Friday, August 14, 2009

-End-

Untuk kali terakhir sebelum aku secara rasminya berhenti menulis disini, aku terpanggil untuk mengalunkan sebuah ekspresi yang aku tafsirkan sebagai ekspresi hati. Sebenarnya aku kurang pasti tentang apa yang aku mahu tulis. Aku sekadar duduk dan terasa mahu menulis sesuatu biar pun aku tahu yang aku tidak punya subjek yang hendak aku ceritakan. Subjeknya ada cuma mungkin harus aku perkemaskan terlebih dahulu.

Persyaitankan sahaja semua itu yang penting diri sendiri merasa tenang!

Bukankah menulis bagi sesetengah orang merupakan jalan singkat untuk melepaskan keserabutan didalam kepala? Dalam konteks sekarang ini aku amat bersetuju dengan pernyataan tersebut kerna aku terasa seperti hendak menyahbuang serba sedikit informasi tepu dikepala.

Konflik dalaman itu ada namun tidak kritikal, setakat kepingin perkara asas itu aku rasa biasa dan tidak perlu langsung untuk diperceritakan disini. Aku adalah aku yang kadangkala begitu gusarkan orang lain melebihi gusarku terhadap diri sendiri. Namun itulah, apa yang terjadi pasti akan terjadi manakala masa depan tidak mungkin akan kita ketahui.

Ego seorang lelaki mana mungkin mahu mengaku mereka punya masalah emosi!

Sekadar renungan, aku percaya yang manusia biasa hanya akan mencapai sesuatu apabila manusia itu berani mengorbankan sesuatu. Aku tidak menafsirkan manusia ini sebagai manusia tetapi selayaknya sebagai insan.

Tidak mudah untuk melepaskan sesuatu yang kita tahu sukar, apatah lagi jika perkara yang hendak kita lepaskan itu melibatkan hati dan perasaan. Sukar namun tiada yang mustahil bukan?

Kita sayang namun kita fikir yang kita wajar melepaskannya terbang agar suatu hari nanti jika diperkenankan Allah akan menggantikan kepada kita sesuatu yang lebih baik atau setidak-tidaknya setara dengan apa yang pernah kita miliki atau sebaiknya ia datang kembali kepada kita dalam bentuk yang lebih sempurna.Kelihatan kritikal, namun masih bisa kita kawal andai kita fikir keputusan itu yang paling baik.

Tapi bagaimana jika keputusan itu silap?

Simptom ini yang selalunya merencatkan kita untuk tidak tegar kepada sesebuah keputusan. Kita gundah kerna risau menzalimi seseorang yang lain. Tapi pada aku, jika diiringi niat yang bersih maka terima sahaja kesudahan itu nanti. Mungkin ada sesetengah perkara yang wajar kita teliti, patut kita nilai dan selidiki.

Muhasabah!

Kerna aku percaya wujudnya sesetengah perkara yang jauh untuk kita jangkau atau pun terletak diluar kemampuan kita. Tapi harus jua kita redha kerna dalam membuat keputusan sudah semestinya kita akan berfikir jauh, dan apabila sudah melalui siri pemeringkatan dalam membuat suatu keputusan maka akibat dari keputusan itu hendak atau tidak kita kena akur.

Tetapi masalahnya ialah jika terburu dalam berkeputusan, maka siri pemeringkatan atau fasa dalam berkeputusan itu belum cukup matang, maka tidak lengkap. Masih bisa dirunding.

Oleh itu, buang rasa sesal, nikmati tarbiah itu sebaik mungkin kerna modul terbaik bukan dirangka manusia, Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Hikmahnya jika tidak sekarang mungkin pada masa mendatang kita akan nampak. Bukan hanya nampak pada mata kasar, boleh jadi juga kita dinampakkan menerusi mata hati.

Nampak macam kritikal?

Dalaman mungkin kritikal tapi yang penting masih dijaga rapi. Keluar melakukan perkara keji setelah berkeputusan itu lebih kritikal berbanding jika kita duduk setempat. Aku berani cabar, mana satu lebih baik, bertindak buruk lalu tersembah syaitan atau kita duduk ditikar menyembah Tuhan?

Tersembah dengan menyembah bermaksud sama tapi sifatnya berbeda.

Maka dengan itu, secara rasmi aku menutup blog ini bersama bicaraku yang terakhir. Tempoh serta fasanya aku kira telah tamat. Tapi tidak mungkin perjalanan aku berhenti sekali, cuma mungkin akan aku lampirkan patah perkataan pada medium yang lain.

Kepada rakan yang tersengaja dan tersinggah di blog ini aku doakan agar kamu semua teruskan menulis. Masing-masing punya sumbangan serta peranan sendiri. Sempitnya fikiran andai kamu dilabel sebagai bukan pejuang jika bicara tentang monolog sendiri. Kita bukan yang Maha untuk menghukum orang lain. Bicara hati memungkinkan kita mengenal setiap karakter yang Allah cipta.

Karakter manusia penuh warna dan warni, ibarat pelangi petang yang hadir kala hujan panas membasahi bumi. Wallahua'lam Bissawab.







Wednesday, August 12, 2009

Semasa gua dalam perjalanan pulang ke Shah Alam dari Putrajaya petang tadi, seperti biasa gua singgah seketika di stesen minyak Esso. Inilah yang gua namakan sebagai rutin.

Saja singgah sambil menderma 10 Ringgit ke poket tauke pam minyak.

Sambil itu gua berpaling melihat Kancil biru perasan turbo gua di belakang. Risau sebab jendela sebelah kanannya ternganga luas, manalah tahu ada yang panjang tangan baling batu sembunyi tangan. Menangis tidak berlagu gua nanti.

Seorang pekerja yang diyakini dari Indonesia sudah pun siap sedia menunggu untuk mengisi. Sebenarnya gua lebih gemar menuang sendiri petrol ke dalam kereta. Tidak mengapa, gua persilakan saja sambil menguntum senyum dari kaunter.

Sesampai di kereta, gua tenung kereta gua sambil membiarkan pekerja tadi mengisi minyak. Sayu hati gua, gua dapat rasa yang kereta gua berkata "bos, bila nak mandikan saya ni?". Sedang gua berkomunikasi dari hati ke hati dengan kereta gua, pekerja tadi menyapa "baru balik kerja ya bang?"

Pantas gua membalas, "A'ah, baru habis kerja. Balik awal sikit takut nanti jalan jem" kata gua buat muka kelat. Sambil pekerja tadi menguntum senyuman manis menampakkan gigi kuningnya, gua menambah "sekarang ni macam-macam, hujanlah, jerebu, ribut, susah nak drive nanti".

Masih kesenyuman pekerja tadi menambah, "biasalah bang, peringatan, peringatan daripada Allah!" Gua terkedu, bahu yang tegap sebelumnya longlai lalu turun kebawah menyerlahkan perut senang hati gua yang membukit.

Nyata cukup menginsafkan. Sebagai manusia yang kononnya berpendidikan, sepatutnya gua yang wajar berkata begitu. Bukan menafikan taraf pendidikan 'bapak' tadi, cuma terasa hati sedikit, terkilan kerna tidak mahu mengambil peduli. Tahap pendidikan seseorang bukanlah boleh diukur dari segi kelayakan akademik. Setinggi mana sekalipun kita mengaji jika perasan tiada gunanya, tiada erti.

Sepanjang balik seperti biasa gua berfikir panjang, panjang gua berfikir sepanjang jalan yang gua selusuri.

Sampai sahaja dirumah, gua tersadai penat. Bertiarap diperbaringan seperti penjenayah ditembak Polis. Pada malamnya selepas mengerjakan solat, gua termenung, sambil menonton berita. Lalu teringat kembali perkara-perkara yang gua fikir, subjek-subjek yang gua tenung pada petangnya.

Bala kadangkala datang sebagai peringatan, sebagai suatu cara bagi menyedarkan manusia yang lupa. Dari denggi, H1N1, dan jerebu, itu semua angkara manusia sendiri. Tangan-tangan ini yang menjadikan bumi terseksa, bumi menangis siapa tahu. Kita lupa yang bumi semakin tua, bumi sudah tidak sekuat dulu.

Kita apa peduli!

Manusia yang mencipta penyakit, bumi pula kian tercemar angkara tangan-tangan yang tersembunyi. Trend peperangan alaf baru barangkali, maka teballah poket negara pengeluar vaksin nanti.

Syukur juga hujan turun, setidak-tidaknya bumi boleh mandi menyucikan diri dari hadas.

Tuesday, August 11, 2009

Alhamdulillah, bengkak dimata aku semakin beransur kurang. Ini semua kerja Nurul yang memaksa aku ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Pada awalnya malas juga sebab aku fikir ini soal remeh.

Namun bila difikirkan, aku harus juga pergi ke klinik kerna esok hari aku punya urusan kerja. Kira penting jugalah demi menyahut tawaran dari bos sendiri. Diringkaskan cerita, besok hari aku dan Mr Muscle, iaitu Fazli akan menjalani pengambaran di Cyberjaya. Aku kurang periksa bagaimana bentuk pengambarannya samada PSA atau berbentuk iklan.

Cuma apa yang telah diterang secara ringkas ialah aku dan Fazli akan menjadi 'talent' untuk menarik golongan belia untuk memohon pekerjaan melalui laman web Kementerian Sumber Manusia dan Job Malaysia.

Begitulah lebih kurang.

Aku ingat selepas memasuki sektor kerajaan, tiada lagi 'shooting' seperti yang biasa aku buat ketika mengaji sebelum ini. Walaupun mungkin tidak sekomersial atau gah seperti iklan-iklan lain namun aku teringat tentang kata-kata orang tua yang pernah aku temui dulu.

'Untuk kau sampai ke jalan terakhir kelak, ada banyak perkara yang seiringan bersama, dari setiap perkara yang pernah kau lakukan, akan kau pikul bersama sampai ke garisan akhir nanti. Tidak kira berapa banyak jenis perkara pun yang engkau belum atau akan lakukan, yang penting penyudahnya mesti ada.'

Aku belajar satu perkara, walau kadang-kadang kita tidak minat tentang sesuatu perkara tapi jika Tuhan berkehendakkannya maka itu pilihan kita. Jika alang-alang maka pasti gagal, daripada gagal tanpa usaha, apa salahnya gagal mencuba.

Percayalah, aku pernah mengalaminya!

Sunday, August 9, 2009

Gua bangkit dari lena agak lambat hari ini. Tergesa-gesa jugalah bersiap mandi, solat subuh ekspres sebelum bergegas ke tempat kerja. Mengantuk usah cakaplah, teramat mengantuk sekali mata gua yang sedia ada sepet ini. Tambahan lagi terasa seperti ada bengkakan di sebelah mata kanan gua.

Ketumbit agaknya!

Tidak mengapa, naik ketumbit pun tidak semestinya disebabkan gua ada mengintai anak dara orang. Bak kata kawan gua, mungkin nyamuk betina gatal agaknya mengucup manja mata gua. Comel agaknya mata gua ketika sedang tidur.

Orang Kelantan kata 'timbeng', entah betul atau tidak ejaannya.

Ketika sedang memandu dari Shah Alam menuju Putrajaya, telefon bimbit gua berdering. Selain Nurul, tidak mungkin ada orang lain yang suka suki telefon. Eh, bonda rupanya. Ingatkan Nurul kata gua berbisik dalam hati. Ketika itu gua sudah pun berada di lebuhraya menuju Putra, jadi seronoklah sikit berborak lagi pun asyik rindu dengan keluarga, lebih-lebih lagi rindu terhadap ayahanda dan bonda.

Keterujaan gua menyahut panggilan telefon menjadikan lebuhraya plus itu gua yang punya, tanpa sedar berkenderaankan kancil turbo biru gua tenang cucuk rapat sebuah Harrier hitam di depan sambil bercakap kuat dengan bonda.

Buat dua kerja dalam satu masa memang begitu!

Kancil turbo gua siap menggigil menari 'shuffle' tapi bernasib baik pemilik Harrier itu mengalah masuk ke tengah. Semasa seiringan, gua sempat menjeling pemandunya lalu mengangkat tangan kiri gua tanda 'peace'. Kemesraan terjalin apabila pemandu Harrier tersebut turut mengangkat tangan walaupun tidak ikhlas. Jelas, sinar bulan dikepalanya.

Bonda menelefon sekadar mengingatkan gua yang hari ini adalah hari lahir ayah. Gua memang susah mengingati angka tapi bila bonda tanya tahu atau tidak ini hari apa, gua memang bisa mengagak. Kalau sudah di bulan Ogos maknanya tidak lain dan tidak bukan mesti hari lahir ayah dan disusuli pula dengan ulang tahun yang ke 28 perkahwinan mereka.

Sebelum ini, boleh dikatakan dalam sehari adalah 3 kali gua akan menelefon ke kampung, telefon adik-adik gua yang sedang menuntut di UiTM cawangan. Telefon sekadar suka-suka maklumlah berkerja di syarikat Telco segala bil dibiayai sepenuhnya oleh pihak syarikat. Jadi tidak perlu risau dengan bil telefon.

Kini tidak lagi, segalanya atas pembiyaan sendiri. Talian pula sudah pun di nyahaktifkan memandangkan gua belum lagi menjelaskan bil sebelumnya. Gua 'back to basic' baliklah seketika. Singgah ke 'public phone' itu biasa dalam seminggu dua ini.

Tidak kisah walau bagaimana susah sekali pun kehidupan itu, gua berpegang kepada beberapa perinsip yakni gua yakin dan percaya yang kehidupan yang gua lalui kini adalah lebih baik berbanding sesetengah orang, lebih senang berbanding mereka-mereka yang sedang kelaparan dijalanan.

Masing-masing punya ketentuan sendiri berteraskan usaha dan niat masing-masing. Semuanya berhak untuk menikmati sekelumit kesenangan, dan masa itu pasti akan tiba jika sampai masanya. Andai belum sampai makna kata Tuhan belum memberi perkenan maka sabarlah.

Kepayahan itu adalah suatu bentuk tarbiah dari Tuhan buat hambanya kerna tanpa kepayahan, sifat mahmudah itu sukar untuk mekar. Bukan senang untuk senang tapi tidak susah untuk menjadi susah.

Selalunya, perkara begini yang selalu berlegar dalam minda gua terutama ketika sedang memandu. Memandu memberi ruang untuk otak gua berfikir dengan lebih baik dan selalunya setiap perancangan harian gua putuskan ketika sedang memandu.

Walau apa pun, selamat hari lahir buat ayahanda gua Moktar B. Adam @ Apai. Untuk tahun ini tiada seloka atau pantun bisa anakmu ini garapkan cuma doa sahaja sebagai iringan kasih dan sayang selamanya. Kalau bisa dilahirkan sekali lagi ke dunia aku tetap mahu menjadi anakmu.

...

Baik, apa lagi yang boleh gua 'highlight' sekarang? Tiada kot?

Saturday, August 8, 2009

Aku kagum dengan sebilangan individu muda yang tahu tentang apa yang ingin mereka capai. Kadangkala cemburu kerna aku tahu untuk menggapai sesuatu mereka berani melepaskan sesuatu demi mendapatkan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang. Cemburu kerna mereka berani untuk berkorban. Cemburu aku atas dasar aku sendiri tidak seberani mereka.

Tidak kisah apa jua bentuk pengorbanan yang mereka lakukan, namun aku percaya setiap kejayaan yang mereka nikmati itu tetap menuntut suatu pengorbanan yang besar hatta terpaksa membelakangkan perasaan sendiri sekalipun.

Fitrah manusia yang kepinginkan sesuatu bagi mengisi kekosongan yang wujud dalam hati. Bukan hanya cinta, tolong jangan sempitkan pengorbanan itu dengan cinta yang sementara. Banyak lagi perkara lain yang menuntut pengorbanan selain cinta. Cinta selagi ikhlas ia tetap jua akan mekar selagi ada hayat dikandung badan.

Nafsu juga sebilangan jenis ujian yang Tuhan turunkan demi menguji ketahanan, kesabaran kita. Andai diri sendiri tidak kuat maka goyah semua perkara. Bila goyah, sudah tentu hak Tuhan tidak dapat kita laksanakan.

Kalau kita lihat zaman kini, hampir semua perkara yang kita kerjakan tidak dapat lari dari ilusi. Bukan seperti zaman datuk dan nenek kita dahulu, zaman kini perkara yang bertentangan dengan nilai agama dan budaya itulah yang paling cantik, paling mengikut kehendak zaman.

Kita dihidangkan dengan perkara-perkara yang membangkitkan unsur kehendak yang mengatasi keperluan. Akhirnya, kita sendiri yang menjadi mangsa. Masyarakat kita semakin terbuka tentang sesuatu perkara yang mana kalau kita biarkan akan menjadi duri dalam daging.

Menyedari diri aku sendiri terperangkap dalam sebuah sistem yang kotor, aku sendiri khuatir generasi seterusnya akan menjadi mangsa akibat kedunguan kita sendiri iaitu lambat bertindak. Lihat sahaja sekeliling kita, secara sedar atau tidak kita sudah pun dijajah, minda kita tidak bebas. Sejarah membuktikan apa sahaja kemajuan yang manusia cipta akan mengalami kehancuran. Kerna tidak semua manusia berfikiran sama dan mustahil semua manusia akan patuh pada peraturan tertentu.

Sedangkan hukum Tuhan pun kita langgar apatah lagi hukum manusia yang begitu mudah untuk dimanipulasi. Hukum alam memang begitu, ada baik maka akan ada yang kurang baik.

Dimana kita akan berada pada masa akan datang?

Teguh dibelakang Mahdi atau tegar dibelakang Dajjal?

Entah yang mana satu Mahdi dan yang mana satu Dajjal pun kita tidak tahu. Seperti entri aku sebelum ini, bila yang palsu kelihatan seperti yang hak dan yang hak kelihatan batil maka tidak mustahil kita akan menjadi pengikut Dajjal, secara tidak rasminya kita menolak Mahdi.

Aku berani potong jari kelingking sendiri andai suatu hari Mahdi keluar hanya beberapa orang sahaja yang akan beriman. Tidak mustahil, Mahdi suatu masa nanti kita anggap lebih kurang seperti Ayah Kahar, Ayah Pin dan ramai lagi Ayah yang lain.

Semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang beruntung. Amin.

Saturday, August 1, 2009

Worldly Illusion Of Dunya

Aku melihat gerakan perhimpunan haram sana, perhimpunan aman sini tidak ubah seperti menonton sebuah pementasan. Sungguh drama, yang mana aku yakin ia akan dimanipulasi oleh pelbagai pihak demi sebuah perjuangan.

Pilihan ditangan sendiri, kamu manusia yang punya akal dan tidak perlu untuk disunatkan lagi sekali agar jadi lebih dewasa memandangkan masing-masingnya mempunyai akal sendiri, enjin sendiri. Jika punya enjin, maka janalah sendiri, cuma pengubahsuaiannya jangan terlalu ekstrem takut nanti meletup.

Hidup ini jika dikaca TV tidak ubah seperti sebuah pementasan. Terpulang, kerna kita hanyalah manusia yang diberi peranan serta tanggungjawab. Masing-masing punya agenda serta misi sendiri. Maka bangunkanlah karakter atau watak pemberian Tuhan itu dengan sebaik-baiknya kerna perkara asasnya ialah diturunkan manusia ke bumi adalah sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi.

Berbeza pendapat itu tidak salah, yang salah ialah interpretasi kita tentang tatacara bagaimana untuk berbeza pendapat dengan betul.

Semakin kita meniti perjalanan menuju akhir zaman, semakin banyak pula ilusi yang melingkari kehidupan. Ada pun yang cantik itu kelihatan buruk, yang batil pula seperti yang hak, yang benar kelihatan palsu maka yang palsu sudah kelihatan benar.

Percayalah, ilusi atau pun pengalihan tumpuan merupakan mainan harian yang disuapkan ke hati-hati manusia kini.

Ternyata manusia akhirnya menjadi mangsa akibat kedangkalan, kejahilan diri sendiri. Kita mungkin boleh bertelingkah sesama sendiri dan tanpa kita sedari yang semakin hari kita terbelenggu, kita terperangkap dalam sebuah dimensi yang kita fikir bebas sebelum ini.

Bebaskah kita?

Pertembungan antara yang hak dan batil itu sudah pun bermula, malah sudah diperingatkan sejak dulu kala lagi. Cuma, bergantung kepada diri kita sendiri untuk menentukan yang mana satu hak dan yang mana satu batil.

Bagi yang lalang, yang batil itu seperti yang hak, yang hak pula seperti yang batil. Susah sangat balik rumah, masuk bilik terus tidur, habis cerita. Tapi zaman kini tidak wajar sebegitu. Kuranglah satu undi.

Kadang-kadang dalam memperjuangkan sesuatu, kita terlepas pandang akan sesuatu yang lain. Sesuatu yang sejagat yakni universal. Kita asyik memikirkan tentang perjuangan yang tidak pasti, perjuangan yang bersifat sementara. Sempena malam jumaat di bulan Syaaban ini aku suka mengingatkan diri sendiri agar tidak lupa memandang ke langit melihat bulan dan bintang.

Aku yakin, mereka cuba memberitahu sesuatu.

...

Coba kamu lihat diluar sana, bulan kelihatan begitu terang sekali, walaupun aku pasti ia bakal dilitupi awan sebentar nanti.

Akhir-akhir ini aku terlampau banyak rehat. Ditempat kerja pun aku sempat tidur. Aku kurang pasti apakah fungsi aku ditempat kerja. Aku juga tidak memanjai diri dengan menjadikan aktiviti pengularan sebagai hobi. Berkerja di awal musim memang begini, aku tidak hairan mahupun pelik.

Cuma yang seronoknya aku ditemani oleh mereka-mereka yang 'fantabulous' belaka. Tertidur dibilik mesyuarat itu biasa. Boleh kata hari-hari ada 'meeting'. Aku pun sudah naik jenuh dengan aktiviti musyawarah dibilik mesyuarat sekarang ini. Akibat dipenuhi dengan jadual kemesyuaratan yang ketat, permainan yang aku paling benci seperti solitare, minesweeper, pintball itu akhirnya menjadi kesukaan pula.

Walau bagaimanapun, aku bukanlah aku. Aku merana kerna terlampau pasif di waktu kerja menjadikan aku aktif di kafe, bila perut di isi maka rajin pula ke tandas. Bila aku lelap, masa terjaganya nanti terasa seperti hendak merasa kopi secawan, goreng pisang sepinggan. Tengaharinya pula asyik menghirup sup daging, kalau tidak pun meratah ayam kampung disulami minuman air jagung pilihan bagi membasahi anak tekakku yang manja.

Lebih parah, setiap kali buka dompet untuk mengisi minyak kereta dari putrajaya ke Shah Alam aku perasan duit makin kurang. Mulalah godek sana sini kalau-kalau terjumpa duit yang terselit dekat mana-mana celah. Alahai, umur pun menjangkau separuh abad, takkan nak jadi begini ' Ayah, boleh masukkan duit sikit, RM50 pun jadilah'.

Malu!

Aku ingat kalau lagi 6 bulan begini maka aku sudah boleh bikin satu union, berpoligami pun aku mampu!