Thursday, September 11, 2008

Tertanya-tanya juga pada cermin diri.

Kemana hala tuju aku selepas ini. Hanya tinggal beberapa langkah sahaja lagi untuk aku menamatkan larian. Tidak langsung berbangga malah hanya merupakan titik mula kepada sebuah kehidupan yang lain. Sekadar satu hentian tenpat aku bernafas, sambil mengumpul balik sisa-sisa tenga untuk berlari semula. Namun sekurang-kurangnya aku berasa sedikit selesa kerna bakal melangkah ke suatu tapak yang baru.

Apa pula selepas ini?

Aku tidak berani merancang sesuatu yang tidak pasti. Kerna tiket yang aku perolehi nanti sekadar cukup-cukup makan sahaja. Tiket itu bukanlah sesuatu yang aku bisa sandarkan. Paling tidak aku perlu juga merencana sesuatu untuk mengubah apa yang tertinggal dibelakang. Masa meninggalkan aku jauh dihadapan. Untuk mengejarnya pasti menolak sedikit lagi angka dari umurku.

Apa selepas ini?

Aku masih lagi mencari, aku bersandar kepada suatu sandaran yang Maha Agung. Aku percaya yang aku masih punya tempat untuk berlabuh. Mana mungkin aku bisa tersisih dengan keluasan bumi yang sebegini luas. Mana mungkin tiada satu tanah pun yang tidak memerlukan khidmat bakti serta kudratku. Pasti ada juga nanti. Aku percaya.

Apa selepas ini?

Aku menanti detik itu tiba. Apa yang aku harapkan cuma kepercayaan dari mereka-mereka yang aku sayang. Itu sudah lebih dari memadai. Percaturan sebegini membuatkan aku sudah tidak punya pilihan lain selain pergi berhadapan dengan cabaran dunia. Sampai bila? Aku juga tidak pasti. Aku cuba untuk tidak risau tentang ini.

Apa selepas ini?

Aku cuba membayar jasa mereka-mereka yang berada teguh dibelakangku. Mungkin ada dikalangan saudara-saudara yang begitu memandang tinggi kepada aku, aku berterima kasih. Namun percayalah, kehidupan aku tidaklah seindah seperti yang terlampir diruangan ini. Masih banyak perkara yang perlu aku lunaskan. Apa yang terpapar hanyalah sekadar sketsa dan drama. Namun aku masih jujur. Aku tetap juga bersyukur kepada segala anugerah yang Tuhan kurniakan. Hatiku dilimpahi dengan segala nikmat kasih sayang. Tidak pernah sunyi. Aku masih bersyukur. Kerna apa yang ada kini bukanlah sesuatu yang bisa dibeli. Wang ringgit tidak mampu membeli kasih sayang. Bak kata Timbaland, apa guna Master Card, Visa, American Express, HSBC Card andai dalam diri tidak terisi dengan kasih sayang. Buat masa ini, ia sudah lebih dari cukup.

Apa pula selepas ini?

Sejujurnya, aku sangat positif dan optimis tentang masa depan. Selama mana juga aku mahu bersandar pada kasih dan sayang, kerna prosa yang masih lagi fakta ialah, kasih sayang tidak bisa beli beras. Wallahua'lam Bissawab.

No comments: