Seperti biasa, aku terjaga awal hari ini. Seribu daya ku kerah tubuh ini untuk bangkit. Dalam keadaan separa sedar, kepala yang tipsi, telinga yang bingit tiba-tiba, aku bingkas bangun meninjau keadaan langit diluar. Sambil itu mata memandang tepat ke arah segerombolan bala burung terbang sambil ceria berkicauan. Ku perhatikan betapa sibuknya mereka kala pagi menjelma. Selalunya hati ini terhibur mendengar kicauan merdu bala burung namun entah hati ini risau dengan tidak semena-mena, kurang pasti apa yang aku fikir. Mungkin memikirkan banyak lagi baki kerja yang tertunggak agaknya. Seperti selalunya, aku menjadi zombie seketika sambil meluru ke dapur untuk menjerang air panas. Sambil mengunyah kuaci yang ku capai dimeja ku sebelumnya. Laju saja aku mengunyah kuaci yang sudah pun lemau tapi ku layankan jua kehendak perutku ini. "dah macam zombie!"macam tikus makan kuaci pun ada!!bisik hatiku. Sekadar memujuk hati sendiri yang sedang "hang over" begini. Sambil menikmati secawan kopi pekat lagi kelat aku menuju sambil terus duduk menyandar dikerusi sambil melihat skrin laptop ku yang siap sedia sudah menunggu. Ku hirup cawan kopi ku itu sambil tangan lekas menyelongkar laci meja mencari bahan bakar. Saat pagi begini tiada lain penyerinya. Kepulan asap yang dihembus menyegarkan mata yang melihat, lantas mata terkebil-kebil cuba bangun dek melawan kepulan asap yang bergerak secara rawak itu. Sambil aku berfikir sejenak, bagaimana bisa ku berhenti sedangkan menjadi naga ini merupakan kesukaanku. Buatlah iklan apa sekalipun, takutkan mereka, "katakan tak nak" tidak mungkin berkesan untuk manusia degil seperti aku. Sudah menjadi kebiasaan serta keperluan kepadaku. Namanya pun kesukaan, bagaimana bisa berhenti. Aku fikir kerajaan perlu mengenal pasti kaedah yang lebih sesuai. Selagi berada dipasaran, selagi itu wujudnya kelompok naga jadian. Iklan yang ada kini sangatlah tidak memberi kesan kepada kelompok seperti aku. Walaupun sedikit. Ku kira, kaedah yang wajar kerajaan atau mana-mana NGO fikirkan ialah bagimana untuk mengurangkan tabiat ini serta berusaha mencari kaedah yang lebih berkesan dalam mencegahnya. Jika dilihat situasi masa kini, batang-batang ini sudah pun menjadi medium sosial dikalangan masyarakat. Selain menjadi asbab untuk manusia-manusia ini berkenalan membina jaringan ukhwah. Mungkin ada yang menafikannya, tetapi itulah hakikat yang perlu diterima. Walaupun begitu, aku sendiri masih meletakkan sempadan dalam hal ini. Sewajarnya kelompok seperti aku harus lebih sensitif kepada insan lain yang tidak dijangkiti virus naga jadian ini. Sensitiviti mereka perlu kita pelihara. Disitu letaknya tanggungjawab kita dan kesedaran ini perlu wujud serta ditanamkan dalam diri. Oleh itu, jika saka naga itu meronta-ronta mendesak untuk keluar, pilihlah tempat yang sesuai. Cuba jauhi dari wanita-wanita mengandung, orang-orang tua dan kanak-kanak. Untuk membuang saka ini mungkin agak sukar namun itu bukanlah alasan untuk kita bermaharajalela sesuka hati. Kita juga punya tanggungjawab sosial yang perlu sama-sama kita pikul bersama insan-insan yang bebas dari sebarang jangkitan. Dewasa ini, jangkitan virus naga ini sudah menular jauh menjangkiti wanita-wanita muda. Aku juga terasa kebertanggungjawaban terhadap hal ini. Aku tidak mahu pergi jauh, cukup setakat ini pendapatku tentang perkara ini. Mungkin akan ku sambung untuk entri yang akan datang. Masa cukup cemburu terhadapku kini. Sebelum dia memintas, adalah lebih baik andai aku berhenti disini. Lagi pun aku tidak berniat pun untuk menyentuh perkara ini. Tiba-tiba rasa itu muncul diruang legar minda ku yang serba tipsi ini. Walau apa pun, ini cuma pendapat aku. Sekian entri di pagi subuh jumaat yang mulia ini. Kepada kalian diluar sana, jangan lupa solat jumaat tengahari nanti ye!Wallahua'lam Bissawab.
Thursday, March 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment