Aku kagum dengan sebilangan individu muda yang tahu tentang apa yang ingin mereka capai. Kadangkala cemburu kerna aku tahu untuk menggapai sesuatu mereka berani melepaskan sesuatu demi mendapatkan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang. Cemburu kerna mereka berani untuk berkorban. Cemburu aku atas dasar aku sendiri tidak seberani mereka.
Tidak kisah apa jua bentuk pengorbanan yang mereka lakukan, namun aku percaya setiap kejayaan yang mereka nikmati itu tetap menuntut suatu pengorbanan yang besar hatta terpaksa membelakangkan perasaan sendiri sekalipun.
Fitrah manusia yang kepinginkan sesuatu bagi mengisi kekosongan yang wujud dalam hati. Bukan hanya cinta, tolong jangan sempitkan pengorbanan itu dengan cinta yang sementara. Banyak lagi perkara lain yang menuntut pengorbanan selain cinta. Cinta selagi ikhlas ia tetap jua akan mekar selagi ada hayat dikandung badan.
Nafsu juga sebilangan jenis ujian yang Tuhan turunkan demi menguji ketahanan, kesabaran kita. Andai diri sendiri tidak kuat maka goyah semua perkara. Bila goyah, sudah tentu hak Tuhan tidak dapat kita laksanakan.
Kalau kita lihat zaman kini, hampir semua perkara yang kita kerjakan tidak dapat lari dari ilusi. Bukan seperti zaman datuk dan nenek kita dahulu, zaman kini perkara yang bertentangan dengan nilai agama dan budaya itulah yang paling cantik, paling mengikut kehendak zaman.
Kita dihidangkan dengan perkara-perkara yang membangkitkan unsur kehendak yang mengatasi keperluan. Akhirnya, kita sendiri yang menjadi mangsa. Masyarakat kita semakin terbuka tentang sesuatu perkara yang mana kalau kita biarkan akan menjadi duri dalam daging.
Menyedari diri aku sendiri terperangkap dalam sebuah sistem yang kotor, aku sendiri khuatir generasi seterusnya akan menjadi mangsa akibat kedunguan kita sendiri iaitu lambat bertindak. Lihat sahaja sekeliling kita, secara sedar atau tidak kita sudah pun dijajah, minda kita tidak bebas. Sejarah membuktikan apa sahaja kemajuan yang manusia cipta akan mengalami kehancuran. Kerna tidak semua manusia berfikiran sama dan mustahil semua manusia akan patuh pada peraturan tertentu.
Sedangkan hukum Tuhan pun kita langgar apatah lagi hukum manusia yang begitu mudah untuk dimanipulasi. Hukum alam memang begitu, ada baik maka akan ada yang kurang baik.
Dimana kita akan berada pada masa akan datang?
Teguh dibelakang Mahdi atau tegar dibelakang Dajjal?
Entah yang mana satu Mahdi dan yang mana satu Dajjal pun kita tidak tahu. Seperti entri aku sebelum ini, bila yang palsu kelihatan seperti yang hak dan yang hak kelihatan batil maka tidak mustahil kita akan menjadi pengikut Dajjal, secara tidak rasminya kita menolak Mahdi.
Aku berani potong jari kelingking sendiri andai suatu hari Mahdi keluar hanya beberapa orang sahaja yang akan beriman. Tidak mustahil, Mahdi suatu masa nanti kita anggap lebih kurang seperti Ayah Kahar, Ayah Pin dan ramai lagi Ayah yang lain.
Semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang beruntung. Amin.
Saturday, August 8, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment