Aku melihat jiwa-jiwa ini berterbangan melewati medan angkasa. Aku juga melihat bagaimana jiwa-jiwa ini terperosok lalu jatuh tersembam menyembah bumi. Pementasan realiti yang sering ku lihat dikaca televisi dunia. Sehingga akhirnya kusedari, jiwa ku turut terperangkap diantara dogma-dogma ciptaan manusia. Benar, aku terkesima kekaguman bila melihat sudah ramai anak muda sebangsa lantang bersuara lalu bangun menentang dominasi peringkat tertinggi dunia. Aku juga terkesima melihat jiwa-jiwa ini begitu bersemangat berlari sambil memikul ideologi merentasi batas-batas sempadan dilaluan kanan dan kiri. Malah, ada yang tersesat, menyimpang jauh dari perjuangan hakiki, terkeluar dari haluan yang dijejaki, terbabas berlanggar sesama sendiri dan tidak kurang juga lentok ditiup angin antara kanan dan kiri.
Hari ini, khamis 20 Mac 2008. Semua muslimin dan muslimat di Malaysia akan meraikan Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW (Maulidur Rasul). Suka aku mengajak kalian diluar sana untuk sama-sama kita bersalawat seketika bagi mengingati junjungan besar Nabi. Kita selusuri peristiwa yang berlaku sekitar tahun ini, walau pun sudah agak basi namun lukanya masih terasa. Dunia menyaksikan bagaimana figura baginda dijadikan tatapan menerusi karikatur oleh para media yang tidak sensitif di Denmark dan sumber memberitahu bahawasanya sudah lebih 30 karikatur Nabi dimuat turun sekitar september tahun lalu. Aku menyeru agar kita sama-sama menjadikan peristiwa ini sebagai suatu pengajaran yang wajar untuk kita imani. Jika kamu bertanya aku, aku melihat peristiwa ini sebagai suatu ketentuan dari Allah SWT, suatu ketentuan yang diizinkan namun tidak diredhainya mungkin. Ku percaya, kita tidak perlu melatah dengan melancarkan provokasi serta ancaman yang berlebihan. Malah, adalah tidak wajar kita memberi reaksi yang keras dalam menghadapi perkara ini. Apalagi Nabi sendiri tidak pernah memusuhi golongan yang membenci baginda malah dengan rendah hati Baginda mendoakan golongan itu agar kembali ke jalan yang lurus. Maafkan sahaja "ketidaktahuan" mereka. Sempena hari yang mulia ini, aku mengucapkan salam Maulidur Rasul kepada semua. Semoga hati-hati ini masih terikat dibawah satu payung yang suci.
Secara tidak kita sedari, disaat dogma ciptaan manusia yang lainnya diagungkan, pegangan yang hak mula terlepas sedikit demi sedikit dari genggaman, terlepas jatuh seperti butiran pasir bertebaran. Sama-sama kita renungkan.
No comments:
Post a Comment