Tuesday, September 9, 2008

Sambil duduk dianjung, pujangga malam bermuhasabah hiba.


Malam itu indah, namun keindahan malam tidak seindah malam Ramadhan. Keindahan malam dibulan Ramadhan begitu mengasyikkan. Pujangga malam seperti aku sering ternanti-nanti detik malam tiba. Aku teruja melihat pesona malam Ramadhan.

Aku melihat malam Ramadhan begitu berlainan berbanding malam-malam biasa. Kedinginan malamnya begitu mengasyikkan, kesyahduan malamnya begitu menginsafkan, atmosfera malamnya begitu mempersonakan.

Ahh, bumi seakan tunduk syahdu, empayar langit terbentang luas, awan menangis pilu.

Tumbuhan seakan berkabung, tunduk menyembah bumi, berzikir agaknya, haiwanan pula tertib ligatnya, terbatas liarnya. Seolah-olah melihat amalan-amalan anak-anak Adam menuju ke pintu langit yang terbentang luasnya. Lihat saja dedaun yang berpaut mencengkam dahan, seakan hiba sambil tunduk melayu menangis sesak.

Janji Tuhan menghampar seribu satu hikmah yang tersembunyi, yang pasti bisa dijumpai oleh mereka-mereka yang tidak putus harap mengorek mencari sinarnya.

Aku bertanya diri sendiri, disudut mana aku berdiri, dibumi mana aku berpijak, dilangit mana aku berteduh.

Jawapan yang tidak mungkin terungkai andai aku sendiri tidak mencari dimana letaknya seribu satu zat yang tersembunyi.

Tuhan menganugerahkan Ramadhan kepada manusia, memberi seribu satu ruang buat manusia seperti aku untuk menempah tiket ke Syurga tanpa perlu singgah ke neraka, malah bauan neraka juga tidak terhirup. Pencarian yang cuma perlu diusahakan. Peluang mengungkai segala rahsia kejadian.

Indahnya malam Ramadhan persis sebuah Syurga. Haruman sebuah wangian yang menenggelamkan bauan asap hitam dineraka. Malam Ramadhan itu indah, sesuci kasih dan sayang. Seolah aku berada ditaman replika syurga.

Bangkit bersama rayakan ia.

No comments: