Semasa gua dalam perjalanan pulang ke Shah Alam dari Putrajaya petang tadi, seperti biasa gua singgah seketika di stesen minyak Esso. Inilah yang gua namakan sebagai rutin.
Saja singgah sambil menderma 10 Ringgit ke poket tauke pam minyak.
Sambil itu gua berpaling melihat Kancil biru perasan turbo gua di belakang. Risau sebab jendela sebelah kanannya ternganga luas, manalah tahu ada yang panjang tangan baling batu sembunyi tangan. Menangis tidak berlagu gua nanti.
Seorang pekerja yang diyakini dari Indonesia sudah pun siap sedia menunggu untuk mengisi. Sebenarnya gua lebih gemar menuang sendiri petrol ke dalam kereta. Tidak mengapa, gua persilakan saja sambil menguntum senyum dari kaunter.
Sesampai di kereta, gua tenung kereta gua sambil membiarkan pekerja tadi mengisi minyak. Sayu hati gua, gua dapat rasa yang kereta gua berkata "bos, bila nak mandikan saya ni?". Sedang gua berkomunikasi dari hati ke hati dengan kereta gua, pekerja tadi menyapa "baru balik kerja ya bang?"
Pantas gua membalas, "A'ah, baru habis kerja. Balik awal sikit takut nanti jalan jem" kata gua buat muka kelat. Sambil pekerja tadi menguntum senyuman manis menampakkan gigi kuningnya, gua menambah "sekarang ni macam-macam, hujanlah, jerebu, ribut, susah nak drive nanti".
Masih kesenyuman pekerja tadi menambah, "biasalah bang, peringatan, peringatan daripada Allah!" Gua terkedu, bahu yang tegap sebelumnya longlai lalu turun kebawah menyerlahkan perut senang hati gua yang membukit.
Nyata cukup menginsafkan. Sebagai manusia yang kononnya berpendidikan, sepatutnya gua yang wajar berkata begitu. Bukan menafikan taraf pendidikan 'bapak' tadi, cuma terasa hati sedikit, terkilan kerna tidak mahu mengambil peduli. Tahap pendidikan seseorang bukanlah boleh diukur dari segi kelayakan akademik. Setinggi mana sekalipun kita mengaji jika perasan tiada gunanya, tiada erti.
Sepanjang balik seperti biasa gua berfikir panjang, panjang gua berfikir sepanjang jalan yang gua selusuri.
Sampai sahaja dirumah, gua tersadai penat. Bertiarap diperbaringan seperti penjenayah ditembak Polis. Pada malamnya selepas mengerjakan solat, gua termenung, sambil menonton berita. Lalu teringat kembali perkara-perkara yang gua fikir, subjek-subjek yang gua tenung pada petangnya.
Bala kadangkala datang sebagai peringatan, sebagai suatu cara bagi menyedarkan manusia yang lupa. Dari denggi, H1N1, dan jerebu, itu semua angkara manusia sendiri. Tangan-tangan ini yang menjadikan bumi terseksa, bumi menangis siapa tahu. Kita lupa yang bumi semakin tua, bumi sudah tidak sekuat dulu.
Kita apa peduli!
Manusia yang mencipta penyakit, bumi pula kian tercemar angkara tangan-tangan yang tersembunyi. Trend peperangan alaf baru barangkali, maka teballah poket negara pengeluar vaksin nanti.
Syukur juga hujan turun, setidak-tidaknya bumi boleh mandi menyucikan diri dari hadas.
Wednesday, August 12, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment