Friday, March 21, 2008

Bersama Embun Pagi



Terasa nyamannya kedinginan embun pagi, seolah-olah lembut membelai tubuh keras ini, bertambah sejuk hingga menyucuk ke tulang bila mandi tadi. Baru sahaja pulang dari melepak semalaman bersama rakan-rakan di Bintang Side Walk seksyen 7, Shah Alam. Diskusi yang hangat benar-benar melekakan. Cukup setakat disitu ceritanya, aku tidak mahu serta tidak berminat untuk menyentuh isu yang kami bualkan disini, cuma konklusi yang boleh aku simpulkan ialah bagaimana sikap seorang individu itu bisa memberi tekanan kepada komuniti yang didiaminya ketika ini. Semoga tuhan memberi kesedaran kepadanya. Sebagai kesimpulan, pembawaan diri yang molek sangatlah dianjurkan demi memelihara ukhuwah. Bersandar kepada rasional, tidakkan mungkin setiap tindakan kita, disenangi oleh setiap ahli komuniti, masing-masingnya datang dari pelbagai latar kehidupan yang berbeza maka sudah pasti cara fikir tidak mungkinkan sama dan itu sudah cukup dijadikan sebagai sandaran kepada alasan mengapa perasaan mereka perlu juga diambil kira. Begitulah toleransi apabila hidup bermasyarakat, sikap pentingkan diri dek perasan tentang kehebatan diri wajar dilempar sejauh mungkin. Simpan sahaja perasaan yang membuak itu kerna ramai yang akan meluat nanti dan itu sudah pun terjadi kini. Siapa yang rugi kalau tidak diri sendiri. Orang kata, buat jahat jangan sekali. Tapi bila sudah terbuat, usah pula dijaja. Bukan hipokrasi, tapi kadang-kadang kita perlu jua bertransperasi. Tidakkan ada faedahnya berbangga tentang kejahatan, melainkan sekadar mendedahkan kelemahan.


Cukup sudah simpulan ku tadi, ku bawa kalian ke sesuatu yang lain. Lebih elok seandainya ku kongsi sedikit tuk mengimbas kembali sepanjang perjalanan pulang tadi. Kami melewati Hotel Concorde S.Alam, antara tempat yang mana aku pernah berkhidmat suatu ketika dulu. Kenangan kembali mengusik, terlalu banyak kenangan yang aku lalui. Sangat banyak namun bermakna sekali, juga pahit untuk ku telan sehingga tidak bisa untuk ku kongsi bersama kalian disini. Ada antara kenangan dikurungan besar itu cuba untukku lupuskan namun setiap kali melaluinya, kenangan itu datang kembali. Aku cuba untuk memaafkan diri sendiri diatas segala kekhilafan yang lalu. Tidak terluah menerusi kata-kata, apatah lagi untuk menulis disini. Sebelum aku menyarung selimut, tidak lengkap rasanya jika aku tidak berkongsi sesuatu disini. Aku perahsia orangnya. Namun respon positif yang aku rasai menerusi hobi baru ini membuatku fokus seketika. Segala perkara yang berkampung di ceruk fikiran seolah-olah hilang entah kemana. Ku kira mereka hanyut barangkali, dibawa arus deras oleh intipati utama yang hendak ku sampaikan disini mungkin. Aku menyeru kepada kalian dan juga kepada diriku sendiri agar menghargai sesuatu yang sudah sedia tergenggam dijari, kerna manusia selalunya mudah terbuai leka mengejar sesuatu yang tidak pun tercapai dek tangan sehingga akhirnya apa yang digenggam terlepas tanpa kita sedari. Peritnya sudah pun ku rasa, untuk disesal tiada gunanya. Tembakan peluru sesat itu menembusi ruang jantungku. Bertahun lamanya untuk kembali pulih seperti sediakala.


Sehingga siang kekasihku menanti, untuk meniduri kekasih sejati, terbaring sedia untuk menyelimuti, agar bisa lena disiang hari, moga kita bertemu lagi, pada edisi dimalam hari. Wallahua'lam Bissawab.

No comments: