Sunday, March 23, 2008

Simpang Siur Jalan itu

Salam keindahan kuhulur kepada semua. Kurang lebih 40 minit lagi azan subuh pastikan memecah kesunyian dinihari pagi ini. Diluar sana, kuperhatikan langit sedih dikelilingi awan. Hatta sinaran bulan juga terlindung dek dominasinya. Begitulah keadaan bila awan baru lepas memuntahkan hujan. Aku pula baru sahaja terjaga dari tidurku yang sangat lena. Aku punya urusan di Putrajaya semalam. Lebih kurang jam 1 tengahari semalam aku menerima satu panggilan telefon dari seorang rakan yang meminta aku berlakon dalam produksinya bagi projek PSA(Public Service Announcement) Untuk pengetahuan kalian, PSA ini adalah salah satu projek bagi subjek Audio Visual. Memahami kesulitan yang berlaku kepada rakan mendorong aku untuk membantu. Kalau diikutkan, aku hanyalah bidan terjun sahaja. Pelakon asalnya gagal memberi komitmen. Lebih kurang jam 5.30 petang mereka sampai ke Puncak Perdana untuk menjemput aku. Setelah melalui sedikit perbincangan kami terus berangkat ke Putrajaya. Lokasinya ialah di sebuah rumah kepunyaan rakan seproduksi iaitu saudari lala (bukan lala makanan laut itu). Sesampainya dilokasi, kami pantas bermula. 2 kamera jenis VTR jika tidak silap aku disiap laraskan dengan pantas oleh 2 orang jurukamera lalu dipacakkan betul-betul diruang tengah rumah menggunakan tripod. Sementara Post Master iaitu satu skrin kecil bagi kegunaan Tuan Direktor juga telah siap sedia diletakkan diatas meja makan rumah. Manakala bagi lighting pula berdepan sedikit masalah apabila salah satunya meletup lalu terjatuh akibat kesilapan teknikal, asap berkepul memenuhi ruang lampu sebesar tin biskut itu. Namun, itu bukannya masalah bagi krew-krew ini sememangnya kesilapan teknikal begini sering terjadi ketika proses penggambaran. Mujur tiada sesiapa yang cedera. Untuk pengetahuan, aku memegang peranan sebagai seorang suami mithali yang menjaga isterinya yang sedang lumpuh separuh badan. Lumpuh dari paras pinggang hingga ke kaki. Dipendekkan cerita, penggambaran akhirnya habis sekitar jam 11 malam. Sepanjang proses penggambaran, tidak banyak take yang diambil. Semuanya mengikut flow dan berlangsung dengan lancar sekali. Tidak hairanlah penggambaran ini habis lebih awal dari yang dijangkakan. Syukur, aku terasa juga keberjayaannya. Semuanya dilakonkan hanya sekadar sekali dua take sahaja. Aku komited dengan tugasan yang diamanahkan. Faham-faham sahajalah, jika tidak bersungguh maka aku juga yang akan susah nanti. Rakan-rakan krew yang lainnya juga banyak membantu, masing-masing bersemangat memberi idea masing-masing. Tugas aku pula menjadi lebih mudah kesan layanan baik yang diberikan. Cuma aku berdepan dengan sedikit kesulitan bila melakukan adegan romantis. Satu situasi dimana si suami menyuapkan makanan ke mulut si isteri. Untuk scene itu juga memerlukan aku menangis serta mencium dahi si isteri. Bertambah sukar lagi apabila teman lelaki talent perempuan itu turut berada di lokasi. Untuk scene itu sahaja yang sedikit bermasalah. Selepas melalui beberapa take yang sukar, akhirnya berjaya juga dan itu adalah scene penamat bagi penggambaran itu. Semuanya berlaku dengan pantas sekali. Walau apa pun aku gembira, situasi dimana semua orang bertepuk tangan setiap kali selesai diakhir setiap scene benar-benar melegakan. Bertepuk tangan tanda puas. Semuanya diiringi gelak tawa riang. Sebagai kesimpulannya ialah, hidup ini ibarat kita melalui gunung ganang. Adakalanya kita melalui jalan yang mendatar dan adakalanya kita tepaksa mendaki. Tapi percayalah, dalam kehidupan ini, kita akan lebih banyak mendaki berbanding daripada berjalan. Dan apabila kita tiba disuatu hentian terakhir sebelum sampai ke puncak, disitulah perjuangan yang lebih getir bermula. (Begitulah keadaannya jika ku kaitkan ketika penggambaran semalam, hampir tinggal 2 scene sahaja lagi, semuanya kelihatan sudah selesa, semuanya buntu seketika kerna penat mungkin. Tumpuan kepada penggambaran tejejas seketika). Samada kita akan terus ke puncak, ataupun sekadar berhenti lama disinggahan sebelumnya. Untuk berjaya dengan sebenar-benar jaya, antara hendak atau tidak kita terpaksa jua menempuhinya, jika tidak sampai kiamat pun kita akan terus berada di zon selesa dan jalan itu semestinya jauh lebih sukar. Aku terpaksa berundur pantas disini, ada lagi baki urusan yang perlu aku langsaikan. Setiap impian indah itu memerlukan pengorbanan, untuk mengecap impian mutlak itu pastinya tidakkan menemui jalan mudah. Wallahua'lam Bissawab.

No comments: