Tuesday, September 2, 2008

Saat Yang Sangat KLMJ

Pejam celik mata Ramadhan pun tiba,

Neraka ditutup Syurga dibuka,

Bersama lapang dada hati ini menerima,

Kedatangan bulan berkat yang dinanti semua.


Dariku kecil sehingga dewasa,

Raikan Ramadhan dengan penuh rasa ria,

Walau hati sering alpa,

Melupa tidak menunggu itu ada.


Waktu kecil ketika berpuasa,

Petang wajib menjamu mata ,

Keluar bersiar sebelum berbuka,

Tidak dituruti maka tingkah menggila,

Mengugut menyantap berbuka segera,

Sebelum berkumandang azan berbuka.


Tiba pula masa berbuka,

memandang juadah didepan mata,

kuih melaka pembuka selera,

Azan maghrib dinanti sekeluarga.


Nafsu menggila kala berbuka,

Kuih melaka dimamah segera,

Risau tak sempat lauk yang lainnya,

Dengan angah berebut berlumba.


Diberi betis hendakkan peha,

Dengan angah berebut segala,

Sampai kembung perut terasa,

Baru puas nafsu yang mengada.


Selepas berbuka, aku bersedia,

Keluar tarawih konon-kononnya,

Berbasikal keluar saat terdengar suara,

Panggilan rakan malam bermaharajalela.


Tengah malam menjelang juga,

Tidak puas bermain berlaga,

Dengan rakan konvoi bersama,

Tunjuk hebat depan si hawa.


Walau kecil, gelora itu ada,

Peluang merayap tarawih lesennya,

Bertarawih tidak merayau sahaja,

Sambil menanti morih tiba.


Tarawih sekadar serakaat dua,

Jeling-menjeling itu sahaja,

Menduga iman rakan yang ada,

Bergelak ketawa di saf yang mulia.


Bait-bait nakal diatas sekadar selingan manja sebagai pembuka entri pertama di bulan Ramadhan ini, manakala imej lelaki melayu terakhir diatas sekadar penghias diruangku yang kusam ini. Moga-moga dengan adanya imej diatas itu melancarkan lagi mesej-mesej yang ingin aku sampaikan kepada kamu. Kenangan lalu mengusik jiwa, alamak jiwang betul!!begitu KLMJ sekali. Fuh, Ramadhan oh Ramadhan!!Saat sehari sebelum puasa semua menanti depan televisi, mendengar khusyuk pengumuman puasa yang disampai oleh penyimpan mohor besar Raja-Raja. Kadang-kadangnya bukan menanti puasa, cuma bila datang bulan puasa teringatkan raya. Sabarlah, bulan raya akan tiba jua. Habiskan dulu kewajipan yang didepan mata. Seronok bukan? Mestilah seronok, keluar bersiar menjamu mata di Bazar Ramadhan, menjeling rakus ayam percik, apam balik, murtabak yang dijual, bukannya hendak beli sangat pun, cuma sekadar mengimarahkan aktiviti lagha kala Ramadhan, saja tunjuk muka dibazar. Paling kurang pun bagi yang tengah solo bolehlah pandang-pandang, jeling-jeling kat awek-awek yang kontrol-kontrol ayu membeli juadah. Percaya atau tidak, masa bulan puasalah saat menongkah ke syurga bagi orang lelaki, mana tidaknya saat inilah kaum hawa berduyun-duyun keluar umpama bidadari turun dari syurga. Umpama semut-semut merah mengangkut makanan, sekali melirik senyum, bisa gugur air liur berebut terjun ke tanah. Fenomena luarbiasa sekali setahun, lagi pula, saat begini bukan selalu kita raikan. Selain berbuka, sepertimana yang aku bagitahu sebelumnya, aku amat gemar bangkit sahur. Sudah menjadi kewajipan buat aku. Jika terlepas, nescaya besok paginya aku rasa tidak sempurna. Maklumlah, dari kecil sudah terdidik untuk bangkit sahur, walau lewat mana sekalipun masuk tidur. Bersahur itu sudah menjadi suatu kewajipan buat aku. Tambah lagi, aku memang sentiasa berselera. Cuma bezanya sewaktu kecil dulu, aku bermatian bangkit sahur. Setakat bonda datang mengejut, aku tidak endah sangat, boleh lagi buat-buat tidur manja. Tapi bila terdengar sahaja suara harmoni gabungan suara accapella bonda disedapkan lagi dengan suara bass ayahanda, mesti terjaga! Aduh, tidak boleh tidak memang kena bangun. Sekarang lain pula rasanya, tidak perlu bermatian bangkit sahur. Malam umpama siang, siang pula umpama malam. Paling-paling pun kawan-kawanlah tempat bermesra tatkala sahur tiba. Entahlah, aku sendiri sudah keliru dengan definisi sahur. Mana tidaknya, sepanjang malam berkali-kali aku sahur. Kalau dirumah, bersahur sekali sahaja. Itu pun dekat-dekat menjelang waktu imsak. Sekarang, selagi malam umpama siang, maka setiap minit itulah sangat berharga. Perut ini asyik meminta-minta untuk diusap manja. Kasihan bukan? Terpaksa pula berkerja lebih masa. Walau bagaimanapun, bersyukurlah dengan nikmat yang Tuhan bagi. Bersyukur sebab kita berpeluang meraikan bulan Ramadhan. Cuma persoalan yang aku kira penting sebagai penegasan pada entri kali ini ialah, jangan jadikan Ramadhan itu sebagai alasan untuk kita tidak produktif. Bila puasa sahaja semuanya kurang produktif. Padahal Ramadhan itu sama sahaja dengan bulan-bulan yang lainnya, yang beza cuma zatnya sahaja yang memberi peluang kepada manusia untuk menempah tiket ke syurga. Cuba kita fikir sejenak, aku sendiri sedang berfikir kenapa jadi begini. Agaknya mungkin memang sudah tersemai sejak dahulu lagi. Maklumlah, bulan Ramadhan banyak pula pantang larangnya. Silap-silap jika terlampau produktif dan aktif, kurang pula pahala puasa, itu kira ok lagi, yang terbatal puasa apa cerita? Seperti biasa, menjelang Ramadhan tiba, kadar orang Islam tidur disiang hari meningkat secara drastik. Aku hanya mengagak sahaja. Ini bukan fakta, tapi tidak juga auta. Walau apa pun, selamat merayakan bulan Ramadhan kepada semua, selamat berpuasa. Wallahua'lam Bissawab.

No comments: