Thursday, March 26, 2009

Serius, semakin angka usia bertambah maka semakin bertambah jugalah rasa ketakutan dalam diri. Aku dapat merasa ketakutan yang pelbagai dalam setiap jejak langkah yang dituju. Tidak bermakna bila aku kata takut, aku adalah pengecut.

Sama sekali tidak!

Benar juga kata ayah, semakin kamu meningkat usia, semakin kamu takut. Pada awalnya memang aku tidak faham tentang kesahihan kata-kata ayah tetapi bila aku sendiri mula didatangi rasa-rasa tersebut, secara langsung hati ini mula mengiyakannya.

Seperti yang aku tegaskan di awal mukadimah diatas, bila aku kata takut, tidak juga ia memberi makna kecut, pengecut atau kecut perut. Tetapi apa yang aku cuba sampaikan disini ialah, definisi takut yang di sama maknakan dengan hati-hati atau bahasa mudahnya ialah aku lebih berhati-hati.

Kesinambungan dari entri sebelumnya, perasaan takut atau hati-hati ini mula menyinggah apabila kita sedar yang diri ini sudah melakukan terlalu banyak kesilapan dalam membuat sesuatu keputusan. Dari situ, kita mula sedar yang kita seharusnya belajar dari setiap kesilapan yang telah kita buat agar tidak lagi diulang pada masa mendatang.

Atas alasan itu, aku mula menyedari yang aku seharusnya menjadi seorang insan berbanding menjadi manusia. Seorang insan akan menjadikan pengalaman lepas sebagai titik mula untuk menjadi seorang insan yang lebih sempurna sedangkan seorang manusia itu akan terus kekal dengan sifat manusianya yang berorientasikan sifat rakus lagi melulu.

Kini aku lebih berhati-hati. Namun, bila terlalu berhati-hati kadang-kadang dada ini sempit sehingga rasa gusar atau takut menguasai setiap geri. Ketakutan yang mendatang itu jika tidak disulam dengan rencah keyakinan akan membuatkan seseorang itu akan terus terpelosok di suatu ruang dimensi ciptaan sendiri.

Bagaimana ruang sempit bisa diterobos jika masih terus menerus berpendirian untuk terus diselimuti nikmat hidup yang selesa ala kadar lagi mendatar sahaja garis grafnya.

Makanya, tiadalah orang-orang Melayu yang kaya raya itu wujud jika benteng selesa itu tidak mereka terobos walhal dinding sempit itu bisa sahaja dipecahkan daranya oleh orang kebanyakan cuma memerlukan sedikit keyakinan bersemaikan sikap yang bersedia untuk mengambil sebarang risiko.

Payah hendak diterang mungkin kerna penggunaan bahasaku yang terlalu Melayu. Orang Melayu sifatnya berkias, sebab itu adanya pantun yang memberi makna dibalik pembayang.

Sambil kakiku terus menerus diketip sang nyamuk, aku tetap utuh duduk untuk menulis kerna aku akan menyesal jika ekspresi rasa ini hilang tanpa berjaya aku sampaikan.

Aku harap tiada yang menjadikan rasa takut atau berhati-hati tadi sebagai suatu halangan atau sempadan untuk terus menerobos ke hadapan. Berhati-hati tidak salah, yang salah jika takut tidak bertempat atau terlalu berhati sehingga kolam renang pun takut hendak direnangi risaukan sang buaya.

Kolam renang Shah Alam tiada buaya, jadi buat apa hendak risaukan si Bujang Senang!

Aku tidak pernah makan petai dan buah jering, teringin juga. Namun serunya masih tidak kunjung tiba. Ayah bilang, suatu hari aku mesti akan makan petai. Aku percaya sangat kata ayah, namun aku masih menunggu seruan tersebut.

Atau, daripada aku menunggu seruan, alangkah molek jika aku menyeru diri sendiri sebagai usaha. Atau, jika aku memilih untuk terus menerus menunggu seruan untuk makan petai dan buah jering, bagaimana pula jika seruan itu tidak kunjung tiba dan akhirnya sampai Izrail 'say hello' pun aku tidak sempat merasa.

Bukankah ketika itu sudah terlambat dan semestinya aku akan tergolong antara mereka-mereka yang kempunan.

Serius, pilihan ditangan kita.

Aku?

Aku harus cepat membuat keputusan kerna aku tidak berani jamin yang aku bisa hidup walaupun untuk lima minit lagi dan aku tahu yang Izrail tidak akan bersekongkol menangguhkan rutin hariannya untuk aku walau untuk satu saat hanya kerana petai dan jering.

Kamu?

No comments: