Thursday, March 20, 2008

Renungi Sejenak


Cuba kamu lihat si anak kecil diatas. Comel bukan? Gambar ini ku dapati ketika melayari internet semalam. Lena sungguh si kecil ini tidur. Aku pasti sesiapa yang melihat pasti tersenyum sendirian. Tersenyum sampai ke telinga menyaksikan satu anugerah tuhan yang tidak ternilai harganya sedang lena dibuai mimpi nan indah. Bersandarkan bantal putih sebagai perlambangan kepada kesucian, sesuci anak kecil ini yang terpelihara tanpa setitik noda. Maka adalah menjadi tanggungjawab ibubapa bagaimana mencorakkannya kelak. Dewasa ini, senario kanak-kanak menghilang semakin hari semakin kritikal. Bermula dengan penemuan menggemparkan mayat adik Nurin Jazlin berterusan pula menerusi misteri kehilangan adik Sharlinie sehinggalah yang terkini kita digemparkan dengan berita kehilangan adik Asmawi. Apakah permasalahan pokok yang menimpa masyarakat kita hari ini? Aku melihat peristiwa-peristiwa ini sebagai satu peringatan daripada Tuhan. Mungkin terlalu ramai agaknya anak-anak kecil terbiar tanpa kasih sayang lalu Tuhan menduga sebagai kifarah keatas kesilapan kita. Perkara ini wajar kita teladani justeru berusaha menyelongkar akan teras kepada fenomena ini. Intipati yang diperolehi ialah bagaimana kita mengambil iktibar dari apa yang berlaku agar ianya tidak lagi berulang pada masa yang mendatang. Aku terkesan bahawasanya ibubapa kini dihantui perasaan resah dan gelisah sebagai reaksi terhadap apa yang telah terjadi. Kesedaran dalam memantau tahap keselamatan kanak-kanak wajar dipertingkatkan. Mencegah itu kan lebih baik daripada mengubati. Sukar untuk membasmi fenomena ini sehingga ke akar umbi kerna kita sendiri sedia maklum bahawasanya belum ada lagi kaedah terkini bagi ibubapa untuk mengenalpasti suspek-suspek yang berpotensi untuk melakukan perkara keji sebegini. Malah pihak polis pun kelihatannya masih lagi buntu dalam usaha memburu suspek penjenayah yang telibat. Tiada petunjuk yang spesifik bagi masyarakat untuk mengenalpasti suspek penjenayah begini. Berbicara mengenai kanak-kanak ini membuatkan aku teringat tentang beberapa peristiwa yang sehingga kini masih lagi menjadi tanda tanya. Aku seringkali memerhati sejumlah besar kanak-kanak jalanan dieksploitasi bagi tujuan kebajikan. Cuma terganggu dek perasaan sangsi sejauhmana kebenaran disebalik niat yang murni itu. Lebih menggusarkan ialah kanak-kanak ini mungkin bertindak sebagai umpan bagi lanun-lanun yang berkepentingan untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan justeru mendedahkan mereka kepada bahaya yang lebih kedalam lagi. Aku juga mendapati ada sesetengah sekolah menggalakkan kanak-kanak bawah umur ini keluar berniaga atau memungut derma bagi membiayai pengajian disamping membantu mengumpul dana bagi pembangunan sekolah, tetapi persoalannya ialah sejauhmana kebenaran tersebut. Maafkan aku, tidak berniat sekali untuk bersikap prejudis disini, namun aku dapati kebanyakan kanak-kanak ini datangnya dari sekolah agama. Persoalannya mungkin bertambah serius disini memandangkan ada beratus pondok agama yang kita ketahui sangat daif serta amat memerlukan bantuan dari segi dana, pembiyaan dan sebagainya. Benar, aku akui Nabi Muhammad SAW bersunnah agar umatnya diberi pendedahan ketika kecil tentang selok belok perniagaan, aku bersetuju jika alasan ini dijadikan sebagai sandaran tetapi ada perkara teras yang lebih penting melebihi jumlah wang atau dana yang terkumpul iaitu pertimbangan mengenai soal keselamatan mereka. Aku ingin tahu sejauhmana pemantauan itu digerakkan demi memastikan kesejahteraan mereka, mungkin ada dan mungkin juga tidak. Aku berharap akan ada pihak-pihak yang serius untuk tampil kehadapan dalam memantau isu ini serta sokongan dari pihak berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani konflik yang berlaku. Senario yang lebih kurang sama juga boleh kita perhatikan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, kelihatan ramai kanak-kanak berkeliaran tanpa pantauan sempurna. Aku kehairanan, dari mana datangnya kanak-kanak yang meminta sedekah ini. Adakah mereka ini terbiar atau berpenjaga ataupun mereka ini digunakan oleh syarikat-syarikat tertentu yang bersembunyi atas nama kebajikan. Tidak pelik jika aku berfikiran, sudah ramai kanak-kanak terbiar yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya hilang cuma tidak dilaporkan dalam arus media perdana. Sama-sama kita renungkan. Wallahua'lam Bissawab.

No comments: