Thursday, March 20, 2008

Dari Yasmeen ke Pak Samad




Aku baru sahaja habis membelek barang selembar dua helaian di ruang maya ini, pantas kuselak satu-persatu. Kepala berat seketika, mata berair pedih. Sudahlah mata sepet sebelah, berkerut-kerut pula dahi kerna fokus memandang layar skrin. Luas lagi ruang maya ni untukku teroka, hati kecilku bersuara. Ada sekelumit perasaan keji yang mungkin sebesar butir sawi bermain dalam ruang legar kepalaku. Ahh, sungguh keji. Apatah lagi sempat turun menyelami dunia Yasmeen yang sentiasa hangat menerusi karya berahinya. Terbuai perasaan melayani fantasinya. Rasanya tidakkan cukup seminggu, apatah lagi sehari untukku meneroka isi ceritanya. Lagipun, aku tidaklah tertarik dengan karya sebegitu, cuma sekadar singgah untuk memerhati akan reaksi pelanggan-pelanggannya tapi tidaklah menyokong. Patutlah isi ceritanya seperti tiada kesudahan, sokongan yang bertali arus mengasak-asak dibelakangnya. Lagi satu perkara yang kukira sangat penting, kisah Pak Samad seperti tidak berpenghujung. Mengapa DBP bersikap enteng, seolah-olah mahu menyekat punca rezeki tokoh sasterawan itu. Sedangkan koleksi karya terhebat sepanjang zaman tokoh sasterawan negara itu tidak lagi diterbitkan walaupun mungkin ada dan kemungkinan besarnya tiada untuk kita temui dimana-mana toko buku, sekadar contoh, Salina, Wira Bukit dan serta mungkin koleksi antologi puisi beliau. Secara rasionalnya, kalaupun DBP sudah tidak lagi berminat untuk menerbitkan kembali koleksi-koleksi itu, kononnya tiada lagi permintaan. Apalah salahnya jika dipulangkan kembali hakcipta kepada Pak Samad. Habis cerita. Kurang periksa, mungkin mereka punya alasan tertentu. Ingin aku tegaskan, antara ya atau tidak, aku berhak untuk memperkatakan sesuatu disini. Pertamanya, tokoh seperti Pak Samad harus dijaga. Insan seni ini jangan disekat kreativitinya, jangan dipatahkan semangatnya. Ada ramai lagi rasanya anak sebangsa yang belum memiliki atau pun setidak-tidaknya berpeluang membaca walau sebaris bait-bait artistik beliau. Aku masih lagi menyimpan koleksi-koleksi itu. Salina, Wira Bukit adalah diantaranya berserta sebuah dua buku antolgi puisinya yang sehingga kini masih sukar untukku fahami. Ya, memang karya sebegitu sukar untuk menarik minat generasi muda dan itu juga adalah dilema yang berlaku kepadaku suatu ketika dulu namun, jika difikirkan sejenak, tokoh-tokoh ini adalah antara pejuang yang mempertahankan bahasa ibunda, iaitu bahasa melayu. Tanpa bahasa tidakkan ada bangsa Melayu didunia. Lebih-lebih lagi kita sedang menuju ke arah bangsa Malaysia. Kita renungkan bersama. Walallahu'alam Bissawab.

No comments: