Aku terlupa menyelitkan tulisan rasa yang lahir kurang lebih 2 bulan lalu. Ketika itu aku sedang duduk malas bersandar dibangku di McDonald S.3 Shah Alam sambil rakus mengunyah french fries. Kelihatan seorang gadis duduk ayu bertentang denganku. Dengan tenang, aku mula duduk kemas mengambil posisi yang lebih selesa agar senang anak mataku mencuri sudut yang menarik untuk menjelingnya. Aku kira ini hanya suatu perlakuan lazim yang dilakukan oleh para jejaka. Sekadar alasan untuk ku melepaskan diri disini sambil mengangguk lalu mengukir sekuntum senyuman yang keji. Ketika itu hujan meluru lebat memalu bumi. Sambil anak mata meliar menjeling mesra ke arah gadis itu maka lahirlah alunan rasa ini, masih tercatit kemas di telefon bimbitku;
Hujan nan lebat meluru turun,
Menghentam bumi sesedap rasa,
Laraan hati mula berhimpun,
Ria membisu tiada bersuara.
Sambil merenung mata bertentang mata...
Rambut terurai ditiup angin,
Tersangkut ayu singgah ke bahu,
Tampak dingin tapi kepingin,
Dilubuk hati tiada yang tahu.
Detik ketika aku pula yang tunduk malu dek ketajaman anak mata si Dewi, hatiku mula berdebar-debar, jantungku berdegup laju. Aku sedar yang aku sudah sampai ke tahap yang paling perasan sekali bagi seseorang yang bergelar jejaka. Aku hanya melayan sahaja perasaan perasan ku itu. Walau apa pun, segala gerak kerja perbuatan keji ku itu hanyalah sekadar memenuhi detik senggang ku sambil menanti saat hujan henti. Tiada maksud tersirat dibalik jelingan manja itu. Hanyalah sekadar renungan ikhlas yang cuba ku hadiahkan sebagai penghargaan kepada keindahan ciptaan Tuhan.
Suatu alunan himpunan warna,
Lara dan ria bergaul mesra,
Tenang dan resah menyepak jiwa,
Saat menanti tibanya masa.
Entri ini adalah separa benar yang ku sisip buat kamu semua. hanyalah sekadar memenuhi ruang senggang ku dibilik Rebung 1 di MDEC, Cyberjaya ini. Ada dua perkaitannya yang boleh aku kaitkan disini. Seperti mana aku menanti penuh sabar saat hujan henti di McD 2 bulan lalu, begitu juga aku bersabar saat menanti tugas selanjutnya disini. Seperti mana aku duduk bersandar malas di McD, begitu jua aku duduk menyandar malas disini. Sememangnya sehari dua ini adalah saat untukku meraikan detik kemalasan tahap tertinggi. Nampaknya sudah 2 hari aku dan rakan meraikan detik kemalasan ini. Apakah masih ada ruang untuk kami meraikannya lagi esok hari? Nampaknya sesi mesyuarat gerak kerja di Rebung 1 akan bermula seketika nanti, lebih afdhal andai aku mengundur diri. Wallahua'lam Bissawab.
2 comments:
salam joe. nice entri. izinkan aku link kan blog ini dari blogku yer. time kaseh.
xde hal la aiman..kawan2 x perlu izin!heeeee..thanx bro!
Post a Comment