Monday, September 15, 2008


Jika Tony Jaa berjaya menyuntik serum baru dalam filem-filem bergenre aksi menerusi aksi bela diri luar biasanya dalam filem Ongbak, disini bersama sekeping hati yang teruja aku kepilkan sekali imej seorang pelakon wanita iaitu Yanin Mitananda.

Seorang heroin wanita yang berjaya memaut rapat hati aku menerusi aksi seni tempurnya yang begitu 'solid' sekali. Gaya seni Muay persis Tony Jaa. Latar belakangnya belum lagi dikenal pasti.

Jika sebelum ini aku agak prejudis terhadap kemampuan wanita hanya dalam filem bergenre aksi, namun aksi kemas Yanin merubah persepsiku. Aku tidak sesekali meragui mutu lakonan pelakon-pelakon wanita kerna siapalah aku untuk memperkatakannya, cuma apa yang aku ingin 'highlight' kan disini ialah kemampuan pelakon aksi wanita seperti Yanin beraksi kemas seperti yang ditonjolkannya dalam filem 'Chocolate' arahan Prachya Pinkaew tanpa menghilangkan 'realism' sesuatu aksi. Lihat saja filem-filem aksi yang mengetengahkan pelakon-pelakon wanita lain seperti dalam filem bela diri Kill Bill, Dead or Alive dan sebagainya. Terlalu malang apabila kesan efek melampau dalam filem itu menghilangkan rasa 'realism'. Ishh!!!kacau dowh!!

Aksinya hampir setaraf dengan hero-hero lelaki yang lain seperti Tony dan Jacky Chan. Lihat sahaja mutu sepakan layangnya, layangannya cukup kemas sekali, malah sempat mencangkuk kemas kepala lawan. Perhatikan tendangan kucingnya, cukup jitu selaku seorang wanita. Teknik sikuan dan tumbukannya juga tampak kemas. Tidak lembik dan 'lemau' seperti sesetengah pelakon wanita. Apatah lagi kelihatannya Yanin melakukan sendiri aksi seni akrobatik tanpa menggunakan khidmat 'stuntman'. Aksi begini tampak lagi menarik jika dibanding dengan filem-filem aksi persembahan kung fu Jet Li yang begitu melampau sekali efek dan logiknya.



Filem ini diindahkan lagi menerusi shot-shotnya yang menarik namun sangat berbahaya. Seni kareografinya sangat indah pada mata aku. Koordinasi pelawan dengan pihak lawan amat sukar sekali dicipta, ia benar-benar menguji kredibiliti dan daya kreativiti kareografer aksi tempur. Gua salute!!!

Tidak salah mengaplikasi teknologi atau efek khas dalam sesuatu aksi tetapi kesannya tampak cacat. Penambahan efek khas pada aku biarlah dilakukan secara sederhana sambil mengekalkan permainan sesuatu seni bela diri yang asli.


Walau pun 'chocolate' tidak jauh bezanya dengan filem-filem seni bela diri yang lain seperti Ong Bak atau Tom Yum Goong, tetapi kekuatan fizikal yang ditonjolkan oleh Yanin begitu menyerlah sekali. Sememangnya Yanin sudah terbiasa mungkin dengan latihan-latihan lasak, atas sebab itulah Yanin langsung tidak kekok terutamanya dalam 'scene' yang melibatkan aksi-aksi tempur. Yanin kelihatan bersungguh meniru aksi gaya Tony Jaa, walau pun permainan Muay nya tidak berapa asli tetapi itu sudah memadai. Sesetengah pengamal bela diri sudah tentu boleh mengagak justeru menilai gaya permainannya yang sebenar.

Malaysia bila lagi?

Usah bercakap soal hero aksi wanita, malah hero aksi lelaki pun kian sebu. Sesudah era Eman Manan, aku tidak nampak ada sesiapa pun hero lain yang bisa mengganti tempatnya terutamanya dalam filem atau drama tempatan yang mengangkat seni bela diri sebagai tema. Jika ada pun, kebanyakannya lembik atau 'fake' ketika berlakon aksi tempur malah sesetengahnya lebih terbawa-bawa akan aksi-aksi terbang dalam filem kung fu Hong Kong. Jika bicara tentang silat, mana mungkin ada aksi tendangan sambil berterbangan diudara ala-ala Jet Li. Mungkin juga kita kekurangan pengarah aksi kareografi yang berpengalaman. Lantaran itu kita gagal menzahirkan seni bela diri kita yang asli ke filem.

Negara jiran iaitu Thailand berjaya mengangkat seni Muay Thai sebagai salah satu seni tempur paling gemilang didunia malah secara tidak langsung memperkenalkan budaya masyarakat Thai ke seluruh dunia menerusi paparan dalam filem-filem mereka.

Malaysia bila lagi?

Amatlah rugi jika seni tari silat melayu itu terus kekal melayu dibumi melayu. Antara drama silat yang masih terkunci rapat dalam minda aku ialah 'keris hitam bersepuh emas' dan jika tidak silap, Eby Yus dan Wak didi merupakan pengarah kareografi aksi silat dalam drama itu. Tidak lupa juga 'scene' bertempur dalam filem 'matinya seorang patriot' lakonan Eman Manan dan Zulkifli Zain. Antara 'scene' tempur berpedang yang sangat indah dan kreatif sekali. Ura-ura guru Jak Othman sang Harimau Berantai ingin membawa silat melayu ke filem nampaknya sehingga kini belum menjadi realiti.

Satu perkara lagi, aku sudah pun menonton filem 'Brave', kolaborasi Malaysia-Thailand. Aku melihat Afdlin Shauki berpotensi untuk melakonkan adegan tempur dengan baik, berbanding hero cerita itu sendiri malah Brader Awie pun kelihatan lembik. Soal berat badan tidak menjadi masalah, lihat sahaja kelincahan Sammo Hung. Ianya akan menjadi lebih baik andai Afdlin mengorbankan sedikit masa untuk menjalani latihan tempur secara intensif. Gaya sudah ada, cuma memerlukan sedikit improvisasi terutama dari segi 'speed' dan kepadatan sesuatu serangan baik tumbukan tangan dan sepakan kaki. Lagi pula Afdlin tahu mengeksploitasi kelebihannya dan gaya tempur ala-ala sumo seakan sesuai untuk beliau bawa. Wallahua'lam Bissawab.

2 comments:

wawad said...

aku bagi 5 bintang kat crita ni!!!sapa x tgk,digalakkan tgk!!terbaek!!

Joe Moktar said...

terbaek kan?