Tuesday, June 3, 2008

Renangan di Jiwa

Aku merasa sedikit kebersalahan terhadap orang tua ku dikampung. Aku ralat, sedikit terkilan kerna gagal untuk pulang pada waktu yang telah ku taburkan untuk mereka. Aku seolah-olah bermungkir terhadap janji sendiri. Kalau ku turutkan rasa yang terbuku dihati, ingin sahaja aku pulang dalam kadar yang segera. Namun, aku terhadang dek limpahan urusan yang datang dengan tidak semena-mena, urusan duniawi dalam bentuk timbunan rezeki yang datang bergolek entah dari mana tiba pun aku kurang mengerti. Syukur terhadap anugerah ilahi yang mengurniakan hambanya yang alpa ini saguhati berupa rezeki. Cuma kala waktu ini aku hanya bisa menghitung hari semata-mata. Soal pulang melawat orang tua dikampung terpaksa ku tangguhkan seketika cuma. Soalnya, aku hanya kuatir jikalau orang tua ku tersilap salah memikirkan yang aku berkemungkinan meminggirkan mereka. Jawapannya tidak sama sekali. Aku hanya cuba untuk menjadi seorang anak yang lebih berguna kepada orang tua. Aku tidak mengejar kemewahan dunia, yang tinggal cuma sekadar berusaha untuk bangkit demi membuktikan aku juga mampu berdiri di atas tapak kaki sendiri. Jauh sekali terniat walau sedetik untuk meminggir malah, jauh dilubuk hati ku ini berenang-renang ingatan ku terhadap mereka. Apa yang ku lakukan kini hanyalah sekadar persiapan ku untuk menempuh alam lain yang bakal menerpa, suatu alam yang berbeza. Sambil menggigit bibir sendiri, aku percaya orang tua ku semestinya faham soal pendirian anak sulung mereka ini. Mereka mengerti apa yang berlumba-lumba di medan minda anak yang dibelai manja sejak kecil sehingga dewasa bagak begini. Aku adalah orang yang sama seperti dahulunya mereka bela manja. Anak kecil yang dahulunya menyusu botol sehingga darjah 2. Kanak-kanak nakal yang dahulunya sering kencing malam sehingga darjah 6, kanak-kanak hingusan yang sering dikenakan rotan dek alerginya terhadap angka oleh cikgu Tan. Aku masih sama, sentiasa memerlukan mereka sama ketika aku masih lagi kecil. Kerna mereka merupakan satu-satunya tempat ku bersandar mesra, tidak kan bisa dicari ganti. Demikian tidak jualah anakmu ini tidak pulang ke kampung kerna seorang gadis, mana mungkin seorang gadis yang hadir tidak sampai 3 purnama bisa menggantikan mereka. Dia hampir tiada perkaitanan langsung dengan alasan ku kali ini. Belum tiba masanya lagi untukku melangkah jauh, kerna antara kami hanyalah sekadar teman tapi mesra, tidak lebih, tidak jua ia kurang. Aku percaya jika ayah dan bonda menghalusi entri ku ini semestinya akan terukir sekuntum senyuman sehingga ke telinga mengenangkan aku. Hanya seperkara sahaja yang ingin sungguh ku luahkan kepada mereka, aku belum lagi bersedia untuk memetik kuntuman bunga ditaman larangan Pak Mail. Berfikir ke arah itu pun jauh sekali. Malah, bermimpi bersalaman dengan Pak Mail dimasjid pun aku tidak terfikir lagi. Benar sekali apa yang aku tuturkan kali ini dan jika mereka bisa melihat aku saat kala ini pasti tiada keraguan diwajah mereka melihatkan kerut ku yang berlipat-lipat didahi. Kepada dia, andai kamu membaca secebis bingkisan ku ini, seribu kemaafan ku pohon andai lahirnya entri ini seolah-olah seperti aku tidak menghargai kehadiranmu disisi. Aku menghargai setiap detik peristiwa yang kamu hadiahkan buatku, cuma mungkin aku belum benar bersedia untuk melangkah setapak ke ruang garisan itu. Aku masih memerlukan ruang serta masa untuk bersedia melompat tinggi, sekiranya kesabaran kamu hadiahkan ketika ini, hasilnya pasti kita bisa kutip kemudian hari. Seringkali aku merasa seolah aku berenang di lautan yang luas lalu sesat tidak bertemu pantai dan akhirnya tenggelam lemas sesaat jua tidak ku sedari. Wallahu’alam Bissawab.



Entri ini hanyalah sekadar suatu bingkisan jiwa yang berenang-renang di lubuk hati. Rasa kebersalahan terhadap taburan janji yang diberi merangsang aku untuk mencatit luahan sendiri. Lebih-lebih lagi bila janji itu kita taburi terhadap kedua orang tua kita, rasa kebersalahan itu sedikit lain macam. Walau apa pun, tidaklah entri ini aku lemparkan ke ruangan ini untuk dijadikan sebagai modal tawa kalian terhadap kejebatan aku, malah tidak langsung untuk menunjukkan ketuahan aku, apa yang hendak ku sampaikan di sini hnyalah sedikit ruang untuk kita sama-sama renungkan, untuk aku sendiri halusi agar sentiasa cuba untuk menjaga hati dan perasaan kedua orang tua. Kadang-kadang dalam usia mereka yang semakin meningkat, mereka semakin sensitif. Atas alasan ini aku bersandar, agar kita bersama mencuba menghadiahkan sesuatu yang terbaik buat kedua orang tua kita agar mereka sentiasa berasa terbela. Aku tidak bermaksud agar kita menghadiahi mereka jambatan emas, atau jua hamparan sejuta permata, tapi cukuplah sekadar perhatian yang kita berikan buat mereka. itu yang lebih penting aku rasakan kini. Aku sedang cuba untuk memberi sepenuh perhatian kepada keluarga dikampung. Walaupun sering leka, namun tidaklah alasan itu aku jadikan alasan. Untuk melupakan jauh sekali. Biar mereka jauh dimata, namun sangat dekat dihati. Walau apa pun, anakmu ini pasti pulang jua andai sudah tiba masa. Lagi pula, kereta ku sedang demam. Agaknya mungkin berhujan semalaman dibandaraya Kuala Lumpur, belum lagi ku hantar ia ke klinik, mungkin sekadar rawatan CPR sudah cukup untuk melegakan ia seketika nanti sebelum ku hantar ia ke pusat rawatan para kereta.







No comments: