Pernah suatu hari, ketika hari lahirku yang ke-14, aku terpandang satu helaian kertas putih melekat di ruang dinding kamar peraduan ku. Perlahan aku pergi mendekati untuk melihat apa yang terisi dibalik kertas asing itu. Maklumlah, dibalik figura-figura zaman gelap remajaku, terlekat rapat kertas putih justeru menampakkan kontra yang ku pasti bukan milikku. Tertanya sendiri, siapakah gerangan insan yang berani membuat onar dalam ruang privasiku. Satu nama yang singgah dikepala. "ini mesti kerja Angah!!". Sambil aku meletakkan beg sandang yang terisi baju seragam sekolahku di atas katil, aku mara lalu membaca rima indah yang menghiasi setiap ruang kertas putih itu. Bergenang air mata lalu turun membasahi pipi melihatkan hadiah yang paling bermakna telah ku terima daripada ayahanda tercinta. Tiada hadiah seindah rima kasih, tiada kata seindah bait cinta agung yang diluah menerusi mata pena. Terasa hiba membaluti jiwa, mengenangkan segala kekhilafan yang telah ku palitkan ke muka mereka. Aku sengaja pulang lewat ke rumah hari itu. Aku tahu, semuanya mungkin sudah menunggu tuk meraikan saat hari lahirku. Entah mengapa aku sengaja tidak mahu pulang awal mungkin sebagai tanda protes terhadap tindak tanduk ayah yang sering memarahiku. Aku marah kerna ayah seolah-olah tidak memahami gelodak jiwa remajaku yang membara. Saat aku merasa yang aku sudah punya kehidupan sendiri, saat aku rasa bisa hidup tanpa payungan orang tua. Sebagai pembalasannya, kifarah dek dosa silam terasa sehingga kini. Hari sebelumnya aku baru sahaja menconteng arang di muka mereka. Berdengung telinga dek tamparan kencang yang singgah dipipi lalu tersungkur sambil mengesot mendekati ibu ku. Mana tidaknya, aku tiga sekawan yang baru sahaja meraikan kejayaan dek berjaya membuli mangsanya pucat muka dek ditahan kelompok berkuasa. Ayah sendiri yang mengheret ku ke sana. Tidak mahu ku ulas lanjut mengenai episod itu. Biar berlipat rapat dalam lipatan buku sejarah nan silam. Hanya air mata yang menemaniku saat itu. Air mata simbolik kepada kekesalan ku yang melibatkan orang tua dalam gelanggang zaman remaja ku. Kekesalan itu terubat menerusi puisi istimewa buat sang anak lantas menjadikannya sebagai hadiah paling bermakna sekali. Baru ku sedar betapa mendalamnya kasih dan sayang yang mungkin tidak terluah menerusi kata-kata. Episod panjang yang tidak berdaya tuk ku kongsi bersama. Mungkin dilain waktu bisa ku cerita. Entri ini berakhir disini. Sebelum aku tertembak longlai diatas katil, jangan lupa dakap orang tua mu, cium tangan dan pipi mereka. Kerna suatu hari nanti pasti akan ada sekelumit kekesalan yang menimpa dek kelekaan kita sepanjang hayatnya masih ada. Hargailah peluang yang masih terbuka sebelum mereka menutup mata, pergi buat selamanya. Wallahua'lam Bissawab.
Saturday, March 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment