Masih terngiang-ngiang jauh dimuara minda bagaimana seorang kanak-kanak nakal beriya-iya ingin menjadi seseorang yang gagah ketika kecil suatu masa dulu. Angan-angan yang semakin hari makin mengganas geloranya berikutan kanak-kanak itu menjadikan ayahnya sendiri sebagai ikutan idolanya. Ayah begitu gagah pada kerdipan mataku, setiap ulitan urat yang bersimpang siur dilengannya cukup menjadikan aku begitu teruja sekali untuk mengikut haluannya. Pantang sahaja jika aku nampak sesiapa yang berlengan besar, pasti akan ku bandingkan dengan ayah. “aghh, lengan ayah lagi besar!!bisik hati kecilku” Mungkin ayah tidak sedar bagaimana pengaruhnya memberikan impak yang begitu agung sekali ke atas anak sulungnya ini. Setiap gerak geri ayah selalu sahaja mendapat perhatianku. Betapa aku ingin menjadi wira sepertinya. Payah untuk aku menerima kegagahan orang lain ketika kecil, pantas sahaja hatiku berbisik bahawa ayah merupakan manusia paling kuat didunia. Sehinggakan memberi suatu suntikan berupa tonik yang mempengaruhi emosi aku agar besar kelak bisa jadi gagah seperti ayah. Aku percaya hanya menerusi kegagahan, aku bisa dihormati manusia. Aku juga teringat saat kami berenang di sungai raya nun jauh di Sarawak, ayah begitu gagah menghayun tangan lalu meninggalkan aku jauh ke belakang ketika berenang. Mengingatkan segalanya kini membuatkan aku tersenyum sendirian. Aku terpengaruh agaknya dengan kehebatan Gaban, aku terpesona dengan gerak gemalai bunga tari Eman Manan, aku teruja beraksi seperti Jackie Chan. Kesudahannya media juga aku salahkan sebagai cetusan penting yang mendorong aku berfikir seperti manusia zaman batu, aku salah kerna bersangka hanya yang kuat akan meneruskan kelangsungan hidup dimuka bumi Tuhan. Jangan salah sangka, mereka-mereka yang aku coret tadi merupakan hero fantasi aku manakala ayah adalah wira realiti aku. Perkara lazim buat kanak-kanak terlebih aktif seperti aku. Di kesempatan ini, aku mengucapkan selamat merayakan Hari Bapa kepada semua bapa-bapa didunia terutama sekali kepada ayah. Semoga perayaan Hari Bapa kali ini memberikan ayah suatu semangat yang baru untuk kembali cergas seperti ketika ayah muda dahulu. Kadang-kadang, aku begitu sedih sekali melihat idola ku yang begitu gagah dahulunya kini sering sengal-sengal badan, lenguh-lenguh urat, sakit semua sendi. Semoga ayah sihat seadanya sambil aku berharap agar payungan mu itu masih bisa kujadikan tempat menumpang teduh. Berteduh dibawah payung milikmu benar-benar memberikan nikmat keselesaan yang cukup sempurna buatku. Aku kira aku masih tidak terlambat untuk mengucapkan selamat merayakan sambutan Hari Bapa. Wallahua’lam Bissawab.
Coretan yang tertulis hanyalah sekadar tanda ingatanku buat ayah yang tidak berpenghujung, jauh sekali sebagai suatu bodekan. Aku kira ayah punya pandangan telus untuk melihat ketulusan dibalik patah kata coretan aku.
Coretan yang tertulis hanyalah sekadar tanda ingatanku buat ayah yang tidak berpenghujung, jauh sekali sebagai suatu bodekan. Aku kira ayah punya pandangan telus untuk melihat ketulusan dibalik patah kata coretan aku.
2 comments:
anak bagus...
aku mengharapkan aku juga mampu jadi begitu...
aku tidak bagus, nampak bagus cuma pd kata2 namun amalinya aku gagal..
Post a Comment