan Tuhan menerusi mani yang suci. Apa yang membezakan hanyalah secebis nilai yang wujud hasil warnaan yang dilalui. "Aku cinta, kamu pun cinta, aku benci, kamu benci, aku baik, kamu baik dan aku jahat, kamu juga jahat". Tidakkah kita makhluk yang serupa hasilan benih Adam dan Hawa. Andai ada mereka diluar sana mengaku dirinya sempurna, aku letak tapak kakiku di muka mereka. Bukan kerna aku berniat jahat namun sebagai tanda sangsi ku terhadap mereka yang mengaku sempurna. Aku ulang, "kamu jahat, aku pun bisa jahat. Kamu baik, aku pun bisa baik". Kita serupa seadanya.
Entri ini lahirnya hasil cedokan yang dicetuskan oleh saudari Mas. Langsung tidak kena mengena dengan apa yang kami bualkan. Namun aku sekadar mencerna menerusi sudut pemikiranku yang berbeza. Dari patah perbualan ringkas tentang puisi sehingga kepada permintaan agar aku mendeklamasi rima dan ritma serangkap dua. Sekadar mendeklamasi puisi menerusi jiwa. Sebenarnya aku bukanlah rujukan yang tepat untuk memberi pendapat, kerna aku masih lagi belajar dan seharusnya aku yang meminta nasihat tentang bagaimana mengilhamkan luahan jiwa menerusi adunan kata-kata. Arusnya deras membawa aku leka sehingga ummul kitab terpacul keluar sebagai penutup acara. Wallahua'lam Bissawab.

No comments: