Aku amat jarang sekali menonton filem cinta. Genre filem sebegini biasanya ku tonton bergantung kepada kondisi aku ketika itu. Bisa dikira dengan jari. Apatah lagi untuk melayani filem dan drama dari Jepun atau Korea. Aku kurang gemar tapi tiada masalah untuk turun menonton jika ada. Kebiasaannya, aku mudah tertarik untuk terus menonton filem dari dua negara ini hanya menerusi keindahan sinematografi dan shot-shotnya yang menarik sahaja. Satu kekuatan yang ada pada filem-filem Korea dan Jepun. Selalunya aku serabut sekali bila menonton filem-filem mereka, perwatakan yang kelam-kabut, lontaran serta intonasi bahasa yang nyaring sering membuatkan ku hilang selera untuk terus menonton. Maafkan aku jika ada antara kalian yang tidak bersetuju. Mungkin aku salah kerna hanya beberapa kerat sahaja filem-filem atau drama mereka yang aku tonton. Pada entri ringkasku kali ini, suka untuk aku berkongsi bersama kalian mengenai sebuah filem yang bertemakan cinta berjudul "a moment to remember". Filem produksi dari korea jika aku tidak silap. Itu pun aku hanya tahu selepas bertanya rakanku disebelah. Bahasa yang lebih kurang sama sahaja antara Jepun dan Korea. Pada awalnya aku memang sudah dapat mengagak filem ini datang dari Korea. Tapi masih lagi bertanya sekadar untuk mendapat pengesahan yang tepat. Tahun keluarannya juga aku kurang periksa. Ceritanya menyentuh tentang cinta antara dua darjat menerusi karakter Kim soo jin dan choi chul soo. Aku tidak mahu mengulas panjang mengenai filem ini. Cukuplah sekadar aku mengesyorkan filem ini kepada kalian semua. Sangat berbaloi untuk dipertontonkan. Seperti mana sedap mata ini memandang, begitu juga sedap telinga ini mendengar. Tiada pekik lolong seperti orang mengalami histeria dalam filem ini. Semuanya bersahaja. Rakanku disebelah menangis mengalirkan air mata. Aku mendapat sesuatu yang lain disini, penyakit Alzheimer's berpotensi menyerang golongan muda. Walaupun kebarangkaliannya kecil tetapi sangat menakutkan. Cuba bayangkan situasi bagaimana kalian semua kehilangan semua memori secara berperingkat. Secara umumnya penyakit ini menyerang ketika meningkat usia. Namun kuasa Tuhan, tidak mustahil juga penyakit ini boleh menimpa orang muda. Kesannya amat menggerunkan aku, bagaimana penyakit ini memusnahkan sel otak sekaligus memberi kesan kepada memori yang menjadi pusat segala maklumat serta pemikiran intelek. Tanpanya, manusia hanyalah seperti mayat yang bernyawa. Wallahua'lam Bissawab.
Saturday, March 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment