Wednesday, September 10, 2008

Malam masih muda.

Aku terfikir untuk berbicara tentang sesuatu. Tentang keluh kesah brader Ali Bakar. Sekadar bicara malam untuk sama-sama kita renungkan. Aku cuma teringat bicara pagi bersama beliau tempoh hari. Kepada mereka yang kurang tahu, Brader Ali adalah antara 'orang gila' yang masih berani bikin konsert besar di Malaysia. Aku mencongak, 'payment' bagi artis melebihi keuntungan yang diperolehi oleh para penganjur konsert di Malaysia. Itu tegas brader Ali!!Cuba bayangkan, sebuah konsert besar batal pada saat akhir, tidakkah itu merugikan pihak penganjur? Berbelanja ribuan ribu ringgit semata-mata untuk melihat sesebuah konsert itu batal.

Ini risikonya. Aku tidak segila Brader Ali!

Cabaran besar bagi penganjur konsert di Malaysia. Permit bisa dibatalkan pada bila-bila masa saat akhir menjelangnya konsert. Brader Ali kelihatannya bosan dengan sikap 'main tarik tali' oleh kelompok berkuasa. Ini adalah antara dilema yang dihadapi oleh penganjur acara seperti beliau. Sesetengah pihak menuding jari menuduh pelbagai kata-kata nista terhadap penganjur konsert seperti beliau. Antaranya ialah, penganjuran konsert besar-besaran seperti ini mencetuskan penyakit-penyakit sosial terutamanya kepada remaja. Golongan remaja asyik dijadikan sasaran. Maklumlah, mereka merupakan waris kepimpinan kepada pemimpin yang sedia ada sekarang. Jika diungkai satu persatu, amatlah berat juga untuk aku membicarakannya.

Tapi aku cuba.

Berbicara dengan 'otai' seperti beliau memberi aku banyak input-input yang baru. Aku mula sedar mengenai sesetengah perkara. Kebiasaannya, segala konsert mahupun apa jua pertunjukan lebih-lebih lagi melibatkan kelompok seni akan segera dibatalkan andai ia dilihat bakal mengundang gejala kurang baik. Sekiranya kamu perasan, ada beberapa pertunjukan telah ditarik balik permit mereka. Alasannya ialah kegusaran sesetengah pihak akan kesan-kesan yang bakal wujud akibat dari penganjuran acara-acara tersebut. Apabila perkara ini dilihat mencemar agama, maka pertunjukan itu akan batal secara rasminya. Aku tidak berani menyentuh perihal agama disini. Aku kurang arif!

Pada pandangan kamu, apakah bezanya sebuah konsert dengan sebuah pertandingan bola sepak?

Umumnya masyarakat akan terlebih dahulu menilai sesebuah konsert dengan mengatakan itu dan ini, manakala gejala-gejala sosial yang tercetus dek kerna mengejar sebiji bola seperti pergaduhan, semangat kenegerian dan buka baju sebagainya tidak langsung dikatakan sebagai masalah (sekadar contoh). Penyanyi Faizal Tahir antara mangsanya. Malah pakaian para peminat bola masih boleh dipertikaikan. Tidakkah itu lebih berat namun atas nama sukan ia dipandang sepi oleh masyarakat.

Pilih kasih bukan?

Berbeza dengan kesan yang tercetus menerusi sukan bola sepak, brader Ali melihat konsert itu sebagai satu santapan telinga dimana ia memberi ruang kepada semua peminat untuk berhibur sambil melepaskan tekanan. Ini hanyalah pandangan dari perspektif seorang penganjur konsert seperti brader Ali. Aku sekadar membincangkannya. Aku tidak pasti sama ada Brader Ali suka Bola atau tidak. Tapi nampaknya beliau cenderung kepada sukan permotoran. Aku tidak mahu dipandang sebagai berat sebelah disini. Sekadar menyampai.

Mungkin ada asasnya.

Jika dibincang menerusi skop yang lebih luas, seni merupakan satu cabang yang hampir tidak diberi kelonggaran dalam agama. Tanyalah mana-mana ulama' sekali pun, pastinya kurang elok jika mengunjungi sebuah konsert yang disampaikan artis-artis, lebih-lebih lagi jika artis itu berimej berlawanan dengan ajaran agama. Itu memang benar, tetapi isunya disini ialah, mengapa masyarakat amnya berat sebelah dalam isu ini. Sekurang-kurangnya brader Ali melihat sesebuah konsert itu bisa dijadikan sebagai satu medium yang sangat berkesan bagi menyampaikan mesej-mesej positif kepada masyarakat. Beliau membayang semua orang bersatu ketika konsert. Namun, tidak juga dinafikan kewujudan sesetengah peminat yang fanatik, sehingga kadang kala 'naik syeikh' melihat penghibur kesayangan.

Kerana apa?

Kerana medium seni ini dilihat lebih dekat dengan manusia, budaya melayu sendiri terkenal dengan joget lambak, segala jenis joget dan sebagainya namun tidak pula ia dilabelkan sebagai penyumbang gejala sosial. Agaknya mungkin joget lambak hanya dimainkan oleh mereka-mereka yang tidak remaja, jadi dengan sendirinya ia dilihat seperti tidak membawa apa-apa kesan. Memang tidak kita nafikan memang wujud sekelompok artis yang memalit tahi ke muka sendiri namun kita perlu ingat, kelompok artis yang sedar mengenai tanggungjawab sosial mereka juga wujud. Kelompok berkuasa juga kadang-kadangnya berat sebelah dalam hal ini. Sebabnya, hanya tuhan yang tahu. Permit penganjuran sesebuah sukan seperti bola sepak mahupun sukan renang contohnya, yang memerlukan perenang wanita memakai pakaian renang ala-ala bikini manakala yang lelakinya pula memakai seluar 'superman' tidak pula dibatalkan permitnya. Tidakkah imej-imej ini juga bertentangan dengan nilai masyarakat dalam negara kita.

Sekali lagi aku tegaskan, aku hanya penyampai disini.

Suasana politik juga dilihat mempengaruhi keadaan ini. Sesetengah membenarkan konsert, manakala sesetengahnya mengharamkan. Penyanyi yang berimejkan agama dilihat lebih senang menembusi setiap negeri dalam negara. Betapa bertuahnya Mawi dan Akil Hayy yang diberi peluang untuk mengadakan persembahan pentas disebuah negeri pada masa yang lalu. Tetapi tidaklah aku mengatakan artis-artis lain tidak diberi peluang cuma keseragaman dalam mengeluarkan permit itu berbeza bagi sesetiap kawasan atau negeri. Sesetengah negeri agak terbuka, manakala sesetengahnya tidak. Sesetengah artis boleh manakala sesetengahnya tidak bergantung kepada imej mereka. Namun apa bezanya Mawi dengan Amy Search, Kumpulan Solehah dengan Mas Idayu? Kelihatannya Mas Idayu lebih comel berbanding 'mak-mak Datin', atau isteri-isteri orang kenamaan yang menyuntik Botox dimuka, malah ramai juga yang menjalani 'plastic surgery' namun atas dasar status, mereka dikecualikan. Malah, tidak pula mereka-mereka ini dijadikan bahan sensasi oleh sesetengah media. Maklumlah, sudah namanya artis. Tidak peliklah mereka dijadikan bahan sensasi oleh media.

Maaf kawan-kawan sekalian, aku terasa seperti Mama Juwie pula. Sebelum aku merapu, lebih baik aku berundur. Lain kali aku persembahkan bicara dengan lebih terperinci. Lagi pun mata tersangatlah mengantuk. Wallahua'lam Bissawab.

2 comments:

HajarAznam said...

Ok sebelum hajar meneruskan comments ni hajar just nak beritahu ini adalah pendapat saya sahaja ok. Bagi hajar kebanyakkan penganjur terutama dari company atau event manager selalunya tidak membuat proposal ataupun paperwork yang detail tentang sesuatu konsert atau penganjuran. Di dalam proposal itu biasanya perlu ada beberapa dokumen perjanjian yang perlu ditandatangani oleh beberapa pihak. Dokumen ini boleh digunakan sekiranya berlaku sesuatu seperti pembatalan permit dan sebagainya. Kalau kita lihat acara penganjuran yang dilakukan oleh company besar yang biasanya melibatkan international event management jarang mengalami masalah besar kerana mereka melakukannya secara detail dgn papaer work dengan second plan dengan security yang tight dan main power yang cukup. ini semua dapat meyakinkan pihak berkuasa. Kebanyakkan penganjur tempatan juga kurang arif mengenai Law di Malaysia..dan kebanyakkan penganjur ini bukanlah org yang arif dalam bidang Event Management kebanyakkan hanyalah bidan terjun dan orang yang dianggap berpengalaman bertahun-tahun sahaja tanpa menyedari apa yang dilakukan selama ini terdapat kekurangan serta kesalahannya. Orang kita jarang hendak ambil tahu. Sedangkan dalam Event Management memamng ada bab berkenaan 'Law & Ethic issues' tapi benda ni yang orang di dalam event jarang ambil tahu dan perjuangkan kebenaran dia org.

Di satu pihak yang lain pula, Di Malaysia ini memang peraturan dan undang2nya sering berubah mengikut persekitaran dan siapa yang memerintah. ini yang menjadi masalah. Contohnya, Malaysia adalah sebuah negara yang berada di kelas ataupun tahap pertengahan dalam menuju ke hadapan sebagai sebuah negara maju jadi secara normalnya kita tidak akan dapat lari dari penganjuran2 sebegini jadi satu garis panduan peraturan dan etika penganjuran konsert seharusnya dibuat dan diikuti oleh pihak penganjur. Tetapi apa yang berlaku disini adalah peraturan tidak digubal dan jika ada kedua-dua pihak tidak menghormatinya dan tidak mematuhinya. Perkara ini mungkin terjadi disebabkan oleh peraturan dan etika yang digariskan itu hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja. Seharusnya peraturan itu dibuat dengan persetujuan kedua-dua pihak di mana ianya adalah win-win situation.

Perkara ini bukan sahaja berlaku kepada penganjur konsert tetapi juga kepada pengusaha filem di mana setelah filem siap dibuat dan dihantar kepada LPF banyak scene yang terpaksa dipotong dan akhirnya filem sudah tidak menjadi cerita. Pihak LPF juga tiada satu garis panduan yang detail apa yang boleh dilakukan apa yang tidak dan peraturan yang ada hanyalah secara general.

Sepatutnya perkara ini boleh di elak jika kita bekerja secara smart dan ambil tahu segala perancangan dan cara menanganinya. Ada perkara boleh dielak jika kita play safe dan tahu pasal Law. Contohnya..sebelum konsert dianjurkan Proposal harus dihantar terlebih dahulu kepada pihak berkuasa tempatan untuk mereka semak dan persetujui segala isi kandungan proposal tersebut, sekiranya ada yang mereka tidak berpuas hati masih boleh diselamatkan atau diperbincangkan. Tapi disini biasanya mohon permit secara am dan lazimnya kemudia jual tiket in advanced sedangkan persetujuan masih dalam perbincangan dan akhirnya bila permit di tarik atau terpaksa membatalkan konsert mulalah nak salahkan pihak berkuasa dan kalau betul pihak berkuasa bersalah kenapa sekadar menyalak sahaja kenapa tidak membawa perkara ini kemuka pengadilan. Ini kerana mereka tidak arif tentang law in performing art dan mereka telah melakukan kesalahan juga dari segi perjalanan penganjuran tersebut.

Penguasaha filem juga begitu. Sepatutnya mereka boleh menghantar skrip yang lengkap dahulu sebelum membuat cerita tersebut kepada pihak berkenaan. Apabila mereka membaca skrip tersebut kelulusan ataupun penolakan boleh dibuat tetapi ia masih diperingkat awal dan masih boleh diperbetulkan tanpa melibatkan kerugian kos yang tinggi.

Apabila pihak berkuasa diberi proposal dan pihak berkenaan di beri skrip untuk di baca biasanya mereka akan mengesahkan yang benda hitam putih itu telah dibaca dan telah dipersetujui maka anda ada bukti hitam putih dan bukan sekadar permit. JIka mereka ingin mempersoalkan tentang aksi ranjang atau isu sosial di konsert anda boleh persoalkan balik..tidakkan anda baca isi kandungan proposal atau skrip dan jika ya mengapa anda mengesahkan atau meluluskannya.


Ini adalah sekadar pandangan dan pengalaman untuk dikongsi bersama. Bukanlah sebuah penulisan yang menuntut apa2 =)

Chheeeerrrrsssss!

Joe Moktar said...

so far, ini adalah respon paling panjang pernah gua terima. Jelas sekali kedua2 belah pihak perlu ada mutual understanding dan kerjasama erat untuk meneruskan sesebuah acara. Memang sikap menuding jari antara satu sama lain itu tidak harus wujud dalam perkara ini kerna masing2 punya tugas serta peranan tersendiri. Untuk mengelakkan sebarang kerugian kedua-dua pihak perlu mengikut direction yang betul apatah lagi isu-isu persembahan atau hiburan merupakan isu yang sangat sensitif di Malaysia. Sebagai rakyat yg tersepit dicelah dua kaki, kita hanya mampu memberikan pandangan.Bak kata cik Hajar..'win-win situation'. Thanks Hajar!!!